Cari Artikel

Monday, March 24, 2014

Temubual Eksklusif Bersama Lisa Surihani - E! News Asia Special


Temubual Eksklusif Bersama Lisa Surihani - E! News Asia Special

Temubual Eksklusif Bersama Lisa Surihani - E! News Asia Special


Terpilih menjadi artis Malaysia yang pertama ditampilkan di dalam saluran E! News Asia untuk siaran 30 minit istimewa, Lisa Surihani bukanlah calang-calang selebriti yang hanya berbekalkan kecantikan sahaja.

Pada 30 Mac ini, isteri kepada Yusry KRU ini akan dapat ditonton di saluran E! untuk 30 minit bagi E! News Asia Special - Lisa Surihani yang akan memberikan anda lebih pengenalan lanjut mengenai wanita cantik yang mempunyai pengaruh yang ramai di media sosial ini.

Portal Murai juga turut tidak ketinggalan untuk bersama-sama meraikan kejayaan Lisa yang terpilih dikalangan selebriti hebat lain yang ada dengan mengadakan sesi temubual istimewa dengannya baru-baru ini.



Sekadar sedikit pengenalan mengenai wanita cantik ini, kami bawakan temubual ringkas dan santai bersama Lisa. Jika anda ingin mengetahui dengan lebih mengenai wanita ini, jangan lupa untuk menyaksikan E! News Asia Special - Lisa Surihani yang bakal disiarkan pada 30 Mac ini jam 10 malam di saluran 712 di Astro.

Adik Elfira Loy, Ezlisa Loy Dapat 7a Untuk Spm


Adik Elfira Loy, Ezlisa Loy Dapat 7a Untuk Spm

Adik Elfira Loy, Ezlisa Loy Dapat 7a Untuk Spm


Tahniah diucapkan kepada adik pelakon Elfira Loy, iaitu Ezlisa Loy yang telah mendapat 7A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pagi tadi.

Ezlisa atau nama sebenarnya, Nurul Ezlisa Loy Binti Ahmad Sabri adalah calon yang telah mengambill peperiksaan SPM tahun lalu di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn (2) dan menerusi foto yang dimuat naik di laman Facebook ERA fm sebentar tadi, Esliza telah mendapat 7A dan 2B.

Subjek mata pelajaran di mana Ezlisa mendapat A ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Fizik dan Matematik Tambahan.

Manakala bagi subjek mata pelajaran Kimia dan Biologi, Ezlisa telah mendapat B.

Ezlisa merupakan anak ketiga daripada lima beradik dalam keluarganya.

Meskipun pernah menceburi dunia lakonan seperti mana kakaknya iaitu Elfira Loy, Ezlisa berkata dia tidak bercadang mengikuti jejak langkah kakaknya itu dengan menjadikan dunia lakonan sebagai karier sepenuh masa sebaliknya dia mahu meneruskan pengajian untuk mengejar cita-citanya sebagai doktor.

Tahniah dari kami warga Murai di atas keputusan hebat Ezlisa ini dan semoga cita-citanya tercapai.

Datuk A Rahman Hassan Terima Kunjungan Rais Yatim


Datuk A Rahman Hassan Terima Kunjungan Rais Yatim

Datuk A Rahman Hassan Terima Kunjungan Rais Yatim


Pada petang 25 Februari lalu, kira-kira pada pukul 3.30 petang,  Datuk A. Rahman Hassan rebah ketika sedang duduk di dalam Lambang sari, Istana Budaya sebelum sempat disambut oleh tetamu yang berada di sebelahnya.

Penyanyi itu dikejarkan ke HKL dengan sebuah ambulans dan telah menghabiskan masa selama 2 minggu di hospital sebelum pulang ke rumahnya kini di Taman Sri Ukay, Hulu Kelang.

"Saya baru sahaja keluar HKL minggu lalu dan doktor menasihatkan agar berehat di rumah selama dalam proses pemulihan iaitu kira-kira lima hingga enam bulan," katanya ketika ditemui pada program lawatan Pengasas Yayasan Warisan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim ke kediamannya di Taman Sri Ukay, Hulu Kelang, di sini, Rabu.

Penyanyi era 60-an ini mengakui dia lebih menghargai kesihatan tubuh badan dan akan berehat selama lima hingga enam bulan sebelum pulih sepenuhnya dan kembali aktif.

"Saya tidak boleh bangun dan mereka menyuruh saya buang air kecil dan besar dari atas katil tetapi saya tidak mahu dan menyuruh anak-anak menolong saya ke tandas.

"Sehingga beberapa hari saya gagahkan juga diri untuk berjalan perlahan-lahan sendiri ke tandas, saya sentiasa fikir bahawa saya boleh lakukannya sendiri," katanya.

Selain itu, penyakit strok tersebut membuatkan dia kurang daya imbangan badan dan sukar untuk berjalan. Sementara itu, pada majlis tersebut, Datuk A.Rahman turut menerima sumbangan ikhlas daripada pihak Yayasan Warisan Negara sebanyak RM5,000 dimana acara turut dihadiri Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez.

Bob Nowseeheart Meninggal Dunia Akibat Lemah Jantung


Bob Nowseeheart Meninggal Dunia Akibat Lemah Jantung

Bob Nowseeheart Meninggal Dunia Akibat Lemah Jantung


Anggota kumpulan nasyid Nowseeheart iaitu Bob atau nama sebenarnya Firdaus Baharuddin, disahkan meninggal dunia oleh Mujahid, bekas ahli kumpulan Nowseeheart di Facebook milik beliau.

Bob dikatakan telah meninggal dunia pada jam 12.04 pagi tadi di Hospital Selayang kerana sakit lemah jantung.

Bob dikhabarkan berada dalam koma pada petang semalam. Dikhabarkan juga jantungnya sangat lemah dan terlalu banyak air dalam badan.

Pada awal tahun 2013, arwah telah berundur diri daripada Nowseeheart atas alasan komitmen kerja di samping masalah kesihatan yang tidak mengizinkan.

Jenazah Allahyarham telah dikebumikan di Taman Melewar, Gombak jam 9 pagi tadi.

Kami dari warga Murai dan Astro Gempak mengucapkan takziah kepada keluarga Bob Nowseeheart dan Al-Fatihah untuk Allahyarham.

Ub40, Judikal Bakal Gegar Kl Life 9 Dan 12 April Ini


Ub40, Judikal Bakal Gegar Kl Life 9 Dan 12 April Ini

Ub40, Judikal Bakal Gegar Kl Life 9 Dan 12 April Ini


Berita baik kepada peminat-peminat penyanyi popular Indonesia, Judika dan kumpulan reggae lagenda, UB40 kerana anda akan bertemu dengan mereka pada April ini di KL Life, Kuala Lumpur.

Dua artis antarabangsa ini akan menggegarkan pentas KL Life Centre menerusi persembahan konsert masing-masing iaitu UB40 Live In Kuala Lumpur (9 April) dan Judika Mencari Cinta..(12 April).

Pengarah UCS Clockwork, Syamil Yusof berkata pemilihan dua artis tersebut adalah bersesuaian dengan citarasa penggemar muzik yang terdiri daripada golongan yang berbeza.

“Judika dan UB40 masing-masing mempunyai peminat mereka masing-masing. Kami menyasarkan dua golongan iaitu remaja dan dewasa untuk menonton konsert ini.

“Sebagai contoh, Judika sudah tentu peminatnya terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, terutama golongan muda.

“UB40 pula peminatnya terdiri daripada golongan dewasa berusia 35 tahun ke atas terutama yang mengikuti perkembangan kumpulan popular ini sejak tahun 70-an hingga 80-an,” katanya pada majlis sidang media baru-baru ini.

Tambah Syamil, peminat-peminat UB40 tidak seharusnya terlepas peluang untuk menyaksikan konsert UB40 Live In Kuala Lumpur kerana ini kali pertama mereka membuat persembahan di Malaysia.

“UB40 adalah kumpulan reggae paling berjaya di sepanjang zaman selepas mencatat jualan album lebih tujuh juta unit di seluruh dunia,” katanya.

Menurutnya lagi, pihak UCS Clockwork percaya dua selebriti hebat itu mampu menarik para peminat berkumpul di bawah satu bumbung iaitu di KL Life Centre untuk menyaksikan persembahan mereka.

Lebih menarik, Konsert Judika Mencari Cinta… pula akan dimeriahkan lagi dengan kehadiran penyanyi rock lagenda Malaysia, Amy Search yang bakal berduet dengan tenor pop kegemaran Indonesia itu.

Tiket UB40 Live In Kuala Lumpur dijual pada harga RM158 (aras bawah) dan RM258 (aras atas - VIP) manakala tiket bagi Judika Mencari Cinta… sebanyak RM98 bagi aras bawah dan RM168 untuk VIP (aras atas).

Kedua-dua tiket konsert boleh dibeli menerusi talian Ticketpro Malaysia iaitu 03-78807999 atau di www.ticketpro.com.my atau talian hotline, 017-3555134.

Ia turut dijual di Rock Corner, Muzik Valley, Victoria Music dan Guitar Store.

Zombi Kilang Biskut Bikin Mamat Khalid Berdebar


Zombi Kilang Biskut Bikin Mamat Khalid Berdebar

Zombi Kilang Biskut Bikin Mamat Khalid Berdebar


Mamat Khalid mengakui bahawa sekalipun Zombi Kilang Biskut bukanlah filem pertamanya, namun dia tetap berdebar menunggu maklum balas penonton terhadap filem tersebut.

“Kalau nak diikutkan pengalaman yang dilalui, pahit dan manis sudah pun saya rasa…Sebagai penggiat seni saya sudah berusaha untuk harus tahu kehendak penonton dan berikan yang terbaik…Terpulang kepada mereka untuk menilai nanti.

“Asalkan penonton sanggup datang ke pawagam menyaksikan Zombi Kilang Biskut, itu sudah merupakan penghargaan terbesar buat saya,” katanya kepada portal Murai pada majlis tayangan perdana filem itu di Ipoh, Sabtu lalu.

Diterbitkan di bawah produksi miliknya, Enjit Semut Sdn. Bhd. Mamat yakin sentuhan terbarunya itu akan menghiburkan penonton.

Tambahan lagi, ketika tayangan pada Sabtu lalu bersama kerajaan negeri Perak, Zombi Kilang Biskut berjaya menarik perhatian ramai.

Mamat turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana telah memberikan sokongan kepada pihaknya sekaligus membantu promosi filem itu.

“Tayangan pada hari ini sempena Expo Pelancongan Perak merupakan satu platform yang baik dalam mempromosikan filem ini.

“Saya sungguh berbesar hati dan bersyukur apabila pada tayangan hari ini, penerimaan daripada penonton amat-amat menggalakkan,” katanya.

Oleh itu kepada penonton yang sudah terbiasa dengan karya Mamat Khalid dan sentiasa menantikan karya terbaru daripadanya, jangan lupa ke pawagam pada 20 Mac (Khamis) ini di 88 lokasi pawagam seluruh Malaysia dan Brunei.

Jika anda tidak berbuat demikian, itu merupakan satu kerugian kerana Zombi Kilang Biskut hanya akan ditayangkan di pawagam sahaja.

“Hanya di pawagam. Tiada video cakera padat digital (DVD) diterbitkan dalam tempoh terdekat. Jadi, bagi peminat-peminat filem Zombi sentuhan saya jangan lepaskan peluang menonton di pawagam,” katanya yang enggan meletakkan sasaran kutipan pecah panggung untuk filem terbarunya ini.

Menelan belanja sebanyak RM1.7 juta, Zombi Kilang Biskut membariskan pelakon seperti Awie, Usop Wilcha, Shuk SYJ, Eina Azman, Adam AF, Man Kadir, Delimawati, Soffi Jikan dan Dayana Roza.

Nak Tahu Latar Belakang, Sarimah Ibrahim Google Tunku Nadzimuddin


Nak Tahu Latar Belakang, Sarimah Ibrahim Google Tunku Nadzimuddin

Nak Tahu Latar Belakang, Sarimah Ibrahim Google Tunku Nadzimuddin


Sarimah Ibrahim yang juga pelakon serta penyanyi memberitahu dia pada mulanya  tidak mengenali siapakah Jamie atau cucu kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-10 iaitu Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar itu.

Sehinggalah dia mengambil keputusan untuk meneliti latar belakang Jamie di laman Google selepas mendapati layanan yang diberikan oleh orang sekeliling terhadap jejaka berkenaan agak berlainan selain panggilan Tunku yang sering diajukan kepada jejaka berkenaan ketika meereka menghadiri sebuah majlis makan malam.

“Ketika pertama kali bertemunya, banyak persoalan yang timbul difikiran saya berkenaan dia. Saya tak tahu dia ini orang mana kerana raut wajahnya yang agak berbeza. Nak kata Melayu tak Melayu, nak kata Arab pun tak juga.

“Biarpun pertama kali bertemu, banyak perkara yang kami borakkan. Dari hal perpisahan rumah tangga, latar belakang keluarga, tentang United Kingdom dan banyak lagi. Memang banyak persamaan. Kami tak henti berborak walaupun ramai orang sudah beransur pulang dari majlis berkenaan,” katanya terbuka.

Sarimah Ibrahim menambah, antara alasan utama dia terlalu terbuka memperkenalkan Jamie kepada pihak umum kerana tidak mahu orang ramai menyalah anggap dengan hubungannya sehingga timbul pelbagai cerita tidak sedap didengari.

Ia bertepatan sekali dengan status dirinya sebagai bekas isteri orang dan kerjayanya sebagai artis selain latar belakang Tunku Nadzimuddin dalam kelompok keluarga diRaja.

Kata Sarimah Ibrahim, dia dan Jamie sudah berbincang terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan untuk berterus terang akan hubungan mereka berdua meskipun pada awalnya agak sukar untuk mereka berbuat demikian.

“Semuanya kerana kempen Desperately Seeking Sarimah (#DSS) yang diperkenalkan stesen radio Mix FM baru-baru ini. Memang tidak diduga dan ia bukan dirancang sama sekali.

“Saya telah memberitahu 3 lelaki daripada finalis kempen berkenaan bahawa saya sudah pun berpunya tetapi hos rancangan itu, Rod meminta saya untuk dipertemukan dengan Jamie di dalam konti radio Mix FM supaya saya dapat mengesahkan kebenarannya.

“Saya menyahut cabaran Rod, maka saya telah meminta Jamie untuk hadir dalam konti radio Mix FM pagi ini untuk membuktikan bahawa hubungan saya dengannya bukanlah jenaka.

“Saya merasakan adalah perlu untuk saya berterus terang dan memperkenalkan Jamie kepada pihak umum termasuk tiga orang finalis kempen berkenaan kerana rasanya tak manis kalau saya keluar makan malam dengan salah seorang pemenang kempen berkenaan dan dalam masa yang sama saya keluar dengan Jamie,” katanya.

Sementara itu jelas Jamie, pada awalnya dia agak resah dan gelisah apabila diminta untuk tampil dan bercakap di konti radio Mix FM. Bagaimanapun demi kebaikan masa depan hubungan mereka berdua, dia melakukannya dengan hati terbuka.

Meskipun berlatar belakangkan keluarga diraja, Jamie bagaimanapun seboleh-bolehnya tidak mahu dia dan kekasih hatinya itu terikat dengan sebarang protokal sebaliknya memilih untuk bersikap bersederhana, terbuka dan menerima Sarimah Ibrahim seadanya.

“Saya tidak kisah mengikut Sarimah ke mana sahaja ataupun sekiranya memerlukan saya untuk bergambar dengannya dalam mana-mana majlis sekalipun kerana saya faham dengan kerjayanya sebagai seorang selebriti,” katanya merendah diri.

Tunku Nadzimuddin Tunggu Masa Sesuai Lamar Sarimah Ibrahim


Tunku Nadzimuddin Tunggu Masa Sesuai Lamar Sarimah Ibrahim

Tunku Nadzimuddin Tunggu Masa Sesuai Lamar Sarimah Ibrahim


Sudah tiga bulan menyemai kasih bersama Sarimah Ibrahim, 36, cucu kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-10, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar, 42 sememangnya mempunyai perancangan masa depan terhadap pelakon dan pengacara cantik berkenaan.

Ditemui selepas sesi temubual bersama radio MIX FM pagi tadi, Tunku Nadzimuddin yang senang dengan panggilan Jamie berkata, buat masa ini biarlah mereka mengenali hati budi masing-masing sebelum pendekatan lebih besar diambil oleh kedua-dua belah pihak.

Jelas Jamie, pihaknya sudahpun bertemu dengan keluarga Sarimah Ibrahim, begitu juga dengan penyampai radio MIX FM berkenaan terhadap keluarga Jamie sebagai salah satu cara menghormati hubungan yang terjalin supaya tiada rasa syak was sangka.

“Kami baru saja berjumpa tiga bulan lalu dan pastinya kami perlu mendapatkan restu daripada keluarga kedua-dua belah pihak terlebih dahulu.

“Saya mengenali siapa dia (Sarimah Ibrahim) meskipun ketika pertama kali bertemu. Cuma sekarang barulah saya berpeluang mengenalinya dengan lebih dekat,” katanya yang mengaku pernah mendirikan rumah tangga dan telahpun berpisah.

Tunku Nadzimuddin yang kini mengusahakan perniagaan dalam bidang pelaburan pernah menuntut dan menetap di United Kingdom dari tahun 1985 sehingga 1996.

Sarimah Ibrahim dan Jamie telah dipertemukan buat pertama kalinya sejak tiga bulan lalu sewaktu menghadiri majlis makan malam seorang kenalan yang kebetulan merupakan kenalan mereka berdua.

Sementara itu kata Sarimah Ibrahim, dia agak gusar apabila ada pihak yang mengaitkan hubungannya bersama jejaka itu dengan ikatan perkahwinan kerana dia masih dibayangi oleh kegagalan rumah tangganya beberapa tahun lalu.

“Sebenarnya saya memang berasa takut apabila mahu bercerita soal kahwin. Kerana saya pernah gagal dalam perkahwinan dan begitu juga Jamie.

“Saya pernah berfikir adalah lebih baik saya hidup sendirian dan memiliki anak angkat. Bagaimanapun dalam masa yang sama saya sering berdoa kepada Tuhan supaya membuka hati saya dan dipertemukan dengan jejaka yang sesuai.

“Saya juga sedar,  sebelum ini saya sering menjalani hubungan dengan jejaka asing. Tapi itu bukanlah sesuatu yang saya mahu kerana semuanya telah ditentukan olehNYA dan Alhamdulillah sekarang saya telah dipertemukan dengan Jamie yang mempunyai darah Melayu,” jelasnya panjang lebar.

Datuk Rosyam, Erra & Nora Danish Bakal Semarakkan Selawat Perdana 1435h


Datuk Rosyam, Erra & Nora Danish Bakal Semarakkan Selawat Perdana 1435h

Datuk Rosyam, Erra & Nora Danish Bakal Semarakkan Selawat Perdana 1435h


Orang ramai dijemput hadir ke Dataran Masjid Putra, Presint 1, Putrajaya jam 8 malam pada 21 Mac (Jumaat) ini untuk menyemarakkan lagi program ‘Selawat Perdana 1435H’ anjuran Sekretariat Selawat Perdana.

Program keagamaan bercorak santai bertemakan kesatuan, perpaduan dan persaudaraan ini turut mendapat sokongan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam.

Presiden Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia selaku Setiausaha Sekretariat Selawat Perdana, Shahrul Nasrun Kamarudin berkata, pihaknya menyasarkan seramai 500,000 orang untuk bersama-sama merealisasikan program berkenaan.

“Program ini diadakan untuk memupuk perhubungan se­sama manusia yang berterusan tanpa mengira keturunan, darjat dan warna kulit, bahasa dan lain-lain.

“Tujuan lain program ini diadakan adalah untuk mendoakan misi pencarian pesawat MH370 serta keselamatan dan kesejahteraan semua 239 penumpang termasuk anak kapal yang hilang, sejak Sabtu lalu.

“Pengisian program ini membabitkan budaya selawat, zikir dan qasidah yang mengajak umat Islam untuk mengingati Allah dan Rasulul­lah SAW sekali gus dapat menjadi pemangkin perpaduan umat Islam di sini.

“Ia juga untuk menyatukan seluruh umat Islam di negara ini untuk memupuk perasaan mahabbah iaitu cinta kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW melalui qasidah,” katanya yang ditemui pada majlis sidang media program Selawat Perdana 1435H - Malam Cinta Allah dan Rasul yang berlangsung di Hotel Royale Chulan Damansara baru-baru ini.

Hadir sama, penasihat Sekretariat Selawat Perdana, Datuk Noh Gadut.

Lebih menarik, program ini menampilkan ikon agama nusantara dan pendakwah terkenal yang bukan calang-calang iaitu Habib Syech Abdul Qodir As Seggaf dan tausiyah pula bakal disampaikan penceramah bebas yang juga imam muda dan pencetus ummah, Habib Ali Zaenal Abidin.

Tidak ketinggalan, penampilan kumpulan nasyid terkenal tanah air seperti In-Team, Al Mawlid dan finalis program Imam Muda dan Pencetus Ummah.

Penganjuran program Selawat Perdana 1435H - Malam Cinta Allah dan Rasul turut disemarakkan dengan kehadiran barisan selebriti terkenal tanah air seperti Adira, Datuk Rosyam Nor, Aziz M Osman, Zizan Razak dan Mawi.

Turut serta adalah selebriti seperti Nora Danish, Erra Fazira, Shahir, Nabil Ahmad, Rita Rudaini, Johan As’ari, Hazama, Fizz Fairuz, Angah Raja Lawak, Jep Sepahtu, Tomok, Zahida Rafik, Irma Hasmie, Faizal Ismail, Puteri Sarah Liyana, Mila Jirin, Yatt Hamzah, Dazrin Kamaruddin, Abby Nazri, Adam AF, Cor­rie, Siti Nordiana, Atie AF, Fiify Natasha dan ramai lagi.

Ahli Perniagaan Heret Zarina Anjoulie Ke Mahkamah


Ahli Perniagaan Heret Zarina Anjoulie Ke Mahkamah

Ahli Perniagaan Heret Zarina Anjoulie Ke Mahkamah


Seorang ahli perniagaan memfailkan saman terhadap pelakon Zarina Anjoulie, kerajaan dan empat lagi atas dakwaan berlaku kecuaian serta penipuan membabitkan sebuah kereta mewah milik arwah bapanya.

Kevin Shah Kadar Shah, 33, memfailkan saman itu menerusi Tetuan Jeev Anand & Partners di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada 13 Nov tahun lepas.

Beliau turut menamakan pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor, Kementerian Pengangkutan Malaysia, kerani penghantar surat Salleh Idris dan Public Islamic Bank Berhad sebagai defendan.

Pada prosiding hari ini, Hakim Hue Siew Kheng yang mendengar kes itu dalam kamar, menetapkan 7 April depan untuk mendengar permohonan plaintif bagi meminda penyataan tuntutan dan permohonan Salleh bagi membatalkan saman terhadapnya.

Peguam J.Jev Anand mewakili Kevin Shah, peguam YK Leong mewakili Salleh manakala Peguam Persekutuan Nur Aqilah Ishak bagi pihak kerajaan, JPJ Negeri Selangor dan Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Penyataan tuntutan Kevin Shah mendakwa arwah bapanya, Kadar Shah Sulaiman membeli sebuah kereta terpakai jenis BMW dengan nombor pendaftaran WTN 8850 yang didaftarkan atas nama bapanya pada 17 Mei 2010 dan menandatangani perjanjian sewa beli dengan Public Islamic Bank pada 11 Mei, tahun sama.

Beliau mendakwa bapanya meminjamkan kereta itu kepada Zarina, yang merupakan rakan Kadar Shah, sekitar Jun 2010 untuk kegunaan harian dan kereta itu masih dalam milikan pelakon berkenaan sehingga bapanya meninggal dunia pada 19 Nov 2011.

Kevin Shah mendakwa selepas kematian bapanya, Zarina tidak pernah memulangkan kereta itu dan sebelum beliau sempat menghubunginya untuk berbincang, pihak bank menarik kereta berkenaan selepas ansuran bulanan gagal dilunas mengikut perjanjian.

Ahli perniagaan itu mendakwa Public Islamic Bank memulangkan kereta berkenaan kepadanya pada 21 Feb tahun lepas setelah beliau melunaskan segala tunggakan ansuran bulanan.

Bagaimanapun, Kevin Shah berkata beliau terkejut apabila mendapati kereta itu didaftarkan dengan nombor pendaftaran BLP 8858 sedangkan bapanya tidak pernah membuat sebarang permohonan kepada JPJ untuk mendaftarkan kenderaan miliknya dengan nombor BLP 8858.

Kevin Shah juga mendakwa Kementerian Pengangkutan, melalui surat bertarikh 18 Mac 2013, memaklumkan bahawa nombor WTN 8850 telahpun didaftarkan ke atas kenderaan lain, iaitu sebuah motosikal atas nama bapanya, manakala nombor BLP 8858 didaftarkan bagi kereta BMW itu.

Beliau berkata JPJ, melalui surat bertarikh 3 Jun 2013, menyatakan pertukaran nombor pendaftaran antara kereta dan motosikal itu dibuat pada 14 Feb 2012 namun perkara berkenaan adalah mustahil kerana bapanya telah meninggal dunia sebelum tarikh pertukaran.

Oleh itu, Kevin Shah mendakwa sebarang permohonan yang diterima JPJ tidak pernah ditandatangani bapanya dan mendakwa jabatan berkenaan gagal mengesan tandatangan yang terkandung dalam permohonan untuk pertukaran nombor WTN 8850 dari kereta kepada motosikal dan juga pertukaran nombor BLP 8858 dari motosikal kepada kereta.

Beliau juga mendakwa Zarina, Salleh dan Public Islamic Bank berkomplot melakukan penipuan ke atas bapanya bagi penukaran nombor kereta dan motosikal itu bagi tujuan melenyapkan kereta berkenaan daripada milikan Kadar Shah.

Kevin Shah menuntut ganti rugi am, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah, selain memohon deklarasi bahawa pertukaran nombor pendaftaran kereta dan motosikal itu adalah tidak sah dan terbatal.

Hati Sarimah Ibrahim Kini Milik Tunku Nadzimuddin


Hati Sarimah Ibrahim Kini Milik Tunku Nadzimuddin

Hati Sarimah Ibrahim Kini Milik Tunku Nadzimuddin


Sarimah Ibrahim,36 akhirnya mengaku bahawa dia sedang menjalani hubungan cinta dengan cucu kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-10, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar.

Pengakuan itu dibuat sendiri penyampai radio MIX FM berkenaan kepada portal murai.com.my ketika mengumumkan jejaka yang terpilih untuk menemaninya bagi acara makan malam sempena kempen Desperately Seeking Sarimah (#DSS) yang diperkenalkan stesen radio Mix FM.

Jelas Sarimah Ibrahim, walaupun mempunyai latar belakang daripada golongan diRaja, namun katanya Tunku Nadzimuddin seorang jejaka yang sangat ringkas dan peramah.

“Sememangnya saya agak gementar untuk memperkenalkan dia (Tunku Nadzimuddin) kepada pihak media. Yalah mengenangkan apa yang telah terjadi dengan perkahwinan saya sebelum ini.

“Tapi, saya harapkan semuanya akan baik-baik saja selepas ini,” katanya yang pernah gagal dalam perkahwinan bersama jejaka berbangsa Australia, Andrew Amir Browning  Abdullah pada penghujung 2008.

Wanita kacukan Melayu-Ireland itu juga pernah menjalani hubungan cinta dengan jejaka kelahiran Perancis bernama Guillaume, bagaimanapun terputus di tengah jalan.

Kempen #DSS yang diperkenalkan stesen Radio MIX FM memberi kelebihan kepada pendengar radio berbahasa Inggeris itu untuk menyertai bagi memenangi peluang makan malam bersamanya.

Ikuti temubual lanjut bersama-sama Sarimah Ibrahim dan Tunku Nadzimuddin menerusi portal murai.com.my.

Sheila Majid Pandang Serius Insiden Fmfa, Beri Pesanan Di Instagram


Sheila Majid Pandang Serius Insiden Fmfa, Beri Pesanan Di Instagram

Sheila Majid Pandang Serius Insiden Fmfa, Beri Pesanan Di Instagram


Acara terbesar melibatkan penganjuran festival muzik yang bermula Khamis, 13 Mac dan diikuti malam seterusnya menunjukkan petanda negatif yang menjurus kepada aspek keselamatan yang tidak diberi perhatian.

Akibatnya, 6 nyawa menjadi korban di Future Music Festival Asia 2014 (FMFA 2014), yang sepatutnya menjadi agenda yang disokong pihak Tourism Malaysia (Pelancingan Malaysia) bagi menarik pelancong ke Malaysia.

Ekoran daripada insiden ini, penganjur iaitu Livescape Asia Sdn Bhd telah dinasihatkan supaya tidak meneruskan festival muzik terbesar di Asia Tenggara itu dan membatalkan semua persembahan pada hari terakhir iaitu Sabtu, 15 Mac lalu.

Dibarisi lebih ramai barisan pemuzik hebat seantero dunia pada finalefestival itu dan salah seorang dariapada mereka adalah ratu jazz negara, Dato’ Sheila Majid.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Sinaran itu akan ditemani  DJ yang dikenali dengan nama Dangerdisco dijadualkan mula beraksi pada jam 5 petang.

Ia disahkan melalui deskripsi foto di Instagram milik Sheila Majid yang berbunyi “Catch us LIVE tomorrow 15/3/14 Time:1715hrs-1815hrs at #FMFA2014. Premiering Sinaran Reworked by #dangerdisco.

Platform yang sepatutnya menjadi tempat penyanyi ini berkongsi karya terbarunya hasil kerjasama dengan Dangerdisko telah diarahkan tutup.

Rencana untuk mempersembahkan hits Sinaran yang diberi nafas baru itu tidak kesampaian tetapi Dato’ Sheila akur dengan arahan tersebut disamping meninggalkan pesanan kepada anak-anak muda khususnya para peminat muzik.

“Bila mendapat tahu mengenai insiden membabitkan dadah dan penyalahgunaan dikalangan mereka yang datang ia amat mengejutkan saya. Ia merupakan kejadian yang mengecewakan semua orang dan saya sendiri memandang serius perkara yang semakin berleluasa di zaman ini.

“Saya merasakan satu kesedihan yang menghibakan bila mendengar betapa tragiknya insiden ini. Hanya doa yang mampu saya panjatkan agar semuanya dipermudahkan baik buat mangsa mahupun kelurganya,”petikan kata-kata penyanyi tersebut melalui applikasi Whatsapp yang dikirim pengurusnya.

Dato’ Sheila Majid turut memberikan pandangannya secara umum disamping menyelar mereka yang telah merosakkan muzik kerana penyalahgunaan dadah di Instagram miliknya @missmajid . “Music on its own is not bad. Sadly mixing it with negative substance, influences & elements, spoils its reputation.”

Kredit Foto Instagram MissMajid
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan