Cari Artikel

Wednesday, January 1, 2014

Perubahan Yang Diharapkan Selebriti di 2014


Perubahan Yang Diharapkan Selebriti di 2014


2013 telah pun melabuhkan tirainya. Banyak kenangan pahit manis, pelbagai kejayaan diraih, tidak kurang juga beberapa kontroversi panas tercatat dalam lipatan kalendar 2013.

Untuk tahun 2013 juga, pihak berwajib turut tidak melupakan industri seni tempatan dengan menyediakan dana dan geran bagi membangunkan industri kreatif negara yang dilihat semakin berkembang dan maju hari demi hari. 

Bersempena dengan sambutan tahun baru 2014 ini, is mendapatkan pandangan beberapa orang selebriti mengenai apakah perubahan yang mereka inginkan dalam industri seni.

Ezzaty Abdullah


Ezzaty Abdullah


Sebagai pelakon yang baru sahaja berjinak dalam industri seni tempatan, saya rasa bersyukur kerana mendapat pengalaman berharga apabila menjejakkan kaki dalam industri ini sepanjang tahun 2013. Apa yang saya harapkan untuk tahun 2014 adalah karya dalam industri hiburan, tidak kiralah sama ada industri nyanyian atau lakonan Malaysia akan menjadi lebih berkualiti. 

Saya juga berharap produk-produk kita dapat diterima oleh semua dan industri seni Malaysia akan lebih membangun maju. Bagi diri saya sendiri, saya berharap perubahan imej dan cara lakonan saya akan membuatkan kerja-kerja saya lebih mantap dan berkualiti.

Marsha Milan


Marsha Milan


Bersempena dengan kedatangan tahun baru, saya inginkan lebih banyak karya yang serius, relevan dan tidak klise bagi disatukan dalam suasana industri hiburan sekarang yang sedang pesat berkembang, tidak mengira sama ada dalam pembikinan lagu ataupun skrip sesuatu naskah drama atau filem. 

Dunia hiburan kita makin berkembang, jadi sayang rasanya jika hasil usaha penggiat seni tempatan tidak diberi perhatian oleh masyarakat, jadi apa yang saya harapkan ialah masyarakat menyokong hasil usaha penggiat seni tempatan dalam memajukan industri seni kita.

Asmidar


Asmidar


Diharapkan sempena kedatangan tahun baru ini, industri seni tempatan akan lebih maju terutama sekali dalam aspek penerimaan orang luar terhadap bakat-bakat tempatan. Saya juga mengimpikan untuk melihat banyak bakat tempatan mempunyai lebih peluang untuk mengembangkan sayap seni mereka ke peringkat antarabangsa. Jika selama ini ada persepsi yang penyanyi atau pelakon kita susah untuk mencari rezeki di luar negara, saya harapkan tahun 2014 akan memberi sinar dan menghapuskan persepsi tersebut.


Hanez Suraya


Hanez Suraya


Dalam bidang lakonan, saya mengharapkan karya kita sendiri iaitu drama atau filem tempatan semakin mendapat perhatian menyeluruh semua pihak, tidak kira masyarakat kita sendiri ataupun orang luar. Menyentuh aspek pembayaran pula, saya harapkan bayaran lebih setimpal untuk semua pelakon. 

Saya berkata begini bukanlah untuk bersikap ‘demanding’, tapi saya mahukan sikap tolak ansur antara pemain seni itu sendiri dan syarikat produksi. Terutamanya kepada artis-artis veteran kita, mereka haruslah dihargai dan diberikan bayaran setimpal dengan pengalaman dan kualiti kerja mereka. Bagi diri saya sendiri, saya mahu untuk mencuba watak-watak yang berbeza dan mencabar berbanding watak-watak yang pernah saya bawakan sebelum ini.

Amar Baharin


Amar Baharin


Banyak sebenarnya perubahan yang saya ingin lihat dalam industri seni kita. Bagi saya, industri hiburan kita, terutamanya bidang lakonan, sistem administrasi masih lagi kurang terurus. Secara keseluruhan produksi itu sendiri, baik daripada segi penceritaan, skrip, bajet produksi dan sebagainya haruslah ditingkatkan sistemnya. 

Sebagai contoh, lihat sahaja industri nyanyian. Penyanyi jarang muncul di kaca televisyen untuk melakukan persembahan berbanding pelakon-pelakon yang selalu muncul menerusi drama dan telefilem, tetapi bidang nyanyian ada kutipan royalti dan perkara yang sebaliknya terjadi dalam bidang lakonan. Saya berharap sempena dengan kedatangan tahun baru, urusan sistem dalam bidang lakonan dan penyiaran dapat dipertingkatkan lagi, semakin lama semakin baik dan berkembang.

Diana Amir Lebih Tenang Selepas Bergelar Isteri


Diana Amir Lebih Tenang Selepas Bergelar Isteri

Diana Amir Lebih Tenang Selepas Bergelar Isteri

Pelakon dan pengacara, Diana Amir, 27, mendedahkan yang hidupnya kini terasa lebih tenang selepas mendirikan rumah tangga bersama suaminya, Mohd. Habib Bullah A. Rahman.

"Alhamdulillah, kehidupan selepas berkahwin tenang dan mudah. Walaupun baru dua bulan saya mendirikan rumah tangga, jadual kami masing-masing padat. Kami baru nak pindah rumah. Sampai bulan madu pun kami belum berkesempatan lagi," jelas Diana ketika ditemui di pelancaran program Raudhah Lin Nisa TV9 di Talent Lounge, Empire Damansara baru-baru ini.

Diana yang kini aktif dalam memberikan ceramah motivasi kepada pelajar-pelajar universiti dan syarikat-syarikat korporat ini juga mendedahkan suaminya menyokong karier Diana dalam bidang seni dan bidang motivasi. Menurut Diana, apa yang penting, suaminya berpesan agar Diana pandai menjaga diri dan selagi perkara yang Diana lakukan memberikan manfaat kepada semua, suaminya tiada masalah dengan perkara tersebut.

"Seperkara lagi, walaupun saya dan suami sibuk, saya suka memasak untuk suami. Kalau boleh, saya tak mahu kami berdua makan di luar. Saya belajar memasak daripada ibu saya sendiri. Kini, saya banyak juga mencuba resipi masakan yang berbeza untuk disajikan kepada suami," tutur pelakon filem '7 Petala Cinta' ini.

Bercakap soal anak, Diana menyatakan yang dia dan suaminya tidak merancang perkara tersebut.

"Saya dan suami memang sukakan kanak-kanak, namun sehingga sekarang, saya masih lagi belum ada tanda-tanda kehamilan. Orang cakap, selain berusaha, pasangan suami isteri harus banyakkan berehat jika mahu menimang cahaya mata dengan cepat. Tetapi saya dan suami masih belum sempat berehat dalam jangka masa yang lama, malah berbulan madu pun belum lagi. Insya-Allah, ada perancangan untuk pergi bercuti bersama suami. mungkin awal tahun ini," ujar Diana.

Dalam perkembangan lain, Diana kini tampil bersama Emy Ramli dan Heliza Helmi sebagai pengacara bagi rancangan bual bicara 'SIS' yang bakal bersiaran bermula 3 Januari 2014, Jumaat, 7.00 malam di TV9.

Siapa Hero & Heroin Drama Bakal Menyinar di 2014?


Siapa Hero & Heroin Drama Bakal Menyinar di 2014?

Siapa Hero & Heroin Drama Bakal Menyinar di 2014?

2013 menyaksikan beberapa nama pelakon lelaki dan wanita menjadi bualan hangat peminat drama-drama Melayu. Ada di antara nama-nama ini merupakan bakat baru, namun ada juga sebenarnya sudah lama melibatkan diri dalam dunia lakonan, tetapi baru mendapat perhatian.

Melangkah ke 2014, is memilih tujuh nama yang dijangka menjadi tumpuan peminat!

1) Nelydia Senrose


Nelydia Senrose


Teman wanita kepada Qi Razali ini semakin hari semakin meningkat popularitinya. Ramai penerbit suka mendapatkan khidmat Nelydia kerana dia tidak pernah menghampakan setiap kali beraksi. Lihat sahaja lakonannya dalam drama bersiri ‘Cinta Jannah’. Meninggalkan kesan bukan? Sementara itu, penampilannya dalam filem Cinderella pula dilihat sebagai cara terbaik Nelydia mengakhiri tahun 2013. Mungkin selepas ini lebih banyak tawaran berlakon filem yang bakal diraih olehnya.

2) Azlee Khairi


Azlee Khairi


Jejaka berusia 24 tahun secara tiba-tiba meraih populariti di luar jangkaan setelah beraksi sebagai hero drama kegemaran jutaan peminat, ‘Love You Mr. Arrogant’. Jika diimbas, sudah banyak drama telemovie mahupun filem yang dilakonkan oleh lelaki ini, namun ‘Love You Mr. Arrogant’ paling menjadi. Azlee membuktikan dia mempunyai sisi berbeza yang boleh ditonjolkan seandainya diberi peluang. Melihat kepada populariti Azlee ketika ini, tidak mustahil jejaka ini akan terus mengorak langkah pada tahun hadapan.

3) Nad Zainal


Nad Zainal


Pelakon genit ini punya bakat lakonan yang tidak harus dipertikaikan lagi. Pelakon yang cuba terjun ke bidang pengacaraan ini punya gaya tersendiri setiap kali beraksi. Nad dilihat bijak menarik minat penonton untuk menyaksikan lakonannya. Paling penting, pelakon ini sabar dan gigih berusaha untuk mendapat tempat dalam industri. Bukan cuba mencipta kontroversi yang tidak sepatutnya.

4) Shukri Yahya


Shukri Yahya


Nama ini mungkin tidak begitu dikenali, tetapi GUA melihat pesona yang ada dalam diri pelakon yang memulakan langkah dalam dunia lakonan dengan membintangi filem ‘Jiwa Taiko’, arahan Osman Ali. Setelah itu, Shukri membintangi siri popular ‘Juvana’. Namun, Shukri gagal menonjol seperti Johan As’ari dan Syazwan Zulkifli.

Bagaimanapun, pelakon ini tidak mudah putus asa bagi membuktikan dia mampu menjadi pelapis kepada hero-hero sedia ada. GUA dimaklumkan pelakon ini tidak malu menjalani satu demi satu ujibakat untuk mendapatkan peranan yang diingini. Jadi, tidak hairanlah kelibatnya mula disedari setelah membintangi siri ‘Sahabat’ di samping Liyana Jasmay, Syarif Sleeq, Izzue Islam, dan Aedy Ashraff.


kredit foto : Utusan online 

5) Emma Maembong


Emma Maembong


Pelakon yang kini dipercayai menjalin hubungan cinta dengan Zizan Razak ini mula mendapat perhatian apabila tampil dalam drama 'Kau Yang Terindah', arahan Erma Fatima, di samping Nazim Othman dan Neelofa. Emma dilihat bijak membawa diri dalam dunia hiburan. Biarpun pernah mencipta beberapa kontroversi di awal kemunculannya dahulu, tetapi Emma dilihat berjaya melepasinya.

Melihat kepada perkembangan kerjayanya ketika ini, GUA percaya Emma mampu pergi lebih jauh jika dia tidak mengulangi kesilapan lalu dan sentiasa memperbaiki mutu lakonannya. 

6) Syarul Ridzwan



Syarul Ridzwan



Pemenang tempat ketiga peraduan Hero Remaja 2012 ini dilihat sedang mengorak langkah dalam dunia lakonan. Dengan rupa paras yang kacak serta bakat lakonan yang ada padanya, tidak mustahil Shahrul Rizdwan akan terus mencipta nama di tahun hadapan. 

Satu kelebihan pelakon ini, dia tidak menolak melakonkan watak antagonis seperti yang sering dilakukan oleh kebanyakkan pelakon di awal kemunculan mereka. Mesti ramai yang menyampah dengan kelibat Syarul ketika membintangi ‘Love You Mr. Arrogant’ bukan? Beraksi sebagai Faisal yang tergila-gilakan Zaara, Syarul mengundang rasa benci di kalangan penonton.

Terbaru, Syarul berjaya diangkat sebagai hero drama online ‘Sweetheart Fantasia’ bergandingan dengan Emma Maembong. Ini membuktikan kehadirannya dalam bidang lakonan semakin diterima ramai pihak.

7) Zara Zya


Zara Zya


10 tahun bukanlah satu tempoh singkat untuk mencipta nama. Heroin 'Love You Mr. Arrogant' membuktikan kesabaran pasti ada imbuhannya. Kini pelakon ini meraih populariti yang tidak disangka-sangka. Malah sudah punya kelab peminat sendiri, 'Love Zara Zya FC'. Bagi GUA Zara punya pesona tersendiri dalam lakonan. 

Mengambil keputusan untuk berehat sebentar selepas penggambaran 'Love You Mr. Arrogant'tempoh hari, Zara akan kembali bekerja bermula Januari ini. Ini kerana Zara tidak mahu berdiam diri terlalu lama kerana bimbang dilupakan peminat. Jadi, 2014 mungkin menjadi tahun sibuk kepada Zara sehingga mampu melonjak namanya lebih tinggi.

Nash Lefthanded Rancang Kahwin di 2014


Nash Lefthanded Rancang Kahwin di 2014

Nash Lefthanded Rancang Kahwin di 2014

Vokalis kumpulan rock tersohor Lefthanded, Nashrudin Elias, 54, atau lebih mesra dengan panggilan Nash memberitahu dia meletakkan sasaran untuk mengakhiri zaman solonya pada tahun 2014.

“Saya sasar untuk berkahwin pada tahun 2014. Pada saya, di usia sekarang, niat untuk berkahwin adalah bukan berdasarkan keinginan dan nafsu, tetapi lebih kepada untuk mencari peneman yang berada dalam satu arus kesefahaman,” ujar Nash ketika disoal tentan perancangannya mengakhiri zaman solo.

Mengulas mengenai khabar yang menyatakan bahawa dia kini sedang mengenali hati budi seorang wanita, Nash hanya tersenyum dan memberi jawapan ringkas iaitu ‘Insya-Allah’. 

Dalam perkembangan lain, Nash menyatakan dia ada melakukan perbincangan bersama dengan Datuk Ramli Sarip mengenai buah tangan terbarunya dalam bidang muzik setelah lama tidak muncul dengan lagu dan album baru.

“Saya ada berbincang dengan Ramli mengenai perkara tersebut. Mungkin saya akan mengeluarkan single baru atau album penuh, semuanya masih dalam fasa perbincangan. Saya akan serahkan semuanya kepada Ramli dan dia akan menerbitkan buah tangan terbaru saya nanti,” ujar Nash ketika ditemui di Sidang Media Pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2014 di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur pada Isnin.

Ketika ditanya adakah dia bakal berkolaborasi dengan Ramli dalam salah sebuah lagunya, Nash menjelaskan semuanya dalam peringkat perbincangan.Namun begitu, ujar Nash, kalau perkara tersebut menjadi kenyataan, dia begitu teruja dan menantikan peluang untuk berduet dengan penyanyi yang mendapat jolokan ‘Papa Rock’ itu.

Sementara itu, Nash juga meluahkan pendapat tentang mengeluarkan album atau single baru setelah sekian lama tidak muncul dengan sebarang produk.

“Bagi saya, dalam bidang seni ini tiada istilah terlambat untuk berkarya. Selagi ada material yang baik untuk dipersembahkan kepada peminat di luar sana, selagi itu seseorang artis boleh berkarya,” ujar Nash mengakhiri perbualan.

Berita dan Gosip Hiburan Paling Sensasi 2013


Berita dan Gosip Hiburan Paling Sensasi 2013


Berita dan Gosip Hiburan Paling Sensasi 2013

Hari terakhir 2013 membuatkan GUA kembali mengimbas kisah suka-duka yang berlaku di dalam industri hiburan Malaysia. Biarpun ada segelintir pihak yang memandang dunia hiburan tempatan dengan sebelah mata, namun hakikatnya dunia glamor ini tidak pernah hilang tumpuan daripada peminat.  Ini kerana ada sahaja kontroversi yang cuba dicipta atau tercipta oleh golongan bergelar selebriti.

Sebagai tanda meraikan kedatangan 2014, jom kita sama-sama semak kembali berita dan gosip panas 2013.

1) Cerita kahwin Aril Zafrel & Wawa Zainal

Cerita kahwin Aril Zafrel & Wawa Zainal


Cerita kahwin Aril Zafrel dan Wawa Zainal merupakan berita hiburan paling menggemparkan industri. Setelah penafian demi penafian dilakukan oleh pasangan ini, mereka akhirnya tampil membuat pengakuan mereka telah berkahwin serta mempunyai anak.

Pengakuan pasangan ini bukan menamatkan spekulasi, sebaliknya mengundang lebih banyak spekulasi. Malah, taraf anak lelaki mereka turut dipersoalkan biarpun penjelasan telah diberikan. Tidak cukup dengan itu, kisah pertunangan Wawa dengan seorang jejaka dari Sabah turut terbongkar. Tidak dinafikan kisah perkahwinan pasangan ini sedikit-sebanyak mencalarkan imej kedua-dua individu ini.

2) Konflik  Sharnaaz , Shila Amzah , N.D Lala


Percintaaan Shila Amzah dan Sharnaaz Ahmad memang mendapat pelbagai respon daripada peminat masing-masing. Ada yang menyokong, ada juga yang kurang bersetuju. Setelah setahun mengakui saling mencintai, hubungan cinta mereka akhirnya terlerai jua setelah melalui pelbagai konflik.

Bukan konflik antara mereka berdua sahaja, sebaliknya turut membabitkan bapa Shila, N.D Lala. Semuanya gara-gara N.D Lala tidak bersetuju dengan niat Johan yang ingin membawa hubungan cintanya ke peringkat lebih serius (berkahwin). N.D Lala mahu Shila Amzah menumpukan perhatian kepada kerjayanya yang semakin berkembang. Satu demi satu pendedahan dibuat kepada pihak media. Namun, Sharnaaz akhirnya mengambil keputusan meninggalkan Shila kerana kecewa dengan sikap bapa penyanyi itu.

3) Lana Nordin & Johan Asari

Lana Nordin & Johan Asari

Kisah cinta Lana dan Johan menjadi topik hangat peminat kerana ia berlaku secara tiba-tiba. Mereka bukan hanya mengaku bercinta, tetapi turut mendedahkan mahu melangsungkan perkahwinan secepat mungkin. Paling menarik, Johan mendedahkan dia mengambil keputusan untuk melamar Lana hanya dalam masa tiga hari.

Ketika peminat masih memperkatakan tentang hubungan cinta mereka, tiba-tiba Johan tampil membuat kenyataan yang dia terpaksa melepaskan Lana kerana tidak mendapat restu pihak keluarga. Pendedahan ini dibuat kurang dari sebulan mereka mengaku bercinta! Berbeza dengan kisah-kisah peribadi Johan sebelum ini, kisah cintanya dengan Lana kali ini mengundang tamparan hebat kerana ramai peminat yang marah dengannya dan memihak kepada Lana.

4) Shahrizal Jazle Berkhalwat


Hero filem Azura, Shahrizal Jazle atau lebih dikenali dengan nama Shah Jaszle mengejutkan industri hiburan apabila ditangkap khalwat pada Mei lalu. Memang bukan satu perkara baru golongan selebriti ditangkap khalwat, tetapi yang menjadi bualan hangat ialah Shahrizal merupakan tunangan orang iaitu Redzwani Puteri.

Tambah hangat, pelakon kacak itu mengaku tidak bersalah dan mendedahkan dia diperangkap oleh wanita yang diberkas bersama-samanya. Bagaimanapun, teman wanitanya itu menafikan perkara tersebut dan mengaku dia dan Shahrizal sudah lama menjalin hubungan cinta.

Ekoran penangkapan itu, keluarga Redzwani dilaporkan memutuskan pertunangan mereka. Namun, kini pertunangan pasangan ini bersambung kembali. Kes khalwat Shahrizal masih belum selesai kerana dia mengaku tidak bersalah ketika perbicaraan baru-baru ini.

5) Skandal Gambar Lucah Adi Putra

Skandal Gambar Lucah Adi Putra


Berita membabitkan hero pujaan ramai ini sangat mengejutkan banyak pihak. Maklumlah, Adi Putra dilihat sangat menjaga imej serta bijak membawa diri dalam dunia hiburan. Siapa sangka lelaki berimej bersih ini tiba-tiba mencipta kontroversi memualkan! Skandal dengan isteri orang, Nooraida. Macam tidak percaya pun ada.

Pada mulanya, ramai yang menganggap skandal itu hanya gosip liar semata-mata, bagaimanapun setelah laporan polis dibuat oleh pihak wanita yang dikaitkan dengannya, ramai pula yang mula percaya. Baik Adi mahupun wanita terbabit punya cerita sendiri.

Kini, kes skandal ini menjadi semakin menarik untuk diikuti kerana beberapa hari selepas kes ini ditutup oleh pihak polis, Nooraida diceraikan oleh suaminya. Bukan itu sahaja, bekas suami Nooraida membuat rayuan kepada mahkamah untuk meneruskan siasatan terhadap Adi Putra.

6) Fizz Fairuz Tunang Dengan Isteri Orang


Pelakon utama filem Nur kasih ini menggemparkan industri hiburan apabila dia melangsungkan pertunangan secara senyap dengan wanita dari Kuantan, Pahang, Azlyn Massiela. Ini kerana semua sedia maklum dia menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon Almy Nadia. Setelah kisah pertunangannya tersebar meluas, tidak sampai seminggu, timbul pula kontroversi lain; Fizz putus tunang kerana mendapati Azlyn sebenar berstatus isteri orang.

Bagaimanapun, Azlyn menafikan perkara tersebut dan menegaskan dia tidak pernah berkahwin dengan mana-mana lelaki. Azlyn turut meluahkan rasa kecewa dengan Fizz kerana menjatuhkan air mukanya dan juga pihak keluarga dengan sewenang-wenangnya.

Sementara itu, lelaki yang mendakwa dia suami kepada Azlyn memberitahu Azlyn tidak meningati perkahwinan mereka kerana sakit selepas lapan bulan hilang ingatan.

7) KL Gangster 2  Dicetak Rompak


Filem sekuel arahan Syamsul Yusof, KL Gangster 2 menjadi mangsa lanun cetak rompak cukup menggamatkan penggiat industri perfileman negara. Ramai yang tidak faham bagaimana filem itu boleh tiris di pasaran gelap. Biarpun laporan mengatakan pihak polis akan mencari dalang penyebaran filem itu di laman-laman sosial, namun sehingga kini tiada sebarang tangkapan dilakukan.

Bagaimanapun, bukan kisah cetak rompak sebenarnya yang menjadi tumpuan peminat filem Melayu, tetapi sikap atau tindakan anak Datuk Yusof Haslam itu yang mengundang sensasi. Dek kerana kecewa dengan situasi yang berlaku, Syamsul mengambil keputusan untuk mengundurkan diri dari dunia hiburan. Dek kerana itu, dia langsung tidak melibatkan diri dalam rangka promosi KL Gangster 2. Malah, Syamsul juga tidak menghadirkan diri ketika majlis tayangan bersama pihak media.

8) Neelofa Ditangkap Khalwat

Neelofa Ditangkap Khalwat



Berita atau gosip Neelofa ditangkap khalwat menjadi penutup tirai 2013. Pelakon dan pengacara pujaan ramai ini didakwa telah diberkas bersama seorang VIP pada malam Khamis lalu. Bagaimanapun, Neelofa menafikan sekeras-kerasnya gosip ini dan mengganggap pihak yang menyebarkan berita terbabit menjatuhkan maruahnya sebagai selebriti.

Melalui akaun Instagramnya, Neelofa mengulas jika benar dia ditangkap khalwat, pasti dia masih berada di Malaysia, bukan di luar negara untuk selesaikan terbabit. Sementara itu, pengurus Neelofa, Mohd. Amer Shafiq Khalip memberitahu pihak media pada malam pelakon tersebut dikatakan ditangkap khalwat, dia menemani Neelofa menghadiri majlis pelancaran Galaxy Mobile App di sebuah restoran terkemuka di Kuala Lumpur sehingga jam 2.30 pagi.

Destinasi Ria Bersama Air Asia Tampil Kelainan


Destinasi Ria Bersama Air Asia Tampil Kelainan

Destinasi Ria Bersama Air Asia Tampil Kelainan

Jika sebelum ini menerusi program travelog percutian ‘Destinasi Cinta bersama Air Asia’ telah mendapat sambutan menggalakkan di Astro Ria, program tersebut kembali menemui peminat setiap Rabu, jam 10.00 malam di Astro Ria. Namun begitu, program tersebut menampilkan sedikit kelainan untuk musim kedua dan datang dengan judul baru, ‘Destinasi RAiria bersama Air Asia’.

‘Destinasi Ria bersama Air Asia’ tidak lagi hanya fokus kepada pasangan suami isteri sahaja, malahan program tersebut kini menampilkan percutian selebriti bersama teman dan ahli keluarga di destinasi menarik Air Asia! Untuk Episod 12, ‘Destinasi Ria bersama Air Asia’ telah menerbangkan dua orang chef selebriti yang sedang mencipta nama, Nik Michael Imran dan Fikree Najib Aznan ke Kolkata, India!

Destinasi Ria Bersama Air Asia Tampil Kelainan


GUA mengikuti rombongan Nik Michael dan Fikree bersama tenaga produksi Celebrate TV untuk mengenali budaya serta keunikan bandar ketiga terbesar di negara India ini. Diterbangkan oleh syarikat tambang murah terbaik dunia, Air Asia, Nik Michael dan Fikree yang mengacarakan rancangan ‘Hello Bro Tolong Masak’ di Astro Ria ini nyata teruja dengan pengalaman baru mereka meneroka keindahan Kolkata.

“Ini pengalaman pertama saya dan Fikree menjejakkan kaki ke negara India. Menerusi apa yang kami lihat sepanjang penggembaraan ini, kami sangat teruja untuk mengenal budaya dan kehidupan masyarakat India di sini,” jelas Nik Michael yang juga merupakan pengacara rancangan ‘Dapur Panas’ di TV3.

“Sebelum ini saya hanya tengok dan mengetahui serba sedikit mengenai negara India melalui filem-filem Bollywood. Budayanya penuh warna warni. Terdetik di hati saya untuk melawat ke negara India satu hari nanti. Alhamdulillah, Air Asia telah memberikan peluang untuk saya dan Nik Michael mengenali keindahan India dengan lebih dalam lagi,” ujar Fikree yang merupakan pengacara bagi rancangan ‘Chef Cilik’ untuk siaran RTM.

Destinasi Ria Bersama Air Asia Tampil Kelainan


Perjalanan selama empat hari tiga malam tersebut begitu mengujakan. Nik Michael dan Fikree telah dibawa ke tempat-tempat menarik sekitar Kolkata seperti Victoria Memorial, Howrah Bridge, New Market dan banyak lagi. Nik Michael dan Fikree juga dibawa ke akademi kriket terbesar di India, Videocon School of Cricket, Kolkata untuk belajar bermain kriket. 

Pastikan anda tidak ketinggalan untuk menyaksikan gelagat Nik Michael dan Fikree dalam penjelajahan mereka mengembara serata Kolkata, India hanya di ‘Destinasi Ria bersama Air Asia’ pada Rabu, 22 Januari  jam 10.00 malam di Astro Ria.

Laki – Laki Sandarkan Pesona Lelaki


Laki – Laki Sandarkan Pesona Lelaki

Laki – Laki Sandarkan Pesona Lelaki

'Laki-Laki’  merupakan filem terakhir terbitan MIG Picture untuk tahun 2013. Filem ini diarahkan oleh Ollyn Khadri dan ditulis oleh penulis skrip drama online, ‘Luna Fantasiku’ yang pernah disiarkan suatu ketika dahulu iaitu Keyrool Kiasan.

Menampilkan tema komedi penggembaraan, filem ini mempertaruhkan Angah Raja Lawak dan Zul HandyBlack sebagai teraju utama dengan dibantu oleh  Mie RajaLawak, Adey Syafrien serta pelakon baru Azrel Ismail. Bagi GUA, ia satu perjudian apabila meletak pelakon kurang dikenali untuk pembawa jalan cerita.

Laki – Laki Sandarkan Pesona Lelaki


GUA difahamkan, MIG percaya konsep cerita dengan membariskan hanya pelakon lelaki di dalam sebuah filem mampu menarik orang ramai ke pawagam. Bagaimanapun, GUA agak kurang setuju dengan pendekatan itu.

Laki-laki menceritakan tentang lima orang sahabat iaitu Razak ( kartunis), Abu ( chef), Azman (pemain bola sepak), Jerry (penyanyi rock) dan Samad (pengarah filem) mengalami masalah kemurungan atas masalah masing-masing.

Lantaran itu,  mereka berlima mengambil keputusan untuk menyertai satu kursus motivasi bagi membina semangat baru. Dalam perjalanan menaiki pesawat ke destinasi dituju, mereka pesawat yang dinaiki ditimpa kecelakaan sehingga menyebabkan mereka terdampar di sebuah pulau tidak berpenghuni.

Laki – Laki Sandarkan Pesona Lelaki


Bermula dari situ bermulalah kisah lucu lima lelaki yang berusaha mencari jalan keluar dari pulau terbabit.  Permulaan cerita hingga hujung cerita, pengarah dan penulis dilihat cuba mengupas  maksud laki-laki. Tetapi minit-minit pertama filem ini tidak berjaya mengundang tawa penonton. Mungkin kerana permulaan cerita ini agak perlahan.

Elemen atau unsur komedi hanya terserlah apabila cerita bermula di pulau apabila masing-masing cuba mencari jalan untuk menyelamatkan diri. Secara keseluruhan, ‘Laki-laki’ boleh dianggap sebagai sebuah filem bertih jagung kerana ia membolehkan penonton ketawa tanpa memikirkan logik setiap babak.

Jika dibandingkan dengan filem yang meletak satu gender satu jalan cerita seperti ‘Bujang Lapok’, ‘Doremi’ , ‘Labu Labi’ atau ‘Baik Punya Cilok’, ‘Laki-laki’ ada kekuatan tersendiri di mana setiap pelakon memiliki ruang yang sama rata tanpa dimonopoli oleh pelakon yang ada nama. Kekurangannya mungkin dari segi penataan seni yang dilihat tidak begitu teliti.

Laki – Laki Sandarkan Pesona Lelaki


Filem    : Laki-Laki


Dibintangi oleh : Angah Raja Lawak, Zul HandyBlack, Mie RajaLawak, Adey Syafrien, Azrel Ismail

Arahan : Ollyn Khadri

Genre : Komedi Pengembaraan

Info: Laki-Laki adalah filem ke-100 terbitan Metrowealth Sdn Bhd, dengan rekod itu MIG bukan sahaja boleh dimasukkan ke dalam Malaysia Guiness Book of Records sebagai syarikat produksi tempatan yang paling banyak menerbitkan filem cereka, malah MIG turut memegang rekod itu di Asia Tenggara.

Rating : 3/5

Kenapa Orang Melayu Tak Minat Tonton Filem Melayu?


Kenapa Orang Melayu Tak Minat Tonton Filem Melayu?

Kenapa Orang Melayu Tak Minat Tonton Filem Melayu?

“Lihatlah Dunia, Aku Anak Wayang!” – Itu teriakan keramat yang dilontarkan Allahyarham Seniwati Azean Irdawaty tatkala memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem ‘Esok Masih Ada’ di Festival Filem Malaysia 1980. 

Tidak cukup dengan itu, Azean turut merangkul gelaran tersebut menerusi filem ‘Langit Petang’ pada tahun 1982. Betapa hebatnya seorang pelakon layar perak bernama Azean Irdawaty. Tidak dilupakan, hebatnya filem-filem Melayu ketika itu sehinggakan Azean tidak malu-malu mengaku dirinya, adalah, anak wayang! 

Filem Melayu, dua perkataan ini mampu mencetuskan pelbagai dimensi perbincangan. Lihatlah dari tepi, kiri, kanan, depan atau belakang, perbincangan dan kritikan terhadap filem Melayu tidak akan sama dari satu mulut ke mulut yang lain.  

Semua orang mahu bercakap tentang filem Melayu. Saya pasti David Teoh juga pasti ada pandangannya yang tersendiri. Semua maklum Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Metrowealth International Group (MIG) ini sangat aktif menerbitkan filem-filem Melayu. 

Beliau tidak malu untuk menerbitkan filem Melayu. Beliau sudah mengumpul jutaan Ringgit daripada filem terbitannya. Apa yang hendak dimalukan? Apa yang saya ingin bincangkan di sini adalah tentang ragam penonton Melayu pula yang tak mahu dan malu untuk menonton filem Melayu. Di mana silapnya?

Saya terimbau satu peristiwa di TGV 1Utama tidak begitu lama dahulu. Saya yang ketika itu dalam mood teruja hendak menonton filem ‘Istanbul Aku Datang’ agak terbantut keterujaannya apabila terdengar perbualan sepasang kekasih di hadapan saya.

Kenapa Orang Melayu Tak Minat Tonton Filem Melayu?


Sang gadis hendak menonton filem berkenaan tetapi sang jejaka dengan lantangnya berkata “Filem apa ni macam bodoh aje. Tak payah la kita tengok filem lain. Filem Melayu ni tak habis-habis pusing cerita sama aje”. Begitulah lebih kurang ayatnya. Saya yang di belakang, hanya mampu tersenyum dalam hati. Saya faham dan tidak menyalahkannya. Saya sendiri pernah keluar panggung selepas lima minit satu filem Melayu ini memulakan tayangan. 

Filem apa? Ah perlukah saya nyatakan di sini? Yang nyatanya, saya kesal. Bukan kerana RM13 yang saya laburkan itu tidak berbaloi tetapi begitu rendahnya mutu dan kualiti filem Melayu itu sehinggakan saya, orang Melayu yang faham bahasa Melayu pun tidak mampu memaksa diri untuk terus duduk dan sekurang-kurangnya menghormati hasil kerja penerbitan filem itu.  

Saya akui, selera penonton, terutama selera terhadap filem adalah sesuatu yang sukar untuk dijangka. Oh ya, sebelum saya terlupa, saya akui yang saya telah menonton filem ‘Istanbul Aku Datang’ sebanyak tiga kali selepas hari itu! Bagi saya ia adalah filem Melayu yang berjaya. Tetapi itu saya, dan itu pandangan peribadi saya. Orang lain, saya tidak tahu. Ini membawa kepada pusat perbincangan saya:

Apa lagi yang kita perlu buat untuk menarik lebih ramai penonton Melayu untuk datang menonton? Dan jika kita berjaya menarik penonton ke pawagam, adakah itu boleh dianggap sebagai satu ukuran kejayaan filem Melayu?

Apakah pula definisi kejayaan apabila kita bercakap tentang ‘Kejayaan filem Melayu?’. Adakah ia dinilai dari segi kutipan? Ataupun kualiti skrip, pelakon, teknikal ataupun muzik? Adakah filem ‘KL Gangster’ terbitan Skop Production Sdn. Bhd. yang mencatat kutipan sebanyak RM11.74 juta boleh dianggap sebagai filem Melayu yang berjaya? Ataupun adakah kejayaan filem ‘Bunohan’ yang dinobatkan sebagai filem terbaik di Festival Filem Malaysia Ke 25 (FFM25) boleh diambil kira sebagai sebuah filem Melayu yang berjaya? 

Jangan dilupakan ‘Bunohan’ turut memenangi 4 kategori lain iaitu Pengarah Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik. Adakah ini satu contoh filem Melayu yang berjaya? Jika ya, mengapa ia hanya berjaya mengutip RM720,000 sepanjang tayangannya? Jikalau begitu, layaklah ‘KL Gangster’ dianggap filem Melayu yang berjaya kerana kutipan tiket amat bagus dan pengarahnya, Syamsul Yusof menang besar dengan membawa pulang lima trofi termasuk Filem Terhebat Anugerah Blockbuster.

Kenapa Orang Melayu Tak Minat Tonton Filem Melayu?


Yang jelas, setakat ini belum ada kajian akademik yang dijalankan di Malaysia untuk memahami kenapa dan mengapa orang Melayu tidak mahu menonton filem Melayu. Izinkan saya menyenaraikan sebab-sebab berkenaan. Ya saya layak. Mengapa? Kerana saya orang Melayu yang selalu menonton filem Melayu, tidak kisah ia bagus ataupun tidak. 

1) Kurangnya nilai identiti budaya masyarakat Melayu, memperjelaskan apa yang kurang dan memperkukuhkan kembali yang lemah.

2) Tiada kebaikan yang boleh dibawa pulang oleh penonton. Semuanya adalah sekadar hiburan yang tidak mampu diturunkan sebagai panduan kepada anak cucu mereka (sila imbau kembali betapa relevannya filem-filem arahan Allahyarham Seniman Tan Sri Datuk Amar Dr. P. Ramlee sehingga ke hari ini)

3) Ketiadaan repetitive intention di kalangan penonton. Berapa kerat filem Melayu terkini yang kita mahu tonton berulang kali?

4) Pembawaan isu bernoktah. Apakah penyelesaian yang kita boleh harapkan daripada isu yang diutarakan dalam filem berkenaan? Kebanyakkannya tiada.

5) Kuantiti melebihi kualiti. Lambakan filem Melayu yang tiada kualiti menyebabkan persepsi negatif mula menakluki pemikiran penonton Melayu. Akibatnya, filem berkualiti seperti KIL menjadi mangsa.

6) Masa tayangan yang tidak sesuai. Contoh terbaik adalah masa tayangan filem ‘Lemak Kampung Santan’ yang diberikan slot tayangan di pawagam pada pukul 7.15 malam. Ini tidak bersesuaian dengan masyarakat Melayu beragama Islam.

Bagi saya, tiada jalan mudah untuk menarik penonton Melayu kembali ke panggung untuk menyokong filem Melayu. Dengan segala macam faktor sosio-budaya serta ekonomi yang mencengkam kehendak dan keperluan masyarakat, golongan pembuat filem Melayu hanya ada satu pilihan, iaitu memastikan:

Jenakanya harus berketawa, seramnya harus menakutkan dan pengembaraannya harus  ke hadapan.

Mana tahu, suatu hari nanti, penonton filem Melayu akan mampu duduk lebih daripada lima minit dalam panggung.

Mamma Mia, James Bond Ke IB di 2014


Mamma Mia, James Bond Ke IB di 2014

Mamma Mia, James Bond Ke IB di 2014

Tahun 2014 bakal membariskan produksi-produksi yang sering bekerjasama dengan Istana Budaya (IB), keputusan ini diambil rentetan banyak produksi yang menarik diri di saat akhir yang memberikan masalah kepada pihak IB.

“Kita tidak ingin mengendahkan kata-kata mereka di luar yang mengatakan IB pilih kasih kerana hanya mementaskan program milik sesentengah produksi sahaja kerana kita tidak mahu peristiwa yang terjadi pada tahun 2013 berulang lagi pada tahun hadapan.

Pihak IB juga mengambil pendekatan untuk menjadi lebih tegas serta menaikkan kadar deposit sebanyak 20 peratus bagi mengelak masalah menarik diri di saat-saat akhir. Pendekatan ini diambil kerana sebelum ini sebanyak 14 buah produksi menarik diri yang mendatangkan masalah kepada pihak IB.

Kami mengharapkan yang terbaik untuk tahun 2014 kerana barisan yang terlibat adalah merupakan pihak yang sering berurusan dan mempunyai rekod yang baik dengan IB. Kami juga mempertimbangkan untuk menambah syarat-syarat untuk mendapatkan slot di IB,” ujar Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani ketika ditemui di pelancaran Program 2014 Istana Budaya pada Sabtu.

Mamma Mia, James Bond Ke IB di 2014


Tambah Mohamed Johari, tahun 2014 bakal menyaksikan pelbagai program yang didominasi oleh pihak antarabangsa bagi menarik pelancong untuk berkunjung ke IB bersempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

“Beberapa buah pementasan bakal menggabungkan kombinasi antara bintang-bintang luar bergandingan dengan bintang tempatan. Hal ini diharap mampu menarik khayalak dari Singapura, Indonesia dan Brunei,” ujarnya.

Antara program antarabangsa yang bakal mengegarkan pentas IB adalah The Next (21-13 Februari), Mamma Mia (15-25 Disember), An Evening With James Bond (14-15 November), Mystic India The Musical (15-24 Ogos), An Evening: Bruno Mars & Ne- Yo (29 Mei) dan International Ballet Gala (9-10 Ogos).

Mamma Mia, James Bond Ke IB di 2014


Malah Mohamed Johari juga turut melahirkan rasa terujanya dengan barisan produksi tempatan yang tampil dengan pelbagai idea kreatif. Persembahan Salamiah Hassan bakal membuka pentas IB bagi tahun 2014 bermula pada 10 hingga 12 Januari dengan Konsert Gelombang Salamiah Hassan.

Seterusnya diikuti dengan OTM Bersama Bintang (24-26 Januari), Konsert DiRaja UUM Bersama Orkestra Seni Kebangsaan (14- 16 Februari), Konsert Muzikal Suara Kita (3-9 Mac), Konsert Kuala Lumpur (4-5 April) dan banyak lagi.

Teater yang dijangka mampu menarik para peminat untuk memenuhi IB adalah teater Isabella (21-17 Jun) yang menampilkan Aaron Aziz sekalu teraju utama, Teater Projek Kahwin (6-14 Jun), Rejang Sebuah Muzikal (12-21 September), Konsert Gemersik...Ahmad Jais Dalam Kenangan (28-31 Ogos) dan Dibawah Lindungan Kaabah yang bakal menampilkan Adi Putra pada 9 hingga 18 Mei.

Stacy Semakin Memahami Islam


Stacy Semakin Memahami Islam

Stacy Semakin Memahami Islam

Stracie Angie Anam atau lebih dikenali dengan nama Stacy menganggap hal berkaitan agama begitu sensitif dan keberatan untuk mengulas lanjut tentang perkara itu kerana ingin menjaga hati pelbagai pihak. 

Bagaimanapun, penyanyi yang kini sedang berpacaran dengan Akim Ahmad ini mengakui dia tertarik dengan Islam kerana mendapati Islam mempunyai persamaan dengan agama yang dianutinya sekarang ini iaitu Kristian.

“Saya meminati cara dan semakin memahami tentang Islam setelah terdedah dengan agama tersebut menerusi pergaulan. Sebelum ini di kampung halaman (Kota Kinabalu),  pergaul saya terhad kerana komuniti di sana kebanyakan menganut agama Kristian,” ujar Stacy ketika ditemui di majlis pelancaran single duetnya dengan kumpulan Smash berjudul 'Hello' baru-baru ini.

Malah menurut Stacy, dia turut bertukar pandangan mengenai pemahaman agama masing-masing dengan Akim. Namun menegaskan dia tidak akan memeluk Islam hanya semata-mata ingin berkahwin dengan lelaki ini. Sebaliknya mahu berbuat demikian dengan yang ikhlas.

Stacy Semakin Memahami Islam


“Hasil perbincangan dengan Akim, saya menyimpulkan bahawa agama Islam dan Kristian tidak banyak beza namun saya mempelajari pelbagai perkara baru. Saya tertarik untuk mengetahui mengenai agama ini dengan lebih mendalam.

Bagi saya soal agama ini bukan main-main dan minat untuk mempelajarinya patut lahir dari hati sendiri. Jika saya ingin memeluk Islam, biarlah kerana ingin menjadi seorang muslim dan bukan kerana cinta atau seseorang,” tambah Stacy lagi.

Mengulas tentang kolaborasinya dengan Smash, Stacy berkata dia berharap agar kolaborasinya dengan kumpulan dari Indonesia itu menjadi satu langkah untuknya mengembangkan sayap ke Indonesia. Ini kerana Smash semakin dikenali di Indonesia dan Malaysia.

“Saya berasa bertuah kerana diberi peluang berkolaborasi dengan Smash. Saya dapat melihat perkembangan yang baik kepada perjalanan kerjaya saya. Bilangan pengikut saya di Facebook juga turut meningkat kepada setengah juta sejak lagu 'Hello' dilancarkan,” ujar Stacy teruja.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan