Cari Artikel

Saturday, December 28, 2013

Geng Lawak Bakal Hangatkan PICC


Geng Lawak Bakal Hangatkan PICC

Geng Lawak Bakal Hangatkan PICC

Jika kebiasaannya malam tahun baru dimeriahkan dengan pelbagai konsert artis ternama, sambutan tahun baru 2014 agak berbeza apabila beberapa barisan pelawak seperti kumpulan Jambu, kumpulan SYJ, kumpulan Osama dan Kuah Jenhan akan mengadakan persembahan Geng Lawak yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 31 Disember ini.

Kumpulan SYJ yang dianggotai oleh Shuk, Yassin dan Jihan merancang untuk fokus pada tema ‘tahun baru’ pada malam tersebut. Walaupun masih sibuk dengan program Maharaja Lawak Mega, SYJ menjanjikan persembahan yang terbaik buat penyokong mereka.

“Setiap pelawak diberi masa 30 minit untuk membuat persembahan. Kami merancang untuk fokus pada tema ‘tahun baru’ tapi masih belum terfikir jalan ceritanya lagi,” ujar Jihan.

Kumpulan Jambu pula pada awalnya merancang untuk mengadakan persembahan komedi muzikal. Namun, terpaksa menukar rancangan mereka memandangkan kumpulan Osama sudah terlebih dahulu memilih konsep itu.

“Kami masih belum ada idea tentang persembahan. Pada awalnya kami nak buat muzikal, tetapi terpaksa fikirkan idea lain kerana kumpulan Osama sudah lebih awal mahukan konsep muzikal,” ujar Taukeh mewakiki Jambu.

Menurut Ketua Eksekutif PICC, Badlishah Ahmad, pihaknya memilih konsep komedi sebagai acara sambutan tahun baru kerana ia adalah pembuka tirai untuk PICC itu menganjurkan acara-acara yang lebih santai sepanjang 2014.

Geng Lawak Bakal Hangatkan PICC


“PICC biasanya dikenali dengan acara-acara lebih serius seperti mesyuarat, konvensyen dan sebagainya. Namun, pada tahun 2014 PICC merancang untuk mengadakan acara berbentuk santai seperti konsert hiburan dan sebagainya. Geng Lawak merupakan pembuka tirai untuk acara seperti itu,” ujar Badlishah.

Selain acara Geng Lawak, sambutan tahun baru dimulakan lebih awal di PICC dengan pelbagai acara menarik yang telah disediakan oleh pihak pengurusan pusat konvensyen itu. Seawal jam 10 pagi pada 31 Disember itu akan berlangsung Bazar@PICC dan akan berlanjutan sehingga 1 Januari 2014. Selain itu, pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan percuma daripada kumpulan Buskers & Clown.

Pada sebelah malam pula, Geng Lawak akan memulakan persembahan sekitar jam 9 malam dan berakhir dengan acara ‘countdown’ tahun baru sekitar jam 11 malam.

Tiket bagi acara Geng Lawak berharga dari RM85 sehingga RM205 dan boleh didapati di www.picc.com.my atau hubungi 0388876000 untuk maklumat lanjut.




Stacy Berkolaborasi Dengan Smash


Stacy Berkolaborasi Dengan Smash

Stacy Berkolaborasi Dengan Smash

Penyanyi yang mendapat jolokan Miley Cyrus Malaysia, Stacy kini tampil berkolaborasi dengan kumpulan Smash dari Indonesia menerusi sebuah single berjudul 'Hello' karya Audi Mok dan liriknya ditulis oleh Inu Numata.

Jika anda pernah mendengar lagu ini, pasti anda bersetuju lagu ini mempunyai kelainan tersendiri. Jadi, tidak hairan mengapa lagu ini mendapat tempat di stesen-stesen radio tempatan.

"Lagu Hello ini merupakan lagu bonus yang dimuatkan dalam album Smash yang berjudul 'Step Forward'. Album Smash kali ini merupakan versi yang berbeza daripada pasaran di Indonesia. Versi ini hanya untuk pasaran Malaysia dan kerana itulah kita tampilkan Stacy untuk berduet dengan Smash," ujar Pengurus Besar Warner Music Malaysia, Darren Choy ketika ditemui di majlis pelancaran album Smash di Bentley Music Auditorium, Mutiara Damansara pada Jumaat petang.

Stacy Berkolaborasi Dengan Smash


Album 'Step Forward' memuatkan 15 buah lagu yang antaranya Pahat Hati, Mencurangi Cinta, Siang Dan Malam (dua versi), You Are, Demi Kalian, Kisah Romantis, Selalu Tentang Kamu, Ku Tau Kau Mau, Refresh & Renew, Dunia Cinta, Rindu Ini, I Heart You, Ada Cinta, Senyum Semangat dan Hello.

Smash biarpun tidak begitu dikenali di Malaysia, namun kumpulan ini merupakan sebuah kumpulan Indo Pop yang telah mencetuskan fenomena 'boy band' dalam industri muzik Indonesia sekitar tahun 2011. Selain itu, Smash juga baru sahaja memenangi International Award MNet MAMA Awards baru-baru ini bagi kategori Best International Artist  2013.


Dato’ Fazley Yaakob Kongsi Resipi Dalam Lagu


Dato’ Fazley Yaakob Kongsi Resipi Dalam Lagu

Dato’ Fazley Yaakob Kongsi Resipi Dalam Lagu

Juara Masterchef Selebriti musim pertama, Dato’ Fazley Yaakob kini muncul dengan single terbaru berjudul ‘Chocolate Cake’. Single yang sudah mendapat tempat di corong radio ini agak unik dan tersendiri kerana ia turut memuatkan resipi Kek Coklat daripada seorang Chef Pastri di kota Paris.

“Mungkin ada yang tertanya-tanya bagaimana saya boleh terfikir untuk meletakkan resipi Kek Coklat dalam lirik single terbaru ini. Sebenarnya idea ini datang daripada seorang Chef Pastri yang saya kenali ketika melanjutkan pelajaran di Le Cordon Blue Paris. Chef terbabit berikan resipi Kek Coklat miliknya kepada saya sebaik sahaja dia mendapat tahu saya ini merupakan seorang penyanyi. 

Dia minta saya lagukan resipi terbabit. Lagu ini sebenarnya mengisahkan tentang percintaan Chef itu dan isterinya. Pada mulanya , saya agak tidak yakin dengan idea ini, tetapi apabila difikirkan beberapa kali, saya rasa ia merupakan sesuatu yang unik dan gaya baru untuk masyarakat Malaysia,” ujar Fazley ketika ditemui pada majlis pelancaran single ini di The Sumbs Café, Shah Alam pada Khamis.

Jelas Fazley lagi, resipi yang disertakan dalam lirik lagunya itu adalah resipi sebenar dan ia boleh dicuba oleh mereka yang berminat.

“Resipi Kek Coklat itu adalah resipi sebenar dan peminat boleh mencubanya sendiri. Saya jamin Kek Coklat yang dimasak pasti menjadi jika ikut sukatan yang diberikan. Itulah keistimewaan single ini,” ujar Fazley lagi.

Dato’ Fazley Yaakob Kongsi Resipi Dalam Lagu


Dalam masa yang sama, Fazley turut menyangkal pendapat segelintir peminat muzik yang menganggap beliau tidak punya  idea apabila muncul dengan single resipi ini.

“Bagi saya ini adalah suatu kelainan. Memang ada peminat yang kata saya tidak ada idea apabila muncul dengan single sebegini. Bagaimanapun, saya tidak setuju. Untuk menghasilkan lagu dan lirik daripada sebuah resipi ini sebenarnya bukan mudah. Saya perlu berfikiran kreatif bagi menghasilkan perkataan-perkataan yang sesuai. Bagi saya, tak salah mencuba sesuatu yang lain daripada yang lain,” ujar Fazley yang bekerjasama dengan Rafik (rafikoncept) dan Imran Ajmain dalam menghasilkan ‘Chocolate Cake’.

Memandangkan lagu ini dihasilkan sewaktu beliau masih berada di Paris, Fazley juga telah mengambil kesempatan untuk memberikan sedikit kelainan dalam menampilkan artis jemputan. Fazley telah memilih seorang bakat baru dari Kota Cinta itu, iaitu Maeva dan secara kebetulan, Maeva merupakan anak kepada seorang Chef Pastri di sana. 

“Maeva saya pilih setelah melakukan satu ujibakat di sana. Oleh kerana lagu ini berkisar tentang kisah cinta di Paris, jadi saya minta Maeva mengalunkan ayat-ayat cinta di dalam bahasa Perancis. Selain itu, saya juga tampilkan Caprice sebagai Rapper,” cerita Fazley.

Peminat yang ingin mencuba resipi Kek Coklat dari Paris, bolehlah mengikut sukatan yang terdapat dalam lirik single ini.

Chocolate Cake 

Kau 
Cantik di mata
Harum bak vanilla 
Halus persis
Creme brule

Masih terasa
Enak dan manisnya
Seumpama souffle

Duduk -duduk di cafe
Nikmat Secawan latte
Teringat kamu yg jauh

Suka suka di cafe
semua pastinya ok
Aku sudah jatuh cinta

Chocolate cake
Chocolate cake
Hanya sesuap coklat di bibir
Terukir aku terfikir fikir

1 cawan tepung naik sendiri
1 cawan gula caster
3 sudu besar cocoa powder nya
3 sudu besar butter
1/3 cawan susu
3 biji telur sahaja

180 celcius
45 minit 





Bella Dally & Nazim Othman Enggan Kongsi Kisah Cinta


Bella Dally & Nazim Othman Enggan Kongsi Kisah Cinta

Bella Dally & Nazim Othman Enggan Kongsi Kisah Cinta

Walaupun mengaku sedang bercinta, namun pasangan pelakon, Nazim Othman dan Bella Dally enggan bersikap terlalu terbuka mengenai hubungan mereka. Ini kerana mereka lebih selesa berbicara tentang kerjaya masing-masing daripada mengembar-gemburkan kisah cinta yang sudah terjalin selama dua tahun.

“Bagi saya kisah cinta itu adalah milik peribadi. Hanya Nazim dan saya saja yang tahu. Biarlah setakat orang tahu kami memang sedang bercinta dan tidak perlu didedahkan selebihnya kepada umum,” ujar Bella mengakui hubungan cintanya dengan Nazim adalah serius.

Namun begitu, pasangan ini tidaklah terlalu berahsia sehingga tidak mahu digandingkan dalam mana-mana produksi. Sebaliknya, Nazim dan Bella sedia berlakon bersama jika skrip atau watak yang diberikan bersesuaian. Terbaru, Nazim dan Bella bergandingan untuk kali ketiga menerusi drama bersiri 'Kalimah Jiwa'.

“Saya tengok dulu drama jenis macamana dan baru fikirkan sama ada mahu atau tidak menerima tawaran terbabit. Saya menerima tawaran berlakon drama bersiri 'Kalimah Jiwa' ini di saat-saat akhir. Agak mencabar buat saya kerana setelah sebulan bercuti, agak susah hendak dapatkan balik momentum,” ujar Bella ketika ditemui di penggambaran drama bersiri tersebut di Bandar Sungai Long Cheras, baru-baru ini.

Bella Dally & Nazim Othman Enggan Kongsi Kisah Cinta


Sementara itu, Nazim yang turut berada di lokasi juga mengulas lanjut tentang gandingan terbaru mereka itu. Jelas Nazim, walaupun bercinta, namun tidak semestinya keserasian di antaranya dengan Bella mudah diperolehi.

“Walaupun bercinta, namun bukan mudah untuk mendapat keserasian ketika digandingkan bersama. Ini kerana ketika berlakon kita diberikan watak yang jauh berbeza daripada personaliti sebenar. Personaliti saya ketika bekerja dan di luar adalah berbeza kerana saya tidak mahu mencampur adukkan kerjaya dan hal peribadi. Jika Bella ada melakukan kesilapan ketika penggambaran, saya akan menegur,” ujar Nazim.

Dalam masa yang sama, Nazim turut menepis dakwaan yang mengatakan dia mengongkong Bella. sebaliknya dia merasa bertanggungjawab bagi memastikan keselamatan Bella memandangkan dia jauh daripada keluarga.

“Saya bukan nak mengawal Bella, tetapi apa-apa yang berkaitan dengan keselamatannya akan dijaga oleh saya. Kadangkala dia terleka dan terlupa. Jadi saya selaku seorang yang lebih berusia daripadanya selalu mengingatkannya. Ini untuk kebaikan dia juga,” ujar jejaka yang bakal mencecah umur 30 tahun pada tahun hadapan ini.

Bella Dally & Nazim Othman Enggan Kongsi Kisah Cinta


Ketika ditanya tentang perancangan kahwin, Nazim memberitahu dia sudah memikirkan perkara itu, namun ingin memberi peluang kepada Bella untuk menerokai hidup dahulu kerana Bella baru saja berusia 22 tahun.

“Hidup memang ada target dan saya juga sering bertanya kepada kawan-kawan yang telah berkahwin tentang alam berumahtangga. Bagaimanapun, saya tahu Bella masih muda dan masih banyak yang perlu ditempuhinya. Saya tidak ingin mengongkong dia,” ujar Nazim mengakhiri perbualan.

5 Filem Hollywood Mesti Tonton di 2014


5 Filem Hollywood Mesti Tonton di 2014

5 Filem Hollywood Mesti Tonton di 2014

Pada Khamis is telah senaraikan lima filem tempatan yang ditunggu-tunggu untuk tontonan tahun hadapan. Kali ini is senaraikan pula lima filem Hollywood yang dijangka pecah panggung pada 2014. Kesemua cerita ini bukanlah sesuatu yang baru kerana ia merupakan sekuel kegemaran ramai. Jom semak!

RoboCop


RoboCop


RoboCop yang bakal ditayangkan pada 2014 merupakan arahan sutradara Jose Padilha. Filem ini dibikin semula berdasarkan filem dengan tajuk yang sama pada tahun 1987. Ditunggu-tunggu oleh peminat siri RoboCop, filem ini dibintangi oleh Joel Kinnaman, Gary Oldman, Michael Keaton, Samuel L. Jackson, Abbie Cornish dan ramai lagi.

Pada mulanya, pengarah filem ‘Black Swan’, Darren Aronofsky menggalas tugas untuk mengarahkan filem ini tetapi selepas beberapa kali ditangguhkan, kerusi pengarah diambil alih oleh Jose Padilha. Pastinya penonton yang pernah menyaksikan versi asal filem ini satu ketika dahulu menantikan bagaimanakah filem ‘remake’ ini dihasilkan.

Captain America: The Winter Soldier


Captain America: The Winter Soldier


Diarahkan oleh Anthony Russo dan Joe Russo, filem ini merupakan sekuel untuk filem Captain America: The First Avenger keluaran tahun 2011. Membariskan pelakon hebat seperti Chris Evans, Scarlett Johansson, Cobie Smulders dan ramai lagi, filem ini turut menampilkan Sebastian Stan dan Anthony Mackie buat pertama kalinya dalam siri filem ini memegang watak sebagai Winter Soldier dan Falcon. 

Transformers 4: Age of Extinction


Transformers 4: Age of Extinction


‘Transformers 4: Age of Extinction’ adalah filem keempat daripada rangkaian francais ‘Transformers’. Jika sebelum ini, tiga siri pertama filem ini dibintangi oleh Shia LaBeouf, untuk filem ini pula, Mark Wahlberg memegang peranan utama. Selain Mark Wahlberg, Nicola Peltz, Jack Reynor and Kelsey Grammer membintangi filem yang berkisar aksi kenderaan yang bertukar menjadi robot ini. Siri ketiga filem ini mendapat kritikan kurang memberangsangkan, jadi peminat setia ‘Transformer’ pasti mengharapkan siri keempat filem ini divisualkan dengan lebih baik.

X Men: Days of Future Past


X Men: Days of Future Past


Diarahkan oleh Bryan Singer, filem ini merupakan filem ketujuh daripada  siri filem ‘X-Men’. Filem ini dibintangi oleh Hugh Jackman, James McAvoy, Michael Fassbender, Jennifer Lawrence, Halle Berry, Anna Paquin dan ramai lagi. Selepas 10 tahun, Bryan kembali menggalas tugas sebagai pengarah filem ini.

Sebelum ini, Bryan pernah mengarahkan dua filem daripada siri ‘X-Men’ iaitu filem ‘X-Men’ pada tahun 2000 dan ‘X2’ yang diterbitkan pada tahun 2003. Filem ini merupakan sekuel kepada filem terbitan tahun 2006, X-Men: The Last Stand and filem tahun 2011, X-Men: First Class. Filem ini juga berkesinambungan daripada filem terbitan tahun 2013, The Wolverine. Semestinya peminat siri filem ‘X-Men’ tidak sabar menantikan filem ini!

The Amazing Spider-Man 2


The Amazing Spider-Man 2


Filem ini merupakan filem sekuel kepada ‘The Amazing Spider-Man’ terbitan tahun 2012. Masih mengekalkan Andrew Garfield dan Emma Stone selaku teraju utama, filem ini sekali lagi mendapat sentuhan daripada sutradara terkemuka Marc Webb. Pastinya peminat siri filem Spider-Man tertunggu-tunggu apakah sambungan cerita yang dipaparkan dalam filem ini. Berlainan dengan filem sebelum ini, filem ini menjalani penggambaran secara sepenuhnya di kota New York. Pihak penerbit filem ini juga telah mengesahkan yang akan ada dua lagi kesinambungan daripada filem ini.


TV9 Perkenal Raudhah Lin Nisa'


TV9 Perkenal Raudhah Lin Nisa'

TV9 Perkenal Raudhah Lin Nisa'

TV9 yang terkenal dengan rangkaian rancangan dan program berbentuk keagamaan dan kerohanian iaitu 'Raudhah' akan memperkenalkan satu jenama baru yang menghimpunkan program-program hiburan berbentuk ilmiah yang dikhaskan untuk golongan wanita pada tahun 2014 iaitu 'Raudhah Lin Nisa'. 

Antara program yang akan berada di bawah penjenamaan 'Raudhah Lin Nisa' adalah 'Tanyalah Ustazah', 'Hijab Stailista', 'SIS', 'Shoutul Quran' dan 'Safiyya'.

Bermula 3 Januari 2014, program 'Shoutul Quran' akan bersiaran pada setiap Jumaat, jam 11.00 pagi. Program baru ini akan mengetengahkan proses pengajian Al-Quran kepada penonton untuk mengalunkan surah-surah lazim dengan penggunaan tajwid yang betul, alunan taranum yang merdu dan diakhiri dengan qasidah. Menampilkan Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd Badiuzaman sebagai pengajar, penyanyi Siti Nordiana dan Salima Habibi akan tampil sebagai pelajar untuk memperbaiki lagi bacaan Al-Quran mereka.

Seterusnya, program 'Tanyalah Ustazah' yang memang sudah menjadi pilihan penonton TV9 akan menampilkan seorang ustazah berpengalaman dan akan bersiaran secara langsung. Penonton di studio dan di rumah boleh berinteraksi dengan ustazah jemputan mengenai topik-topik tertentu yang diberikan dalam setiap episod. Program ini akan bersiaran setiap Jumaat, jam 11.30 pagi.

Program 'Semangat Intelek Swadaya' atau 'SIS' yang sebelum ini menampilkan Anne Ngasri dan Shabana akan bersiaran dengan dua orang pengacara baru, Heliza Helmi dan Emy Ramli. Mereka akan bergandingan dengan pengacara sedia ada, Diana Amir. Mereka bertiga akan membincangkan topik-topik yang lebih meluas, bukan sahaja mengenai masalah kaum wanita, tetapi 'SIS' akan mencakupi topik-topik yang membabitkan isu semasa dan isu global. 'SIS' akan bersiaran setiap Jumaat jam 7.00 malam.

Program 'Hijab Stailista' yang akan bersiaran setiap Jumaat, jam 7.30 malam pula akan mengekalkan pengacaranya, Ameera Zaini. Kali ini, Ameera akan membawa penonton meneroka lebih jauh untuk menjelajahi kota fesyen seperti Tokyo, Milan, Melbourne dan banyak lagi untuk mengetengahkan cara pemakaian hijab muslimah di serata dunia yang lebih unik dan moden.

Akhir sekali, program 'Safiyya' yang akan bermula pada 5 Januari 2014 pada setiap Ahad, jam 11.00 pagi akan menampilkan pengacara baru yang dicungkil bakatnya melalui program pencarian hos 'Raudhah' iaitu Yusma Nabila Yunus atau Bella. Bella akan membawa penonton rancangan ini meneroka topik-topik yang berkenaan dengan isu semasa serata Malaysia yang bersesuaian dengan semua gadis di luar sana.

5 Filem Melayu Paling Ditunggu Di 2014


5 Filem Melayu Paling Ditunggu Di 2014


Tahun 2013 menyaksikan filem-filem tempatan agak kurang mendapat sambutan di pawagam. Malah, filem KL Gangster 2 tidak berjaya mengutip jualan seperti yang diraih KL Gangster pada tahun 2011.

Selain berhadapan dengan masalah cetak rompak, kemerosotan penonton Melayu juga dipercayai kerana penonton mula hilang kepercayaan kepada filem-filem Melayu.

is harapkan industi perfileman tempatan akan kembali rancak pada tahun 2014. Berikut is senaraikan lima filem Melayu yang paling ditunggu-tunggu di 2014. 

Balistik


Balistik


Filem ini membariskan pelakon ternama seperti Datuk  Rosyam Nor, Rita Rudaini, Adi Putra, Syamsul Yusof dan ramai lagi. Ramai yang ternantikan filem ini selepas melihatkan aksi Rosyam dalam filem ‘KL Gangster 2’ yang memberikan impak kepada penonton dan ramai juga yang kagum dengan kebolehan Rosyam dalam melakonkan aksi lasak walaupun umurnya telah memasuki usia 46 tahun. Bakal menemui khalayak umum pada 9 Januari 2014 nanti, filem arahan Silver Chung ini menjanjikan babak penuh aksi dan bakal memacu adrenalin penonton!

Kami Histeria




Bakal menemui penonton pada 6 Februari 2014, filem ini membariskan nama-nama besar seperti Diana Danielle, Sara Ali, Izzue Islam, Nad Zainal, Mila Jirin, Nur Fazura, Afdlin Shauki dan ramai lagi. Filem arahan Shamyl Othman ini mengisahkan mengenai sekumpulan gadis yang menubuhkan band mendapatkan bantuan langsuir untuk meraih populariti. Pastinya penggemar filem hasil terbitan Red Films tidak sabar untuk menantikan ‘Kami Histeria’ kerana sebelum ini Red Films tidak pernah gagal dalam menghasilkan filem berkualiti tinggi seperti ‘Gol & Gincu’, ‘Istanbul Aku Datang’, ‘Pisau Cukur’ dan banyak lagi.

Hanyut


Hanyut



Tarikh tayangannya masih belum lagi disahkan, tetapi filem ini dijangka akan ditayangkan pada awal tahun 2014. Karya hebat daripada sutradara ternama U-Wei Haji Saari ini dibintangi oleh Diana Danielle, Adi Putra, Sofia Jane, Khalid Salleh, Alex Komang dan ramai lagi ini diadaptasikan daripada novel ‘Almayer’s Folly’ yang diterbitkan pada tahun 1895. ‘Hanyut’ mendapat respon positif ketika ditayangkan pada Festival Filem Asia Jogja – NETPAC yang berlangsung di Yogjakarta, Indonesia 29 November lalu. Ini membuatkan penggemar filem tempatan tidak sabar untuk menyaksikan ‘Hanyut’.

Manisnya Cinta di Cappadocia


Manisnya Cinta di Cappadocia


Filem ini merupakan filem adaptasi novel berjudul ‘Manisnya CInta’ hasil nukilan Anis Ayuni. Dibintangi oleh Nur Fazura, Shaheizy Sam, Lisa Surihani, Eja, Faizal Hussein dan ramai lagi, filem ini masih belum mempunyai sebarang tarikh spesifik untuk tayangan, namun dijangka akan menjengah pawagam pada tahun 2014. Selepas drama bersiri ‘Kisah Cinta’ yang berjaya menampilkan keserasian antara Fazura dan Sam, peminat mereka semestinya tidak sabar untuk menunggu tarikh tayangan filem ini.

Apokalips X


Apokalips X


Khabarnya filem ini bakal ditayangkan pada tahun 2013, namun sehingga penghujung tahun, belum ada suatu tarikh yang betul-betul pasti bila filem ini bakal ditayangkan. Namun begitu, GUA mendapat tahu filem arahan Mamat Khalid ini bakal ditayangkan pada tahun 2014. Sama-sama nantikan filem lakonan Farid Kamil, Jehan Miskin, Peter Davis, Zoee Tan, Vassan, Adam AF, Iqram Dinzly, Pekin Ibrahim, Miera Leyana, Dazrin Kamarudin dan ramai lagi. Walaupun kedengaran khabar angin mengatakan bahawa filem ini lambat ditayangkan kerana pengarahnya yang menghadapi masalah ekonomi, ramai penonton tidak sabar menanti buah tangan Mamat Khalid yang satu ini.

Johan As’ari Tinggalkan Lana Demi Keluarga


Johan As’ari Tinggalkan Lana Demi Keluarga

Johan As’ari Tinggalkan Lana Demi Keluarga

Percintaan Johan As’ari dan Lana Nordin akhirnya terlerai jua biarpun masih terlalu baru. Perpisahan itu diumumkan oleh Johan sendiri menerusi akhbar Berita Harian pada Rabu. Jelas pelakon kesayangan ramai itu, dia berpisah dengan Lana pada 24 Disember kerana terpaksa melepaskan Lana lantaran keluarganya tidak dapat menerima pelakon wanita itu.

“Saya sebenarnya berat mahu melepaskan Lana. Tapi saya tidak mahu menyeksanya. Lebih baik, kami berpisah daripada saya terus menyeksa hati dan perasaan Lana. Keadaan saya cukup tersepit, umpama diluah mati mak, ditelan mati bapa,” luah Johan kepada Berita Harian.

Jelas Johan As'ari lagi, walaupun dia sayangkan Lana Nordin, dia terpaksa memilih keluarganya berbanding wanita itu. 

Perpisahan Johan dan Lana ini bagaimanapun tidak memeranjat kerana sejak awal lagi ramai yang kurang yakin dengan percintaan segera kedua-dua pelakon ini. Lebih-lebih lagi, desas-desus mengatakan ibu Johan tidak merestui percintaan mereka. Perpisahan ini bukti desas-desus selama ini adalah benar.

Sementara itu, Lana dalam satu kenyataan memberitahu dia tetap akan berubah ke arah kebaikan kerana niatnya untuk berubah timbul sebelum mengenali Johan lagi. Tegas Lana, perpisahan dengan Johan bukan penghalang untuknya berubah.

Nabila Huda Enggan Kongsi Kisah Cinta


Nabila Huda Enggan Kongsi Kisah Cinta

Nabila Huda Enggan Kongsi Kisah Cinta

Jika sebelum ini pelakon Nabila Huda bersikap terbuka apabila membicarakan soal cinta, kini wanita yang selesa dengan panggilan Abil ini punya pendirian berbeza. Abil enggan lagi berkongsi tentang kisah cintanya. Mengapa?

"Sebelum ini, saya berkongsi mengenai banyak perkara yang terjadi dalam hidup saya. Namun begitu, ada orang ambil kesempatan terhadap perkara tersebut. Jadi sekarang saya mahu jadi seorang yang perahsia. Ada perkara yang boleh saya kongsikan, ada perkara yang harus saya simpan," jelas Abil ketika disoal mengenai khabar angin yang mengatakan dia sudah mempunyai cinta hati baru.

Bagaimanapun, Abil memberitahu dia tetap akan berkongsi apabila hubungan cintanya menuju ke arah lebih serius.

"Namun begitu, apabila hubungan tersebut menuju ke arah yang lebih serius, saya akan beritahu kepada semua. Buat masa ini, biar ianya datang secara natural. Kini saya enggan lagi bercerita soal cinta, saya tak mahu cerita mengenai cinta boleh mengkaburi perjalanan karier saya. Saya bahagia sekarang dan saya di kelilingi dengan orang yang menyayangi saya," ujar anak kepada penyanyi rock Amy Search ini.

Nabila Huda Enggan Kongsi Kisah Cinta


Dalam perkembangan terbaru, Abil baru sahaja selesai menjalani penggambaran untuk empat episod 'Saloma Biopik' arahan Melissa Saila yang bakal bersiaran di Astro tahun hadapan. Selain itu, Abil juga bakal muncul menerusi drama bersiri 'Ariana Rose' bermula 30 Disember ini, jam 7.00 malam di TV3.

"Saya memegang watak sebagai Liyana, adik kepada Ramzul lakonan Arja Lee. Watak ini watak antagonis. Namun begitu, saya membawakan watak Liyana secara berbeza agar ianya tidak sama dengan watak-watak antagonis yang pernah saya bawakan sebelum ini," ujar Abil.

"Liyana merupakan seorang wanita yang berkarakter 'adik abang' dan dia selalu bergantung kepada abangnya. Mereka berdua sama-sama bersikap antagonis, namun begitu pada akhirnya, Liyana akan mengkhianati abangnya sendiri," tutur Abil mengakhiri perbualan.


Nur Fathia - "Doakan Saya Dan Aiman Ada Jodoh"


Nur Fathia - "Doakan Saya Dan Aiman Ada Jodoh"

Nur Fathia - "Doakan Saya Dan Aiman Ada Jodoh"

Pelakon tinggi lampai, Nur Fathia kini sedang dikatakan mempunyai hubungan istimewa bersama aktor Aiman Hakim Ridza. Namun begitu, setiap kali diajukan soalan mengenai hubungan mereka, Aiman mahu pun Fathia enggan berbicara lebih lanjut.Bahkan, mereka juga enggan mengklasifikasikan hubungan mereka sebagai cinta. Sebaliknya, mengakui sedang berkawan rapat.

Bertemu dengan Fathia di Majlis Ramah Mesra Drama 'Ariana Rose' di Sri Pentas, Damansara pada Selasa, Fathia memberi penjelasan lanjut mengenai perkara ini.

"Selagi tiada jodoh, selagi itu saya tidak akan beritahu status hubungan kami. Secara umumnya, Aiman ada ciri-ciri calon suami idaman semua wanita. Dia bersikap realistik dan bijak walaupu masih muda. Apapun, saya harap semua orang boleh mendoakan kami ada jodoh," jelas gadis yang masih lagi menuntut dalam bidang perundangan di Universiti Teknologi Mara Shah Alam ini.

Dalam pada itu, Fathia juga menjawab desas desus yang mengatakan dia menjalinkan hubungan dengan seorang jejaka berstatus kerabat.

"Perkara itu tidak benar sama sekali. Saya tidak pernah mempunyai hubungan dengan mana-mana jejaka berstatus kerabat. Saya pun tidak tahu macamana cerita ini boleh timbul," jelas Fathia.

Nur Fathia - "Doakan Saya Dan Aiman Ada Jodoh"


Sedia Dikecam

Membawakan watak sebagai Ariana untuk drama bersiri 'Ariana Rose' yang diadaptasikan daripada novel 'The Wedding Breaker', Fathia menjelaskan yang dia sudah bersedia untuk menerima kritikan dan kecaman apabila dia menggalas tanggungjawab untuk melakonkan watak tersebut.

"Umum tahu, sesebuah novel mempunyai golongan peminat mereka sendiri. Saya sendiri membaca novel ini untuk menghayati watak Ariana. Saya sudah bersedia jika lakonan saya dikritik dan dikecam kerana saya tidak boleh puaskan hati semua pihak. Namun begitu saya berusaha untuk memberikan yang terbaik dalam membawakan watak ini," ujar Fathia.

Tambah Fathia lagi, dia berharap agar peminat novel 'The Wedding Breaker' dapat memahami situasi adaptasi daripada novel ke drama yang tidak boleh direalisasikan secara 100 peratus.

"Kadang-kadang, jika saya kurang pasti dengan sesebuah adegan, saya sendiri menghubungi penulis novel tersebut, Evelyn Rose untuk bertanyakan lebih lanjut mengenai adegan tersebut. Peminat novel tersebut memang mahu saya buat yang terbaik, jadi saya memang tidak boleh main-main dalam drama ini," jelas Fathia lagi.


Amyra Rosli Yakin Dengan Dazrin


Amyra Rosli Yakin Dengan Dazrin 

Amyra Rosli Yakin Dengan Dazrin

Pelakon Amyra Rosli, 22, memberitahu dia dan tunangannya yang juga merupakan seorang pelakon, Dazrin Kamaruddin, 25, merancang untuk berkahwin untuk tempoh dua tahun lagi.

Jelas Amyra, walaupun dia masih muda, tetapi dia yakin umur bukanlah penghalang untuk dia mendirikan rumah tangga. Paling penting dia sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri. 

“Berkahwin ini bukanlah perkara mudah, namun saya menjadi yakin apabila melihat pendirian Dazrin yang bukan sahaja menerima saya tetapi seluruh ahli keluarga saya. Malah Dazrin juga tidak meletakkan syarat terhadap kerjaya lakonan saya dan juga tempoh pertunangan kami,” ujar Amyra ketika ditemui di lokasi penggambaran drama bersiri Kalimah Jiwa di Bandar Sungai Long Cheras, Kajang, baru-baru ini.

Mengakui setiap hubungan pasti ada pasang surutnya, Amyra mengakui seperti pasangan lain, dia dan Dazrin juga tidak terkecuali dilanda dugaan. Namun, kongsi Amyra dia dan Dazrin sering berbincang terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

Amyra Rosli Yakin Dengan Dazrin


“Kami jarang berjumpa dan kadang-kadang langsung tidak berjumpa jika masing-masing sibuk dengan penggambaran. Kalau berjumpa pun, kami bertiga dengan mama yang sering bersama dengan saya," ujar Amyra yang mendedahkan dia Dazrin masih belum membuat sebarang persiapan kahwin.

Ditanya sama ada dia mahu atau tidak bergandingan dengan Dazrin di kaca televisyen, Amyra memberitahu dia tidak menolak sekiranya diberikan peluang itu. Bagimanapun, dia akan meneliti dahulu jalan cerita serta skrip sebelum membuat keputusan. 

“Saya tak merasa kekok sekiranya digandingkan dengan Dazrin, malah merasa gembira kerana berkesempatan untuk berlakon bersama tunang sendiri. Secara tak langsung, dapat juga kami meluangkan masa bersama,” ujar Amyra yang mula mengenali Dazrin ketika sama-sama membintangi drama bersiri 'Jodoh'.

Cinderella Undang Air Mata


Cinderella Undang Air Mata

Cinderella Undang Air Mata

Filem arahan Ahmad Idham, Cinderella, kini sedang ditayangkan di pawagam di seluruh negara. Untuk makluman, filem ini diadaptasi daripada drama bersiri Cinderella yang mencetuskan fenomena sekitar tahun 1998. Ketika itu, Ahmad Idham dan Haliza Misbun menggalas watak hero dan heroin.

Atas populariti drama bersiri itu, Ahmad Idham berani mengambil risiko tampil dengan naskah filem. Bagaimanapun, jalan cerita yang ditampilkan agak berbeza kerana mahu disesuaikan dengan latar masa ketika ini, sekaligus mahu menarik generasi muda ke pawagam. 

Melihat maklum  balas peminat-peminat Fizo Omar dan Nelydia Senrose di laman Twitter, rata-rata ramai yang berpuas hati dan memuji-muji filem ini. Malah, ramai juga yang  berkempen supaya peminat filem Melayu lain menonton filem ini.

Cinderella Undang Air Mata


Jadi, bagi yang belum lagi menyaksikan Cinderella di pawagam, pasti anda mahu ulasan yang tidak berat sebelah bukan? Bagi GUA, buah tangan terbaru Excellent Pictures ini menampilkan sebuah jalan cerita yang mudah untuk difahami dan boleh dijadikan pengajaran kepada golongan muda-mudi ketika ini. Namun, ada juga kekurangannya kerana kisah yang dipaparkan klise!

Kisah cinta sebegini sudah terlalu banyak ditampilkan. Bukan hanya di layar perak, tetapi juga di kaca televisyen. Tetapi jika difikir-fikirkan, itulah realiti kehidupan ketika ini.  GUA berpendapat, tindakan Salman bersetuju berkahwin dengan Nurul mungkin dirasakan tidak releven oleh penonton masa kini. Ini kerana agak susah mencari lelaki yang sudi berkahwin dengan seorang wanita yang tidak dikenalinya. Tapi, ia tidak mustahil bukan? Masa dan keadaan boleh memungkinkan segalanya.

Tentang gandingan Fizo dan Nelydia pula, GUA lihat kedua-dua pelakon ini selesa bersama. Tidak teragak-agak ataupun kekok. Masing-masing tahu cara mengheret penonton untuk bersimpati dengan situasi mereka. Sebab itu GUA tidak hairan apabila ramai penonton yang berderai air mata. Maklumlah rasa sedih dan simpati menguasai diri.

Cinderella Undang Air Mata


Selain itu, GUA juga suka dengan kemunculan orang gaji Salman yang dijayakan oleh Fauziah Nawi. Biarpun dia hanya pelakon pembantu, tetapi kehadirannya sangat membantu menghangatkan jalan cerita. Malah, dia juga mengundang tawa penonton. Kalau dia tiada, rasanya Cinderella kurang rencahnya.

Bagi GUA, kekuatan Cinderella bukanlah pada jalan ceritanya, tetapi populariti hero dan heroin. Persoalannya, bolehkah filem ini mengutip jualan pecah panggung seperti yang diharapkan oleh pihak produksi. Lebih-lebih lagi ia perlu bersaing dengan beberapa filem hebat Hollywood yang seperti The Hobbit : The Desolation Of Smaug, Walking With Dinosaurs, dan 47 Ronin.  

Cinderella mengisahkan tentang Nurul, gadis kampung berusia 22 tahun, tinggal bersama ibu tirinya, Ainon serta adik tirinya, Farah dan abang tirinya, Zamil. Di kampung, keluarga tiri Nurul melayan Nurul seperti orang gaji. Tiada langsung rasa belas kasihan.

Mereka terpaksa membenarkan Nurul tinggal di situ kerana terpaksa dan juga kerana menunjukkan kepada orang-orang kampung kemuliaan hati mereka membela seorang gadis yatim piatu.

Cinderella Undang Air Mata


Pada masa yang sama, Zamil pula teruja dengan keayuan adik tirinya dan menunggu masa yang sesuai saja untuk mencabul Nurul. Suatu malam,  Zamil  Berjaya mendapat peluang. Dia bertindak ganas dan cuba merogol adik tirinya itu. Namun, Nurul Berjaya melepaskan dan lari ke luar rumah untuk menyembunyikan diri sehingga ke khemah penginapan Salman, anak seorang tokoh korporat terkemuka.

Tiba-tiba Mereka berdua diserbu oleh ketua kampung, tok imam dan beberapa orang kampung. Salman dan Nurul diberi dua pilihan – di bawa ke balai polis dan didakwa di Mahkamah Syariah atau berkahwin dan tidak kembali lagi ke kampung tersebut. Bagi menjaga namanya,Salman bersetuju dengan pilihan kedua.

Filem : Cinderella


Dibintangi oleh : Fizo Omar (Salman), Nelydia Senrose (Nurul), Kamal Adli (Ray), Fauziah Nawi (Mak Jah), Datuk Jalaludin Hassan (Datuk Mokhtar), Azizah Mahzan (Ainon), Azlan Komeng (Zamil), Erin Malek (Farah), Dayangku Faratiwan (Sheila), Sahrol Nizam (doktor)

Genre : Romantik Drama

Info : Ahmad Idham mengakui dia tidak begitu mengenali Fizo Omar pada mulanya. Tetapi selepas berkerjasama dengan pelakon ini, dia yakin Fizo memang sangat sesuai menggalas watak Salman, seorang lelaki yang leka dengan kehidupan dunia.
Rating : 3 / 5





Zahiril Azim Berubah Kerana Status


Zahiril Azim Berubah Kerana Status

Zahiril Azim Berubah Kerana Status

Zahiril Adzim mengakui kehidupannya banyak berubah sejak kehadiran cahaya mata sulung yang diberi nama Nadi Anaqi. Mengakui masa tidurnya semakin berkurangan, namun Zahiril bersyukur kerana mendapat isteri yang begitu bertanggungjawab seperti Shera.

“Saya beruntung kerana mendapat Shera sebagai isteri. Dia lebih banyak memainkan peranan menjaga anak kami. Shera berjaga di tengah malam dan bangun pada awal pagi. Shera jug menyusukan anak kami dan dia banyak membaca perihal bayi serta berkongsi dengan saya,” ujar Zahiril ketika ditemui di majlis sidang media drama bersiri Aku Ada Wali di Korean Plaza, di sini, baru-baru ini.

Zahiril turut berkongsi yang setakat ini Shera menjaga anak mereka yang baru berusia enam bulan itu sendiri kerana masih belum yakin atau percaya untuk mengambil pembantu rumah bagi menjaga Nadi.

Zahiril Azim Berubah Kerana Status


“Setakat ini kami bergilir-gilir menjaga anak kerana belum percaya lagi untuk mengambil pembantu rumah bagi menjaga anak kami. Macam-macam cerita yang kita dengar yang membuatkan kami tak berani bagi orang lain jaga anak, namun kami belum buat keputusan bagaimana lagi kerana anak masih kecil,” ujar Zahiril lagi.

Dalam masa yang sama, Zahiril memberitahu, sejak diijabkabulkan pada tanggal 20 November 2011, dia merasakan hidupnya jauh berubah terutamanya sejak bergelar bapa. Dia semakin kurang melepak kerana merasakan masa tersebut lebih selesa diluangkan bersama keluarga.

Malah bagi Zahiril, secara tidak langsung hidupnya menjadi lebih teratur dan tersusun. Jika dahulu wang hasil pencarian pasti ke tahu ke mana dibelanjakan, namun kini Zahiril memastikan yang duit hasil titik peluhnya disalurkan kepada anak dan isteri.


Encik Mimpi Nafi Tiru Bandi Amuk


Encik Mimpi Nafi Tiru Bandi Amuk

Encik Mimpi Nafi Tiru Bandi Amuk

Berselindung di sebalik topeng putih, pendatang baru yang ingin dikenali sebagai Encik Mimpi enggan mendedahkan identiti sebenarnya kepada masyarakat.

Katanya yang bermula sebagai penulis blog dan penyanyi parodi dengan nama yang sama, imej bertopeng dipilih untuk mengekalkan identiti Encik Mimpi yang dikenali di alam siber sebagai seorang yang misteri.

"Saya dah mula menulis blog sejak tahun 2009 dan saya bercerita tentang pengalaman saya belajar di luar negara. Tapi saya tak pernah mendedahkan siapa saya sebenarnya. Apabila berpeluang menceburi industri muzik, saya mahu meneruskan identiti Encik Mimpi seperti di dalam blog," ujarnya ketika ditemui di majlis pelancaran single pertamanya 'Rindukanlah' yang turut menjadi runut bunyi drama 'Playboy Itu Suami Aku' yang sedang ditayangkan di slot akasia TV3.

Tambah Encik Mimpi yang mempunyai pengikut yang ramai di laman sosial, dia telah meminta pendapat pengikutnya terlebih dahulu sebelum dia berjinak-jinak dalam industri hiburan sama ada untuk mendedahkan siapa dirinya sebenar atau teruskan imej bertopeng.

Encik Mimpi Nafi Tiru Bandi Amuk


"Ramai yang menyarankan saya untuk mengekalkan identiti Encik Mimpi. Bagi yang baru mengenali saya, saya anggap saya memberi imej baru dalam industri kerana tak ramai penyanyi yang bertopeng di Malaysia ini," jelas Encik Mimpi menafikan dia meniru imej penyanyi rock Bandi Amuk.

"Mungkin ada yang tidak gemar dengan imej saya dan menganggap saya meniru Bandi Amuk. Sebagai manusia biasa, saya tak dapat elak daripada dicemuh dan dilemparkan komen negatif. Tapi saya akan jadikan ia semangat untuk memperbaiki diri," jelasnya.

Sudah menulis lebih dari 20 buah lagu, jejaka berusia 25 tahun ini belum merancang untuk fokus dalam bidang muzik dan meninggalkan kerjayanya dalam bidang teknologi maklumat.

"Untuk jangka masa panjang, saya belum lagi terfikir untuk menumpukan sepenuh perhatian dalam bidang muzik. Bagi saya, saya terima apa jua rezeki yang datang. Buat masa ini, menyanyi merupakan kerjaya sampingan saya," ujar Encik Mimpi berkongsi rakan sekerjanya tidak mengetahui bahawa dia kini seorang penyanyi.





Pengarah Tokan Mengaku Buat Silap



Pengarah Tokan Mengaku Buat Silap

Pengarah Tokan Mengaku Buat Silap

Filem yang berkisar tentang realiti disebalik isu pengedaran dadah di Malaysia, Tokan, dilihat berjaya memaparkan sisi gelap industri itu menerusi sinematografi dan karakter setiap watak.

Namun pengarah, Ghaz Abu Bakar, masih tidak berpuas hati dengan hasil karyanya.

"Tak ada pengarah yang akan berpuas hati dengan hasil kerjanya. Saya tak terkecuali. Jika diberi masa penggambaran yang lebih panjang, mungkin saya boleh buat lebih baik. Saya nampak kesilapan saya dan saya belajar daripada kesilapan saya," ujar Ghaz usai majlis pra-tonton filem Tokan, baru-baru ini.

Jelas Ghaz, kebiasaannya filem aksi mengambil masa 45 hari untuk proses penggambaran. Namun, penggambaran Tokan hanya berjalan selama 28 hari bertempat di sekitar Melaka dan Kuala Lumpur.

"Saya faham industri perfileman negara dan kami dah cuba menjalankan penggambaran menggunakan bajet yang diberikan. Apabila dah tahu masa dan bajet terhad, apa yang saya boleh harapkan adalah elemen-elemen yang pelakon boleh beri. Pelakon yang hebat menjadikan kerja lebih senang," jelas Ghaz.

Menampilkan pelakon-pelakon seperti Zizan Razak, Soffi Jikan, Pekin Ibrahim, Johan As'ari dan Liyana Jasmay, bagi Ghaz, pelakon-pelakon ini berjaya menghidupkan watak masing-masing.

Zizan yang selama ini sering melakonkan filem komedi, pertama kali membawa watak lebih serius dalam Tokan.

Pengarah Tokan Mengaku Buat Silap


"Saya bersyukur jika penonton dapat melihat watak saya yang serius. Walaupun watak saya serius, namun saya selitkan juga komedi yang tak keterlaluan kerana watak serius itu adalah kehendak skrip dan lawak yang saya sampaikan adalah diri saya sendiri," jelas Zizan.

Bagi Johan pula, membawa watak pembunuh upahan merupakan pengalaman baru sepanjang kerjaya lakonannya.

"Ini pertama kali saya jadi pembunuh upahan. Saya rasa berbesar hati dapat berkerjasama dengan pengarah yang hebat dan menimba pengalaman baru," kata Johan.

Tokan diterbitkan oleh Pencil Pictures & Records Sdn Bhd dan diedarkan oleh Metrowealth Sdn Bhd. Filem bergenre aksi ini bakal menemui penonton seluruh Malaysia mulai 26 Disember ini.


Aaron Aziz Syukur Isteri Kini Berhijab


Aaron Aziz Syukur Isteri Kini Berhijab

Aaron Aziz Syukur Isteri Kini Berhijab

Aktor terkenal Aaron Aziz melahirkan rasa bersyukur apabila isterinya, Diana Halik kini melalui satu fasa baru dalam kehidupannya apabila tampil dengan imej berhijab. Menurut pelakon drama ‘Nora Elena’ ini, dia sendiri tidak menyangka isterinya itu akan berhijrah namun mengakui sangat gembira kerana impiannya untuk melihat isteri tercinta memakai hijab kini termakbul.

“Saya pernah menyuarakan hasrat saya untuk melihat dia memakai tudung sejak pulang mengerjakan umrah dua tahun lalu, namun, saya tidak memaksanya kerana bagi saya biarlah hati dia terbuka sendiri untuk berubah kerana Allah dan bukannya kerana saya.

Sebagai suami saya cuba bagi peringatan secara lembut dan penuh kasih sayang. Kami sentiasa ingatkan diri masing-masing dan saya tidak pernah memaksa dia untuk bertudung. Ini kerana jika pakai tudung kerana suami paksa dah jadi satu perkara yang tak betul. Tapi sekarang Allah dah buka pintu hati dia, jadi Alhamdulillah, ringan sikit dosa saya,” ujar Aaron mengulas mengenai imej baru isterinya yang tampil bertudung ketika majlis pelancaran telefilem 'Oh My English-Hello America!' di Hotel Hilton Kuala Lumpur, pagi Isnin. 

“Tidak dinafikan pada mulanya saya pelik juga sebab biasanya orang balik Umrah pakai tudung tapi Diana bertudung selepas kami balik dari bercuti di Hong Kong pagi tadi (Isnin). Namun, Alhamdulillah ini menunjukkan Allah boleh buka hati manusia pada bila-bila masa dan di mana saja," ujar Aaron berharap agar peminat sama-sama mendoakan perubahan isterinya itu. 

“Bukan semua orang sukakan kita dan sudah menjadi lumrah orang akan cuba mencari kesilapan serta mengutuk kita. Kita buat baik macam mana pun orang akan tetap bercakap malah saya sendiri selalu difitnah. Jadi, berilah Diana masa untuk dia berubah sedikit demi sedikit dan sama-samalah kita mendoakan dia,” pinta pelakon ‘Adam dan Hawa’ ini lagi.

Aaron Aziz Syukur Isteri Kini Berhijab


Aaron turut memberitahu penghijrahan isterinya itu juga sebagai penanda aras untuk anak-anaknya melakukan perkara yang sama dan berharap dapat mendidik mereka ke arah kebaikan. Diana yang berada di sisi Aaron turut berkongsi mengenai sebab dia mengambil keputusan untuk melakukan penghijrahan.

“Sebelum ini Aaron ada juga suruh saya pakai tudung tapi mungkin waktu itu pintu hati saya belum terbuka lagi. Saya memang sentiasa nak pakai tudung lebih-lebih lagi selepas dua kali mengerjakan Umrah. Apabila Aaron menyuarakan hasrat untuk pergi mengerjakan Umrah sekali lagi, saya cakap dengan diri sendiri, saya segan dan malu nak pergi balik sebab saya masih tak bertudung. 

Namun, kebelakangan ini Aaron suka tunjuk video tanda-tanda kiamat kepada saya dan bila dalam penerbangan pulang dari Hong Kong malam tadi, saya teringat kembali video kiamat itu. Kebetulan ada selendang tepi saya dan saya pakainya sehingga sampai ke rumah. Dari situ, saya terus nekad memakai tudung, bagaimanapun saya masih belajar untuk berubah secara perlahan-lahan,” tutur Diana yang tampil mengenakan selendang hitam pada hari pertamanya berhijab.


Zara Zya Enggan Diamkan Diri, Tak Mahu Dilupakan


Zara Zya Enggan Diamkan Diri, Tak Mahu Dilupakan

Zara Zya Enggan Diamkan Diri, Tak Mahu Dilupakan

Mula dikenali menerusi drama bersiri adaptasi novel tulisan Aliesha Kirana, 'Love You Mr. Arrrogant'(LYMA), nama Zara Zya mula meniti bibir peminat. Biarpun drama tersebut sudah pun tamat dua bulan yang lalu, impak drama itu masih kuat dan diperkatakan sehingga kini.

Walaupun tanpa sebarang produk baru yang menghiasi kaca televisyen buat masa ini, Zara seringkali diundang untuk mengadakan sesi fotografi bersama majalah dan akhbar tempatan. GUA bertanyakan Zara mengenai publisiti berterusan yang dia kecapi walaupun tanpa sebarang produk baru.

"Sebenarnya, saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran telemovie untuk siaran TV9, 'Bila Joyah Goyah' bersama Jasmin Hamid, Kazar Saisi, Dottie dan ramai lagi. Tetapi telemovie tersebut belum lagi ditayangkan. Mengenai publisti yang saya terima selepas LYMA, saya rasa gembira dengan perkara tersebut. Saya rasa dihargai dan orang lain boleh menerima saya melalui cerita tersebut. Jadi saya berterima kasih kepada semua tenaga produksi drama LYMA," ujar gadis kelahiran Perak ini.

"Walau bagaimanapun, saya tak nak orang hanya mengingati saya daripada satu produk sahaja. Saya tak mahu berdiam lama sangat, takut orang lupa. Jadi, jika saya keluar dengan produk lain selepas ini, saya mahu orang ingat saya melalui cerita yang seterusnya pula. Tapi buat masa sekarang, saya ingin berehat sebentar sebelum membawakan karakter lain," tutur Zara lagi.

Ujar gadis genit itu, buat masa sekarang, dia hanya fokus kepada undangan fotografi, menghadiri majlis serta acara hiburan dan akan bercuti bersama keluarga sebelum memulakan kembali kepada aktiviti seninya pada Januari hadapan. Jelas Zara, sudah ada beberapa tawaran drama untuknya tetapi semuanya masih dalam proses perbincangan.

Bantu Mangsa Banjir

Dalam perkembangan lain, pelakon ini juga melibatkan diri dengan kerja-kerja amal bagi membantu mereka yang memerlukan. Pada Ahad, Zara bersama kelab peminatnya,'Love Zara Zya FC' (LZZFC) sempat meluangkan masa membeli-belah barang-barang keperluan untuk mangsa-mangsa banjir yang melanda beberapa tempat di negara ini. 

"Ini acara pertama yang dianjurkan oleh LZZFC. Sesetengah tempat di negara kita dilanda banjir, jadi saya sendiri rasa ingin memberikan sumbangan. Lagipun, saya kini sudah ada kelab peminat, jadi saya keluar bersama-sama dengan mereka. Selain beramal dan membantu golongan yang memerlukan, saya boleh mengeratkan lagi hubungan dengan peminat-peminat yang sentiasa memberi sokongan," tutur pelakon drama bersiri 'Puteri Malam' ini.

Zara Zya Enggan Diamkan Diri, Tak Mahu Dilupakan



Zara Zya Enggan Diamkan Diri, Tak Mahu Dilupakan

"Saya lakukan perkara ini bersama LZZFC. Lebih kurang RM2000 dikumpul untuk kami membeli semua barang yang diperlukan. Bajet untuk merealisasikan acara ini bukan hanya daripada saya, tetapi dana turut dikumpul oleh ahli LZZFC dan ahli keluarga saya sendiri. Peminat-peminat saya datang sendiri ke sini untuk membeli keperluan mangsa banjir, malahan keluarga saya datang dari Shah Alam untuk sama-sama membantu," ujar Zara berkongsi cerita.



iamNEETA Nafi Tumpang Nama Najwa Latif


iamNEETA Nafi Tumpang Nama Najwa Latif

iamNEETA Nafi Tumpang Nama Najwa Latif

Kumpulan muzik yang sedang meningkat naik dengan lagu ‘Terima Kasih’, iamNEETA menafikan dakwaan yang mengatakan mereka menumpang nama dan populariti penyanyi Najwa Latif. Single terbaru Iamneeta, ‘Kau Pergi Jua’ menyaksikan mereka berkolaborasi bersama Najwa.

“Kami rasakan perkara ini tidak benar. Kami berada di bawah satu label yang sama iaitu NAR Records, jadi senang untuk kami berkolaborasi dalam lagu ‘Kau Pergi Jua’. Lagu tersebut merupakan single keempat kami. Kalau betul kami ingin menumpang nama dan populariti Najwa, kami sudah bekerjasama dengan Najwa semenjak single pertama lagi. Kami percaya yang kami mempunyai kelompok pengikut tersendiri,” jelas Neeta Manishaa selaku vokalis iamNEETA mengenai perkara ini.

Selain Neeta Manishaa, kumpulan ini dianggotai oleh dua orang jejaka iaitu Anas Zakwan Azhar dan Patrick Anohada. Sebagai pendatang baru dalam industri muzik tanah air, mereka tidak mengharapkan untuk meraih populariti dalam bidang ini.

“Bakat kami dikesan menerusi YouTube. Kami mula menyanyikan lagu-lagu ‘cover version’ seperti lagu ‘Rolling in The Deep’ oleh Adele, ‘Jar of Hearts’ oleh Christina Perri dan banyak lagi. Sebagai sebuah band, kami enggan diklasifikasikan sebagai sebuah kumpulan muzik yang dikenali menerusi satu genre sahaja, tetapi kami ingin mencuba untuk menyampaikan muzik menerusi cara kami,” jelas Anas pula.
iamNEETA Nafi Tumpang Nama Najwa Latif
iamNEETA Nafi Tumpang Nama Najwa Latif

Single terbaru mereka bersama Najwa mula mendapat perhatian stesen radio tempatan. Jelas Patrick, semua lagu yang akan dimuatkan dalam album mereka telah pun disiapkan dan album penuh mereka bakal dikeluarkan pada bulan Februari hadapan.

“Semua lagu Iamneeta saya cipta sendiri melodi dan liriknya. Kami keluarkan single satu persatu sebelum kami tampil dengan album penuh. Seterusnya, single kami berjudul ‘Jatuh Cinta’ dan single itu berentak balada,” tutur Patrick pula.

Kumpulan iamNEETA bakal memeriahkan Eco Fest 2013 yang bakal diadakan pada hari Sabtu, 28 Disember 2013 di Padang Awam Janda Baik, Bentong, Pahang. Acara yang dianjurkan oleh StesenSeni dengan kerjasama Ultra FM dan Riwayat Records ini akan dimeriahkan oleh Najwa Latif, Altimet, Awi Rafael, Nitrus dan ramai lagi.

“Sebelum ini kami pernah terlibat dengan beberapa aktiviti gig anjuran StesenSeni di Johor, Melaka dan Pulau Pinang. Jika sebelum ini hanya ada gig, kini StesenSeni makin membesar dengan menganjurkan acara seperti Eco Fest 2013. Kami berbesar hati dapat menyertai band terkemuka yang lain dalam melakukan persembahan sempena festival ini,” jelas Neeta lagi.






Mlm2013: Kehebatan Minggu Muzikal Tidak Dapat Selamatkan Saywho


Mlm2013: Kehebatan Minggu Muzikal Tidak Dapat Selamatkan Saywho

Mlm2013: Kehebatan Minggu Muzikal Tidak Dapat Selamatkan Saywho

Kehebatan dan kehangatan Maharaja Lawak Mega 2013 (MLM2013) minggu ke-7 yang bertemakan muzikal gagal dieksploitasi kumpulan Saywho sehingga mereka menjadi kumpulan terbaru yang tersingkir, malam tadi.

Berlangsung dari Dewan MBSA, Shah Alam, tema muzikal pada malam tadi berlangsung hebat apabila setiap peserta berjaya memberikan persembahan mantap sehinggakan 7 dari 9 peserta yang bertanding mendapat markah 4 bintang daripada juri.

Dua kumpulan yang gagal menyerlah hanyalah Saywho sendiri yang tersingkir dan Wala yang turut mendapat kedudukan tiga terbawah. Satu lagi kumpulan yang turut berada dalam kedudukan bahaya ialah Bocey.

Pengumumkan penyingkiran Saywho yang berasal dari Indonesia ini diumumkan oleh Nora Danish selaku juri tetap program lawak tersebut. Turut sama berada di kerusi juri ialah Datuk Yusof Haslam, Luna Maya dan Sheikh Haikel.

Dengan penyingkiran Saywho, tinggal 8 lagi peserta akan meneruskan cabaran MLM2013 pada minggu hadapan iaitu minggu ke-8. Mereka ialah Nabil, Jambu, Shiro, Sepahtu, Wala, SYJ, Bocey dan Comey.

Juara Maharaja Lawak Mega 2013 akan membawa pulang hadiah lumayan berupa wang tunai sebanyak RM500,000 manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing membawa pulang wang tunai RM250,000 dan RM150,000.

Teruskan mengundi peserta kegemaran anda dan jangan lupa menyaksikan persaingan MLM 2013 minggu kelapan pada minggu hadapan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan