Cari Artikel

Thursday, November 7, 2013

Ben Amir terus cuba nasib


Ben Amir terus cuba nasib
Ben Amir atau nama sebenarnya Muhammad Amir Sabaruddin

Ben Amir terus cuba nasib


MUNGKIN nama Ben Amir atau nama sebenarnya Muhammad Amir Sabaruddin, 23, kurang dikenali ramai dalam dunia hiburan.

Apatah lagi, dia baharu sahaja menceburkan diri dalam bidang lakonan awal tahun ini tanpa apa-apa pengalaman atau pengetahuan asas sebagai pelakon.

Menceritakan di awal pembabitannya, Ben berkata, dia meminati dunia seni sejak dari kecil lagi dan tidak kisah jika terpaksa mengharungi pelbagai rintangan sebelum berjaya.

“Tanpa mengenali sepak terajang dunia seni kita boleh rebah dan jatuh sebelum masanya.

“Namun, saya tidak kisah jika watak yang ditawarkan hanya melibatkan satu atau dua babak.

“Bagi saya, ia merupakan peluang keemasan dan jangan sesekali cerewet memilih watak,” kata finalis Hero Remaja 2011/12 ini.

Mengakui sangat meminati filem aksi, jejaka kelahiran Kuala Lumpur ini berkata dia pernah memegang watak sebagai anggota polis dalam Abang Long vs Kak Long yang ditayangkan sebelum Aidilfitri lalu.

Katanya, watak itu sedikit sebanyak dapat merealisasikan impiannya.

“Mungkin aksi yang ditonjolkan kurang lasak berbanding filem luar negara tetapi saya tetapi berbangga dapat terlibat sama dalam pembikinan telemovie ini.

“Saya harap suatu hari nanti produksi tempatan dapat menghasilkan filem aksi yang dapat memaparkan elemen aksi dan lawan,” ujar Ben.

Dalam pada itu, Ben turut memuji serta mengagumi pengarah muda yang kian tersohor, Syamsul Yusof, dalam menghasilkan filem aksi yang sangat hebat seperti KL Gangster, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam dan Evolusi KL Drift.

“Dia (Syamsul) sangat hebat. Bukan saja jalan cerita, bahkan babak-babak aksi yang dipaparkan juga kelihatan lebih realistik dengan penggunaan teknik CGI.

"Sekiranya ada peluang, saya ingin membintangi filem-filem yang hebat seperti itu,” katanya yang turut meminati lakonan Bront Palarae.


Buka perniagaan sendiri

Selain lakonan, Ben berkata, dia juga membuka perniagaan pakaian dan kereta bersama rakannya di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur.

"Saya baru sahaja dua tahun menceburi bidang ini begitu juga dengan syarikat saya.

"Sepatutnya dari awal lagi kita harus bijak merencanakan masa depan.

"Bidang seni ada pasang surutnya apatah lagi kita yang baru setahun jagung berlakon," ujarnya.

Tegas Ben, pelakon baharu sepertinya tidak seharusnya terlalu mengejar glamor kerana ia tidak kekal selamanya.

"Saya sekarang dalam proses memasarkan jenama pakaian sendiri iaitu Chivalry's Club.

"InsyaALLAH... tahun hadapan saya akan melancarkan butik sendiri. Buat masa sekarang saya masih memilih material pakaian dan rekaan terbaik untuk jenama ini," katanya.

PROFIL
Nama : Muhammad Amir Sabaruddin
Umur : 23 tahun
Asal : Kuala Lumpur
Adik beradik : Anak keempat daripada lima beradik
Pendidikan Tertinggi : Diploma Pengajian Perniagaan (UiTM Lendu, Melaka)
Drama : Fira Ayuni, Merah Bukan Jambu & Palyboy Itu Suamiku
Telemovie : Amin, Bulan Ku Di Hentian, Hajah Bakhiliah & Abang Long Vs Kak Long
Filem : Kriptik atau Romeo Kota arahan Aaron Aziz

Perkahwinan selebriti cecah jutaan ringgit


Perkahwinan selebriti cecah jutaan ringgit

Perkahwinan selebriti cecah jutaan ringgit


SUDAH menjadi lumrah, kehidupan golongan selebriti sememangnya penuh dengan kemewahan dan ada kalanya tidak terjangkau dek akal kita.

Bukan sahaja dalam kehidupan seharian, malah menerusi perkahwinan juga, mereka tampil dengan penuh gaya dan glamor agar hari bahagia itu terus menjadi momen indah.

Senario ini bukanlah perkara baru dalam kehidupan artis, malah, jika perkahwinan itu melibatkan golongan selebriti popular, pelbagai syarikat besar berlumba-lumba untuk menawarkan khidmat tajaan.

Bukan sahaja memberi pulangan baik buat penaja dari segi pengiklanan, malah bebanan untuk merangka majlis secara gilang gemilang tanpa mengeluarkan wang tentunya sedikit sebanyak mengurangkan tekanan golongan selebriti.

Jika diselak sejarah perkahwinan artis, mungkin bagi nama-nama besar seperti Datuk Siti Nurhaliza, Erra Fazira, Fasha Sandha dan Fouziah Gous, dilihat lebih selesa menguruskan sendiri majlis perkahwinan mereka.

Bagaimanapun, bagi segelintir selebriti, khidmat tajaan sangat diperlukan bagi merealisasikan impian perkahwinan mereka.

Lihat saja beberapa nama seperti penyanyi Ezlyn, Memey Suhaiza dan Norman Hakim, Mawi dan Ekin yang mana perkahwinan mereka diraikan dalam suasana yang cukup mewah dan menjadi sebutan sehingga kini.

Terbaru, pasangan selebriti, Rozita Che Wan dan Zain Saidin pula dikhabarkan menerima tajaan sepenuhnya pada majlis perkahwinan mereka nanti.

Walaupun tarikh tepat masih belum diumumkan, namun rezeki dramatis ini memang mencurah-curah.

Sebelum ini, Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta, ini mengakui ada beberapa penaja yang sudi membantu dari segi lokasi, makanan, pakaian dan sebagainya.

Menurut Che Ta, hanya satu barang sahaja yang masih belum mendapat tajaan iaitu cenderamata untuk tetamu.

Perkahwinan yang bakal berlangsung pada Disember ini sememangnya menjadi momen yang ditunggu peminat dan masyarakat.

Malah, ada yang menjangkakan, perkahwinan ini akan turut disenaraikan dalam rekod, 'Wedding of the year'.

Perkahwinan selebriti cecah jutaan ringgit


Tajaan penuh Astro (RM5 juta)

Mendapat hadiah berbentuk tajaan hebat bernilai RM5 juta daripada Astro, Asmawi Ani (Mawi) dan Nora’shikin Rahmat (Ekin), selamat diijabkabulkan pada 20 Disember 2008 dan turut disiarkan secara langsung menerusi Astro Oasis.

Hadiah itu merangkumi liputan menyeluruh secara langsung majlis pernikahan dan persandingan penyanyi popular itu yang akan dipancarkan ke seluruh negara termasuk tajaan lokasi, pengurusan acara dan pelbagai kos penganjuran lain.

Memilih lokasi resepsi di Palace of The Golden Horses, perkahwinan ini turut disenaraikan sebagai 'Wedding of the year' dan mendapat tajaan besar termasuk syarikat kain terkenal, Jakel Trading.

Malah, Ekin turut menyarungkan persalinan kain jenis Valentino dibawa khas dari Itali berharga RM60,000 dan, Lace Marco Lagatolla Italian Beaded Swarovski dengan kombinasi, Crepe Morrocan Italian Harvey berserta Satin Shamus Rivoli French Chiffon yang bernilai
RM65,000.

Sementara Mawi pula mengenakan sut rekaan daripada pereka terkenal Bon Zainal dengan kain jenis Italian Linen Ermenegildo Zegna dan Dutches Satin Valentino yang bernilai RM15,000.

Habib Jewels pula menaja cincin perkahwinan Mawi-Ekin yang berharga RM276,100 dan set barangan kemas sepanjang perkahwinan yang nilainya mencecah RM2.5 juta.

Bukan sahaja majlis perkahwinan, syarikat jualan DCL, juga turut menaja pasangan ini berbulan madu.

Perkahwinan 'New York'- Rafflesia (RM12 juta)

Majlis resepsi pasangan selebriti, Norman Hakim dan Memey Suhaiza, yang diadakan pada tanggal 28 September 2011, berlangsung dengan penuh mewah.

Menelan kos hampir RM12 juta, majlis yang dikatakan 'Wedding Of The Year' itu bertemakan ‘New York in Black & White’ dan turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran 200 orang tetamu yang terdiri daripada rakan artis dan wakil media.

Bertempat di Crowne Plaza Mutiara Hotel, Kuala Lumpur, Memey mengayakan gaun pengantin rekaan Vera Wang dibeli khas dari Hong Kong, manakala kasut pula ditaja oleh pereka kasut terkenal, Jimmy Choo dan dihiasi dengan dua set rantai Rafflesia White South Sea
Pearls dan Rafflesia Golden South Sea Pearls tajaan Rafflesia.

Norman Hakim pula ditaja oleh Cosmopolitan dan Bohemian suit dari Lords Tailor.

Malah, Memey turut diapit pelakon cantik Miera Liyana, Julia Ziegler, Eina dan Fathia manakala Norman Hakim pula diapit Afiq Muiz, Fizz Fairuz dan dua pelakon Indonesia Didi Riyadi dan Samuel Rizal..

Menariknya, kesemua baju, barang kemas dan kek perkahwinan yang digunakan dalam majlis perkahwinan pasangan itu turut dipamerkan di Muzium Negara pada 26 November hingga 31 Disember 2011.

Gaun kuning, barangan kemas (RM12 juta)

Sama seperti pasangan selebriti, Memey Suhaiza dan Norman Hakim, perkahwinan penyanyi, Ezlyn juga turut ditaja Rafflesia.

Dalam majlis resepsi yang berlangsung di Hotel Crowne Plaza itu, Ezlyn mengenakan gaun dan barangan kemas bernilai hampir RM 12 juta.

Di samping itu, selebriti cantik, Neelofa yang terkenal dengan perniagaan, Neelofa Heels, turut mereka bentuk kasut yang dipakai Ezlynn.

Gaun Ezlyn yang berwarna kuning keemasan mencecah RM 400,000, manakala kasutnya pula bertatahkan mutiara hitam Tahiti serta mutiara putih Laut Selatan.

Barangan kemas pula bernilai RM3 hingga 4 juta manakala sebutir mutiara mencecah RM80,000.

Pengantin lelaki pula disediakan sut dari tajaan, Lord's Tailor.

Set perhiasan Habib Jewels (RM3 juta)

Juru tari profesional, Linda Jasmine juga turut tidak terlepas dari menikmati tajaan aksesori daripada Habib Jewels ketika majlis perkahwinan bersama, Que Haidar.

Malah, keseluruhan aksesori di tiga acara itu berjumlah lebih daripada RM3 juta termasuk tiara buatan South Sea Pearls bernilai RM156,395 dan anting-anting berharga RM88,325 ketika upacara memotong kek.

Selain itu, Linda juga memperagakan set persandingan (safir biru dan berlian) berupa rantai berharga RM2.35 juta, anting-anting, RM629,000, gelang, RM74,800, dan cincin, RM21,000.

Ketika majlis akad nikah pula, Linda mengenakan anting-anting bernilai RM127,830 dan gelang, RM165,000.

Sementara itu, pelakon dan pengacara Serina Redzuawan, turut mendapat tajaan barangan kemas dari Habib Jewels.

Walaupun tidak mendapat tajaan sepenuhnya, namun pakej barangan kemas dari Habib Jewels yang bernilai  RM2.5 juta turut menyerikan lagi majlis persandingan dan acara memotong kek.

Bukan sahaja Serina malah, suaminya, Gavin Edward O’luanaigh atau Salahudin Ghafar juga turut mendapat tajaan persalinan daripada Lord's Tailor.

Tuah artis MIG

Mungkin ramai yang tidak tahu, artis di bawah naungan Metrowealth International Group (MIG), sememangnya bertuah kerana urusan perkahwinan mereka turut dibantu oleh produksi ini.

Bukan sahaja pelakon, Diana Amir, malah beberapa artis residen MIG, termasuk Farid Kamil dan Lisa Surihani turut menerima layanan istimewa di hari bahagia mereka.

Menjadi satu tradisi, mereka turut menerima hadiah istimewa daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Mejar (K) David Teo, Selain Lisa yang pernah menerima gelang berlian, Diana Amir yang baharu saja melangsungkan perkahwinannya baru-baru ini turut menerima
hadiah berupa gelang emas dari majikannya itu.  

Malah, sebelum ini, David pernah memberitahu bahawa setiap artis naungannya yang berkahwin, beliau dan MIG akan turut serta memberi bantuan yang termampu.

Fizo Omar mohon peminat jangan salah anggap


Fizo Omar mohon peminat jangan salah anggap
Fizo Omar

Fizo Omar mohon peminat jangan salah anggap


"Niat saya hanyalah untuk berkongsi dan bukannya nak mengambil kesempatan seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak,"  tegas Fizo Omar ketika diminta mengulas mengenai kontroversi tindakannya memuat naik sekeping foto di laman sosial miliknya, baru-baru ini.

Menerusi foto itu, pengacara Nasi Lemak Kopi O di TV9 ini, dikatakan sengaja 'menjual' popularitinya yang bakal berkahwin dengan anak tauke tudung Fareeda, iaitu Mawar Abdul Karim, 24, sementelah, pasangan ini turut tampil mempromosikan tudung eksklusif sempena pertunangan mereka.

Kesal dengan tuduhan tersebut, jelas Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 28, tujuan utama dia memuat naik foto berkenaan hanyalah untuk berkongsi pengalaman dan bukanlah untuk mencetuskan sebarang kontroversi mengenai hubungannya dengan anak pemilik butik tersebut.

"Sebelum saya menjalinkan hubungan dengan Mawar, fenomena itu telah pun terjadi. Malah, mungkin mereka yang mengkritik itu tidak mengetahui akan perkara tersebut.

"Saya mohon peminat jangan salah sangka dan memberikan tanggapan negatif kepada saya," katanya yang telah pun memadam gambar dan status itu bagi mengelakkan kontroversi berpanjangan.


Bulan madu di Eropah

Sementara itu, berkongsi tentang persiapan perkahwinannya, Fizo memberitahu setakat ini semuanya berjalan dengan lancar.

"Hampir 80 peratus telah siap. Hanya melibatkan perkara seperti khemah yang akan didirikan kelak," katanya yang merancang untuk berbulan madu ke Eropah.

Dalam pada itu, selain sibuk menguruskan perniagaan Hot Burger miliknya, Fizo juga masih lagi menjadi pengacara untuk program Nasi Lemak Kopi O.

"Saya juga akan menjadi pengacara dalam program masakan di TV9, tidak lama lagi," akhirinya.

Shahiezy Sam 'tunggu pinangan'!


Shahiezy Sam 'tunggu pinangan'!
Shaheizy Sam. - Foto Sinar Harian oleh ZULFADHLI ZAKI

Shahiezy Sam 'tunggu pinangan'!


Lazimnya, wanita menunggu pinangan, namun berbeza pula dengan aktor popular, Sam atau nama sebenarnya, Shaheizy Sam Abd Samad, 31, mengakui menunggu pinangan daripada kaum Hawa itu.

“Saya masih menunggu calon wanita yang sesuai untuk meminang saya!,” katanya sambil berseloroh.

"Setakat ini, saya tidak mempunyai sesiapa. Walaupun berkawan dengan ramai orang. Saya bukan seorang yang memilih. Tetapi belum jumpa wanita yang tepat, sebab saya sendiri tidak mencari. Saya seorang yang menunggu!,” katanya yang tidak terlalu memikirkan kesempurnaan seseorang wanita, cukup sekadar comel dan memiliki ciri-ciri kewanitaan.

Menurutnya, sekiranya dia berjumpa dengan seorang wanita yang sederhana dan berjaya menyentuh hatinya, dia akan segera memberitahu kepada rakan media berhubung kisah cintanya walaupun mungkin sesetengah orang berpendapat dia seorang perahsia.

Sam berkata, walaupun dia seorang yang hidup dalam dunia sendiri tapi itu tak bermakna tidak mahu berkongsi cerita dengan sesiapa lebih-lebih lagi peminatnya.

"Sebenarnya apa yang menghantui saya, saya rasa, saya ni seorang yang sangat membosankan!,” katanya yang enggan mengulas mengenai hubungan mesranya dengan aktres Fazura seperti yang digemburkan sebelum ini.

Baginya,  dia sering kali dikaitkan dengan hubungan cinta bersama aktres wanita, namun perkara itu tidak benar kerana hubungan mereka tidak lebih daripada hubungan seorang kawan.

Shahiezy Sam 'tunggu pinangan'!
Sam bersama barisan pelakon Kisah Paling Gengster.
- Foto Sinar Harian oleh ZULFADHLI ZAKI
Janji Sam buat peminat

Lupakan berkenaan kisah peribadinya, adik kepada aktres jelita, Zizie Ezete ini tetap optimis mengembangkan karier seninya.

Pernah merangkul gelaran Bintang Paling Popular menerusi Anugerah Bintang Popular (ABP), sebanyak dua kali, Sam kembali melakar kejayaan sendiri bila tercalon sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Filem (SAM) menerusi Anugerah Skrin 2013 yang bakal berlangsung pada 27 November ini.  

Tidak pernah meletakan harapan tinggi bagi setiap pencalonan yang diterima, Sam berkata, dia akan terus berusaha keras memberikan yang terbaik pada masa akan datang sekali gus mahu meninggalkan kesan melalui lakonannya.

Katanya, minatnya yang mendalam terhadap bidang seni, membuatkan dia sentiasa berusaha untuk menjadi yang lebih baik daripada apa yang dilakukannya sebelum ini.

“Sekarang, saya mahu tingkatkan lagi kebolehan lakonan dengan watak yang meninggalkan kesan mendalam kepada penonton. Melalui cara itu, mungkin pada masa akan datang, orang akan membuat penilaian terhadap lakonan saya dan apa yang saya berikan kepada masyarakat.

“Saya sangat idam watak filem sejarah seperti Leftanen Adnan di mana untuk saya terokai suasana dan menjiwai watak orang-orang yang berkaitan dengan watak penting yang berperanan dalam filem tersebut.

“Bagi saya ia sesuatu yang penting untuk dinilai, apatah lagi membabitkan kepentingan sesebuah negara, masyarakat dan rakyatnya,” katanya yang bakal muncul dengan filem terbarunya, Kisah Paling Gengster, November ini.

Shahiezy Sam 'tunggu pinangan'!
Sam dipilih sebagai duta mempromosikan Peraduan Fuelled By Fans Powered By Primax.
- Foto Sinar Harian oleh ZULFADHLI ZAKI
Lancar single baharu

Selain lakonan, Sam yang pernah menubuhkan band sendiri, M.O.B, di awal kemunculannya dulu, kini tetap meneruskan minatnya dalam bidang nyanyian.  

Menurut Sam, dia kini sibuk dengan rakaman single pertamanya yang ditaja oleh Nescafe. Turut berduet dengan Liyana Jasmay, projek #NescafeOnSam itu akan dilancarkan pada pertengahan November ini.

Sam berkata, dengan munculnya single tersebut, dia berharap peluangnya untuk bergelar penyanyi akan terus bersinar.  

"Memang rezeki saya lebih menyerlah dalam lakonan, tetapi minat saya dalam nyanyian tak pernah padam.

"Disebabkan terlalu banyak tawaran lakonan, saya terpaksa tangguhkan minat dalam nyanyian. Tapi sekiranya ada peluang, saya akan cuba dengan sebaik mungkin untuk memenuhinya," katanya.

Dalam pada itu, Sam memberitahu, dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem ‘Adnan Sempit Sawadeekap’ di Bangkok.

“Saya bersyukur kerana Adnan Sempit punya pengikutnya sendiri. Dan sejujurnya saya sangat teruja dengan sekuel terbaru filem ini.

"Bukan saja memaparkan jalan cerita yang lebih menarik, ia turut menampilkan lebih banyak aksi yang mana saya sendiri melakukannya," katanya.


Duta Peraduan Fuelled By Fans

Seiring popularitinya, anak emas Metrowealth International Group (MIG) ini turut dilamar menjadi duta untuk beberapa syarikat serta produk terkenal.

Terbaru, Sam dipilih sebagai duta untuk mempromosikan Peraduan Fuelled By Fans Powered By Primax yang dianjurkan oleh Petronas.

“Saya rasa inilah masanya untuk saya bersama peminat, sekali gus mereka dapat memenangi wang tunai dan mengharungi cabaran sebenar pemanduan bersama saya di satu destinasi yang ditetapkan bersama Kad Mesra yang telah siap diisi dengan minyak Primax dan juga telefon pintar bersama plan data tanpa mempunyai wang dan telefon bimbit.

“Kami akan bermula dari stesen Petronas Solaris, Serdang dan berakhir di stesen Petronas Kulim, Kedah,” katanya yang tidak sabar menimba pengalaman pemanduan yang jauh bersama peminatnya.

Peraduan yang akan berakhir pada 24 November ini akan mengumpulkan lima kumpulan yang mana setiap kumpulan perlu membantu setiap selebriti dengan menggunakan platform sosial media untuk menang dalam perlumbaan ini.

Antara selebriti lain yang turut sama bertanding dalam peraduan ini termasuklah  Maya Karin, DJ Yoon, pelakon dari Hong Kong iaitu Him Law dan selebriti popular dari Taiwan iaitu Bii.

Mengulas mengenai kontraknya bersama MIG, Sam yang merupakan antara artis yang paling lama bertahan di produksi itu berkata, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan produksi milik Mejar (K) David Teo itu.

“Saya tidak pernah melihat kandungan kontrak MIG sebagai satu masalah besar. Dan saya sangat jelas bahawa ' jangan sesekali bawa masalah peribadi' ketika bekerja.

"Jadi saya tidak ada masalah untuk terus bersama Metrowealth,” katanya.

Liga Lawak Superstar - OMG terus mara


Liga Lawak Superstar - OMG terus mara
Pasukan B ketika di pertarungan kedua.

Liga Lawak Superstar - OMG terus mara


MEMASUKI episod kelima, program hiburan terbaru siaran TV3, ‘Liga Lawak Superstar’  melihat persaingan hebat empat kumpulan B terdiri daripada ‘Asmara Luna’ (Riezman Khuzaimi, Aidil Aziz, Ropie), ‘OMG’ (Anas Ridzuan, Akim Ahmad, Sathiya), ‘Aku Diandra’ (Sheera Iskandar, Qazeem Nor, Ilya) dan ‘Ayoub Lasak’ (Iqram Dinzly, Mikail Andre, Aziz M. Osman).

Sekali lagi, OMG  mendahului saingan minggu pertama Kumpulan B dengan mengutip 71 mata mengatasi Aku Diandra dengan mata 54, Asmara Luna dengan kutipan 43 mata dan Ayoub Lasak yang mendapat 41 pungutan mata.

Seramai lapan pelakon dan empat pelawak terkenal berentap dalam melaksanakan cabaran yang berbeza.

Peserta pula menunjukkan kehebatan mereka dalam 5 pusingan iaitu Babak Atas Lantai, Sketsa Mengecut, Alat Kawalan Jauh, Sketsa Tak Puas Hati dan Karaoke Uncle Loke selama 3 minit tanpa menggunakan skrip dalam rancangan ini.


Masih bertahan

Dua minggu lalu,  Anas, Akim dan Sathiya memegang tampuk juara mingguan dan sekali lagi berjaya menambat hati juri dengan persembahan mantap.

Walaupun ada kala melakukan kesilapan sehingga ditegur oleh juri tetap (Afdlin Aman Ramli, Ida Nerina dan Vanida Imran) namun berbekalkan nasihat yang diberikan mereka mampu berubah. Prestasi OMG agak meningkat minggu ini berbanding episod ketiga.

“Dalam episod lepas, kami terima kritikan juri sebagai panduan untuk minggu ini.

“Kami bukan pelawak profesional dan masih belajar selok belok dunia komedi.

“Komen dari setiap juri banyak bantu kami untuk menilai kelemahan persembahan kami,” kata Akim.

Dalam masa sama, Akim berkata dia agak sedih melihat kumpulan Ayoub Lasak yang mendapat keputusan tercorot setiap minggu.

“Mungkin bukan rezeki mereka minggu ini. Saya pasti mereka akan buat kejutan buat peminat.

“Sekiranya mereka menjumpai rentak persembahan, pasti ramai terkejut kerana mereka sangat serius dengan apa yang dilakukan,” katanya.


Yakin ke final

Bercakap mengenai misi OMG, Akim berkata dia yakin kumpulannya akan mara ke separuh akhir bersama tiga kumpulan lain.

Katanya, berdasarkan kutipan markah keseluruhan selama dua minggu itu mereka mendahului rakan seperjuangan yang lain dengan 145 mata.

Berbanding dengan peserta lain, Aku Diandra dengan 107 mata, Asmara Luna dengan kutipan 89 mata dan Ayoub Lasak yang mendapat pungutan sebanyak 87 mata.

“InsyaALLAH kami akan kekalkan kejuaraan kami minggu akan datang," kata Akim.

Menurutnya, bukan senang bagi mereka yang tiada pengalaman berlawak.

“Kami masih berjuang untuk memahirkan diri dengan dunia lawak.

“Bagi saya sendiri, menonton rancangan lawak tempatan dan antarabangsa dapat membantu peroleh idea lebih segar,” katanya.

Untuk makluman, selepas empat pertarungan, dua kumpulan yang berjaya meraih markah tertinggi dalam kumpulan masing-masing akan bersaing di pusingan separuh akhir.

Hanya dua pasukan terbaik akan melayakkan diri ke pusingan akhir untuk merebut gelaran Juara Liga Lawak Superstar serta membawa pulang hadiah tunai RM250,000.

Cabaran konsert AF separuh akhir


Cabaran konsert AF separuh akhir
Siti Nurhaliza bersama barisan pelajar Akademi Fantasia (AF2013).

Cabaran konsert AF separuh akhir


KONSERT Akademi Fantasia (AF2013) sudah memasuki minggu kelapan, namun berdasarkan komen, kebanyakan pelajar masih menerima kritikan dari pengkritik tetap, Edry Abdul Halim dan Roslan Aziz.

Tidak terkecuali komen pedas Fauziah Datuk Ahmad Daud yang menggantikan pengkritik tetap Sharifah Amani, setelah artis berpengalaman itu turut mengkritik beberapa persembahan pelajar.

Menurut pengkritik, pemilihan lagu dikatakan tidak sesuai dengan ‘range’ suara pelajar selain persembahan tawar.

Fauziah misalnya berpandangan, momentum pada konsert kelapan seharusnya meningkat namun sebaliknya kebanyakan pelajar dilihat masih kurang yakin dari sudut persembahan bahkan peningkatannya tidak dirasai oleh juri.

“Seharusnya, pada minggu kelapan, pelajar sudah tunjuk kesungguhan apatah lagi, mereka mempunyai Inspirer yang bagus.

“Namun, rata-ratanya masih kering idea sehingga tidak tahu apa sepatutnya nak dibuat di atas pentas untuk beri persembahan terbaik.

“Mereka masih kurang karisma sebagai penghibur dan kami (pengkritik) sukar untuk merasai persembahan mereka,” katanya ketika ditemui selepas konsert itu.

Sementara itu, Inspirer terakhir mereka, Datuk Siti Nurhaliza berpandangan, pelajar telah berusaha keras demi menggalas cabaran dan tugasan mereka pada konsert berkenaan.

Pada masa sama, penyanyi tersohor tersebut tetap menghormati pandangan itu memandangkan setiap pengkritik  mempunyai pengalaman dalam bidang masing-masing.

“Pandangan saya, apabila peminat terhibur ia sudah membuktikan peningkatan dalam persembahan mereka. Bagi aspek persembahan, saya dan pihak fakulti mendengar cadangan dan kemahuan pelajar.

“Sebenarnya, bukan mudah untuk memilih lagu-lagu tersebut. Saya bersama pihak fakulti sudah berusaha keras memilih lagu mengikut kesesuaian ‘tone’ suara pelajar.

“Saya yakin mereka akan belajar lagi dan melakukan yang terbaik pada konsert separuh akhir nanti,” katanya.

Ujar Siti, semua kritikan membina itu menjadi cabaran hebat kepada pelajar untuk membuktikan keupayaan masing-masing.

Tambahnya, bagi pemilihan lagu, pihaknya bersedia untuk meminta pandangan pengkritik dalam aspek pemilihan lagu yang sesuai.

Dalam pada itu, penyanyi berkenaan mempunyai pandangan tersendiri terhadap tiga pelajar yang menerima kritikan hebat tersebut.

Bagi Siti, pelajar seperti Faizul, Aishah dan Indah memiliki bakat dan keistimewaan tersendiri. “Saya yakin mereka akan beraksi lebih baik pada separuh akhir,” katanya.


Azhael semakin menyerlah

Bagi duo, Azhael dianggotai Mohd Azhar Osman dan Hal Husaini Razmi, mereka menerima pujian pengkritik kerana memberi persembahan berkesan ketika solo dan berduet.

Azhael dikatakan kembali mengekalkan momentum menerusi lagu Harus Terpisah nyanyian Cakera Khan manakala battle, menerusi lagu Nakal, mereka dikatakan berjaya mengawal pentas. “Kami akan buat yang terbaik untuk kekal sehingga ke final.

Sebelum itu, kami bersedia galas cabaran besar di konsert separuh akhir," kata Azheal.


Tuah Amira ke peringkat separuh akhir

Sementara itu, Amira yang mendapat undian 14 peratus sepatutnya tersingkir namun tuah memihak kepadanya untuk meneruskan cabaran di atas pentas konsert AF.

Gimiknya, selepas diumumkan sebagai pelajar tersingkir dan melangkah keluar, pengacara Zizan Razak pada masa sama mengumumkan tiada penyingkiran pada konsert kelapan itu.

Ini sekali gus melayakkan enam bintang beraksi pada konsert separuh akhir dengan menyaksikan setakat ini, undian tertinggi dimiliki Faizul iaitu sebanyak 20 peratus diikuti Nabila, 19 peratus dan Azhael 17 peratus. Manakala Indah  dan Aisyah masing-
masing sebanyak 15 peratus dan 16 peratus.

Dengan tiada penyingkiran, maka enam bintang AF2013 akan meneruskan perjuangan pada separuh akhir Ahad depan.

Pulak Dah - Aeril Zafrel jawab tuduhan kahwini Ummi Nazeera


Pulak Dah - Aeril Zafrel jawab tuduhan kahwini Ummi Nazeera
Aeril Zafrel

Aeril Zafrel jawab tuduhan kahwini Ummi Nazeera


SEJAK berita perkahwinan mereka didedahkan sebulan lalu, nama Aeril Zafrel dan Wawa Zainal terus menjadi perhatian media.

Kontroversi demi kontroversi antaranya, Wawa yang didakwa masih tunangan orang ketika berkahwin dengan Aeril, kisah dipanggil Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), isu Wawa buka tudung dan kini Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Sunari, 25, dikait kontroversi apabila dikatakan bernikah dengan Ummi Nazeera sebelum ini.

Laporan akhbar menyebut,  Aeril dan Ummi sedang menyulam kasih, dan pelakon itu kerap muncul di set penggambaran ‘Penanggal’ dipercayai bertemu Ummi.

Hubungan terjalin antara Aeril dan Ummi kononnya telah diikat secara sah apabila sumber mendakwa mereka mengambil keputusan untuk bernikah. Ini juga dikatakan antara punca penghijrahan Ummi.

Menerusi sebuah laporan, artis wanita itu dikatakan “sangat kecewa” setelah mendapat tahu Aeril menikahi Wawa.

Biarpun telah memberi kenyataan menerusi laman mikro Twitter, bahawa laporan tersebut adalah fitnah, Aeril tidak keberatan untuk memberi kenyataan lanjut tatkala dihubungi Zass.

"Sejak semalam (kelmarin) saya dan Wawa hanya ketawa bila pengikut di Twitter tanya kami mengenai kesahihan laporan itu.

"Sehingga saat ini saya rasa nak ketawa kerana saya sendiri tidak pernah berjumpa Ummi, apatah lagi ke set penggambaran dan menjadi penyebab Ummi berhijrah.

"Sepatutnya penulis tersebut perlu menghormati perasaan Ummi kerana berhijrah adalah haknya dan penghijrahan tidak semestinya kerana seorang manusia. Penghijrahan itu lebih kepada tanggungjawab sebagai seorang Islam," katanya yang mengakui pelik apabila namanya masih dijadikan bahan gosip pada setiap minggu.

Ditanya adakah dia mengenali Ummi atau pernah bertegur sapa sebelum ini, Aeril berkata : "Saya mengenalinya sebagai seorang pelakon dan saya akui suka dengan lakonannya.

"Saya pernah lihat lakonannya menerusi trailer Penanggal dan suka dengan hasil kerja Elly Suriati itu. Tidak salahkan jika saya suka dengan lakonannya?" ujarnya sebelum mengakhiri perbualan.

Ummi berang?

Sementara itu, pelakon yang terkenal menerusi drama Nur Kasih, Ummi Nazeera turut mengeluarkan kenyataan menerusi laman Twitter pada hari sama, kelmarin dan menegaskan tidak berhijrah kerana pelakon lelaki itu.

“Saya tidak berjumpa dengan Aeril secara dekat. Kedua, saya tidak pernah berkahwin dan tidak pernah mempunyai hubungan dengannya atau keluar bersamanya. Sila pastikan fakta anda betul," tegasnya.

Ummi juga turut menyifatkan artikel tersebut sebagai tidak menghormati diri dan keluarganya.

Dia yang kini sudah bertudung turut menegaskan tidak perlu menunggu sebuah perkahwinan atau seseorang lelaki ketika mengambil keputusan berhijrah seperti dirinya sekarang.

Hijrah Shamsul, Nora


Hijrah Shamsul, Nora
Shamsul dan Nora muncul dalam rancangan bual bicara baru berjudul Hijrah Munawwarah yang ditayangkan di saluran TV Alhijrah. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR

Hijrah Shamsul, Nora


MAAL Hijrah atau Awal Muharram adalah hari paling bermakna bagi umat Islam kerana memperingati penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah pada 622 Masihi.

Ia menandakan tahun baru dan segala amalan pada tahun ini akan dihisab dan amalan seterusnya akan dikira dalam buku baru.

Hijrah Rasulullah SAW memberi kesan besar kepada umat Islam dan tidak terkecuali melibatkan beberapa selebriti.

Sejak akhir-akhir ini menyaksikan beberapa selebriti yang dahulunya mengaku alpa, tetapi kini hati mereka semakin mendekati Islam.

Antara artis yang telah berhijrah ialah Nora dan Shamsul Ghau Ghau.

Ternyata, perubahan mereka bukan untuk menunjuk-nunjuk sebaliknya ia lahir daripada kesedaran sendiri dan kedua-dua penggiat seni itu bakal muncul dalam sebuah rancangan bual bicara baru berjudul Hijrah Munawwarah yang ditayangkan di saluran TV Alhijrah.

Rancangan 13 episod yang mula bersiaran pada 25 Oktober lalu itu menampilkan Shamsul sebagai pengacara bersama tetamu jemputan pada setiap minggu untuk berkongsi kisah penghijrahan mereka.

Akui Shamsul, dia kini lebih selesa dengan program berbentuk keagamaan apatah lagi setelah terpilih mengacarakan program tersebut.

"Apabila mereka tawarkan untuk jadi pengacara program ini, saya terus rebut peluang tanpa fikir panjang kerana rancangan ini berkisarkan penghijrahan seseorang dan bagaimana melaluinya.

"Selain sebagai rezeki, kandungan program ini juga bagus, maka ini adalah peluang keemasan buat saya," jelasnya.

Manakala bagi Nora pula tawaran dari penerbit, Iswati Ishak, untuk dia berkongsi kisah hijrah dalam hidup sememangnya tidak disia-siakan.

"Saya berbesar hati untuk berkongsi dengan masyarakat mengenai penghijrahan saya. Benda baik, elok kalau kita kongsi bersama.

"Lagipun saya selesa dengan pendekatan yang dibawa Shamsul, mungkin sebab dia juga orang seni seperti saya," ujar Nora mengenai program itu.

Selain Nora, barisan selebriti seperti Nazrey Johani, Catriona Ross, Adam Corrie Lee dan Ustaz Ebit Lew merupakan antara tetamu jemputan dalam setiap episod berasingan.

Justeru sempena sambutan Maal Hijrah kali ini, mari kita ikuti cerita penghijrahan penyanyi Nora dan  Shamsul.


Tanda kesyukuran - Nora

Lima tahun lalu, sempena sambutan ulang tahun yang ke-35, Nora atau pemilik nama sebenar Wan Norafizah Ariffin ini mengambil keputusan untuk tampil dengan imej barunya, bertudung.

Penyanyi kelahiran Cik Siti Wan Kembang itu menyifatkan, penghijrahannya melalui satu fasa baru dalam kehidupannya.

"Hijrah itu adalah suatu perubahan. Pada usia tertentu, sudah pasti kita mahu sesuatu perubahan ke arah lebih baik dalam diri kita.

"Tidak kiralah perubahan itu kecil atau besar, asalkan kita menjadi lebih baik," katanya yang anggap detik hijrah itu sebagai tanda syukur kepada nikmat ALLAH SWT.

"Saya bersyukur apabila lihat anak-anak di depan mata. Tetapi pada ketika itu, saya sekadar mengucapkannya di bibir sahaja.

"Apabila saya fikirkan semula, saya tertanya-tanya adakah itu cara untuk bersyukur? Bertitik tolak daripada perasaan itu pada lima tahun lalu, saya tekad mahu berubah.

"Lalu, pada usia 35 tahun saya buat keputusan untuk lebih mendekatkan diri kepada ALLAH SWT," jelasnya.

Ceritanya lagi, pada peringkat awal penghijrahannya, dia terpaksa berdepan dengan cabaran dan penerimaan masyarakat yang agak skeptikal namun itu semua dapat diatasinya.

"Pada peringkat permulaan berhijrah, saya akui agak tertekan apatah lagi ada 'bisikan' seperti menyuruh saya membuat konsert terlebih dahulu, tunggu umur 40 tahun atau selepas tunaikan haji barulah menutup aurat.

"Namun, saya tekad ingin berhijrah kerana apabila sudah mendapat hidayah, janganlah kita berpaling kerana mungkin hidayah itu akan ditarik balik.

"Tetapi kini, cabaran itu hanya lebih kepada bagaimana mahu menyesuaikan diri lebih-lebih lagi saya terlibat dalam industri hiburan," katanya.

Ujarnya, sebagai seorang artis bertudung, had dan batasan perlu diletakkan agar tidak dipandang serong oleh masyarakat.

"Saya banyak rujuk pada ustaz dan membaca buku-buku agama mengenai apa yang boleh dan tidak.

"Kita masih lagi boleh menyanyi atau menyampaikan sesuatu yang baik, tetapi perlu menjaga setiap kelakuan, penampilan, percakapan dan apa yang kita sampaikan.

"Jika saya rasa perjuangan saya betul, maka saya akan teruskan. Kita juga jangan sesekali menegakkan benang yang basah. Jika kita melakukan kesilapan, tak salah jika kita mengakuinya," katanya.


Siri kartun animasi

Melihat kepada tanggungjawabnya sebagai anak seni, Nora sambil dibantu suaminya yang juga komposer, Johan Nawawi dan anak-anaknya menghasilkan siri kartun animasi bertajuk Ummi...Ceritalah Pada Kami! yang kini sudah masuk musim kedua.

"Penghasilan kartun animasi ini adalah salah satu tanggungjawab kami dalam mendidik kanak-kanak dengan cara Islam.

"Saya boleh menyanyi dan suami pula boleh buat lagu untuk rancangan itu," jelasnya.

Kata ibu kepada empat anak ini, idea untuk menghasilkan siri kartun animasi itu tercetus atas kesedaran untuk menghidangkan program bermanfaat untuk tontonan kanak-kanak dan keluarga yang bukan sahaja menghiburkan malah memberikan pengajaran.

"Sebagai seorang ibu, saya terpanggil untuk menghasilkan sesuatu bermanfaat di samping menghiburkan kanak-kanak.

"Penerbitan siri animasi ini adalah jawapan terbaik untuk menarik perhatian mereka kerana ia paling dekat dan relevan dengan golongan cilik,” katanya.

Siri kartun animasi  itu akan ditayang semula pada Januari depan di TV9 pada Khamis jam 8.30 pagi dan Sabtu pada jam 6 petang.


Tinggal di depan rumah Allah

Tidak seperti Nora, pengalaman Shamsul agak berbeza. Ramai beranggapan pelakon dan pelawak ini mula berhijrah setelah pulang mengerjakan ibadah haji, tahun lalu.

Hakikatnya, bapa kepada tiga anak ini berubah mendekatkan diri kepada ALLAH SWT secara beransur-ansur sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Seperti kita ketahui, pengertian hijrah sebenar adalah perpindahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah. Tetapi untuk kita di zaman ini, hijrah membawa erti luas.

"Berubah daripada yang baik menjadi jahat juga sesuatu penghijrahan. Tetapi pastinya kita mahu berhijrah daripada tidak baik menjadi lebih bagus," katanya.

Jelasnya lagi, titik tolak penghijrahannya bermula setelah berpindah dari Cheras ke Bangi sementelah lagi rumah itu pula letaknya betul-betul di hadapan sebuah masjid.

"Rumah di depan masjid, tetapi saya tidak pernah pergi ke masjid untuk solat berjemaah.

"Tetapi, saban waktu surah Ar-Rahman sering diperdengarkan dari corong pembesar suara masjid sehingga satu hari saya terdetik untuk mencari maksud akan surah itu.

"Selepas mengetahui maksudnya mengenai kebesaran dan kekuasaan ALLAH SWT, hati saya terdetik untuk mengikut ajaran yang diperintahkannya," katanya.

Pemilik nama sebenar Shamsul Azahar Aliddin ini berkata, cabaran terbesar perlu dihadapinya adalah bagaimana dia mahu memperbetulkan keluarganya terlebih dahulu terutama mengajar isterinya menutup aurat.

"Saya ambil pendekatan Rasulullah SAW, kita jangan terlalu pandang jauh hendak mengajar orang terutamanya akhlak sebaliknya betulkan diri kita dahulu. Apabila akhlak kita bagus, maka orang sekeliling kita juga akan bagus seperti anak-anak, keluarga, jiran-jiran dan lain-lain.

"Berat untuk saya menyatakan hasrat berubah kepada isteri sendiri apatah lagi untuk mengajak dia menutup aurat dan bertudung sebab sebenarnya untuk membentuk dan memberi dakwah pada isteri bukanlah senang. Tapi lama-kelamaan isteri menerimanya dengan sikap terbuka dan ALLAH SWT telah kabul permintaan saya," katanya berhasrat bergelar pendakwah suatu hari nanti.


Tidak tinggal dunia seni

Tambah Shamsul, penghijrahannya itu bukanlah bererti dia akan meninggalkan dunia hiburan sebaliknya akan terus menerima tawaran berlakon dan nyanyian jika bersesuaian.

"Tiada masalah untuk melakukan sesuatu yang mengikut perintah ALLAH, tetapi saya  cuba elak hal bercanggah. Saya ada juga terima tawaran untuk mengendalikan majlis keagamaan.

"Aktiviti lakonan masih ada, tetapi aktiviti itu semakin kurang kerana turut memberi tumpuan kepada mencari ilmu dan menghabiskan masa bersama anak-anak," katanya.

Dalam pada itu, pada awal hijrah, dia ada terfikir kemungkinan untuk berundur dari dunia seni.

"Saya ada bertanya kepada ustaz tentang hasrat untuk berundur daripada dunia hiburan, tetapi dia kata kalau saya berhenti, anak-anak nak makan apa?

"Apabila difikirkan, saya masih ada tanggungjawab kepada keluarga dan masyarakat. Saya kena mempamerkan lakonan yang boleh memberi kebaikan dan menjauhi kemungkaran," katanya yang bakal muncul dengan telefilem Lelaki Buaya terbitan TV3 di samping Shah Jazle dan Jasmin Hamid.

Dafi cipta nama di Romania


Dafi cipta nama di Romania
Dafi

Dafi cipta nama di Romania


BEKAS pelajar Akademi Fantasia, Gadaffi Ismail Sabri atau lebih dikenali sebagai Dafi berjaya meraih tempat ketiga dalam Crystal Stars Music Festival di Romania, semalam.

Dafi merupakan peserta tunggal negara Asia yang bertanding dalam kategori 19 tahun ke atas.

“Alhamdulillah tempat ketiga untuk saya dan Malaysia di Crystal Stars Music Festival,” tulisnya di laman mikro Twitter miliknya, awal pagi tadi.

Penyanyi berusia 25 tahun ini menyampaikan single terbarunya, Dalam Hati ini.

Peserta tuan rumah, Romania dinobatkan sebagai juara, tempat kedua milik Ukraine.

Marion Caunter timang anak kedua


Marion Caunter timang anak kedua
Buat pertama kali Leia bertemu adiknya Lana minggu lalu.

Marion Caunter timang anak kedua


PENGACARA, Marion Caunter selamat menimang cahaya mata kedua, minggu lalu.

Perkara itu disampaikan Marion melalui laman sosial, Instagramnya.

“Alhamdulillah. Miss Leia Rose kini secara rasminya seorang kakak. Kamu alukan adiknya ke dunia ini, malam tadi (31 Oktober),” tulisnya.

Sementara suaminya, SM Nasarudin turut melahirkan kesyukuran terhadap kelahiran anak keduanya itu di laman sosial Instagram.

“Alhamdulillah kami diberkati dengan seorang bayi perempuan malam tadi. Ini Leia bertemu Lana untuk pertama kali. Terima kasih untuk semuanya Marion Counter.

Marion dan Nasarudin telah diijabkabulkan pada 16 Disember 2010 dan telah dikurniakan anak sulung, Leia Rose pada Disember 2011.

Suria FM - Bukan radio 'pancing duit'!


SuriaFM - Bukan radio 'pancing duit'!

Suria FM - Bukan radio 'pancing duit'!


SuriaFM - Bukan radio 'pancing duit'!


HAMPIR lapan tahun beroperasi, stesen radio, SuriaFM, kini berjaya disenaraikan dalam kelompok empat stesen radio komersial berbahasa Melayu paling popular.

Walaupun diperkenalkan pada 26 Disember 2005, SuriaFM mula beroperasi di seluruh negeri pada 24 November 2007.

Bersiaran selama 24 jam, Suria FM memainkan muzik-muzik dari era tahun 90-an hinggalah lagu-lagu yang terkini.

Menampilkan pelbagai pilihan lagu terbaik dan terkini bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Indonesia, radio ini menyasarkan golongan pendengar di antara 25 hingga 34 tahun.

Sehingga kini radio di bawah kelolaan Rimakmur Sdn Bhd, ini berjaya mengekalkan status stesen radio popular di Malaysia dengan catatan 2.23 juta pendengar di sepanjang tahun.

Paling membanggakan, pendengar SuriaFM secara digital telah meningkat sebanyak 160 peratus dari 176,000 kepada 457,000 pendengar pada tahun ini.

Bercerita lebih lanjut mengenai kejayaan demi kejayaan stesen radio ini, Zass mendapatkan Pengurus Program Suria FM, Adiwati Zainuddin, untuk berkongsi cerita di sepanjang tahun ini.

Sehingga kini, bagaimana dengan sambutan dan penerimaan pendengar terhadap SuriaFM?

Alhamdulillah, sambutan yang kami terima dari pendengar SuriaFM sangat menggalakkan.

Kami amat berterima kasih kepada semua pendengar baru yang memilih SuriaFM sebagai radio pilihan.

Buat semua pendengar SuriaFM yang masih setia selama beberapa tahun ini, jutaan terima kasih kerana sokongan ini dan diharapkan ia akan berterusan.

Boleh ceritakan sedikit mengenai kejayaan SuriaFM di sepanjang tahun ini...

Sehingga kini, SuriaFM telah mencatatkan kenaikan yang tidak dijangkakan. Malah, pendengar pendengar setia SuriaFM, kini meningkat sehingga 457,000 pendengar di sepanjang tahun ini.

Bukan di Lembah Klang sahaja, kawasan selatan termasuk Melaka, Negeri Sembilan dan Johor juga turut mencatatkan peningkatan tinggi sebanyak 461,000 berbanding sebelum ini hanya 61,000. Ia adalah satu peningkatan yang sangat membanggakan.

Bagaimana pula dengan segmen? Apakah yang paling menarik dan paling tinggi rating?

Apa yang kami kenal pasti, segmen di Suria FM telah menjadi kegemaran semua pendengar. Bukan sahaja segmen, Ceria Pagi yang dikendalikan oleh pasangan penyampai, Halim Othman dan Adibah Noor, malah segmen Suria Cinta, DJ Lin juga mencatat jumlah masa tertinggi pendengar berbanding stesen radio berbahasa Melayu lain.

Namun, tidak kurang juga dengan segmen-segmen lain yang pastinya memberikan keceriaan dan kelainan kepada pendengar. Kami bahagikan segmen ini kepada tiga kumpulan iaitu hari Isnin hingga Jumaat, Sabtu dan Ahad. Setiap segmen akan dikendalikan DJ yang berbeza mengikut cara mereka yang tersendiri.

Alhamdulillah, setakat ini kami telah mencapai target pendengar yang kami tetapkan. Kami juga kini menerima peningkatan dari kalangan pendengar berpendapatan tinggi.

Radio manakah yang menjadi pencabar utama Suria FM?

Kami percaya bahawa Suria FM berada di dalam kelas tersendiri dan tiada persaingan secara langsung. Oleh itu, setiap stesen radio secara umumnya merupakan pesaing terhadap stesen radio lain sama ada secara langsung atau tidak.

Untuk mengelakkan daripada tercipta kontroversi di kalangan DJ ataupun terlepas cakap semasa 'on air', adakah SuriaFM mempunyai garis panduan dalam perkara ini?

Mana-mana stesen radio pasti mempunyai garis panduan. Suria FM juga telah mengambil langkah dengan mewajibkan semua penyampai radio kami untuk menghadiri latihan pematuhan ataupun ‘compliance training’. Setiap daripada penyampai ini juga diberikan ‘Code of Conduct for Broadcasting’ di mana mereka perlu baca dan fahaminya terlebih dahulu.

Mengenai peraduan yang memberi imbuhan wang, adakah ini salah satu cara untuk menarik minat pendengar untuk terus bersama SuriaFM?

Ini adalah salah satu cara bagi kami untuk mengucapkan terima kasih kepada para pendengar. Kalau boleh, kami nak hadiahkan wang pada setiap orang tapi mustahil untuk melakukannya. Jadi, inilah peluang kami untuk memberikan hadiah kepada pendengar bertuah sekali gus menceriakan mereka.

Pernah didakwa menipu pendengar dalam peraduan Ketawa & Ceria, adakah ia memberi impak buruk kepada Suria FM?

SuriaFM mengekalkan tahap integriti yang tinggi dengan semua orang, sama ada kakitangan kami, klien atau pendengar.

Apabila Suria FM mengamalkan tahap integriti yang tinggi, kami berharap perkara sebegitu tidak akan berulang lagi.

Bagaimanapun, SuriaFM akan sentiasa memastikan mesej kami adalah jelas dan mudah difahami pendengar kita. Kami sentiasa terbuka untuk sebarang pertanyaan jika ada mana-mana pendengar yang ada masalah kekeliruan.

Apa pula pandangan anda bila Suria FM dilabel radio ‘pancing duit’?

Tidak sama sekali, kerana SuriaFM lebih dikenali sebagai stesen yang menceriakan dunia anda. Apa yang kami berikan kepada pendengar bertuah adalah salah satu cara kami menghargai mereka.

Akhir sekali, apa harapan anda untuk Suria FM?

Kami amat berharap, kami sentiasa berada di tahap teratas dan sentiasa berdiri sebagai stesen radio yang mampu menceriakan pendengar sama seperti slogan yang kami gunakan, Suria FM, Menceriakan Duniamu.

Kejayaan ini akan terus menjadi semangat kepada kami untuk menampilkan yang terbaik dan mencapai kejayaan demi kejayaan setiap tahun.

Yusri-Lisa Surihani Cinta 'orang seni'


Yusri-Lisa Surihani Cinta 'orang seni'

Yusri-Lisa Surihani Cinta 'orang seni'


KISAH cinta pasangan sama cantik, sama padan ini cukup santai dan tidak merumitkan. Mula dihidu bercinta sekitar awal tahun 2011, keduanya akhirnya mengakui berkawan rapat pada penghujung tahun sama.

24 Februari 2012 menjadi tarikh keramat bagi pasangan sama cantik, sama padan ini; Lisa Surihani dan Yusry Abdul Halim disatukan dengan ikatan yang lebih suci.Malah Yusry juga secara romantis mengakui, Lisa telah membuka semula hatinya yang tertutup untuk bercinta setelah kegagalan perkahwinan pertama.

Kini setelah hampir dua tahun berkahwin, pasangan ini masih lagi menjadi perhatian ramai apatah lagi, keduanya dilihat cukup romantis dan sering bersama-sama dalam beberapa majlis.

Mengakui berada di dalam lapangan yang sama adalah satu kelebihan, Lisa berkata, topik harian dia dan Yusry tidak berkisar mengenai hal semasa dan rumah tangga sahaja sebaliknya, politik dalam dunia seni juga menjadi antara isu yang sering dibincangkan bersama.

“Memandangkan kami sama-sama bergelar anak seni, jadi kami amat memahami kerjaya dan tugas masing-masing.

“Secara peribadi macam saya sendiri, saya ada orang yang boleh saya berbual mengenai pergerakan industri, yang boleh memberi pendapat dan pandangan.

“Apatah lagi Yusry adalah seorang pengkritik yang baik, maksud saya dia tidak kutuk atau pandang negatif hasil kerja orang lain tetapi dia boleh beri pandangan yang cukup baik mengenai sesuatu perkara.

“Paling penting kami sentiasa sokong antara satu sama lain dan tidak pernah cuba untuk bersaing atau cuba mengalahkan antara satu sama lain,” ujar Lisa kepada Zass.

Sependapat dengan isterinya, Yusry berkata dia juga tidak pernah campur tangan atau menghalang Lisa dari terus aktif dari bidang seni.

“Sebagai suami tentulah saya sentiasa sokongan isteri saya dan jika dia minta pendapat, saya akan beri pendapat mana yang patut. Apa yang penting dia sukses dalam kerjayanya,” katanya.

Program bersama

Pasangan yang kini sedang sibuk menjalani penggambaran program pengembaraan baru, Pasport Cinta Yusry & Lisa mengakui amat teruja kerana diberi peluang bekerjasama.

“Dalam program ini kami sama-sama mengacara dan menariknya kami diberikan bajet untuk sesebuah percutian.

“Malah dalam program ini juga, penonton akan berpeluang melihat perbezaan perangai kami di mana Yusry gemar redah sahaja manakala saya pula gemarkan percutian terancang,” kata aktres berusia 27 tahun ini.

Lisa berkata, biarpun dalam mood bekerja, namun mereka menganggap ia adalah satu peluang buat kedua-duanya bercuti bersama-sama.

Tambahnya, dalam program ini penonton akan di bawa melihat banyak tempat menarik di Malaysia yang mungkin jarang dilawati atau tidak pernah diketahui.

“Program ini ada 13 episod dan kami sudah selesai menjalani empat episod dan kini kami berada di Pulau Langkawi untuk penggambaran episode kelima,” jelasnya.

Lisa berkata selepas ini mereka akan sibuk mempromosikan filem terbaru lakonan mereka iaitu Ular yang akan menemui penonton pada 5 Disember ini.

Mengakui pengalaman berlakon dalam filem Jason Chong itu suatu kenangan yang tidak boleh dilupakan sebelum mereka mendirikan rumah tangga.

“Ketika pembikinan filem tersebut, kami belum berkahwin dan tidak dapat saya terjemahkan perasaan apabila berlakon dengan orang yang kita sayang sebab selama ini kita hanya berlakon dengan kawan atau rakan sesama industri.

“Tapi paling penting kami sama-sama fokus dengan kerja dan tidak mengambil kesempatan di atas kloborasi kerja dan ia juga adalah satu sesi pembelajaran buat kami,” jelasnya.

Impian Lisa

Dalam pada itu, di tebak mengenai perancangan Lisa dalam lima tahun yang akan datang, bintang utama Istanbul Aku Datang ini menjelaskan dia mempunyai keinginan untuk berada di belakang tabir suatu hari nanti.

Katanya, sebagai pelakon, dia amat menginginkan untuk menjadi seorang pengarah pada suatu hari nanti.

“Kalau bercakap pasal impian, saya beritahu tentang kerjaya sahaja ya. Walaupun masih terlalu awal untuk bercakap pasal impian tetapi saya akui teringin untuk menjadi seorang pengarah.

“Tetapi ia bukan bermakna saya mahu berhenti mencari pelakon. Sama ada mengarah sendiri atau bersama Yusry, macam saya cakap tadi ia terlalu awal untuk saya beritahu secara rapi.

Tapi saya memang teringin untuk berada di belakang tabir.

“Selain itu, saya kini juga sedang menceburi bidang perniagan interaktif secara atas talian dan ia menggunakan ‘branding’ Lisa Surihani sendiri,” kongsinya.

Perancangan Yusry

Sementara itu, bagi pengarah dan juga ahli kumpulan KRU ini, setelah dua kali mengarahkan filem berskala besar, dia kini sudah mempunyai perancangan tersendiri dalam penghasilan filem animasi.

Menurut Yusry, dia tidak lagi mempunyai perancangan untuk mengarahkan sebuah lagi filem epik dan untuk projek akan datang, dia bakal mengarahkan filem Cicakman 3 pada bulan Januari ini.

“Saya kalau boleh mahu mengikut aliran semasa dan tidak mahu melawan arus. Buat masa ini saya hanya merancang untuk menghasilkan filem animasi sahaja.

“Apa yang penting fokus utama saya selepas promosi filem Ular adalah penggambaran filem Cicakman 3 dan sekali gus menjadi momen pertama kali saya dan Lisa bekerjasama sebagai pelakon dan pengarah,” akhirinya.

Persaingan sengit ASK 2013


Persaingan sengit ASK 2013
Dari kiri: Eirma Fatimah, Faizal Hussein dan Umie Aida.

Persaingan sengit ASK 2013


DALAM pada itu, ASK 2013 turut menyaksikan nama-nama besar seperti Eirma Fatima (Pengarah Terbaik Drama-Aku Bukan Malaikat) Datin Paduka Umie Aida (Pelakon Wanita Terbaik Drama-Aku Bukan Malaikat) dan Lisa Surihani serta Nora Danish (Pelakon Wanita Terbaik Filem), yang bersaing sengit bagi kategori masing-masing.

Turut tercalon, Adi Putra dan Shaheizy Sam sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Filem dan juga Rosyam Nor sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Drama)

Bagi anugerah Drama Terbaik- Aku Bukan Malaikat, Di Bawah Langit Mu, Fatihah Untuk Abah, Mawar Putih Tanda Perpisahan dan Neraka Abah, dipilih sebagai lima naskhah terbaik untuk kategori itu.    

Sementara itu, persaingan untuk kategori Filem Terbaik juga tidak kurang sengitnya, dengan pencalonan filem KIL, SAM, Rock OO, Istanbul Aku Datang dan Langgar.

Pengurus Besar Kumpulan TV3 dan TV9, Sherina Nordin berkata, semua pencalonan dinilai oleh panel juri profesional yang dipilih.

“Kami bersyukur kerana penganjuran kali ini mendapat kerjasama baik dan sokongan positif daripada rakan-rakan penyiar TV yang lain.

“Tahun ini, ASK 2013 tampil dengan satu kelainan dan mencipta sejarah tersendiri apabila mengumumkan senarai lima pencalonan terbaik bagi kesemua kategori sebulan sebelum Anugerah Skrin diadakan.

“Selain mencetuskan debaran dalam kalangan finalis yang bertanding sebulan sebelum acara berlangsung, kami juga ingin meraikan kesemua finalis yang tersenarai kerana mereka sudah layak bergelar sebagai pemenang.” katanya.

Tuah 3 jejaka hebat - Sharnaaz - Izzue - Sein


Tuah 3 jejaka hebat - Sharnaaz - Izzue - Sein
Dari kiri: Sein, Izzue dan Sharnaaz. - Foto Sinar Harian oleh ZULFADLI ZAKI

Tuah 3 jejaka hebat - Sharnaaz - Izzue - Sein


MENJELANG anugerah paling berprestij, Anugerah Skrin 2013 (ASK 2013), yang bakal berlangsung pada 29 November ini, menyaksikan tiga jejaka hebat, Sharnaaz Ahmad, Syed Hussein (Sein) dan Izue Islam, berjaya menerima pencalonan antara top 5 bagi kategori masing-masing.

Bakat seni yang dimiliki ketiga-tiga nama ini, sememangnya tidak dapat dipertikaikan lagi. Dan pengiktirafan ini pastinya akan menjadi platform untuk mereka pergi lebih jauh dalam industri seni tanah air.


Sharnaaz hormat 'orang lama'

Menurut Sharnaaz, yang dicalonkan menerusi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem menerusi filem Juvana, dia sangat  terharu dengan pengiktirafan itu.

Katanya, tersenarai sebagai top 5 pencalonan itu sudah cukup bermakna buatnya.

"Pada saya, ia adalah satu penghargaan yang cukup baik. Namun saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi," kata Sharnaaz yang terpaksa bersaing dengan orang lama, seperti Khir Rahman, Sofi Jikan, dan Harun Salim Bachik yang turut tersenarai dalam pencalonan itu.

Meskipun bangga kerana namanya turut dicalonkan bersama 'otai-otai' itu, sebagai 'orang muda', Sharnaaz bagaimanapun tetap menghormati mereka.

“Saya sangat menghormati mereka. Banyak sumbangan yang sudah mereka lakukan dalam industri ini dan saya sangat kagum dengan hasil kerja mereka.

“Sebagai orang baharu, saya banyak belajar dan menimba kemahiran pembawaan karakter sekali gus menyumbangkan lakonan dengan cara yang baru untuk dikongsi bersama,” katanya yang mahu memberikan kepuasan kepada penonton menerusi pembaharuan dalam lakonan untuk menghidupkan sesuatu watak yang diberikan.


Jadi 'Hang Jebat'

Dalam perkembangan lain, Sharnaaz berkata, dia kini baharu selesai menjalani penggambaran drama Jebat yang bakal ditayangkan di Astro Mustika HD.

Membawa peranan sebagai watak utama, Sharnaaz berkata, dia terpaksa menjaga badan demi memenuhi watak itu.

"Untuk kelihatan sasa, saya sering ke gym dan juga menjaga pemakanan.

"Sebagai Jebat, saya mesti nampak garang, gengster, hati kering tapi ada sisi romantiknya. Sejujurnya saya sangat menyukai watak itu.

"Alhamdulillah, walaupun saya pernah melalui detik sukar dalam hidup, namun Tuhan sentiasa memberikan rezeki untuk saya," katanya yang bakal muncul dengan filem terbaru, Dollah Superstar, di samping Awie dan Neelofa. Filem arahan Khabir Bhatia ini dijangka berada di pawagam pada Februari tahun hadapan.


Izzue masih terkejut

Seperti mana Sharnaaz, aktor yang semakin mencipta nama ini turut terkejut apabila dia juga tercalon dalam kategori sama yang menampilkan nama-nama besar itu.

Masih tidak percaya dia berjaya tersenarai sebagai top 5 bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Izzue berkata, sebagai pendatang baharu dia sangat bersyukur dengan pengiktirafan itu.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan pencalonan menerusi filem 29 Februari ini, walaupun masih terkejut dan berdebar, saya yakin telah melakukan yang terbaik.

“Saya amat berbangga dengan pencalonan ini kerana dapat sebaris dengan pelakon lama yang berkebolehan.

“Bagi saya mereka mempunyai kekuatan masing-masing dalam menjayakan lakonan mereka,” katanya yang turut tidak meletakkan harapan yang tinggi dalam anugerah itu.


Tumpu pada Forteen

Mengulas mengenai perkembangan seninya, Izue berkata, dini kini sedang menumpukan perhatian sepenuhnya dalam rangka mini showcase bersama Forteen.

Bakal tampil dengan album Forteen pada 27 November ini, Izzue memberitahu, dia juga kini sedang sibuk mempromosikan single terbaru mereka, Tak Pernah Berjumpa.

“Buat masa sekarang, saya mahu tumpu pada album. Saya juga terpaksa kosongkan jadual lakonan saya demi memberi tumpuan sepenuhnya terhadap karier nyanyian saya," katanya yang baharu pulang dari Cape Town, Afrika kerana menjalani penggambaran Fear Factor musim terbaru.

Dalam pada itu, tiga filem lakonannya bakal menyusul tidak lama lagi, Hantu Tok Mudim (21 November), Ular (5 Disember) dan Chikaro (26 Disember).

Di tebak mengenai dirinya yang lebih menyerlah berbanding ahli Forteen yang lain, Izzue pantas menolak perkara itu.

“Kami sama-sama menyerlah dan ada pengikut masing-masing. Apa yang penting sokongan kami tidak pernah berbelah bagi,” jelasnya.


Sein idam trofi Pengarah Terbaik?

Selain itu, Sein yang dicalonkan menerusi kategori Pengarah Terbaik Filem menerusi filem Langgar, tetap menganggapnya sebagai 'rezeki' meskipun terpaksa bersaing dengan empat buah filem yang tidak kurang hebatnya,  Nik Amir Mustapha menerusi (KIL), Syafiq Yusof (SAM), Mamat Khalid (Rock OO) dan Bernard Chauly (Istanbul Aku Datang).

"Saya sangat terharu apabila tercalon dalam kategori ini kerana saya sudah memberikan komitmen yang banyak untuk filem ini.

"Tercalon dalam kategori untuk kerusi pengarahan merupakan platform yang sangat saya nantikan agar saya terus dapat memberikan yang lebih baik," kata Sein.


Fokus mengarah

Mendapat pujian menerusi Langgar, Sein berkata, dia kini sedang mengarahkan beberapa buah filem termasuklah kerjasama dengan pengarah berbakat, Khir Rahman, tidak lama lagi.

"Saya memang dah lama simpan impian untuk berada di kerusi pengarah. Jadi bila dapat peluang, saya akan gunakan sebagai mungkin.

"Saya jenis yang suka fokus dalam sesuatu perkara untuk mendapatkan hasil yang terbaik. Disebabkan itu, saya tidak akan mengarah sambil berlakon," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan