Cari Artikel

Wednesday, October 30, 2013

Aman Nassim: Tak kejar glamor


Aman Nassim: Tak kejar glamor
Aman Nassim

Aman Nassim: Tak kejar glamor


NAMA Aman Nassim,24, barang kali masih janggal dalam dunia hiburan tanah air. Bagaimanapun, anak jati Johor Bahru ini semakin giat berusaha \ menempa nama sebagai aktor yang disegani.

Bermula dengan teater, bekas pelajar Diploma Teater, Akademi Seni Kebangsaan (Aswara), ini kemudiannya mencuba nasib di layar kaca dengan membintangi drama 'Mistik Alam Hitam' (2010) arahan Rashid Sibir. 

Nasib menyebelahinya, apabila bakatnya turut dipandang pengarah dan penerbit lain setelah ditawarkan beraksi untuk beberapa drama popular seperti Sebenarnya Aku Isteri Dia, Kerana Sarah, Derhaka Seorang Madu dan Fira Ayuni.

“Saya memang minat berlakon sejak kecil lagi. Sebab itu juga saya mengambil pengajian di Aswara. Malah tak pernah terlintas pun nak mengejar glamor atau wang semata-mata.

“Alhamdulillah... keluarga saya sangat memahami dan tidak menghalang untuk saya mengejar cita-cita dalam dunia seni,” katanya.

Akui masih baru dalam dunia seni, Aman berkata dia sanggup belajar dari bawah dan tidak memilih watak.

“Saya tidak kisah memegang watak apa sekalipun, asalkan ia mampu menyerlahkan bakat lakonan saya.

"Kalau boleh, saya nak jadi pelakon yang versatil dan dan terikat dengan satu-satu watak saja," katanya yang pernah membintangi watak antoganis dalam filem Psiko Pencuri Hati.

Sertai Liga Lawak Superstar

Bercerita lanjut mengenai dirinya, Aman berkata, pengalamannya di pentas teater banyak membantunya menjadi pelakon yang lebih baik.

“Sebenarnya teater lebih sukar berbanding drama atau filem kerana terikat dengan tempoh tertentu.

“Kita harus peka dengan setiap langkah kerana ia berlaku secara berterusan. Sebaliknya dalam drama pengarah yang akan yang akan menentukan lakonan kita,” katanya yang pernah menjayakan teater Rompakan Bersenjata arahan Aloy Paradoks tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, Aman berkata dia kini sibuk dengan program realiti Liga Lawak Superstar yang hanya berbaki 11 episod lagi.

Bersama dengan komedian terkenal, Hamdan dan Amyza Aznan dalam kumpulan Derhaka Seorang Cinderella, Aman berkata dia tetap rasa gembira kerana dapat menyertai program itu.

“Walaupun kumpulan kami mendapat kedudukan tercorot pada minggu pertama dan kedua bagi kumpulan A, namun kami tidak mahu menyerah kalah.

“Ia baru dua minggu dan kami masih mempunyai dua minggu lagi untuk berlatih. Biarpun ia percubaan pertama saya untuk lawak tetapi saya tidak layak digelar pelawak,” katanya.

Ahmad Idham: Jadi mangsa keadaan!


Ahmad Idham: Jadi mangsa keadaan!
Ahmad Idham

Ahmad Idham: Jadi mangsa keadaan!


ENGGAN menyalahkan mana-mana pihak berhubung isu ini, pengarah dan penerbit filem, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, mengakui ia berpunca daripada kelemahan sistem pentadbiran yang ada.

Menurut Idham, perkara ini berlaku akibat kecuaian badan kerajaan terutamanya Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang gagal dalam sistem pengurusan industri.

"Saya tidak marahkan penonton bila mereka mengkritik karya kita dengan lantang kerana saya ibaratkan pembikin filem mangsa keadaan.

"Kami menjadi mangsa kepada sistem pengurusan yang lemah dan tidak relevan. Selagi pengurusan tidak dilakukan dengan cara yang betul, masalah ini akan berlanjutan dari masa ke semasa," kata pengarah filem, Mael Lambong ini.

Tambah Idham, pernah satu ketika hatinya terdetik untuk berundur dalam industri dan penghasilan filem.

"Memang saya pernah terdetik nak tarik 'handbreak'. Namun, memikirkan industri dan penonton, saya jadi serbasalah.

"Atas dasar cintakan industri, saya masih bertahan hingga kini dan begitu juga dengan penerbit lain," katanya.

Adakah Benar Filem tempatan semakin hilang kualiti?


Adakah Benar Filem tempatan semakin hilang kualiti?

Adakah Benar Filem tempatan semakin hilang kualiti?


TIDAK dinafikan, penghasilan karya filem pada tahun ini turut menunjukkan peningkatan drastik berbanding beberapa tahun sebelum ini.

Sepanjang tempoh tayangan tahun lalu, ia mencatat jumlah penghasilan filem paling tinggi iaitu sebanyak 76 filem berbanding 49 filem pada 2011 dan 39 filem pada 2010.

Berdasarkan statistik di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), bermula Januari hingga September tahun ini, 50 filem telah selesai ditayangkan di pawagam.

Malah, bilangan ini akan meningkat dari masa ke semasa selepas Skim Wajib Tayang menetapkan dua filem tempatan akan ditayangkan dalam masa seminggu bermula awal 2012.

Pun begitu, walaupun perkara ini dilihat dapat membantu masalah lambakan filem yang terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan tarikh tayangan, namun ia sekali gus mengundang permasalahan baharu.

Di saat pembikin filem berlumba-lumba menghasilkan karya untuk disajikan kepada penonton, mungkin mereka terlepas pandang mengenai beberapa faktor yang menguatkan penghasilan sesebuah filem.

Malah, ada yang hanya mengambil masa kurang daripada 20 hari untuk menyiapkan penggambaran dan proses penyuntingan filem.

Adakah filem yang disiapkan dalam keadaan tergesa-gesa itu mampu memberikan kepuasan kepada penonton ataupun mereka hanya menghasilkan karya seperti 'melepaskan batuk di tangga' sahaja?

Malah, filem yang dihasilkan kini rata-rata tidak mempunyai kriteria yang perlu ada dalam sesebuah filem.

Jika dilihat dari segi mutu, kualiti, jalan cerita dan skrip, ia hanya setanding drama tempatan sahaja dan sememangnya tidak layak untuk diangkat ke layar perak.

Mana tidaknya, ada segelintir produksi lebih suka memilih pelakon baru untuk diangkat sebagai bintang filem walaupun ada kalanya lakonan dan bakat yang ada hanyalah suam-suam kuku sahaja.

Malah, kebanyakan penonton menilai terlebih dahulu sesebuah filem menerusi trailer dan genre yang disiarkan sebelum menonton.

Selain itu juga, ada segelintir filem kini dilihat semakin terbarai dan tidak mementingkan sinematografi sesebuah filem.

Bukan itu sahaja, dari segi jalan cerita, genre dan tema yang stereotaip juga memberi kesan kepada jumlah tontonan.

Tidak kurang juga yang mengkritik dan membandingkan mutu filem kita dengan filem luar termasuk Indonesia apabila filem kita hanya tahu mengasah cerita-cerita hantu, kisah cinta dan gangster semata-mata.

Penghasilan filem yang tidak memenuhi piawaian ini turut memberi impak kepada kutipan di pawagam, malah ada di antara filem itu hanya mendapat kutipan kurang daripada RM200,000 sepanjang tayangan.

Malah, pada tahun ini, kebanyakan filem yang dihasilkan gagal mendapat pulangan modal, rata-rata daripadanya melibatkan kerugian besar.

Hanya beberapa filem sahaja yang mampu meraih keuntungan, antaranya filem, Husin, Mon & Jin Pakai Toncit, Juvana, Minyak Dagu, Rock Oo, Bikers Kental, Langgar, KL Zombie dan KL Gangster 2.

Betul Ker Abby Abadi tidak hormat suami?


Betul Ker Abby Abadi tidak hormat suami?
Abby Abadi dan suami Muhammad Noor Farhan Che Bakar

Betul Ker Abby Abadi tidak hormat suami?


TIDAK hanya mencetuskan kontroversi berkaitan isu politik, timbul pula cerita tidak enak mengenai sikap bekas anggota Elite, Abby Abadi atau nama sebenarnya, Arbaiyah Abdul Manan, 36, yang dikatakan tidak menghormati suaminya, Muhammad Noor Farhan Che Bakar, 24.

Berita yang tersebar di kebanyakan blog itu bukan saja melaporkan aktres itu melayani suaminya dengan kasar, bahkan turut menengking Farhan di hadapan orang ramai.

Situasi itu dikatakan berlaku setelah kereta yang dinaiki mereka rosak selepas pulang dari majlis anjuran Pas, di Sungai Limau, Kedah, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Abby yang telah bernikah dengan Farhan pada 9 Julai lalu itu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu dan menganggap ada pihak yang sengaja cuba untuk menjatuhkan kredibilitinya.

“Semua itu fitnah untuk memburukkan saya! Saya tidak meninggi suara atau menengking suami seperti yang didakwa oleh mereka. "Ini semua mainan politik kotor orang yang tidak menyenangi saya,” tegasnya.

Mengulas mengenai persepsi segelintir pihak yang menganggap dia cuba mengawal suaminya atas jurang usia yang ketara, Abby berkata, dia tahu kedudukannya sebagai isteri dan tetap meletakkan suami sebagai ketua keluarga.

“Cukuplah fitnah-fitnah itu. Hubungan saya dan suami baik-baik saja," ujarnya.

Tetap dengan pendirian

Dalam pada itu, Abby turut mengulas kenyataan Presiden Seniman, Zed Zaidi, 33, yang menempelak tindakannya dalam mengaitkan kehidupan artis dan maksiat ketika sesi ceramahnya sebelum ini.

Menurut Abby, dia hanya berkongsi pengalamannya ketika bergelar artis dan tindakan Zed membidasnya itu turut dibayangi jawapan politik.

"Saya lihat kenyataannya tidak realistik. Mengapa dia mahu fitnah saya? Ini perjuangan saya untuk memperbetulkan apa yang berlaku dalam industri hiburan tanah air, yang mana kini terlalu banyak maksiat yang berlaku.

“Namun, siapalah saya kerana saya tidak mempunyai kuasa untuk membentuk dan mendidik acuan dalam industri hiburan. Cuma apa yang dapat saya lakukan adalah berdakwah dan menyebarkan apa yang dibolehkan oleh agama,” katanya.

Mengulas mengenai sikapnya yang tidak disenangi segelintir pihak, ibu kepada tiga cahaya mata ini nyata melahirkan rasa kecewa. Bagaimanapun dia tidak mahu mendendami sesiapa yang tidak menyukainya.

“Saya tidak berdendam dengan sesiapa. Dan saya maafkan ketelanjuran mereka. Bagi saya setiap manusia perlu melalui proses kematangan.

“Saya memberikan peluang kepada sesiapa untuk memperbaiki niat mereka,” akhirinya.

Maya Karin tak serik pilih ‘mat saleh’!


Maya Karin tak serik pilih ‘mat saleh’!
Maya Karin

Maya Karin tak serik pilih ‘mat saleh’!


Selepas kegagalan rumah tangganya bersama Muhammad Ali atau nama sebenarnya Steven David Shorthose pada tahun 2010, nampaknya pelakon jelita, Maya Karin Roelcke, 33, tidak serik untuk menjalinkan hubungan serius dengan jejaka kulit putih.

Maya yang kini sudah tidak berselindung mengenai hubungan cintanya,  bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai 'mat saleh' yang sedang bertakhta di hatinya itu.

"Biarlah saya merahsiakannya dulu. Sebenarnya, saya tidak memilih mana-mana lelaki. Namun, mungkin sudah ditakdirkan untuk bertemu semula dengan lelaki berkulit putih," katanya yang tidak meletakan sebarang syarat, melainkan jejaka itu harus  menyayangi dan memahaminya.

Pelakon yang popular dengan watak Izzah menerusi filem ombak rindu ini juga, tidak mahu lagi memberikan publisiti meluas tentang hubungan cintanya.

Katanya, cukuplah sekadar dia memberitahu media bahawa dia kini masih menjalinkan hubungan istimewa dengan lelaki kulit putih yang juga merupakan orang dalam industri hiburan.

Biarpun mengakui  sedang mengenali hati budi lelaki tersebut, Maya menjelaskan hubungan itu masih lagi di peringkat awal.

“Setakat ini hubungan kami berjalan lancar dan dia sentiasa memberi sokongan kepada kerjaya saya.

“Saya sudah kenal lama dengan dia, tetapi hubungan ini masih pada peringkat awal. Biarlah hubungan ini berkembang dengan baik dan doakanlah yang terbaik buat saya,” kata Maya yang mengakui sudah bersedia untuk melangkah ke alam rumah tangga.

Namun, apabila ditanya mengenai bilakah dia akan menamatkan status solonya, Maya menegaskan ia akan tiba masanya.

“Kita tunggu saja. Insya-ALLAH, jika ada jodoh, saya akan menghebahkannya kepada media,” katanya.

Maya Karin tak serik pilih ‘mat saleh’!

Bakal ke Sepanyol

Walaupun kini sedang sibuk dengan pengacaraan dan bisnes korporat, namun Maya, mengakui masih boleh membahagikan masa bersama kekasih serta keluarganya.

Malah aktres yang pernah popular menerusi filem ‘Pontianak Harum Sundal Malam’ ini berkata, dia cuba memenuhi hobi lapangnya dengan bercuti bersama keluarga di luar negara. Dan yang terbaru, dia mungkin akan melancong di Sepanyol.

Katanya, walaupun sudah berpunya, namun ia tidak membataskan kemesraan dengan keluarga memandangkan dia sangat menjaga hubungan tersebut dan mementingkan ruang bersama keluarga.

“Sibuk macam mana sekalipun, saya tetap membahagikan masa bersama keluarga. Begitu juga dengan kekasih. Tapi belum pernah lagi saya keluar melancong bersama kekasih,” katanya yang berharap hubungannya dengan jejaka Inggeris itu akan ke arah lebih baik memandangkan dia sudah beberapa kali dikecewakan sebelum ini.


Lepas gian selepas 12 tahun

Mengulas mengenai kerjaya seninya, pelakon ini berkata, dia kini sedang sibuk menjalani latihan teater muzikal ‘Supermokh’ arahan Hans Isacc yang diterimanya. Menerusi teater itu, Maya melakonkan watak Tengku Zarina, isteri kepada legenda bola sepak terkenal negara, iaitu, Allahyarham, Datuk Mokhtar Dahari

Maya berkata, ia adalah satu lagi karakter mencabar selepas membintangi teater terakhir sejak 12 tahun lalu.

“Saya harus menjiwai watak Tengku Zarina. Selepas bertemu sendiri dengannya saya mengkaji karakter Tengku Zarina. Dia adalah wanita yang cukup kuat dan juga romantik.

“Memandangkan ini bukan filem atau dokumentari, maka saya kena bekerja lebih keras untuk memastikan saya benar-benar berjaya membawa watak itu.

“Namun berlakon dan menyanyi dalam satu masa, bukanlah asing untuk saya. Dengan membintangi muzikal ini, sekurang-kurangnya saya dapat melepaskan 'gian' untuk berlakon di pentas teater," katanya yang ditemui selepas melancarkan kempen
Ekstravaganza Petronas bersama selebriti.


Masih bergelar penyanyi

Bercerita mengenai perkembangan single terbarunya, Maya berkata, walaupun ‘single’ itu masih belum popular, namun ia dapat menjangka selepas selesai pembikinan muzik video dan promosi yang dirancang oleh Warner Music ‘single’ berjudul Bintang Syurga ciptaan Audi Mok dan Omar K itu bakal diterima peminat.

Menurutnya, lagu itu juga akan dimuatkan dalam albumnya bersama syarikat rakaman itu yang akan dipasarkan pada penghujung tahun ini.

Dalam pada itu, Maya berkata, dia kini sibuk belajar mendalami dan menambah ideanya dalam bidang perniagaan.

“Saya ada perancangan untuk terlibat dalam bidang perniagaan, namun saya masih tercari-cari apakah peluang perniagaan yang menjamin saya sebagai pelaburan di masa hadapan.

“Saya masih masih belajar untuk ceburi dunia perniagaan,” kata pelakon yang  pernah memenangi anugerah aktres terbaik, Festival Filem Malaysia ke-21 pada tahun 2008.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan