Cari Artikel

Tuesday, October 29, 2013

Liga Lawak Superstar - Belum tunjuk 'taring'


Liga Lawak Superstar - Belum tunjuk 'taring'

Liga Lawak Superstar - Belum tunjuk 'taring'


Program realiti terbaru TV3, Liga Lawak Superstar (LLS) yang menampilkan lapan komedian dan 16 artis popular tanah air dalam menggilap bakat serta kreativiti mereka menerusi sketsa komedi telah memulakan pertarungan pada setiap hari Ahad jam 9 malam.

Hanya berbeza satu mata, juara minggu LLS bagi Kumpulan A menjadi milik Apa Kasih Toq yang dianggotai oleh Didie Alias, Kamal Adli dan Fizz Fairuz.

Kumpulan Apa Kasih Toq (AKT) menang nipis (59 markah) dengan kumpulan Aku (Bell Ngasri, Idzham Ismail dan Hairi Safwan) yang memperoleh 58 markah.

Selain itu, dua lagi kumpulan iaitu Derhaka Seorang Cinderella (Hamdan, Amyza Aznan dan Aman Nassim) mendapat 48 markah manakala Spy Kampung (Farouk Hussain, Zalif Sidek dan Shafiq Kyle) peroleh 51 markah  dilihat kurang menyerlah berbanding rakan seangkatan mereka yang lain.

Empat pasukan ini berentap meraih markah daripada barisan juri tetap terdiri daripada Ida Nerina, Vanidah Imran dan Adlin Aman Ramli (ketua juri), juri awam dan mendapat undian SMS daripada orang ramai.

Pusingan pertama menampilkan persaingan sengit antara Apa Kasih Toq dan Aku dalam permainan Apa Maksud Kau.

Sementara itu, kumpulan Derhaka Seorang Cinderella dan Spy Kampung mula menunjukkan peningkatan mendadak menerusi cabaran Jampi.

Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Siti Nurlisia Mohd Nadzri berkata, mereka perlu berhadapan dengan lima cabaran berbeza pada setiap minggu.

Katanya, minggu ini peserta perlu bermain permainan iaitu Apa Maksud Kau, Jampi, Pentiru Besar, Bilik Soal Siasat dan Karaoke Uncle Spa.

"Selepas pertarungan pertama oleh Kumpulan A dan B, setiap kumpulan sudah jelas mempamerkan potensi mereka namun, terlalu awal membuat ramalan.

"Lagipun kebanyakan peserta belum menunjukkan taring masing-masing kerana masih mencari identiti dalam persembahan," katanya.

Nurlisia berkata, setiap peserta perlu memperbaiki kelemahan persembahan dan ada kalanya mereka tidak konsisten.

"Peserta perlu peka dari awal lagi supaya mengemaskan lagi persembahan  dari semasa ke semasa kerana masih mempunyai 3 pusingan sebelum sesi penyingkiran.

"Kami berharap semua pasukan mengekalkan momentum dan terus memberikan persaingan pada minggu seterusnya," katanya.

Juara LLS sekali gus membawa pulang RM250,000. Sementara itu naib juara akan membawa pulang RM75,000 manakala tempat ketiga RM50,000 dan tempat keempat RM25,000.

Elaine, Sofea dan Dira buktikan kemampuan


Elaine, Sofea dan Dira buktikan kemampuan
Dari kiri: Elaine, Sofea dan Dira buktikan kemampuan. - Foto Sinar Harian oleh ZULFADHLI ZAKI

Elaine, Sofea dan Dira buktikan kemampuan


Peluang untuk duduk di ‘kerusi’ pengarah digunakan sebaiknya oleh Elaine Daily, Datin Sofea Jane dan Dira Abu Zahar yang lebih dikenali sebagai pelakon.

Semua ini hanyalah kerana projek Ikal Mayang yang dilakukan oleh mereka sempena Hari Wanita Sedunia yang disambut pada 8 Mac setiap tahun.

Ikal Mayang merupakan cetusan idea daripada badan bukan kerajaan (NGO), Women: Girls, membabitkan 15 kompilasi filem pendek arahan 15 penggiat seni wanita dalam mengetengahkan isu-isu kehidupan golongan hawa.

Lebih membanggakan lagi, projek Ikal Mayang ini turut diundang menyertai Festival Filem Antarabangsa Busan ke-18 (BIFF18), di Busan, Korea Selatan, Oktober lalu.

Bagaimanapun, dalam mencuba sesuatu yang baru, baik Elaine Daily, Sofea Jane mahupun Dira Abu Zahar, bidang lakonan tetap menjadi pilihan utama.


Elaine, Sofea dan Dira buktikan kemampuan

Tertarik kerana Khairy Jamaluddin- Elaine Daily

Faktor penarik bagi filem pendek, Inspektor Wanita arahan bekas ratu cantik Malaysia dan pelakon, Elaine Daily ialah apabila Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menunjukkan bakat lakonannya.

Membawa watak sebagai penjual ayam percik di sebuah pasar malam, ternyata, Ketua Pemuda Umno itu mempunyai bakat terpendam dalam bidang lakonan sehingga turut diakui oleh Elaine sendiri.

“Di set beliau seorang yang profesional. Semua dialog beliau hafal dan melakonkan babaknya dengan hanya dua kali ‘take’ saja,” kata pengacara program bual bicara, Bella,

Ceritanya lagi, keterlibatan Khairy dalam filem pendek ini adalah secara kebetulan dan tidak menyangka beliau akan menerima tawarannya.

“Saya terjumpa Khairy di sebuah acara pada Oktober tahun lalu dan terus bertanya sama ada dia berminat untuk berlakon dalam filem pendek saya atau tidak.

“Mulanya, dia bertanya adakah kemunculannya itu untuk sesuatu yang baik dan saya katakan sudah semestinya kerana filem saya ini adalah untuk memberi inspirasi kepada wanita. Lantas beliau terus bersetuju,” jelasnya.

Kata Elaine, Inspektor Mastura mengisahkan seorang polis wanita yang pada mulanya tidak percaya pada cinta tetapi akhirnya jatuh cinta dengan seorang penjual ayam percik.

“Saya tertarik pada keperibadian anggota polis wanita dan banyak mengikuti kes jenayah.

“Dalam kajian saya, setiap polis wanita itu mempunyai sejarah hidupnya yang tersendiri,” kata pemegang Ijazah Undang-Undang dari External University of London dan Sijil Amalan Guaman dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur itu.

Selain Khairy Jamaluddin, filem pendek itu turut menampilkan Sharifah Aleya, Beto Kusyairy dan penyampai radio Suria FM, Adibah Nor.

Bakal bertudung

Tambah Elaine lagi, pengalaman hasil kerjanya itu dijadikan batu loncatan untuknya terus mengarah dan menghasilkan filem yang lebih baik pada masa akan datang.

“Saya memang berhasrat untuk menghasilkan filem pada masa akan datang, tetapi saya tak rasa Khairy ada masa untuk berlakon lagi.

“Maklumlah, kini dia agak sibuk dengan pelbagai urusan berkaitan negara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Pelakon Drama TV Wanita Terbaik di Anugerah Seri Angkasa 2010 itu berkata, dia kini baru saja tamat penggambaran telefilem Permata Hati di samping pelakon meningkat naik, Zul Ariffin.

“Dalam telefilem itu, saya memegang watak gadis bertudung. Dulu, saya diberi dengan watak yang stereotaip seperti model.

“Tetapi selepas kejayaan drama Satu Ketika...Apa Dosaku, ramai penerbit dan pengarah sudah mula buka mata dengan bakat lakonan saya,” katanya yang sudah bersedia untuk menamatkan zaman bujang.


Sofea Jane pilih 'anak luar nikah'

Kisah benar mengenai seorang remaja yang mengandung anak luar nikah menjadi subjek utama dalam filem pendek, 1-800-Baby karya Sofea Jane.

Selain bertindak sebagai pengarah, Sofea juga merupakan penulis skrip untuk filem pendek ini.

Filem pendek 1-800-Baby yang menampilkan gandingan pelakon berpengalaman seperti Normah Damanhuri, Nam Ron, Bront Palarae dan Nadiya Nisaa berkisarkan seorang wanita bernama Salmah yang menggunakan rancangan temu bual televisyen untuk menjejak anaknya yang diserahkan kepada orang lain sejak bayi lagi.

“Ceritanya adalah mengenai seorang wanita yang diasingkan kerana dia menyimpan satu rahsia yang tidak dapat dikongsi dengan orang lain kerana tekanan politik, sosial dan agama di dalam masyarakat itu.

“Tetapi persoalannya, wajarkah bayi yang dikandungkan itu digugurkan atau sedia menanggung malu di kemudian hari? Hal ini berlaku kerana, kita tidak mempedulikan punca utamanya dan itu yang saya cuba dilontarkan,” katanya yang mengambil masa selama dua bulan untuk menghasilkan skrip.

Tambahnya, dia cuba melontarkan semua persoalan yang bermain di mindanya kerana dia sendiri tidak mempunyai jawapan pada persoalan itu.

“Saya tampilkan sedikit kelainan apabila ibu itu sendiri yang berusaha untuk mencari anak yang ditinggalkan itu.

“Walau apa pun rintangannya, seorang ibu memang tidak akan pernah melupakan anaknya.

“Tetapi, persoalan saya sebagai penulis ialah di manakah peranan kita sebagai seorang masyarakat?,” katanya yang terlibat dengan kerja pra produksi selama sebulan setengah, termasuk penggambaran dua hari.

Serik mengarah?

Berbeza dengan Elaine, Sofia Jane yang terkenal menerusi filem Perempuan, Isteri dan... berkata, dia tidak berhasrat mengarahkan filem pada masa akan datang.

Menurutnya, projek filem pendek ini dibuat bertujuan memberi suara kepada wanita-wanita di dalam masyarakat yang mungkin tidak mempunyai suara itu.

“Ia dibuat menerusi program Ikal Mayang sempena menyambut Hari Wanita Sedunia.

“Saya tidak sangka ia akan berjalan jauh hingga ke Korea tetapi saya percaya bahawa semua pelakon harus menulis sesuatu walau sekecil manapun dan cuba mengarah sesuatu.

“Lagipun, ia tidak jauh dari apa yang kita lakukan sebagai pelakon iaitu bercerita. Itulah peranan story teller, itulah peranan pengarah dan itu juga peranan pelakon untuk bercerita,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Sofea akan beraksi di pentas teater karya Nam Ron di samping Vanidah Imran dan Sharifah Amani pada 1 hingga 3 November ini serta menantikan tayangan filem Hanyut yang dijangka keluar pada Disember nanti.

“Ada juga beberapa projek akan datang yang sedang dibincangkan,” katanya.

Dira bongkar 'Jerat Suami'

Filem pendek arahan sulung Dira Abu Zahar, Jerat Suami iaitu sebuah mokumentari yang memaparkan kisah wanita yang menjerat lelaki untuk mengahwini mereka di samping pengalaman seorang lelaki yang bernama Razi berkongsi pengalamannya
sendiri bersama-sama wanita yang dikahwininya.

“Isu wanita perlu berkahwin itu adalah sesuatu yang serius. Di negara kita, khususnya masyarakat  Melayu, jika dilabel sebagai anak dara tua, itu memang menjadi satu masalah!

“Jadi, sebab itu saya keluar dengan Jerat Suami. Wanita zaman sekarang sanggup berbuat apa saja asalkan mereka tidak dilabel sebagai anak dara tua seperti menjerat suami atau menjerat diri sendiri,” kata bekas pengacara Melodi ini.

Menampilkan barisan pelakon ternama seperti Kavita Sidhu, Qi Razali, Tasha Shila dan Atilia Haron, Dira atau nama sebenarnya Khaidhirah Abu Zahar berkata, dia bagaimanapun tidak melibatkan suaminya, Mohd Helmi Mohd Yusof, yang mempunyai pengalaman dalam bidang fotografi dan pengarahan filem.

“Suami cuma memberi galakan dan kongsi ideologi untuk membuat filem yang baik.

“Secara fizikalnya,  dia tidak mengganggu malah tidak campur langsung dengan kerja-kerja saya.

“Ini membuatkan saya bebas untuk membuat semua kerja pengarahan," katanya yang kini berjinak-jinak dalam bidang penulisan skrip.

Serik cipta kontroversi

Sementara itu, Dira yang pernah mencetuskan kontroversi pada awal tahun lalu, apabila dia dikaitkan dengan dakwaan kes pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur memberitahu kontroversi itu banyak memberi pengajaran buat dirinya.

“Ia banyak beri pengajaran dalam kehidupan saya terutamanya pandangan masyarakat, tapi saya tidak pernah peduli apa mereka fikir tentang saya.

“Hidup ni macam roda. Ada masa kita di atas dan ada masanya kita di bawah. Pada saya turun naik itu normal cuma macam mana kita nak atasinya.

“Apa pun yang orang buat pada saya, saya terima dengan tenang. Bagi saya, saya tiada masalah,” katanya yang sedia untuk mengandung lagi.

Dalam perkembangan lain, Dira sedang menunggu tayangan filem Papadom 2 yang akan ke pawagam pada Disember nanti.

Tugas berat Siti Nurhaliza


Tugas berat Siti Nurhaliza
Siti Nurhaliza

Tugas berat Siti Nurhaliza


Selepas selesai dua tugas Inspirer iaitu Faizal Tahir dan Melly Goeslaw selama enam minggu bersama pelajar-pelajar AF2013, kini tiba giliran Datuk Siti Nurhaliza untuk berkongsi pengalamannya bersama pelajar sekali gus menggalas tugasan tersebut.

Siti berkata, beliau kini sedang menekankan aspek membentuk pelajar AF2013 melalui persembahan dan mengkaji karakter pelajar untuk minggu berikutnya.

Menurutnya, selepas ini beliau mahu pelajar melakukan persembahan terbaik, bukan hanya sekadar untuk memuaskan hati pengkritik tetapi membentuk mereka menjadi penghibur sebenar.

“Sebelum ini, saya melihat satu hasil yang membanggakan apabila Inspirer  memberikan tunjuk ajar mereka menerusi lagu dan susunan muzik dan keunikan sendiri dari segi pembinaan karakter.

“Jadi kini, peluang saya adalah untuk memberikan penekanan dari aspek persembahan pula supaya mereka boleh menyahut cabaran di luar sana untuk dinobatkan menjadi bintang yang sebenar,” katanya.

Menurut Siti, beliau akan cuba menggalas tanggungjawab ini untuk membantu pelajar berjaya sebagai pelapis baru dan sedia  memberikan tunjuk ajar yang terbaik serta menggilap pelajar memenuhi pakej sebagai penghibur.

“Masih ada masa dua minggu lagi untuk memberikan penekanan ini supaya mereka dapat menunjukkan kebolehan dan kehebatan masing-masing melalui pentas AF2013 ini.

“Saya sudah nampak ada bintang yang sedang bersinar selepas melalui proses kematangan mereka melalui dua Inspirer sebelum ini,” katanya yang mengakui kesemua pelajar mula menunjukkan peningkatan dari persembahan mereka.

Tugas berat Siti Nurhaliza

Mahu 'pecah kepala'

Tujuh minggu bersiaran, menyaksikan tiga daripada pelajar AF 2013, Azhael, Nabila dan Indah, mendapat kritikan hebat dari tiga juri tetap, Roslan Aziz, Edry Abdul Halim serta Sharifah Amani.

Mengulas mengenai situasi itu, Siti mengakui ulasan yang diberikan juri sangat bertepatan memandangkan beliau juga sedang memperhalusi sudut persembahan pelajar.

“Saya sendiri 'pecah kepala' memikirkan lagu yang sesuai kepada pelajar AF2013 mengikut kemampuan mereka. Alhamdulillah, mereka telah sahut cabaran mengikut kemampuan mereka.

“Saya lihat prestasi mereka sebenarnya sedang meningkat, kerana komen juri tidak begitu menekankan aspek vokal seperti sebelum ini.

"Namun, saya akui ada beberapa pelajar yang perlu memperbaiki lagi mutu persembahan mereka, terutamanya dalam mencari keserasian berduet " katanya yang tetap menghormati kritikan yang diberikan ketiga-tiga juri tetap itu.

Penyanyi tersohor ini bagaimanapun punya pendirian tersendiri terhadap tiga pelajarnya yang menerima kritikan hebat itu.

Menurut Siti, baik Azheal, Nabila dan juga Indah punya keistimewaan serta tarikan tersendiri, malah beliau sedia untuk membantu mereka menjadi penghibur yang lebih baik.

Tugas berat Siti Nurhaliza
Pembukaan lagu Siti Nurhaliza.

Azhael enggan dilabel 'kayu'

Berbeza dari minggu sebelumnya, konsert ketujuh menyaksikan pelajar AF2013 membuat persembahan bersama pasangan duet yang terdiri daripada bekas pelajar AF seperti Hafiz, Mila, Hazama, Stacy, Aril dan Adira.

Bagi duo yang semakin menjadi perhatian, Azhael, mereka sedaya upaya cuba menyanyikan lagu rancak, Menggegar Dunia nyanyian asal oleh Stacy dan Adam dengan tarian sebaik mungkin.  

"Pada mulanya kami mahu pilih lagu balada, sebab tahu kami ni 'kayu', tak boleh menari seperti orang lain. Tapi kami sahut cabaran Datuk Siti dan cuba menari dengan baik.

“Walaupun terima kritikan hebat dari juri terutamanya Roslan Aziz, kami yakin, inilah cabaran terbesar kami menggalas tugas di AF," kata Azheal yang dianggotai Mohd Azhar Osman dan Hal Husaini Razmi.

Sementara itu,  Faizul telah menunjukkan peningkatan berganda apabila dapat membuat kejutan dan kelainan melalui persembahannya bersama Adira.

Mendendangkan lagu Penghujung Cintaku nyanyian asal Pasha dan Adelia, persembahan Faizul itu turut mendapat pujian hebat daripada ketiga-tiga juri.


Selamat tinggal Suhada

Perjuangan Suhada di pentas AF2013 akhirnya terhenti apabila namanya diumumkan sebagai pelajar ketujuh yang tersingkir di Konsert AF2013.

Suhada atau nama sebenarnya Abdul Suhada Unding  menyampaikan lagu duet bersama penyanyi, Mila Jirin berjudul Hanya Memuji nyanyian asal oleh penyanyi dari Indonesia, Shanti dan Marcell.

Pelajar berusia 21 tahun itu tersingkir selepas mendapat undian terendah sebanyak 8 peratus.

Selain Suhada, pelajar Aisyah merupakan pelajar kedua dengan peratusan terendah iaitu sebanyak 11 peratus, manakala undian tertinggi pula adalah milik Nabila, 24, peratus diikuti dengan pasangan duo, Azhael iaitu 21 peratus.

Dengan penyingkiran Suhada itu, kini tinggal enam bintang AF2013 (Azhael, Faizul, Aishah, Nabila, Indah dan Amira) yang akan meneruskan perjuangan.

Mawar Abdul Karim - 'Fizo cinta pertama saya'


Mawar Abdul Karim - 'Fizo cinta pertama saya'
Mawar Abdul Karim

Mawar Abdul Karim - 'Fizo cinta pertama saya'


"Fizo adalah cinta pertama saya dan sebelum ini saya tidak pernah bercinta kerana begitu dijaga oleh keluarga," akui bakal isteri Fizo Omar, Mawar Abdul Karim,24, kepada media.

Sebelum itu, pelakon kacak, Fizo Omar atau sebenarnya, Wan Hafizol Wan Omar, 28, melamar bakal isterinya dalam suasana penuh romantis di Cathay Cinneplex, e@Curve, Mutiara Damansara, semalam.

Mengakui agak terkejut dengan majlis itu Mawar berkata, Fizo mengajaknya menonton wayang sebelum menghadiri sidang media yang dikatakan akan diadakan pada sebelah petang.

Bagaimanapun, dia dapat merasakan sesuatu akan berlaku apabila muncul babak lakonan Fizo bersama pelakon cilik, Mia Sara di layar dan turut melibatkan ibunya juga.

"Fizo kata petang nanti (semalam) ada sidang media untuk umumkan tarikh perkahwinan kami dan dia ajak saya menonton wayang terlebih dahulu.

"Memang pelik dan terdetik juga, 'biar betul dia ni', tapi saya ikutkan sahaja. Malah selepas masuk dalam pawagam dan dia minta izin untuk ke tandas, saya masih tidak rasa apa-apa sehinggalah muncul video tersebut baharu saya rasa sesuatu," katanya.

Berkongsi kejutan yang dibuat untuk Mawar, Fizo berkata, idea berkenaan dirancang dalam masa tiga hari dan dia jugalah yang mengarahkan sebuah video pendek untuk kekasih hatinya itu.

Katanya, ia adalah sebagai satu tanda ingatan mereka sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

“Saya pilih untuk membuat kejutan di panggung wayang kerana saya adalah seorang pelakon dan ini adalah kehidupan saya yang ingin saya kongsi bersama Mawar.

"Malah,  ia juga berkisar mengenai perjalanan hidup kami dan lega rasanya apabila rancangan ini menjadi kerana bimbang juga jika ‘terkantoi’,” katanya.

Fizo berkata, dia yakin Mawar akan berkata 'ya' dan perkara itu turut diakui oleh Mawar sendiri :

"Sudah tentu saya kata ‘ya’ kerana persiapan telah pun bermula tetapi kesungguhannya amat menyentuh hati saya,” jelasnya.

Mawar Abdul Karim - 'Fizo cinta pertama saya'

Kahwin dua minggu lagi

Dalam pada itu, Fizo juga turut mengumumkan akan mengikat tali pertunangan pada 9 November depan diikuti dengan majlis pernikahan mereka pada keesokan harinya, iaitu pada 10 November depan.

Kedua-dua majlis itu akan diadakan di kediaman Mawar di Country Heights, Kajang dan disiarkan secara langsung di TV9 menerusi ‘Nasi Lemak Kopi O’.

"Kedua-dua majlis akan disiarkan secara langsung menerusi rancangan Nasi lemak Kopi O di TV9. Malah pada majlis pertunangan itu nanti akan ada sedikit kejutan manakala majlis pernikahan akan berjalan seperti biasa," katanya.

Fizo berkata, mereka mengambil keputusan bertunang terlebih dahulu atas permintaan keluarga yang ingin mengikut adat Melayu.

Tambahnya, selepas majlis pertunangan pada sebelah pagi, akan diadakan majlis khatam Al-Quran dan berinai pada sebelah malam yang akan dihadiri sanak saudara Mawar sahaja.

“Saya dan Mawar sebenarnya tidak mahu bertunang dan terus bernikah tetapi atas menghormati permintaan keluarga kami bersetuju tambahan pula ini adalah perkahwinan pertama dalam keluarga bakal isteri saya,” katanya.

Mawar Abdul Karim - 'Fizo cinta pertama saya'

Bisnes 'burgedung'

Sementara itu, Fizo berkata, persiapan perkahwinan mereka sedang berjalan walaupun masing-masing sibuk dengan pelbagai komitmen.

“Walaupun kami jarang berjumpa tetapi kami sering berhubung antara satu sama lain dan urusan mengenai majlis pertunangan dan perkahwinan tetap berjalan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Fizo berkata, beberapa perancangan perniagaan sudah dibuat selepas mereka berkahwin nanti.

"Selepas berkahwin, kami akan terlibat dengan perniagaan 'burgedung' (ketawa), campuran perniagaan burger dan tudung.

"Seperti sedia maklum saya kini menguruskan perniagaan burger yang sudah mempunyai 50 cawangan di Kuala Lumpur dan Kelantan. Saya merancang meluaskan perniagaan ini ke Johor selepas berkahwin.

"Jadi saya sarankan pada Mawar  buka ibu pejabat di Johor dan Kelantan selepas ini kerana hanya di dua negeri itu sahaja tiada ibu pejabat Fareeda. Jadi bila saya ke Johor melihat perniagaan saya, Mawar juga boleh jenguk syarikat dia.

"Sebab itulah saya pilih Mawar kerana kami sama-sama minat dalam  perniagaan. Bagaimanapun selepas berkahwin, saya tetap akan aktif dengan dunia seni kerana itu minat utama saya," katanya.

Rosyam Nor: Dua tahun saya tak dipandang


Rosyam Nor: Dua tahun saya tak dipandang
Rosyam Nor

Rosyam Nor: Dua tahun saya tak dipandang


NAMA Rosyam Nor suatu ketika dulu sememangnya cukup gah dan berada dalam kelas yang tersendiri sebagai hero drama mahupun filem di Malaysia.

Namun seiring dengan kehadiran pelakon baru dalam industri seni, nama Rosyam yang kini sudah bergelar Datuk, mula tenggelam dengan populariti pelakon seperti Aaron Aziz, Adi Putra, Shaheizy Sam dan ramai lagi.

Akui pemilik Suhan Movies & Trading Sdn Bhd ini, dia pernah melalui satu fasa yang perit apabila ada pihak seolah-olah menidakkan kehadirannya dalam industri seni sehingga dia terpaksa ‘berehat’ dari industri seni selama dua tahun.

“Secara peribadi sebagai seorang pelakon, saya tidak mahu berhenti di tengah jalan dan saya mahu bawa nama Rosyam Nor ditahap yang tinggi.

“Tetapi sejak dua tahun lalu saya tidak dipandang sehingga saya terpaksa ambil keputusan untuk berehat bagi mencari sebuah karya yang baru untuk saya.

“Kini, saya harus mengucapkan terima kasih kepada Datuk Yusof Haslam dan Syamsul yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk membawakan watak Tailong.

“Watak itu ibarat permulaan baru untuk saya dan saya akui selepas menjayakan watak tersebut, barulah saya dipandang semula,” ujarnya kepada Zass.

Sememangnya harus diakui, biarpun sudah berusia 46 tahun, ternyata Rosyam masih berbisa dalam menjayakan watak antagonis dan aksi dalam filem KL Gangster 2.

“Saya akui menemui rentak lakonan semula selepas membintangi KL Gangster 2 dan  ternyata bukan usia seseorang pelakon itu yang menjadi ukuran untuk menjayakan sesuatu watak.

“Saya juga mahu membuktikan kesangsian sesetengah pihak yang merasakan pemilihan saya untuk membintangi filem tersebut adalah silap. Apatah lagi walaupun watak itu jahat, ia menjadi satu watak popular dan disukai.

“Sebenarnya apa yang penting adalah kredibiliti seseorang pelakon itu dan saya anggap watak Tailong itu adalah kejayaan peribadi saya. Selain itu secara tidak langsung ia memberi laluan kepada pelakon seangkatan saya untuk kembali menyinar,” katanya.

Menurut Rosyam, selepas membintangi filem tersebut, dia mula menerima banyak tawaran lakonan, namun terpaksa menolak kerana kekangan waktu dan watak yang diberikan.

“Saya bukan mahu mendabik dada kerana banyak menolak tawaran filem kerana sebenarnya apa yang penting adalah siapa karyawan di belakang saya; siapa pengarah, krew, penulis skripnya.

“Ini kerana saya tidak pernah menganggap diri saya hebat kerana yang hebat sebenarnya adalah karyawan ini kerana mereka yang membentuk diri saya.

“Jadi saya tidak boleh gelojoh dan cari sesuatu yang baik dan terima tawaran dengan perbincangan yang terperinci,” katanya.

Di tebak mengenai watak yang barangkali menjadi idamannya, Rosyam berkata, soal watak bukan lagi keutamaan baginya.

“Saya impikan watak yang boleh mencabar kredibiliti saya, yang membuatkan saya takut kerana saya boleh buat yang terbaik atau tidak,” katanya.

Tailong jadi ikutan

Dalam pada itu, Zass turut mendengar desas-desus bahawa watak Tailong kini menjadi ikutan beberapa pelajar sekolah sama seperti watak Sharnaaz sebagai Lan Todak dalam filem Juvana baru-baru.

Di tebak mengenai penularan tersebut, Rosyam berkata, dia berharap pelajar kini lebih bijak dan tidak terikut dengan sisi jahat lakonannya sebaliknya mengikut sisi yang lebih positif.

“Ingin saya jelaskan watak Tailong adalah imaginasi pengarah untuk watak antagonis dan apa yang Tailong buat sememangnya salah dari sudut agama, keselamatan. Malah pada penghujung cerita juga penonton dapat melihat Tailong sudah menerima pembalasan di atas perbuatannya.

“Jadi pada sesiapa yang meminati watak Tailong, saya berharap mereka mengikut cara yang lebih positif iaitu bagaimana saya berusaha dalam memastikan watak Tailong menjadi dan melihat bagaimana kredibiliti saya dalam menjayakan watak Tailong. Sama juga macam belajar, jika anda pelajar tercorot dalam kelas sekalipun jika anda berusaha bersungguh-sungguh tidak mustahil akan berjaya.

“Selain itu bagi mereka yang meminati bidang lakonan, anda mungkin boleh jadikan watak Tailong itu sebagai pembakar semangat dan dorongan untuk berjaya sebagai pelakon,” jelasnya.

Bersyukur dengan anugerah

Sementara itu, berkongsi perasaannya dikurniakan gelaran Datuk yang diterimanya sempena ulang tahun ke-75 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob, Rosyam menganggap ia sebagai satu penghargaan kepada anak seni sepertinya.

Katanya, ia menganggap penganugerahan itu sebagai satu tanggungjawab besar kepada karier dan juga industri seni amnya.

“Saya amat bersyukur dengan penganugerahan itu dan ternyata ada orang yang menghargai anak seni seperti saya.

“Saya juga berharap anugerah ini akan memberi motivasi terutamanya golongan muda untuk berjaya kerana sebenarnya apa yang dilakukan pasti diambil kira,” katanya.

Bagaimanapun dalam kegembiraan mendapat anugerah tersebut, masih ada yang mempertikaikan gelaran tersebut dan beranggapan golongan selebriti mudah mendapat gelaran Datuk.

Tidak melenting dengan pemikiran dan cakap-cakap belakang sesetengah pihak tersebut, jelas Rosyam bukan semua artis berpeluang mendapat gelaran tersebut.

“Kita ada berapa ribu artis tetapi hanya beberapa kerat sahaja yang dikurniakan gelaran Datuk. Tapi bagi saya ini adalah kenyataan yang orang seni perlu hadapi.

“Tak semua orang suka apa yang kita buat atau kita peroleh. Lagipun gelaran seperti ini bukan kami minta tetapi diberi.

“Malah bila ditolak pun orang mengata, menerima pun orang mengata,” katanya.

Perancangan Rosyam

Berkongsi perancangannya selepas ini, Rosyam berkata, dia kini dalam rangka untuk membesarkan syarikatnya dan membuka RK Skrin yang akan menumpukan dalam penerbitan filem.

Katanya, tahun depan akan dua filem antaranya filem Balistik yang turut dibintangi Rita Rudaini dan Adi Putra, akan menemui penonton pada 9 Januari 2014.

“Bulan Disember ini saya akan ke Bangkok untuk siapkan Isyarat Cinta dan seterusnya akan buat perancangan untuk filem Jefrizal. Selain itu saya juga akan fokus dalam penerbitan drama,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan