Cari Artikel

Wednesday, October 9, 2013

Yuna buat persembahan di Geneva


Yuna buat persembahan di Geneva
Yuna

Yuna buat persembahan di Geneva


PENYANYI dan penulis lirik Malaysia Yuna akan membuat persembahan di majlis Anugerah Pelarian Nansen Suruhanjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Geneva, Switzerland hari ini.
 
UNHCR dalam satu kenyataan berkata Yuna telah diundang sebagai seorang daripada tiga penghibur yang membuat persembahan antararabangsa di majlis itu.
 
Penghibur lain ialah penyanyi-penulis lirik Britain Dido dan pemuzik Mali calon Grammy, Amadou and Mariam.
 
"Ini kali pertama seorang penghibur Malaysia diundang untuk memberi persembahan di majlis berprestij itu," kata UNHCR.
 
Pengarang Paulo Coelho yang terkenal di perigkat antarabangsa akan menyampaikan ucaptama di majlis itu, diadakan bagi mengiktiraf usaha-usaha kemanusian luar biasa bagi pihak pelarian, penduduk tidak bernegara dan mereka yang kehilangan tempat tinggal di negara sendiri.

Sementara itu, Yuna dalam kenyataan yang sama berkata beliau cukup terharu diberi peluang membuat persembahan di majlis itu.

Sejak pelancaran album sulungnya pada 2008, lirik Yuna yang penuh makna menyebabkan beliau mendapat anugerah dari seantero dunia.
 
Penyanyi popular itu mendapat sanjungan kritikal daripada majalah seperti Rolling Stone, VIBE, dan Elle, dan kerap membuat persembahan di festival muzik utama.

Bekerjasama dengan artis terkemuka bagi menghasilkan albumnya sendiri, Yuna juga menyertai rakaman album single yang popular "One Woman" untuk Wanita PBB, yang dilancarkan pada Hari Wanita Antarabangsa pada 2013.  - Bernama






Aaron Aziz masih hidup, nafi meninggal


Aaron Aziz masih hidup, nafi meninggal
Aaron Aziz

Aaron Aziz masih hidup, nafi meninggal


SELEPAS digemparkan dengan berita Aaron Aziz  tidak sihat dan mengalami sakit sendi tengkuk minggu lepas, hari ini timbul pula berita mengejutkan yang mengatakan pelakon itu maut akibat kemalangan selepas bermain ski di Switzerland.

Berita itu telah tersebar di laman blog luar negara dan Facebook sekaligus menimbulkan rasa tidak percaya dan terkejut di kalangan peminat-peminatnya.

Terkejut dengan berita tersebut, Aaron yang sedang dalam perjalanan ke Cape Town untuk penggambaran Fear Factor Malaysia 2 akhirnya telah memuat naik satu video status dirinya yang terkini bagi memastikan peminat beliau tidak panik dengan berita yang tersebar meluas itu.

"Kepada semua peminat saya OK, jangan risau. Walaupun masih lagi ada denyutan di tengkuk, tapi semuanya semakin baik InsyaAllah.

"Jadi jangan risau, semuanya OK. Jaga diri semua," katanya.

Beliau berkata demikian setelah ramai yang bertanyakan tentang kematian dirinya itu.

Sementara itu, isteri Aaron sendiri, Diyana Halik turut menafikan berita itu menerusi laman Twitternya dan memberi amaran kepada individu yang bertanggungjawab ke atas berita palsu ini.

Penafian Diyana dikukuhkan lagi dengan gambar-gambar terbaru Aaron yang sedang dalam perjalanan ke Cape Town untuk penggambaran Fear Factor Malaysia 2 dan bukannya ke Switzerland seperti dilaporkan.

"Aaron Aziz sekarang di Capetown untuk penggambaran. Walaupun leher masih sakit tapi alhamdulillah akan sihat. Terima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatannya.

"Kepada pihak yang menyebarkan dakwaan palsu ini, jangan main-main dengan isu hidup dan mati. Insya-Allah, Aaron akan diberikan usia yang panjang," katanya.










Gafim rela Finas dirombak



Gafim rela Finas dirombak


SEJAK dua tahun kebelakangan ini, industri seni negara mengalami pelbagai permasalahan kronik.

Bukan sahaja terpaksa melalui fasa gelap kemerosotan kutipan filem setelah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) memperkenalkan dua filem seminggu menerusi Skim Wajib Tayang, malah permasalahan baru pula timbul.

Penyebaran filem terbitan Skop Production Sdn Bhd, KL Gangster 2, dua bulan lebih awal dari tarikh tayangan mula menghantui pembikin filem, dan Finas dilihat seolah-olah tidak mampu berbuat apa-apa.

Selama dua tahun memerhatikan perjalanan pentadbiran Finas, sehingga ke hari ini masih belum menemui titik noktah dalam menyelesaikan masalah baru dan lama.

Malah, tindakan Finas seperti lebih selesa mengunci mulut itu dilihat mengundang jurang antaranya dan industri.

Menyedari industri semakin jauh terpinggir, Gabungan Persatuan Karyawan Malaysia (Gafim), tampil mengadakan satu sidang media pada Khamis lalu.

Bagaimanapun, ia bukan berniat untuk menghentam mahupun semata-mata mencari salah Finas, cuma Gafim selaku badan gabungan terbesar industri,  benar-benar mengharapkan Finas bertindak dan mencari jalan penyelesaian.

Sidang media dihadiri beberapa wakil persatuan termasuk, Presiden Seniman, Zed Zaidi, Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Othman Hafsham, Datuk Yusof Haslam, Richard And dan Yusof Kelana itu membincangkan mengenai kredibiliti Finas dalam mentadbir.

Kita ikuti tembual bersama Presiden Gafim, Jurey Latiff Rosli, mengenai intipati sidang media yang diadakan di pejabat urusan Gafim, Desa Melawati, baru-baru ini.

Apakah intipati dalam sidang media khas tersebut?

Sebenarnya, sidang media ini untuk berbincang mengenai langkah seterusnya yang akan dibuat. Setelah berbincang dengan beberapa persatuan di bawah naungan Gafim, mereka bersetuju untuk mengadakan sidang media ini supaya kami dapat berbincang mengenai langkah-langkah yang perlu diambil untuk membawa Finas bersama-sama menyelami permasalahan industri yang semakin nazak ini.

Sebelum sidang media khas ini diadakan, adakah Gafim pernah melakukan beberapa cara untuk mendapatkan kerjasama dengan Finas?

Pada 15 Mei lalu, Gafim ada menghantar surat rasmi untuk mendapatkan permohonan kunjungan hormat ke Finas. Namun, sehingga ke hari ini, Finas gagal memberi maklum balas mengenai perkara itu.

Saya sendiri hairan kenapa Finas 'liat' untuk beramah mesra dengan penggiat seni sedangkan ia merupakan badan kerajaan yang dipertanggungjawab memayungi industri. Kalau mereka tidak berkesempatan untuk menerima kunjungan kami buat masa ini, sila nyatakan.

Bukan diam seribu bahasa. Malah, walaupun Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, baru sahaja dilantik pada Mei lalu, beliau sempat meluangkan masa untuk bertemu dengan penggiat seni.

Kenapa pula Finas sukar beri kerjasama? Dulu, Finas dapat mengadakan dialog bersama industri setiap tiga bulan, mengapa sekarang tiada lagi? Selain itu, Gafim juga turut menghantar surat pada September untuk mendapatkan taklimat mengenai dana iklan merdeka. Namun, kami masih gagal mendapat respons sehingga ke hari ini.

Kami mahukan penjelasan itu kerana ramai tertanya-tanya mengenai dana tersebut. Jadi, dengan penjelasan itu, kami boleh menjadi 'jurucakap' kepada industri.

Adakah ini bermaksud Finas tidak mampu buat kerja?

Saya tidak kata Finas langsung tidak membantu dalam industri, cuma sekarang badan ini dilihat tidak lagi agresif seperti dulu dalam menangani masalah industri perfileman tempatan.

Finas kini dilihat 'naif' seperti gagal menjalankan tanggungjawab mereka sebagai badan yang membantu industri. Mislanya, sepanjang tahun ini, apa tindakan Finas dalam membantu menangani masalah industri perfileman? Apa tindakan mereka setelah filem KL Gangster bocor di Internet terlebih awal? Sekadar melakukan Operasi (Ops) Banteras dengan tujuh penguatkuasa itu untuk satu Malaysia, berjayakah? Tak ada pencegahan secara drastik dan nampak bersungguh-sungguh.

Sepatutnya, Finas perlu kumpul agensi tertentu, menubuhkan jawatankuasa dan membuat perbincangan untuk mengambil tindakan. Bukan senyap dan menunggu apa lagi masalah yang akan datang.

Tak takut dihentam seperti Ahmad Idham?

Kami bersuara bukan untuk menghentam atau menyerang secara peribadi. Namun, ia adalah teguran bagi menyedarkan Finas serta menyelamatkan industri yang semakin parah. Sebagai penggiat seni, kami sayang industri dan tidak mahu ianya terkubur atau di ambang kejatuhan.

Jangan kerana kami bersuara, Finas terus menghentam kami semahu-mahunya. Sepatutnya, mereka harus lihat dari sudut positif kerana sebagai badan kerajaan, mereka juga perlu menerima pandangan daripada pengamal industri.

Kami berada dalam industri ini lebih tahu mengenai masalah industri. Saya sebagai wakil Gafim tidak takut jika suara saya dianggap lebih lantang dan diboikot selepas ini kerana saya bersuara demi industri, bukan demi kepentingan peribadi.

Adakah anda rasa Finas perlu dirombak?

Ya, Finas sudah melalui beberapa fasa menuju ke arah yang semakin membimbangkan. Jadi, rombakan drastik perlu dilakukan agar Finas kembali bangun dan bertindak.

Jika rasa tidak mampu lagi memimpin atau menerajui Finas, sila letak jawatan dan berikan kepada mereka yang lebih berhak. Malah, sejak Finas bergabung dengan Filem Negara Malaysia (FNM), saya langsung tak nampak sebarang perubahan atau kerjasama positif dalam industri.

Malah, ia semakin teruk dan sukar untuk mendapatkan kerjasama. Apa yang mereka dah buat? Saya tak faham. Makin pelik, gabungan itu membuatkan Finas kini mampu menerbitkan drama sendiri.

Adakah Finas kini mahu mengambil alih peranan syarikat penerbitan pula? Mereka yang keluarkan lesen dan mereka juga yang terbitkan drama. Apa ni?? Selain itu, saya juga tidak diberitahu mengenai peruntukan yang disediakan untuk persatuan-persatuan seni tempatan.

Sekiranya keluhan Gafim tidak didengari Finas, adakah ada langkah seterusnya?

Gafim dan beberapa persatuan di bawah naungan akan berjumpa dengan menteri bagi membincangkan masalah ini. Mungkin dengan cara ini sahaja yang boleh membantu industri menyelesaikan masalah baru dan lama. Kami akan meminta menteri agar membuat sesuatu termasuk merombak semula pentadbiran Finas.

Malah, kami yakin, dengan rombakan sahaja ia mampu menyelamatkan Finas dalam membariskan kepimpinan  mantap. Kami sayangkan Finas dan mahu Finas sama-sama berganding bahu membawa industri ke tahap lebih maju. Tetapi, buat masa ini kami masih menanti jawapan daripada Finas untuk mencari resolusi dalam menangani masalah yang ada.

Finas tak boleh lepas tangan dan perlu melakukan tindakan drastik demi memastikan industri kita selamat dan gah.

Akhir sekali, apakah harapan anda untuk Finas?

Kami mohon Finas memanggil kami untuk majlis dialog dan berbincang mengenai isu industri. Selain itu,  kami mohon agar Finas bentang pelan perancangan pembangunan industri, hala tuju dan masa depan.

Gafim berharap Finas berani berdepan dengan industri dan jangan biarkan persepsi negatif terhadap kemampuan Finas mentadbir dan menguruskan industri berpanjangan.

iskandarX: Memang patut dirombak pun bukan takat rombak disband pastu buat Lembaga lain lagi bagus daripada terus ditembusi oleh parasit-parasit Lanun Cetak Rompak nie. Daripada duduk diam-diam mengunci mulut lebih baik hantar surat resign je tak payah makan duit gaji kat situ dah.



Nana Mahazan dan Aizat Amdan Bukan artis mee segera


Nana Mahazan dan Aizat Amdan Bukan artis mee segera
Nana Mahazan dan Aizat Amdan

Nana Mahazan dan Aizat Amdan Bukan artis mee segera


NAMA Nana Mahazan dan Aizat Amdan barangkali tidak perlu diperkenalkan lagi. Bersama- sama menceburi bidang seni menerusi program realiti Akademi Fantasia tetapi dari musim berlainan. Kemudian bintang mereka terus menyinar dalam bidang berlainan pula.

Jika Nana begitu sinonim dengan bidang penyampaian radio, Aizat pula seiring dengan bakat besarnya, maju ke depan dalam arena seni suara dan penciptaan lagu.

Bagaimanapun semenjak kebelakangan ini, nama Nana dan Aizat mula menyepi bahkan mereka jarang muncul di kaca televisyen atau akhbar.

Namun, ia tidak bermakna kedua-duanya terus ‘menghilang’ sebaliknya masing-masing sibuk dengan urusan perniagaan dan kerjaya seni.

Tegas Nana dan Aizat, mereka bukanlah artis mee segera yang hanya popular semusim. Apapun,  jom intai perkembangan terbaru mereka.

Fokus pada keluarga


Sejak hamil kali kedua, Nana atau nama sebenarnya, Nurul Hana Che Mahazan berkata dia sekarang semakin sibuk menguruskan rumah tangganya dan ingin berehat bagi memastikan kandungannya sihat.

Jelas Nana, apatah lagi dia kini bergelar suri rumah sepenuh masa dan perlu menjaga puteri sulungnya, Althea Raqeem Brian, 2, yang kian aktif.

“Masa saya banyak dihabiskan di rumah sepanjang masa.

“Jika ada masa lapang, saya dan rakan akan keluar berseronok.  Maklumlah, nak jumpa mereka agak susah memandangkan sibuk dengan urusan sendiri,” katanya yang kini hamil 6 bulan.

Akui Nana, tumpuan utamanya kini adalah keluarga dan kerjaya bukan lagi menjadi sebahagian dari hidupnya.

Tambahnya, jadual hariannya penuh diisi dengan melayan karenah si kecil yang semakin bijak serta memerlukan perhatian penuh daripadanya.

“Tetapi, jika staf Sinar FM perlu penyampai radio sementara bagi menggantikan mereka yang bercuti, pihak pengurusan akan hubungi saya.

“Sekali sekali bolehlah, jika lama-lama saya tidak sangup berpisah dengan Althea,” kata Nana.

Biarpun sarat mengandung, Nana berkata berat badannya tidak meningkat secara mendadak seperti kebanyakkan wanita hamil lain.

Apatah lagi, berat badan terdahulu sebelum hamil pernah mencecah hampir 88 kilogram, kini beratnya susut sehingga 51 kg.

Namun tidak dinafikan, Nana kelihatan langsing dan cantik walaupun mengandung.

“Mungkin sebab kandungan kali ini, saya kurang selera makan dan memilih menu tertentu sahaja.

“Saya agak cerewet terhadap makanan, tak tahu kenapa jadi macam ni,” katanya sambil ketawa.

Mahu memberi kejutan buat diri sendiri, Nana menjelaskan bahawa dia dan suami tidak mahu mengetahui jantina anaknya itu.

Katanya, dia mahu menunggu sehingga kelahiran dan tidak kisah mengenai jantina bayinya.

“Kami mahu suprise! Biarlah rahsia, bila dah lahir nanti baru boleh umum.

“Paling penting baby sihat dan lahir secara normal,” katanya yang ingin memiliki anak ramai.

Jual aksesori


Nampaknya, artis dan media sosial sukar dipisahkan. Begitu juga dengan Nana kerana dia gemar memuat naik gambar sehariannya sama ada keluar bersama rakan atau bersama anaknya.
Apatah lagi, dia juga menggunakan laman sosial, Instagram untuk mempromosikan perniagaan aksesori buatannya yang dimulakan sejak setahun lalu.

“Pada mulanya saya cuma 'post' gelang dan rantai yang saya buat. Tetapi ramai pula yang bertanya dari mana saya dapat.

“Sejak dari itu, saya terus serius dalam perniagaan ini. Alhamdulillah, ramai yang memuji buatan aksesori saya,” katanya.

Tambahnya, aktiviti perniagaan semakin mudah apabila pihak Samsung menghadiahkannya telefon pintar, Galaxy Mega untuk kegunaan harian.

“Saya suka upload gambar, tak kira apa jua yang berlaku. Telefon ini lebih selesa kerana skrinnya besar.

“Banyak juga aplikasi yang menarik dan sesuai dengan saya, terutamanya info-info mengenai kehamilan,” ujarnya.

Luas empayar muzik


Bak kata tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu. Begitulah dialami Aizat.

Penyanyi berusia 24 tahun ini berpeluang mengadakan persembahan di Persidangan Muzik Kansai 2013 di Osaka, Jepun pada 18 September lalu, bersama Amir Jahari dan kumpulan Go Gerilla.

Kunjungannya  ke negara matahari terbit itu merupakan satu pencapaian membanggakan kepada penyanyi tersebut.

“Saya rasa sangat teruja dengan tawaran itu. Ia satu pencapaian yang sukar dilupakan seumur hidup.

“Peluang untuk menerokai pasaran di sana sudah terbuka, namun saya ingin melihat bagaimana sambutan terhadap lagu-lagu tempatan,” ujarnya.

Sambung Aizat, beberapa minggu sebelum berangkat ke sana, mereka banyak lakukan persediaan agar tidak terlalu gementar di atas pentas.

Bukan merajuk!

Pada  masa  sama, Aizat menjelaskan bahawa kehilangannya sejak akhir-akhir ini bukan merajuk atau melarikan diri, sebaliknya mahu tumpu penuh terhadap pembikinan album ketiganya.

Menurutnya, album tersebut bakal memuatkan 12 lagu keseluruhan yang terbahagi kepada enam lagu Melayu dan selebihnya lagu Inggeris.

“Saya tidak merajuk. Tetapi jadual sangat padat dan saya perlu berkurung dalam studio untuk menyiapkan album ini.

“Sebenarnya saya ambil masa agak lama untuk mengumpul bahan iaitu tiga tahun. Tidak seperti album lepas, hanya mengambil masa singkat,” ujar Aizat.

Tambah Aizat, singlenya bersama Yuna iaitu DwiHati turut dimuatkan dalam album tersebut.

Selain itu, dia juga berkolaborasi dengan beberapa artis seperti Zee Avi dan Azlan The Typewriter untuk menghasilkan kelainan.

Bercerita mengenai perkembangan terbarunya, dia berkata turut menerbitkan album untuk kumpulan Go Gerilla di bawah syarikat produksinya sendiri, Kasi Gegar Entertainment (KGE).

Selain itu, artis baru di bawah naungannya iaitu Takahara Suwiko yang merupakan pelajar Malaysia yang pernah menuntut di salah satu universiti Osaka.

“Saya turut merancang untuk adakan showcase bagi artis KGE dalam satu pentas yang sama, tahun depan.

“Malah Go Gerilla juga bakal muncul dengan album sulung nanti. Kebanyakkan lagu mereka digubah sendiri oleh saya dan dibantu rakan yang lain,” katanya.

Untuk pengetahuan, Aizat juga terlibat dalam penulisan lagu seperti Tanah Air dan Ost Istanbul Aku Datang.


Fizo bakal bertunang!


Fizo bakal bertunang!
Fizo Omar dan Mawar Abdul Karim


Fizo bakal bertunang!


PERNAH dikaitkan dengan beberapa wanita sebelum ini, pelakon dan pengacara, Fizo Omar, nampaknya bakal menamatkan zaman bujangnya tidak lama lagi.

Adik kepada aktres Noniswara ini juga bakal mengadakan sidang media khas bagi membuat pengumuman tarikh pertunangannya dalam masa terdekat.

Pasti ramai yang sudah tahu, Fizo memilih model tudung Fareeda, Mawar Abdul Karim, yang juga merupakan anak pengasas kepada tudung jenama itu, sebagai calon isterinya.

Difahamkan 28 Ogos lalu, keluarga Fizo telah menghantar rombongan merisik.

iskandarX: Alhamdulillah semoga tercapai segala cita-cita.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan