Cari Artikel

Saturday, October 5, 2013

Zain risik Che Ta lagi?


Zain risik Che Ta lagi?
Zain Saidin dan Rozita Che Wan

Zain risik Che Ta lagi?


Sejak mengumumkan bahawa mereka bakal mendirikan rumah tangga penghujung tahun ini, pelbagai khabar angin mula bertebaran antaranya mengenai tarikh perkahwinan, tajaan, majlis merisik dan bertunang.

Pernah menafikan banyak perkara sebelum ini termasuk dikatakan bertunang pada sambutan Aidilfitri  lalu, sekali lagi, pelakon terkenal Rozita Che Wan dikatakan sudah dirisik oleh keluarga kekasihnya, Zain Saidin.

Bagaimanapun, tatkala diminta mengesahkan perkara itu, Zain segera menafikannya.

"Saya tidak tahu mengenai perkara ini, dari sumber mana yang mengatakan saya telah merisik Che Ta dan majlis pertunangan akan diadakan.

"Kami berdua terkejut mengenai hal ini, serius saya katakan memang kami akan melangsungkan pertunangan tapi bukan dalam masa terdekat ini.

"Bila segalanya telah sedia saya akan umumkan tentang pertunangan kami. Apa yang heboh diperkatakan tentang rombongan merisik adalah tidak benar," katanya.

Menurut Zain, dia berpendapat ada pihak tertentu yang sengaja mengeluarkan khabar angin ini bagi menarik perhatian ramai.

"InsyaAllah, seperti yang dirancang bila segalanya  telah bersedia kami berdua akan beritahu kepada semua," katanya yang kecewa mengenai khabar tersebut.

iskandarX: Bila yang sebenar-benarnya akan berlaku? daripada dok kecoh baik segerakan lagi baguihhh dok tunggu apa lagi?


Fida teraniaya?


Fida teraniaya?
Fida Ibrahim

Fida teraniaya?


TINDAKAN Fida Ibrahim meninggalkan set penggambaran telefilem Kampungku dan Aidiladha, di Baling, Kedah, minggu lalu, benar-benar mengejutkan ramai pihak.

Apatah lagi, pihak produksi mengatakan Fida sengaja lari kerana tidak berpuas hati dengan babak terakhir dikatakan cuba menyindirnya.

Bagaimanapun, perkara tersebut ditepis Fida yang mendakwa, penerbit itu sengaja memfitnahnya dengan membangkitkan alasan tidak munasabah.

Tegas Fida, dia tidak lari tetapi meninggalkan produksi itu kerana tidak mencapai perjanjian yang dipersetujui sebelum ini.

Justeru bagi mempertahankan dan mencari keadilan, Fida tidak berlengah lagi untuk merujuk perkara ini kepada Persatuan Seniman Malaysia (Seniman).

Pengerusi Biro Aduan dan Undang-Undang Seniman, Zahrin Ishak berkata, menerusi pertemuan Khamis lalu, Fida sudah memaklumkan beberapa perkara kepada pihak Seniman antaranya mengenai perjanjian asal dan hal kebajikan yang tidak dijaga.

Jelasnya, bagi bertindak adil kepada kedua-dua belah pihak, pihak Seniman sudah bertemu dengan pengarah telefilem berkenaan, Shuhaimi Lua dan beberapa krew produksi untuk siasatan lanjut.

“Saya sudah berjumpa dengan Shuhaimi dan pihak produksi semalam, esok (Isnin) saya akan berbincang bersama Zed Zaidi mengenai perkara ini.

“Seterusnya hasil siasatan akan diberitahu setelah semuanya selesai kelak," ujarnya kepada Zass.

Sementara itu, Presiden Seniman, Zed Zaidi berkata,  Seniman akan siasat secara adil berdasarkan laporan itu.

“Pihak Seniman akan siasat dan tidak akan dengar kenyataan sebelah pihak.

"Lagipun saya tidak mahu nanti, niat ikhlas kami untuk membantu disalah erti dan akhirnya seolah-olah kami pula yang bersalah.

“Memandangkan saya tidak berjumpa Fida, Khamis lalu kerana terlibat dengan sidang media Gafim, jadi saya tidak boleh komen panjang mengenai perkara ini.

“Namun apa yang difahamkan, ia mungkin lebih kepada salah faham. Jadi selepas siasatan terperinci, kita akan cuba bantu mana yang patut," jelasnya.

Nafi berlagak diva


Dalam pada itu, Fida dalam kenyataannya kepada Zass nafi dakwaan bahawa dia mula berlagak diva.

Dia anggap tuduhan itu sangat melampau.

“Saya tidak bertindak melampau atau mahukan tempat mewah dan selesa, namun saya tahu apa hak saya dalam sesebuah produksi.

“Bagi saya ia merupakan fitnah tidak berasas dan membuatkan kredibiliti saya tercalar,” katanya.

Menurut Fida, penempatan yang disediakan sangat teruk apabila dia terpaksa berkongsi bilik dengan empat pelakon lain termasuk ahli keluarga mereka.

“Saya bukanlah harap bilik mewah dan penempatan yang terlalu selesa. tetapi bayangkanlah apabila penginapan yang disediakan harus dikongsi seramai itu?

“Adakah salah saya mahukan hak saya dan sedikit keselesaan buat artis lain?,” sangkalnya kembali.


Zizan Dan Kaka Kembali 'berdua'


Zizan Dan Kaka

Zizan Dan Kaka Kembali 'berdua'


LAGU Bawaku Pergi telah mencipta fenomena tersendiri dalam industri muzik tempatan. Biarpun lagu tersebut dihimpit dengan kontroversi hebat, namun ia tidak sedikit pun melunturkan semangat pasangan duet, Zizan Razak dan Kaka Azraff untuk bergandingan sekali lagi menerusi lagu terbaru, Infiniti Cinta.

Infiniti Cinta adalah kesinambungan kepada lagu Bawaku Pergi. Lagu ini dicipta oleh Audi Mok dan Omar K. Liriknya pula dihasilkan sendiri oleh Zizan dengan kerjasama Aris.

Sejak dilancarkan Jun lalu, lagu ini tidak mengambil tempoh lama untuk berada di puncak carta sekaligus menjadi siulan serta pilihan ramai pendengar.

Bercerita mengenai Infiniti Cinta, Zizan memberitahu, bahawa lagu itu tidak akan terkesan dengan kontroversi terbabit selain menunjukkan bukti kesungguhannya dalam memperjuangkan muzik sebagai seorang penyanyi.

“Setiap kontroversi itu ada baik dan buruknya dan saya percaya kontroversi lagu Bawaku Pergi tidak akan memberi kesan kepada lagu Infiniti Cinta.

“Saya juga tidak pernah patah semangat dengan kontroversi lagu Bawaku Pergi sebaliknya ia membuatkan saya ingin terus berkarya,” katanya pada sidang media pelancaran muzik video lagu itu.

Sementara itu, Kaka yang mengakui cukup selesa dan senang untuk terus bergandingan dengan Zizan, tetap dengan pendiriannya tidak akan menumpang populariti bekas Raja Lawak musim pertama itu.

“Ini bukanlah mengenai populariti. Saya sendiri pun bermula dengan Zizan melalui lagu Bawaku Pergi.

“Jadi, saya sudah selesa bekerja dengannya dan  kalau boleh, saya tidak mahu berhenti bekerja dengan Zizan.

“Dia juga banyak beri tunjuk ajar. Zizan ibarat seorang guru dan abang  pada saya. Malah, saya juga nak belajar banyak perkara daripada dia mengenai industri,” kata artis naungan syarikat Zizan, WireFrame Entertainment ini.

Ketika ditanya bagaimana dia menyesuaikan diri dengan perwatakan Zizan yang agak ‘gila-gila’ dan kelakar pada setiap masa, Kaka mempunyai jawapannya sendiri.

“Saya tidak nafikan dia memang kelakar. Malah sepanjang masa, kami akan bergelak ketawa. Malah, ketika dia marah pun, dia sampaikan dengan cara kelakar.

“Tapi saya sebagai orang yang sudah mengenali dirinya, saya tahu membezakan sikapnya yang ketika itu serius atau tidak.

“Walau apa pun saya memang senang bekerja dengan Zizan,” katanya lagi.

Inspirasi filem Ratatouille


Turut melancarkan muzik video Infiniti Cinta, pengarah prolifik, Ghaz Abu Bakar, berkata, muzik video yang menceritakan mengenai seorang chef yang jatuh cinta dengan seorang pelanggan restorannya, ini mengambil inspirasi daripada filem Ratatouille.

Menjadikan Kuala Lumpur yang seakan-akan kota New York, Amerika Syarikat, kata Ghaz, itulah kelainan yang ingin ditonjolkan untuk hasil karya terbarunya itu.

“Saya mahu muzik video ini lain daripada lain dan ingin ia dilihat seperti berada di luar negara.

“Kebetulan pula, saya baru sahaja pulang dari New York dan saya sedikit terpengaruh dengan suasana di sana.

“Jadi, saya berusaha untuk mengelakkan benda-benda yang sudah biasa dilihat seperti bangunan ataupun kereta seperti Myvi atau Proton,” katanya.

Dalam menjayakan pembikinan muzik video berkenaan, Kaka pula memberitahu, dia terpaksa membuka pendakap gigi selama tiga hari.

“Watak saya adalah sebagai bidadari. Jadi, takkan bidadari pakai pendakap gigi pula kan? Oleh sebab itu, Ghaz minta saya buka untuk sementara.

“Tetapi, sebenarnya saya rasa lega apabila dapat buka sekejap,” katanya yang perlu memakai pendakap gigi tersebut dalam tempoh setahun lagi.

Zizan enggan solo


Sementara itu, Zizan yang juga pengacara Akademi Fantasia 2013, menolak untuk tampil secara solo lantaran tidak yakin dengan penerimaan orang ramai.

“Saya kadang-kadang terfikir, macam mana nanti penerimaan orang sekeliling sekiranya saya menyanyi secara solo? Adakah yang hendak mendengar saya menyanyi?.

“Saya selesa menyanyi lagu yang ada bait ‘rap’ di dalamnya, tapi untuk bergerak solo, saya belum lagi memikirkannya,” ujar Zizan.

Sebelum ini, Zizan muncul dengan beberapa lagu seperti Selamat Tinggal duet bersama Dina Nadzir dan lagu Bawaku Pergi serta yang terbaru, Infiniti Cinta dengan Kaka.

Pengacara Melodi itu juga berkata, walaupun dia menceburi pelbagai bidang, namun dia lebih selesa untuk memegang perwatakan sebagai pelawak.

“Apabila berada di pentas komedi, mesti ada seseorang yang memegang peranan pelawak. Sebagai pelawak, ia boleh bertukar-tukar karakter dan melakukan pelbagai perkara. Saya memegang peranan ini dan orang boleh menerimanya.

“Saya bermula daripada bidang lawak beralih kepada lakonan kemudiannya pengacaraan sehinggalah ke bidang nyanyian.

Pada mulanya, saya anggap perkara ini main-main sahaja tetapi kini perkara ini telah berubah menjadi serius.

“Apabila sudah serius, saya lakukan perkara ini dengan bersungguh-sungguh,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Zizan bakal muncul dalam filem arahan Ghaz, Tokan, yang akan ditayangkan di pawagam berdekatan Disember nanti.

Impian baru Kaka


Berbeza dengan Zizan, Kaka atau pemilik nama sebenar, Noor Atiqa Noor Azraff pula bagaikan tidak sabar menunggu single terbarunya, Terpulanglah dilancarkan pada Oktober nanti.

Pada masa sama, Kaka berhasrat untuk menjinakkan diri dalam dunia pengacaraan.

“Saya berminat untuk mengacara. Saya ada dapat tawaran daripada TV9 untuk mengacarakan sebuah program berbentuk travelog dan makanan, namun semuanya masih lagi dalam peringkat perbincangan.

“Tetapi untuk berlakon, mungkin tidak. Saya tidak berminat,” kata bekas peserta Fear Factor Selebriti ini.

Mengenai kerjasama kali keduanya dengan Zizan, anak saudara Ratu Rock Ella ini menjawab bahawa dia bersedia untuk berkolaborasi dengan penyanyi lain pada bila-bila masa.

“Saya juga ada bekerjasama dengan kumpulan Sleeq dalam sebuah lagu,” katanya.

iskandarX: Kembali berdua atau kembali berduet nie Zizan? Hmmm


Jangan kaitkan Adi!


Jangan kaitkan Adi!
Adi Putra

Jangan kaitkan Adi!


“Kenapa perlu kaitkan Adi dalam gosip ini?” itulah antara persoalan yang dikeluarkan isteri pelakon kacak, Adi Putra, Aida Yusof, mengenai satu kenyataan di ruangan gosip akhbar tempatan.

Menerusi ruangan gosip berkenaan, pelakon yang dikatakan berstatus suami orang dan memiliki anak itu gemar menayang alat sulitnya ketika berada di bilik mekap sewaktu penggambaran.

Rata-rata mula membuat andaian dan tidak kurang juga yang mengaitkan Adi dalam perkara ini memandangkan isu skandal yang mula bertebaran sejak awal bulan lalu masih belum selesai.

Enggan membincangkan perkara itu dengan lebih serius, Aida beranggapan, orang ramai dan masyarakat lebih selesa membuat andaian tanpa mengetahui kesahihan cerita.

“Saya perhati, masyarakat sekarang suka sangat jadi wartawan. Suka melaporkan itu dan ini tanpa mendapatkan fakta jelas.

“Ini adalah gosip yang tidak bernama dan tiada satu klu pun yang boleh mengaitkan Adi. Kenapa pula nak heret Adi dalam perkara ini?

“Saya sendiri tak faham dengan mentaliti masyarakat kita yang suka membuat tuduhan. Namun, ia bukanlah isu besar buat saya dan tidak perlu pening kepala nak fikir pasal perkara tak berfaedah ini,” katanya yang turut mendapat pengesahan daripada Adi mengenai perkara ini.

“Saya ada tanya Adi, namun Adi sendiri malas nak komen. Dia pun malas nak bertikam lidah dengan masyarakat yang tidak tahu apa-apa, tapi senang-senang membuat tuduhan,” tambah Aida.

Jangan kaitkan Adi!
Adi Putra bersama keluarga tersayang.

Ditahan reman?


Bukan sahaja dikaitkan dengan gosip berkenaan, Adi juga dikatakan telah menjalani tahanan reman dua hari lalu ekoran kes skandalnya bersama isteri orang.

Mengeluh nafas panjang, Aida turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan yang dilihat sebagai satu tuduhan tidak berasas.

“Ya Allah, bila masa pula Adi kena tahan reman? Saya tak tahu pun, macam mana tu? Adi baru sahaja pulang dari Singapura dan dia masih bebas ke sana ke mari.

“Saya ada baca mengenai perkara ini di laman sosial. Beberapa individu yang tidak bertanggungjawab menyebarkan bahawa Adi direman dua hari dan bakal dipenjarakan lima tahun.

“Bagaimana mereka semua tahu tentang perkara ini sedangkan pihak polis belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi? "Saya pelik lah dengan orang macam ni. Kalau betul Adi bersalah, kenapa dia masih bebas? Kes gangguan seksual ni, bukan kes biasa.

“Saya tak tahu nak kata apa. Orang luar yang tak tahu apa-apa lebih rancak mengeluarkan kenyataan bagi pihak kami dan polis. Namun, saya faham, mulut orang, bukan boleh tutup. Jadi, biarkan mereka...,” kata Aida yang turut mengakui laporan penuh daripada polis akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Tambah Aida, kes ini sudah hampir selesai dan dia turut dihubungi Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner, Ruslan Hassan, bagi memaklumkan mengenai perkara ini.

“Saya dimaklumkan, laporan penuh telah pun siap dan saya harap, ianya dapat diselesaikan secepat mungkin.

“Insya-ALLAH, minggu depan kita akan tahu keputusan mengenai kes ini. Saya harap, peminat Adi dan masyarakat bersabar,” katanya lagi.

Jangan kaitkan Adi!
Adi Putra bersama keluarga tersayang.

Sediakan kenyataan media

Enggan mengganggu urusan polis dalam menyelesaikan kes tersebut, Aida memberitahu bahawa sebaik sahaja perkara ini selesai, mereka akan tampil memberi kenyataan.

Katanya, seperti yang dijanjikan sebelum ini, Aida dan Adi akan menyediakan satu kenyataan media untuk membersihkan nama.

“Insya-ALLAH, bila semua dah selesai, kami akan mengeluarkan kenyataan media sebagai penjelasan mengenai perkara ini.

“Kenyataan ini diharapkan dapat menjawab segala teka-teki dan andaian liar yang dicipta sebelum ini.

“Saya harap semua dapat bersabar dan saya mengharapkan penyelesaian yang terbaik dalam kes ini,” katanya mengakhiri perbualan.

iskandarX: Ini yang susah kalau semua orang nak jadi wartawan tak berlesen nie, kesian Adi Putra.


Bencinta mesej untuk wanita


Bencinta mesej untuk wanita
Antara babak dalam cerita Bencinta.

Bencinta mesej untuk wanita


Kes penderaan rumah tangga, membabitkan wanita bukan perkara baru.

Ia secara tidak langsung memberi dan menggerakkan pengarah, Eyra Rahman untuk menghasilkan sebuah filem yang mengetengahkan isu ini.

Biarpun naskhah sebegini pernah dipertonton kepada umum (kisah penderaan rumah tangga) namun, Eyra membuat sedikit kelainan apabila memaparkan kisah wanita yang tabah  berhadapan dengan suami panas baran.

Secara ringkas, Bencinta yang diterajui oleh Farid Kamil dan Nora Danish mengisahkan pasangan baru berkahwin. Namun hubungan mereka menjadi hambar apabila Faizal (Farid Kamil), mula menjalinkan hubungan dengan orang lain lalu bertukar menjadi seorang pendera.

Terperangkap dalam perkahwinan yang merosakkan nilai masyarakat konservatif, Fathia (Nora Danish) melarikan diri ke Langkawi dan cuba meminta perlindungan daripada kawan baiknya (lakonan Qi). Mereka kemudiannya menyedari bahawa masing-masing saling jatuh cinta namun Fathia terpaksa berdepan suaminya.

Selain Farid dan Nora, filem ini turut dibintangi Qi Razali, Fezrul Khan, Zalif Sidek, Uqasha Senrose, Angeline Tan serta pelakon kanak-kanak, Adrianna.

Meskipun kelihatan sama dengan filem Hollywood, Enough lakonan Jennifer Lopez, namun pada pendapat penulis, Eyra berjaya menggarap dan mengolah cerita mengikut caranya sendiri.

Selain  jalan cerita mantap, filem ini juga dapat memberi kesedaran terutamanya kepada wanita untuk mencegah masalah penderaan daripada berlaku.

Biarpun mustahil untuk dicontohi (terutamanya dalam aksi lawan) tapi filem ini seakan menyuntik semangat untuk  wanita agar lebih kuat ketika berhadapan dengan situasi sama.

Bencinta mesej untuk wanita
Antara babak dalam cerita Bencinta.

Gandingan mantap Nora dan Farid


Tidak bergantung kepada jalan cerita semata-mata, gandingan Nora dan Farid banyak membantu untuk menghidupkan jalan cerita, termasuk aksi pergaduhan yang tidak nampak di buat-buat.

Selain itu, pujian juga harus diberikan kepada Nora kerana berjaya melakonkan babak aksi sendiri dengan cukup baik. Begitu juga dari segi lontaran emosi seorang isteri yang terpaksa berhadapan dengan seorang lelaki  panas baran.

Manakala lakonan Qi juga, biarpun hanya beberapa ketika, namun Qi  berjaya menterjemah wataknya dengan cukup baik.

Bencinta mesej untuk wanita
Antara babak dalam cerita Bencinta.

Keindahan sinematografi

Jika anda pernah menonton karya Eyra, anda pasti sedia maklum mengenai keindahan sinematografi yang dipaparkan dalam filem arahannya seperti Aku Terima Nikahnya.

Pemilihan Pulau Langkawi tentunya membangkitkan mood yang menenangkan sepanjang menonton babak melibatkan Nora dan Qi.

Malah, biarpun babak tersebut hanya melibatkan rumah, gerak kerja kamera dan pencahayaan yang baik banyak membantu Eyra dalam menterjemahkan karyanya dan menghasilkan sebuah naskhah yang berkualiti.

Justeru bagi melihat keseluruhan hasil filem ini, jangan lupa saksikan Bencinta di pawagam berdekatan.


Adam: Fiza jodoh saya


Adam: Fiza jodoh saya

Adam: Fiza jodoh saya


SELASA lalu penyanyi kelahiran Akademi Fantasia, Mohd Aizam Mat Saman atau Adam, 30, mengejutkan dunia hiburan dengan berita bakal menamatkan zaman bujangnya dengan aktres berstatus ibu tunggal, Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim atau lebih dikenali dengan nama Fiza Elite, 32.

Lebih mengejutkan, kedua mereka tidak pernah digosipkan bercinta tetapi mengambil keputusan untuk berkahwin setelah dua bulan berkenalan secara rapat.

Pasangan sama cantik sama padan itu memilih tarikh 26 September (semalam) untuk disatukan sebagai suami isteri di Jabatan Agama Islam Selangor, Shah Alam dengan mas kahwin RM300 bersama hantaran sepersalinan lengkap.

Hanya dengan sekali lafaz, mereka selamat diijabkabulkan oleh Pendaftar Nikah Daerah Petaling, Suhaimi Ahmad Wakid dan berwakil bapa pengantin perempuan, Abdul Halim dan dihadiri keluarga kedua pihak.

Menurut Adam, hubungan mereka mula serius selepas dia menyapa Fiza melalui pesanan ringkas Ramadan lalu kemudian mengambil keputusan untuk bertemu.

Malah, perubahan Fiza setelah berhijab membuatkan hatinya terpikat kerana ia merupakan ciri-ciri utama wanita pilihannya.

"Pertemuan pertama setelah Fiza berhijab benar-benar beri kesan kepada saya. Selepas pulang dari perjumpaan itu, saya sering teringatkan dia sehingga saya berdoa dan mohon petunjuk Ilahi.

"Apabila wajahnya muncul dalam solat, saya yakin dia jodoh saya dan terus melamarnya pada pertemuan ketiga," katanya.


Adam: Fiza jodoh saya

Adam, Fiza saling melengkapi


Bergelar pengantin baru dan juga bapa 'segera' kepada dua cahaya mata hasil perkahwinan lalu Fiza bersama bekas suami, Ahmed Farriq Zainul Abidin, bukanlah tanggungjawab yang sukar buat penyanyi yang pernah bernaung di bawah KRU Records ini.

Menurut Adam, sepertimana hatinya terbuka menerima Fiza, seperti itulah dia menerima kehadiran Ferra Aryana 5, dan Feeya Adyrra, 4, dalam hidupnya.

"Alhamdulillah... sebelum bergelar suami, saya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai bapa kepada dua anak Fiza.

"Pengalaman menjaga adik-adik sejak kecil akan saya manfaatkan selepas ini. Insya-ALLAH, tiada masalah untuk menjaga mereka berdua," katanya. Ditanya mengenai reaksi ibunya, Adam berkata, pada mulanya ibunya agak terkejut dengan keputusannya untuk mengahwini Fiza.

"Mulanya ibu ada bertanya sama ada saya mampu menjaga seorang wanitayang sudah mempunyai dua anak.

"Tapi hati saya sudah terpaut dan status bukan penghalang untuk kami mengecap bahagia," ujarnya. Adam berkata, dia juga belum lagi merancang destinasi bulan madu sebaliknya ingin fokus kepada majlis resepsi pihak lelaki di Kota Kinabalu, Sabah.

Jelasnya, majlis tersebut bakal diadakan di rumah ibu saudaranya, tanpa upacara persandingan sebelum Aidiladha nanti.

Adam: Fiza jodoh saya


Enggan terus hanyut

Adam yang kini dilihat sudah berhijrah mendalami ilmu agama, mengakui semakin tenang dan mengharapkan perkahwinannya bersama Fiza itu melengkapkan lagi kehidupannya.

"Usia sudah meningkat dan saya tidak mahu terus hanyut dengan dunia penuh glamor.

"Saya sedar dulu budak nakal dan jahil dalam agama. Sekarang ini saya mahu kuatkan benteng agama dan kini sedang mendalaminya," kata Adam.

Bagaimanapun, jelas Adam, dia tidak akan menghalang Fiza untuk terus berlakon. Namun sebagai isteri, dia mahu Fiza menjaga batas-batasnya.

"Selagi ia tidak melanggar hukum agama, saya benarkan. Tapi saya tak sanggup melihat isteri saya dalam adegan bersentuhan dengan mana-mana lelaki," ujar Adam yang akan menetap bersama isteri serta anak-anaknya di Kuala Lumpur.

Masih meneruskan karier seninya seperti biasa, Adam memberitahu, dia bakal melancarkan single terbarunya, Penggoda Jiwa yang ditujukan khas buat isteri tersayang.

"Ia berkisar bagaimana seorang wanita yang mampu membuatkan lelaki menjadi sasau apabila dilamun cinta. "Tidak dinafikan, ia juga sebagai simbolik cinta kami kerana lagu ini ditujukan istimewa buat Fiza," katanya.

Fiza semakin tenang

Sementara itu, Fiza menjelaskan bahawa dia tidak menjangka jodohnya dengan penyanyi kelahiran Sabah itu. Apatah lagi anak-anaknya juga sangat selesa bersama Adam sejak pertama kali dipertemukan.

Jelas Fiza, sebelum berkahwin lagi, kedua puterinya memanggil Adam dengan panggilan Abi menunjukkan mereka sudah menerima Adam sebagai bapa mereka.

"Anak-anak saya seronok bersama dia (Adam). Tak sangka mereka serasi dan selesa bermain dengan Adam. "Ketika Adam melamar, saya juga tidak sangka dia betul-betul serius dan menerima status saya dengan seadanya," katanya.

Fiza berkata, dia juga semakin tenang sejak bertemu dengan Adam, malah mengharapkan perkahwinannya kali ini akan kekal hingga ke akhir hayat.

"Saya tertarik dengannya kerana dia banyak bagi nasihat dalam agama sebab itulah saya tidak teragak-agak menerima
lamarannya. "Saya juga percaya dia mampu membimbing saya dengan baik," katanya.

Izreen Dicabar Rosyam Nor turun berat badan


Izreen Dicabar Rosyam Nor turun berat badan
Izreen Azminda

Izreen Dicabar Rosyam Nor turun berat badan


BIARPUN memenangi tempat ketiga pertandingan Dewi Remaja 2005/2006 yang dijuarai Scha Al-Yahya, nasib dan rezeki aktres Izreen Azminda untuk menempa nama lebih awal dengan rakan seperjuangan seangkatannya agak lambat bermula.

Sebelum meraih perhatian dan populariti yang makin mendadak selepas kemunculan menerusi drama bersiri Juvana di TV3, Izreen mengakui pernah berputus asa dengan saiz badannya menjadi ukuran dan kekangan untuk melangkah lebih jauh.

Namun, cabaran Rosyam Nor agar Izreen mengurangkan berat badan, tidak dipandang enteng. Dengan usaha yang berterusan, dia mengambil masa setahun untuk menguruskan berat badan.

Setelah mendapat berat yang ideal, barulah Izreen merasa lebih yakin untuk berhadapan dengan orang ramai.

Kini, Izreen sekali lagi berdepan dengan masalah berat badan selepas melahirkan anak pertama, Muhammad Adrian Umar Muhamad Riza, 17 Julai lalu.

Bagaimanapun Izreen tidak melihat perkara itu sebagai satu masalah besar kerana dalam tempoh menjaga anak, dia turut mengambil kesempatan untuk berpantang bagi mendapatkan semula berat badan idealnya.

Ikuti rahsia Izreen menurunkan berat badannya.


Boleh kongsikan pengertian cantik bagi anda?

Bagi Izreen, cantik adalah satu perkara yang subjektif kerana cantik bukan sahaja di lihat dari fizikal kita, tetapi juga dalaman. Jika kita mahu kelihatan cantik, kita perlulah cantik luar dan dalaman.

Pernah alami masalah berat badan?

Tentu sekali, ketika mula terlibat dalam industri seni selepas tamat pertandingan Dewi Remaja, berat badan Izreen pernah mencecah 70 kilogram (kg). Pada ketika itu Izreen akui rasa rendah diri, tidak selesa dengan pakaian yang Izreen gayakan, semua terasa hodoh.

Kemudian abang Rosyam mencabar Izreen untuk kurus agar Izreen kelihatan setanding dengan dia apabila berlakon. Jadi demi kesihatan, Izreen sahut cabaran itu dan dalam masa setahun berat Izreen berjaya diturunkan kepada 53kg dan Izreen terus maintain dengan berat itu sehingga sebelum hamil.

Bagaimana pula berat anda selepas bersalin?

Ketika hamil, berat Izreen mencecah sehingga 80kg, tetapi kini hanya 63kg. Izreen masih lagi dalam proses menurunkan berat badan, tetapi bukan secara ekstrem.Boleh kongsikan rahsia anda menurunkan berat
badan?

Ketika zaman muda, Izreen antara individu yang obses dengan pil kurus, kerana mahu ambil jalan singkat untuk kurus. Sudahnya bila berhenti, berat kita akan naik mendadak. Jadi nasihat Izreen pada mereka yang mahu menurunkan berat badan, jangan ambil pil kurus!

Bagi mendapatkan berat badan yang ideal, Izreen kecilkan kuantiti pemakanan, banyak minum air. Cara itu sememangnya berhasil kerana berat kita lama kelamaan akan turun. Selain itu, elakkan minum air sambil makan, seeloknya, minum air setengah jam sebelum makan dan setengah jam selepas makan.

Adakah anda masih mengamalkan diet sekarang?

Ya, biarpun sudah mempunyai anak, tetapi amatlah penting untuk golongan wanita menjaga tubuh badan. Tapi kerana anak masih menyusu badan, Izreen tidak amalkan diet yang ketat. Izreen masih makan nasi, tetapi pilih beras basmati atau beras perang.

Selain itu, Izreen turut berpantang seperti bertungku, mengurangkan pengambilan minyak dalam makanan.

Selain diet, adakah anda bersenam?

Secara jujur, dengan waktu kerja yang tidak menentu, agak susah untuk Izreen luangkan masa bersenam. Tapi Izreen tetap lakukan senaman ringan di rumah seperti skipping 100 kali pada waktu pagi dan malam.

Bagaimana pula dengan penjagaan wajah?

Alhamdulillah kerana wajah Izreen tidak ada masalah dengan jerawat, tetapi itu tidak bermakna Izreen tidak menjaga wajah. Paling penting, bagi mereka yang bersolek, perlulah membersihkan wajah sebelum tidur. Kemudian cuci muka, pakai toner dan krim muka.

Adakah anda sering melakukan facial?

Izreen tidak punya banyak masa untuk luangkan masa membuat facial. Tapi Izreen gemar buat facial sendiri di rumah dengan menggunakan bahan tradisional atau petua orang-orang lama. Antaranya adalah membasuh muka dengan air gula pada waktu pagi sambil selawat tiga kali dan niat. Selepas gula kering baru basuh muka.

Selain itu, Izreen gemar membuat masker menggunakan madu, ia baik untuk awet muda dan ada kalanya Izreen akan buat skrub yang Izreen beli di kedai.

Adakah anda kerap mengunjungi spa dan salun?

Izreen jarang ke spa, tapi ada sekali sekala ke spa sebagai ganjaran untuk diri sendiri selepas penat bekerja. Selebihnya seperti lulur, Izreen lakukan sendiri di rumah.

Begitu juga dengan perawatan rambut, dalam sebulan, hanya beberapa kali sahaja Izreen ke salun. Selebihnya Izreen selalu membuat rawatan 'hair mask' di rumah.

Dalam sebulan, berapa kos yang anda peruntukan untuk penjagaan tubuh dan wajah?

Izreen hanya belanjakan RM500 sahaja sebulan, untuk produk wajah dan suplemen. Banyak yang Izreen dapat jimatkan bila buat sendiri di rumah.

Bagaimana cara anda mengatasi tekanan?

Izreen adalah penggemar cerita Tamil. Jadi bila Izreen tertekan, Izreen akan tengok cerita Tamil. Sekarang ini, sejak ada anak, lihat muka anak pun boleh meredakan tekanan. Selain itu, Izreen gemar bermain
dengan kucing untuk meredakan tekanan.

Apa perkembangan Izreen sekarang?

Izreen baru kembali berlakon, tetapi projek Izreen sekarang hanya untuk sebuah telefilem iaitu Dia Yang Terpilih, untuk TV9. Selepas ini Izreen akan terlibat dengan penggambaran drama 13 episod untuk RTM.


Fida kesal dituduh lari dari penggambaran


Fida kesal dituduh lari dari penggambaran
Fida

Fida kesal dituduh lari dari penggambaran


SAYA difitnah! Tidak berakhir dengan satu kontroversi, timbul satu lagi cerita tidak enak mengaitkan pelakon dan penyanyi yang popular dengan lagu Apo Kono Eh Jang ini.

Menerusi sebuah portal berita, seorang penerbit, Hazmimi Johar, mendakwa Fida Ibrahim, sengaja melarikan diri daripada menjalani penggambaran telefilem Kampungku dan Aidiladha, di Baling, Kedah, atas alasan tidak berpuas hati dengan babak terakhir yang dikatakan cuba menyindir dirinya.

Bagaimanapun, lain pula reaksi yang diterima Zass, setelah menghubungi aktres ini. Akui agak terkilan dengan tuduhan itu, Fida berkata, penerbit itu sengaja memfitnahnya dengan membangkitkan alasan yang tidak munasabah terhadap dirinya.

Tegas Fida, dia tidak melarikan diri tetapi meninggalkan produksi itu kerana tidak mencapai perjanjian yang dipersetujui seperti sebelum ini.

"Saya tidak dapat terima cara yang dikendalikan oleh produksi itu. Sudah beberapa kali pengurus saya berbincang dengan penerbit produksi itu, tetapi tidak diendahkan," katanya.

Jelas Fida lagi, dia kesal apabila produksi itu tidak menjaga kebajikan artis dengan memaksanya bersama beberapa pelakon lain menjalani penggambaran di kawasan merbahaya.

"Mereka memulakan penggambaran di lokasi yang tidak dimaklumkan dan kami terpaksa meredah sungai, tak ikut 'track' hutan, sehingga kami hampir jatuh tebing.

"Bagaimana kalau kami cedera dan tidak boleh berlakon kerana terlibat dalam kemalangan?," katanya yang sangat tidak berpuas hati dengan pengurusan produksi itu.

Nafi berlagak diva


Menurut Fida, penempatan yang disediakan juga sangat teruk apabila dia terpaksa berkongsi bilik dengan empat pelakon lain termasuk ahli keluarga mereka.

"Saya bukanlah mengharapkan bilik mewah dan penempatan yang terlalu selesa, tetapi bayangkanlah apabila penginapan yang disediakan harus dikongsi seramai itu?

"Adakah salah saya mahukan hak saya dan sedikit keselesaan buat artis lain?," sangkalnya kembali.

Mengulas dakwaan mengenai sikapnya yang berlagak seperti diva, Fida bagaimanapun menganggap tuduhan itu sangat melampau.

"Saya tidak bertindak melampau atau mahukan tempat yang mewah dan selesa, namun saya tahu apa hak saya dalam sesebuah produksi.

"Bagi saya ia merupakan fitnah yang tidak berasas dan membuatkan kredibiliti saya benar-benar tercalar," katanya yang turut membawa isu itu kepada Seniman.

Adam, Fiza sah bergelar suami isteri


Adam, Fiza sah bergelar suami isteri

Adam, Fiza sah bergelar suami isteri


TAHNIAH kepada kedua selebriti, Adam atau Mohd Aizam Md Saman, 30 dan Fiza atau Siti Zaidatul Fiza Abdul halim, 32 yang telah sah bergelar pasangan suami isteri, hari ini.

Fiza yang juga bekas penyanyi kumpulan Elite itu telah selamat diijabkabulkan dengan mas kahwin berjumlah RM300 oleh Pendaftar Nikah Daerah Petaling, Suhaimi Ahmad Wakid serta berwakil bapanya, Abdul Halim di Bangunan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Shah Alam.

Kedua pasangan pengantin baru dilihat memilih warna putih sebagai busana pada majlis akad nikah, pagi tadi.

Sebelum ini, penyanyi Adam AF2 mengaku tidak peduli dengan status janda bakal isterinya itu.

"Secara jujurnya saya tidak pernah kisah tentang status seseorang wanita itu, memang ramai yang bertanya saya sama ada saya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab tersebut.

 "Saya sudah bersedia Insya-ALLAH, harap semua pihak dapat doakan agar saya dapat menjalankan tanggungjawab tersebut dengan ikhlas," katanya.

iskandarX: Tahniah kepada mereka berdua.!!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan