Cari Artikel

Thursday, October 3, 2013

Almy Nadia, Fizz Fairuz kahwin tahun depan


Almy Nadia, Fizz Fairuz kahwin tahun depan
Almy Nadia

Almy Nadia, Fizz Fairuz kahwin tahun depan


BAK kata pepatah, 'kalau sudah jodoh tak ke mana', amat sesuai untuk menggambarkan hubungan Fizz Fairuz dan Almy Nadia, kini.

Umum mengetahui tindakan aktor berusia 34 tahun bertunang dengan seorang wanita pada Februari lalu telah menjadi titik noktah pada hubungan mereka.

Belum pun reda dengan pertunangan mendadak itu, masyarakat dan peminat Fizz umumnya dikejutkan dengan berita, bahawa tunang Fizz itu adalah isteri orang dan secara tidak langsung memperlihatkan ikatan pertunangan itu terlerai.

Reda seketika dari isu tersebut, Fizz Fairuz, tampil menyampaikan berita gembira dan mengejutkan kepada semua bahawa dia dan Almy Nadia akan bernikah pada tahun depan.

Jika Fizz dilihat begitu teruja bercerita mengenai perancangannya itu, Almy sebaliknya mengambil pendekatan selamat dengan menutup mulut dari memperkatakan tentang berita gembira itu.

"Saya tak mahu beri komen panjang mengenai perkara ini. Saya serahkan segalanya kepada Fizz," jelasnya kepada Zass.

Kembali terjalin


Sementara itu, Fizz yang ditemui media di booth camp Liga Lawak Superstar, di Hulu Langat mengakui hubungannya dengan Almy sudah kembali terjalin.

Ditanya lebih lanjut mengenai hubungan mereka kali ini, Fizz berkata, dia tidak meletakkan harapan terlalu tinggi dan tidak mahu memaksa Almy menerima dirinya. Pun begitu, dia mengakui hubungan itu dikatakan kembali rapat sejak beberapa bulan lalu.

“Kami dah berkawan dan bercinta semula. Saya tak nak bertunang, tetapi terus merancang untuk berkahwin. Kalau tiada aral, saya mahu menjadikannya isteri yang sah secepat mungkin. Insya-ALLAH saya bercadang mahu menikahi Almy tahun depan.

“Tapi saya belum berjumpa keluarganya lagi. Bagilah saya masa dan ruang untuk selesaikan perkahwinan adik saya dahulu,” jelasnya.

Fizz mengakui Almy seorang wanita yang sempurna di matanya, sepanjang perkenalannya dengan mana-mana wanita, Fizz yakin, hanya Almy yang paling sempurna buatnya.

“Selepas apa yang berlaku, saya yakin ini jodoh. Saya tak paksa dia kembali pada saya. Bukan seorang yang cuba mendekati saya, tetapi saya sedar, hanya Almy yang memahami saya dan saya juga sudah cukup kenal dengan Almy.

“Dia dah tahu saya macam mana dan begitulah sebaliknya. Kami jarang berjumpa sebab  masing-masing sibuk dengan kerja. Hanya kadang-kadang kami berbual di telefon.

“Saya tak meletakkan harapan yang terlalu tinggi. Jodoh itu ketentuan Allah. Siapa yang nak kan ‘duda’ macam saya ni,” katanya sambil berseloroh.

Menurut Fizz, dia memilih Almy bukan kerana tidak ada yang mempercayainya lagi tetapi dia yakin itu adalah jodoh. Malah, hubungan percintaan selama tujuh tahun menjadikannya serasi bersama Almy.

Anak Almy panggil papa


Dalam pada itu, Fizz berkata, hubungannya dengan anak angkat Almy, Nur Afrina amat rapat dan anak kecil itu turut memanggilnya dengan panggilan Papa.

“Anaknya, Afrina sering menelefon saya. Dia panggil saya papa dan saya sangat rapat dengannya.

"Setiap hari dia akan menelefon saya tanya di mana dan buat apa. Biasalah, budak-budak, walaupun saya sibuk, saya tetap melayaninya,” katanya yang kini sibuk dengan program realiti Akademi Fantasia (AF 2013).

Selain itu, dia juga bakal muncul dalam sebuah program terbaru TV3 berjudul Liga Lawak Superstar yang akan mula ditayangkan mulai 6 Oktober depan.

Tegar tak akan lupa diri


Tegar tak akan lupa diri
Tegar

Tegar tak akan lupa diri


SEBELUM ini, dia tidak pernah merasa sambutan ulang tahun, apatah lagi diberi pelbagai bentuk hadiah yang mewah.

Duit yang diperoleh daripada hasil titik peluh sebagai pengamen (penyanyi jalanan) di Kota Subang, Indonesia hanya cukup-cukup untuk menampung perbelanjaan seharian keluarganya.

Apatah lagi, sepanjang tempoh 16 jam sehari, dari jam 4 pagi hingga 7 malam, pengemis cilik ini hanya memperoleh RM30 hingga RM40 sahaja.

Namun, pada ulang tahun kelahirannya yang ke 12, pada Rabu lalu,  penyanyi cilik, Tegar Septian, menerima hadiah di luar jangkaannya.

Ketika menjalani sesi fotografi Isnin lalu, Tegar yang popular dengan lagu, Aku Yang Dulu Bukanlah Yang Sekarang, memberitahu, dia turut menghadiahi ibu bapanya sebagai tanda penghargaan.

"Saya ada terima beberapa bentuk hadiah termasuk I Pad, alat muzik seperti piano, ukulele, keyboard, dan organ.

"Selain itu, saya turut membeli rumah untuk keluarga saya sebagai hadiah. Sebelum ini, memang hasrat saya untuk membeli rumah kepada mereka agar lebih selesa.

"Saya juga turut membeli sebuah motosikal berkuasa tinggi (motorbike), untuk diri sendiri kerana sudah lama saya teringin untuk memilikinya," katanya yang kini telah mengadakan lebih daripada 10 konsert di Indonesia.

Popular sekelip mata


Bukan sahaja di Indonesia, nama Tegar kini mula meniti di bibir peminat Malaysia. Malah, rata-rata mengagumi bakat dan ketabahannya dalam menjalani kehidupan sebagai pengemis jalanan.

Berjaya berkongsi pentas bersama penyanyi terkenal Indonesia seperti Noah dan Wali Band, jauh di sudut hati Tegar untuk berkolaborasi bersama kumpulan terkenal Malaysia, Slam.

Menurutnya, hampir kesemua lagu-lagu Slam berjaya dihafal dan sering dinyanyikan ketika mengemis dahulu.

"Saya memang minat Slam dan kumpulan itu amat terkenal di Indonesia. Lagunya juga bagus-bagus. Saya teringin nak berduet dengan kumpulan itu jika diberi peluang.

"Selain itu, saya juga mahu berduet dengan penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza. Bagi bintang antarabangsa pula, saya meminati, Justin Bieber.

"Kalau berpeluang, saya mahu berkongsi pentas dengannya yang merupakan idola saya. Saya mahu berjaya sepertinya," kata Tegar yang tidak putus-putus menunjukkan kebolehannya bermain magik daun terup.

Walaupun hanya berpeluang bersekolah sehingga Darjah 2 sahaja, Tegar kini berusaha 'mengejar' semula pembelajaran yang ditinggalnya hampir lima tahun itu.

"Saya menggunakan kaedah pembelajaran di rumah (homeschooling), kerana saya terikat dengan jadual persembahan. Jadi, kaedah ini lebih menyenangkan.

"Alhamdulillah, setakat ini, saya boleh mengikuti pembelajaran ini dengan mudah. Malah, saya turut diajar untuk mendalami Bahasa Inggeris," katanya yang bakal mengadakan konsert pertama di Malaysia pada bulan November nanti.

Selain itu, Tegar juga kini memiliki album pertamanya, Tegar & Sahabat, yang memuatkan lima lagu termasuk lagu hitnya dan Rindu Ibu.

Merokok, hidu gam


Walaupun kehidupannya kini jauh berubah, namun akui Tegar, jiwa dan pendiriannya masih seperti dahulu.

"Hanya kehidupan sahaja yang berubah. Namun, tegar masih lagi Tegar yang dahulu. Tak akan meninggi diri dan mendabik dada.

"Kehidupan saya di jalanan memberi banyak pengajaran kepada saya dalam menempuh hari-hari mendatang. Walaupun saya mempunyai duit dan segalanya, namun saya tidak dimanjakan.

"Pengurus saya, Alfas Hermansyah, juga bertindak menguruskan kewangan dan membawa saya di tahap ini," katanya yang dijumpai Alfas di Kota Subang, Julai lalu.

Kemerduan suara dan ketabahan Tegar yang mencari nafkah demi keluarganya dengan gesekan ukulele membuatkan Alfas tergerak hati untuk membawa Tegar ke pertandingan pencarian bakat, Telco.

Bercerita mengenai pengalaman lalu, Alfas mengakui Tegar turut terlibat dalam masalah sosial seperti merokok dan menghidu gam.

"Masalah ini adalah gejala biasa di kalangan pengamen cilik. Semasa menemui Tegar, saya meminta kebenaran keluarganya untuk membawa Tegar tinggal bersama.

"Ketika itu, dia juga tidak mengetahui sebarang perkara mengenai Islam. Saya bertanggungjawab untuk mengajarnya.

"Selama tiga bulan, saya berjaya membuang ketagihan Tegar dan kini dia sudah berubah dan berjaya menjalani kehidupan seperti kanak-kanak biasa. Tiada lagi rokok dan gam.

"Saya kagum dengan Tegar kerana walaupun dia pernah ketinggalan dalam pelajaran, dia cepat belajar. Malah, dia juga mampu menghafal lirik dalam masa yang singkat," katanya.



Aziz bersara kerana Azura?


Aziz bersara kerana Azura?
Aziz M Osman

Aziz bersara kerana Azura?


GAGAL mengulangi kejayaan filem, Azura pada 1984, menerusi kesinambungan kisah, Azura 2012, pengarah dan pemilik syarikat produksi, Ace Motion Sdn Bhd, Aziz M Osman, menyuarakan keputusannya untuk bersara dari mengarah filem.

Hanya berjaya mendapat kutipan serendah RM990,000 sepanjang tayangan, Aziz mengakui, industri kini sudah tidak berpihak padanya.

Menurutnya, dia perlu mengundur diri dan memberi peluang kepada pengarah muda.

"Generasi penonton filem-filem saya sudah tiada dan penonton yang ada bukan lagi menyokong karya saya.

"Saya sedar mengenai perkara itu dan mungkin ini bukan zaman saya lagi. Penonton lebih selesa disogok dengan karya cinta dan kekecewaan yang keterlaluan serta elemen komedi yang tidak membina.

"Mungkin ada yang bertanya, kenapa saya tidak mengubah konsep itu mengikut keadaan semasa. Jika saya ubah, mana identiti filem dan karya saya? Kebanyakan karya yang ada sekarang tiada identiti," katanya yang pernah menghasilkan karya berbisa seperti, Leftenan Adnan, Senario Lagi, Senario The Movie dan Puteri Impian.

Walaupun bersara dalam bidang pengarahan, Aziz tetap menjadi inspirasi kepada anak sulungnya, Puteri Nur Fatihah, 24, dan membantu dalam kerja pengarahan.


Eirma, Tiara beralih arah


Eirma, Tiara beralih arah
Eirma Fatima

Eirma, Tiara beralih arah


EIRMA Fatima atau nama sebenarnya, Fatimah Rahmad, bukanlah nama picisan dalam industri lebih-lebih lagi dalam bidang pengarahan.

Walaupun lembaran seninya bermula sekadar pelakon, namun usaha tanpa jemu Eirma membuatkan dirinya setanding dengan pengarah yang sedia ada.

Tampil dengan beberapa filem seperti Jimi Asmara, Perempuan Melayu Terakhir, Embun dan yang terakhirnya, Diva Popular, pada 2006.

Hampir tujuh tahun tidak mengarahkan sebarang filem, Eirma hanya memberi tumpuan dalam bidang pengarahan drama, telefilem dan pementasan teater sahaja.

Walaupun tidak pernah menyuarakan rasa kecewanya terhadap industri perfileman, namun tindakan Eirma menunjukkan kakak kepada, Datin Paduka Umie Aida ini tidak memilih layar perak sebagai medan pelaburan.

Eirma, Tiara beralih arah
Datin Seri Tiara Jacquelina

Begitu juga dengan pelakon cantik, Datin Seri Tiara Jacquelina, yang lebih selesa berada di belakang tabir dunia teater.

Memiliki syarikat produksi sendiri, Enfiniti Productions Sdn Bhd, Tiara lebih selesa menerbitkan teater.

Antara teater terbitan syarikatnya termasuk P Ramlee The Musical... The Life, The Love & The Inspiration, The Secret Life of Nora, dan Puteri Gunung Ledang the Musical.

Walaupun pada suatu ketika dahulu, beliau belum nekad untuk bersara dalam bidang lakonan televisyen, namun kehilangan Tiara di dalam industri perfileman dan drama memberi kesimpulan bahawa nama besar ini mungkin selesa dengan teater muzikal.



Wan Nor Azlin: Merana 'dibuang' bapa


Wan Nor Azlin: Merana 'dibuang' bapa
Wan Nor Azlin

Wan Nor Azlin: Merana 'dibuang' bapa


NAMA dramatis terkenal Wan Nor Azlin, bagaikan tidak terlepas dari kisah kontroversi. Selepas tenggelam seketika dari industri hiburan, pelakon berusia 45 tahun ini sekali lagi kembali menjadi perhatian setelah memfailkan saman dan meminta mahkamah agar ayah kandungnya, Wan Mohd Husain, 76, dipenjarakan.

Permintaan tersebut tentu sekali mengejutkan dan banyak pihak mula menyalahkan Azlin serta menuduhnya sebagai anak derhaka. Tidak mahu terus berdiam diri, Azlin akhirnya tampil menjelaskan perkara sebenar di lobi Mahkamah Syariah Shah Alam, semalam.

"Ayah saya yang terlebih dahulu memfailkan saman terhadap saya kerana enggan keluar dari rumah tersebut. Padahal belum pun setahun dia tinggal di situ, saya sudah mengeluarkan belanja sebanyak RM64,000 untuk memperbaiki kerosakan dan menambah baik peralatan di rumah tersebut "Malah, dia juga ada ajak saya tinggal bersama lima tahun lalu selepas kematian ibu, sementelah lagi saya pula berhadapan masalah rumah tangga.

"Namun, tanpa sebarang alasan kukuh ayah menyuruh saya keluar dari rumah sehingga sanggup memotong bekalan air dan elektrik. Bayangkan selama lapan bulan hidup saya ibarat dalam buangan akibat perbuatan bapa sendiri," katanya yang ditemui selepas kes itu dibatalkan mahkamah.

Jelasnya lagi, sikap ayahnya itu mula berubah selepas berkahwin baru sehingga adik beradiknya yang lain turut terkejut dengan perubahan itu.

"Saya terkilan dan sedih dengan perbuatan ayah dan mohon dia jangan menganiaya saya kerana saya darah dagingnya sendiri. 

"Lagipun rumah tersebut sudah dijual dan saya cuma mahu hak saya kembali. Saya berharap ayah dapat pulangkan balik wang saya kerana mahu mulakan hidup baru bersama anak-anak," katanya.

Tegas Azlin, dia banyak berdiam diri walaupun masyarakat memandang serong terhadap perbuatannya menyaman bapa sendiri.

"Orang luar tidak tahu bahawasanya ayah saya yang memulakannya namun, mereka terus menuding jari bahawa sayalah punca segala-galanya," ujarnya.

Nafi pukul bapa

Ditebak mengenai tindakannya yang mengasari bapa akibat pergaduhan itu sehingga disaksikan jiran, Azlin menegaskan dia tidak tergamak untuk berbuat sedemikian.

"Kami hanya bertikam lidah tetapi tidaklah sampai pukul memukul. Apatah lagi ayah saya sudah uzur, takkan saya sanggup memukul bapa sendiri sematamata mahu menuntut wang.

"Apa pun yang berlaku dia tetap ayah saya dan tidak tergamak untuk saya mengasarinya," jelasnya. Azlin berkata, dia berharap masyarakat dapat memberi ruang kepada mereka berdua dan tidak membuat sebarang penilaian berdasarkan khabar angin atau laporan pihak luar.

"Pada mulanya saya mahu mendiamkan diri namun ayah mengumumkan perkara ini kepada media. "Hari ini saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak mencederakan ayah atau mahu dia dipenjarakan seperti yang diuar-uarkan masyarakat!

"Malah, saya tidak akan berdendam dengannya sekalipun hati ini terguris dengan perbuatannya," katanya.

Periuk nasi terjejas


Azlin mengakui sejak perseteruan dengan ayahnya diperkatakan, periuk nasinya mula terjejas apabila tawaran lakonan semakin kurang dan ada kalanya tiada langsung.

"Saya akui perkara ini menyebabkan periuk nasi saya terjejas. Buat masa ini saya hanya bergantung kepada tawaran berlakon.

"Apatah lagi saya baru sahaja bercerai Mac lalu dan kini bergelar ibu tunggal," jelasnya. Ujar ibu kepada tiga anak ini, dia kini membesarkan anak-anaknya sendirian dan mahu memulakan hidup baru dengan wang yang dituntut daripada ayahnya itu.

Kahwin: Fizo ingin rai penduduk Pasir Puteh


Kahwin: Fizo ingin rai penduduk Pasir Puteh
Fizo Omar

Kahwin: Fizo ingin rai penduduk Pasir Puteh


PELAKON dan pengacara, Fizo Omar mengimpikan perkahwinan dalam suasana di padang bola bagi menjemput peminat dan masyarakat sekitar di negeri kelahirannya di Pasir Puteh, Kota Bharu, Kelantan memeriahkan majlis bersejarahnya itu.

Fizo berkata, majlis perkahwinan perlu dihebahkan kepada orang ramai, jadi untuk tidak menghampakan peminat, dia mengharapkan impian perkahwinannya itu nanti dapat memberi peluang kepada masyarakat sekitar supaya dapat memeriahkan majlis terbabit di kampung halaman.

“Buat masa ini saya sudah dalam proses mengenali hati budi masing-masing dan hubungan saya dan dia (Mawar Abdul Karim) yang merupakan model dan anak pengusaha tudung berjenama Fareeda mendapat persetujuan ibu bapa kedua belah pihak.

“Memang sebelum ini kami dipertemukan atas urusan perniagaan dan pada mulanya hanyalah sebagai rakan niaga, namun di atas keserasian hubungan ini akhirnya wujud perasaan suka dan Insya-Allah jika tiada aral melintang, saya akan langsungkan majlis pertunangan November ini dan kahwin pada tahun ini juga,” katanya.

Fizo berkata, pertemuan dengan si ‘dia’ bukan merupakan rancangan keluarga seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini dan diharapkan dengan penjelasan terbabit terjawablah segala spekulasi.

Menurutnya, dia juga tidak menolak kemungkinan salah seorang ahli keluarganya juga bakal melangsungkan perkahwinan pada masa dan waktu yang sama dengan tarikh perkahwinannya.

“Insya-Allah saya akan taja perkahwinannya jika majlisnya sama dengan tarikh perkahwinan saya, apa pun setakat ini kesemuanya masih dalam perbincangan dan jika tiba masanya nanti saya akan umumkan,” katanya.

KL Gangster disabotaj, Syamsul merana!


KL Gangster disabotaj, Syamsul merana!
Syamsul Yusof

KL Gangster disabotaj, Syamsul merana!


JIKA sebelum ini, pengarah muda ini dilihat lebih agresif dalam melahirkan karya-karya yang mampu meraih sambutan penonton, kini semuanya hanya tinggal kenangan.

Menurut bapanya, Datuk Yusof Haslam, Syamsul berhasrat untuk bersara lebih awal ekoran filem arahannya, KL Gangster 2 disabotaj dan disebarkan di internet sebelum tarikh tayangan.

Episod malang ini merupakan insiden pertama yang berlaku dalam sejarah perfileman tempatan.

Selepas mengetahui filem terbarunya yang bakal ditayangkan pada 3 Oktober ini, sudah menjadi tatapan penonton di dunia maya dua bulan lebih awal, Syamsul bertindak menyepikan diri tanpa memberi apa-apa kenyataan dan penjelasan kepada media.

Menurut Yusof, anaknya itu sangat tertekan dan kecewa dengan apa yang berlaku.


Malah, dia juga membuat keputusan untuk tidak muncul dalam mana-mana majlis berkaitan filem terbarunya itu, termasuk majlis pra tonton.

"Dia (Syamsul) sangat kecewa dengan apa yang berlaku. Saya faham perasaan dia dan pastinya sukar berhadapan dengan situasi sebegini.

“Satu kehilangan besar buat industri sekiranya dia bersara. Sebagai penerbit filem, saya merasakan tidak munasabah untuk berhenti gara-gara kontroversi ini.

"Namun sebagai ayah, saya hanya mampu berdoa kepada ALLAH untuk pertolongan. Saya tidak akan berdiam diri selagi dalang kejadian ini tidak ditangkap," katanya yang turut memberitahu beberapa pengedar filem antarabangsa dilaporkan berminat untuk mengedarkan filem itu di luar negara.

Scha: Sedia bergelar 'mummy'!


Scha: Sedia bergelar 'mummy'!
Scha Al Yahya

Scha: Sedia bergelar 'mummy'!


BARU saja dikejutkan dengan berita menjalani pembedahan membuang ketumbuhan Endometriosis dalam rahimnya pada awal September lalu, pelakon dan pengacara, Scha Al Yahya, kini giat merencanakan karier seninya.

Menyifatkan ia sebahagian dari dugaan dalam hidupnya, isteri kepada hos terkenal, Awal Ashaari, ini bagaimanapun, memanjatkan rasa syukur kerana penyakit itu tidak menjejaskan rahimnya.  

Sebagai wanita, tipulah sekiranya dia tidak berasa risau dengan penyakit itu, sementelah ia melibatkan sistem reproduksi yang menghasilkan zuriat. Malah akui Scha, suamilah yang paling risau dengan situasi yang dialaminya.

“Doktor maklumkan ketumbuhan itu belum sampai tahap serius, tetapi jika tidak dibuang, ia boleh membesar dan membahayakan nyawa. Atas nasihat doktor, saya setuju dibedah dan tidak mahu berlengah lagi.

"Saya juga bersyukur kerana semuanya berjalan dengan selamat,” ujar Scha yang turut memuji sikap Awal yang sentiasa bersamanya di saat susah dan senang.

Menyentuh mengenai cahaya mata, Scha berkata, seperti pasangan lain, dia dan Awal juga sudah bersedia sekiranya dikurniakan rezeki dari ALLAH SWT. Namun kesibukan karier, membuatkan mereka tidak mahu terlalu memikirkannya.

“Memang saya (Scha Al Yahya) sudah bersedia untuk bergelar ‘mummy’, Tapi buat masa ini, kami masih sibuk dengan kerjaya masing-masing," katanya ringkas.

Masih laris

Beralih mengenai karier, ternyata status isteri yang dipegangnya juga tidak menghalang tawaran seni yang datang. Buktinya sehingga kini pemilik nama sebenar Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir, 30, ini masih punya aura dan tuah tersendiri apabila menerima banyak tawaran untuk iklan komersial.

Selain Oral-B, Watson dan SNE Beutskin Essence, Scha juga masih diberi kepercayaan untuk menyambung kontraknya bersama Bio Essence dan Avon Perfume.

Malah turut dipilih untuk menjalani kempen bersama beberapa jenama terkenal seperti Johnsons, Listerine dan Kopiko kopi.

“Alhamdulillah sampai sekarang saya masih diberi kepercayaan untuk menjadi duta produk, model iklan dan  kempen.

“Saya juga dalam proses menyiapkan cawangan butik kedua Schapoholic di Wangsa Walk,” ujarnya yang kini sedang mengasah bakat pengacaraan dan tawaran untuk mengendalikan majlis-majlis keramaian.

Menyangkal dedas-desus yang mengatakan dia menumpang populariti Awal,  Scha berkata, dia sendiri berusaha keras untuk memastikan kariernya di tahap yang membanggakan.

“Saya rasa pandangan ini salah. Saya pasti, mereka yang cakap tu tak buat ‘research’ mengenai saya. Saya bermula dari modeling dan iklan kemudian ke dunia lakonan. Namun, untuk bidang pengacaraan, saya tak nafikan Awal yang banyak membuka jalan.

“Tapi bakat dan kerja keras juga perlu seiringan. Jika saya tidak berbakat dan bekerja keras dengan tawaran yang saya terima, ia tidak akan ke mana. Dan saya yakin, rezeki saya semakin bertambah selepas saya berkahwin. Alhamdulillah rezeki Allah kepada saya dan suami,” ujarnya yang masih lagi belajar untuk mengembangkan bakatnya sebagai pengacaraan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan