Cari Artikel

Friday, August 30, 2013

Ameng Spring nekad berubah


Ameng Spring nekad berubah


Ameng Spring nekad berubah


“SEGALANYA berbeza. Saya pernah hidup sebebas-bebasnya tetapi di sebalik tirai besi ini, perjalanan hidup saya seratus peratus berubah malah perolehi banyak pengajaran dan hidayah di sini,” kata vokalis kumpulan Spring, Wan Aminuddin Wan Ismail atau Ameng ketika menceritakan pengalaman  hidupnya berhari raya di penjara.

Ameng berkata, bagaimanapun, dia tetap bersyukur apabila masih diberi peluang bertemu ahli keluarganya dan rakan pada hari raya walaupun suasana kali ini agak berbeza sebelum ini.

“Alhamdulillah ahli keluarga datang dan rakan-rakan datang berjumpa dengan membawa makanan istimewa berbanding hari-hari lain,” kata Ameng.

Katanya lagi, sokongan moral sebegini telah menguatkan lagi iltizamnya untuk terus berubah dan menghadapi pelbagai cabaran di sini.

Sementara itu, Persatuan Karyawan Malaysia ( Karyawan) telah hadir melawati Ameng di Penjara Kluang, Johor sempena hari raya Aidilfitri bagi menyatakan sokongan moral kepada Ameng.

Sebelum itu, Ameng telah di tempatkan di Penjara Kluang sejak April 2011 bagi menjalani hukuman penjara selama lapan tahun dan beserta 10 sebatan di atas kesalahan memiliki dadah beberapa tahun yang lalu.

Hadir sama  Pengarah Penjara Kluang, Timbalan Komisioner Rasid Jamil dan Pengurus Karyawan, Ahmad Abdullah.

Ameng berkata, ramai beranggapan golongan seni atau artis akan mendapat tenaga tambahan sekiranya menggunakan dadah adalah tidak benar kerana ramai golongan seni yang hebat dan berjaya tidak terpengaruh dengan dadah.

Menurutnya, seni dan dadah adalah berbeza dan personaliti hebat seseorang karyawan seni atau artis tiada kena mengena dengan pergantungan dadah.

Ameng yang popular pada era 90-an bersama Kumpulan Spring menyifatkan dadah hanyalah keseronokan sementara dan hanya memusnahkan hidup.

Sementara itu, dalam tempoh terdekat, Karyawan turut akan mengadakan  program bersempena dengan hari raya Aidilfitri dan sambutan merdeka dengan pihak penjara Kluang yang bakal menampilkan persembahan istimewa bagi menghiburkan warga penjara dari artis terkenal pelbagai genre.

Ini adalah antara tanggungjawab sosial Karyawan kepada masyarakat, menghibur dan merehatkan jiwa golongan kurang bernasib baik  di samping memberi keinsafan kepada diri sendiri agar tidak terjebak dengan sebarang gejala hedonestik dan bertentangan dengan undang-undang.

Bukan penyanyi picisan


Altimet, Awi Rafael dan Asmidar Bukan penyanyi picisan
Altimet, Awi Rafael

Bukan penyanyi picisan


NAMA Altimet, Awi Rafael dan Asmidar, sememangnya tidak asing lagi dalam industri muzik tanah air tempatan. Punya bakat tersendiri, tiga nama ini sentiasa tampil dengan karya-karya baru yang pastinya mencuri tumpuan ramai.

Pun begitu ia bukanlah jaminan untuk mereka meraih populariti yang tinggi dan sehingga kini mereka masih belum merasai puncak populariti seperti mana rakan-rakan seangkatan mereka.

Akur dengan situasi itu, baik Altimet, Awi, mahupun Asmidar, populariti bukanlah keutamaan mereka. Di atas minat dan bakat dimiliki, mereka bertiga tetap bersyukur kerana masih diberi ruang untuk bernafas dalam industri.

Mungkin wajah mereka jarang muncul di kaca TV, mahupun di dada-dada akhbar, namun mereka bukanlah artis picisan dalam industri.

Tanpa publisiti mahupun kontroversi, hakikatnya mereka masih rancak menerima tawaran nyanyian. Memilih untuk tidak terlalu menonjol, Altimet, Awi dan Asmidar lebih selesa bersikap ' low profile'.

Malah ketiga mereka lebih memilih untuk 'menyepi' daripada sengaja mencipta kontroversi murahan demi meraih perhatian peminat. Bukan sekadar omongan kosong, ketiga mereka kini semakin rancak merencanakan karier seni. Jom kita ikuti ceritera mereka!

Altimet, Awi Rafael dan Asmidar Bukan penyanyi picisan
Altimet, Awi Rafael dan Asmidar

Altimet rakam album baru


Terkenal dengan imej hip hop, Altimet semakin sibuk menguruskan persiapan rakaman dua album terbarunya yang kini hampir 80 peratus siap.

Hanya tinggal sebulan sahaja lagi, dia terpaksa memilih tawaran nyanyian kerana jadual masa yang agak padat ketika ini.

"Syukur, alhamdulillah. Kedua album ini akan dilancarkan November depan.

"Lirik dan muzik, semuanya dicipta oleh saya," katanya yang bekerjasama dengan DJ Fuzz dalam salah satu album tersebut.

Menurut Altimet, album tersebut akan memuatkan 10 hingga 15 lagu, bagaimanapun ia masih lagi dalam proses pemilihan.

Terkenal dengan lagu rakyat, Altimet berkata, dia banyak mendekati masyarakat sekeliling untuk menghasilkan lagu.

"Seorang wartawan pernah memberitahu saya, jika ingin buat lagu rakyat kita harus bertemu dan bercakap dengan mereka.

"Begitulah lagu Kalau Aku Kaya terhasil. Saya lakukan tinjauan ke atas 30 orang mengenai perkara ini.

"Namun bukan semua lagu saya guna cara ini, tetapi jika lagu kita berkaitan kehidupan rakyat baru ia digunakan," katanya yang gembira dengan single terbarunya itu.

Lagu kontroversi?


Sebelum ini, Altimet pernah mengamuk apabila lagu terbarunya, Kalau Aku Kaya, itu dimainkan lebih awal daripada perancangan asal.

Tindakannya itu turut mengejutkan ramai pihak. Enggan memperbesarkan lagi isu tersebut, Altimet kini semakin berhati-hati mengatur langkah.

"Ia adalah hasil titik peluh kita tetapi ada pihak tidak menghormati pencipta lagu antara sebab perkara ini berlaku.

"Anggap sahaja ia sebagai pengajaran dan saya perlu berhati-hati supaya ia tidak berulang lagi," katanya.

Mengambil iktibar daripada kejadian tersebut, Altimet terpaksa menukar strategi pemasaran mengikut keadaan semasa.

"Saya tidak akan menyerahkan ciptaan dan karya sewenang-wenangnya selagi belum tiba masa pelancaran single terbaru.

"Selepas kejadian ini, saya sedar kita tidak boleh mempercayai seseorang seratus peratus," tegasnya.

Ditebak mengenai pemilihan rakan duetnya Awi Rafael, dia berkata suara penyanyi tersebut sangat sesuai dengan rentak lagu ciptaannya itu.

"Apabila lagu ini siap, saya terus ajak Awi untuk bekerjasama.

"Setelah dia melihat lirik lagu ini, Alhamdulillah hatinya terbuka untuk menyanyi bersama," ujar Altimet.

Asmidar belum menyepi


Sementara itu, juara musim pertama Vokal Bukan Sekadar Rupa, Asmidar kini sibuk memenuhi undangan nyanyian sempena Syawal ini.

Jarang muncul di kaca TV, bukan bermakna dia sudah berhenti menyanyi sebaliknya lebih fokus kepada pelancaran single terbarunya, Bila Cinta Ada.

Selepas kejayaan lagu pertamanya, Kali Pertama dia kini lebih matang memilih lagu yang sesuai dengan suaranya.

"Alhamdulillah... saya tidak sangka lagu ini mendapat sambutan pendengar. Mulanya saya agak takut dengan penerimaan peminat, namun syukur segala-galanya berjalan dengan lancar," katanya.

Berbalik mengenai lagu bergenre balada itu, Asmidar berkata, dia mahu lagu tersebut dapat diterima sebagaimana sambutan terhadap Kali Pertama.

"Lagu kedua ini beri cabaran hebat terutama dari segi vokal kerana rentaknya lebih sukar.

"Saya perlu membawakan nada lebih tinggi memandangkan suara saya bukan jenis high pitching," ujar Asmidar.

Teringin berlakon


Ditanya mengenai tawaran lakonan, dia berkata ada menerima namun bukan rezekinya ketika itu kerana terikat dengan jadual yang telah ditetapkan pihak pengurusan.

"Mungkin tiada rezeki saya. Lagipun masa penggambaran drama itu agak panjang dan tertindih dengan jadual yang sedia ada.

"Jika ada tawaran lakonan selepas ini, mungkin saya akan menerimanya selepas menimbang kesesuaian watak dan masa," katanya.

Melihat imejnya yang kini semakin anggun, Asmidar berkata, status artis yang dimiliki membuatkan dia semakin peka menjaga keterampilan.

“Pada awalnya, memang saya tidak pandai bergaya, tetapi setelah diberi nasihat dan tunjuk ajar, saya semakin pandai membawa diri,” kata penyanyi berusia 27 tahun ini.

Kacang lupakan kulit


Kacang lupakan kulit
David Teo

Kacang lupakan kulit


"SAYA tidak marah dan tidak menyalahkan David mengenai kata-kata beliau yang mengatakan saya kacang lupakan kulit. Cuma sebagai orang yang senior dalam industri, saya harap dia memberi jawapan yang lebih positif," ujar penerbit dan pengarah prolifik, Ahmad Idham berhubung kenyataan David Teo yang mengatakan dia seperti kacang lupakan kulit kerana mengkritik Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia).

Idham berpendapat, wartawan yang bertanya soalan kepada David mungkin beri soalan kurang bernas atau David telah diprovokasi ketika ditanya soalan berkenaan.

Katanya, ada juga yang melihat jawapan David itu seperti satu serangan secara personal.

"Cara orang melihat kenyataan itu secara berbeza-beza dan mungkin David tidak ada niat sebegitu atau mungkin soalan itu kurang tepat. Tapi sekali lagi saya kata, saya tidak salahkan dia, cuma saya tertanya-tanya kenapa dia keluarkan kenyataan sebegitu," ujarnya yang kini sedang sibuk dengan penggambaran filem Tembus.

Kacang lupakan kulit
Ahmad Idham


Menurut Idham, sebagai penggiat seni, tidak menjadi satu kesalahan buatnya beri pandangan kepada Finas agar membantu menaikkan semula industri.

"Jika ada pihak yang melihat saya bersuara kerana filem tidak laku, mereka silap. Bukan bermakna filem saya tidak mendapat sambutan baru saya nak bersuara, pendapat saya merangkumi keseluruhan industri.

"Lagipun kita tidak boleh samakan beberapa tahun dahulu dengan sekarang. Macam negara Malaysia sendiri, ketika kita sedang melalui zaman kemajuan, kita diuji dengan kejatuhan ekonomi dan kerajaan berbuat sesuatu agar industri kembali pulih.

"Begitu juga dengan Finas, ketika industri perfileman kita mengalami masalah, mereka perlulah berbuat sesuatu agar masalah ini dapat diatasi," jelasnya.

Idham juga menafikan sekerasnya, dia tidak memberi sebarang sumbangan ketika berada dalam senarai Ahli Lembaga Finas.

"Takkan apa yang dibuat saya perlu canang kepada semua. Tidak adil untuk David mengatakan saya tidak beri sebarang sumbangan kerana ketika masih menjadi ahli lembaga pada 2011, David sudah tidak bersama Finas," katanya yang tidak mahu kenyataannya ini disalah anggap dan diputar-belit oleh mana-mana pihak selepas ini.

'Bukan serangan peribadi'


Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group (MIG), Mejar (K) David Teo berkata, dia tidak pernah memberi kenyataan berunsur serangan peribadi kepada Idham.

Sebaliknya, kenyataan itu adalah pandangannya secara general kepada penggiat seni yang menyalahkan Finas atas sambutan dingin penonton terhadap filem mereka.

"Kutipan filem merudum bukan salah Finas. Finas sudah banyak bantu penggiat seni dengan geran, skim dan sebagainya. Finas juga bukan penerbit, jika filem tidak laku, penerbit itut harus terima dan tanggung kerugian.

"Ini adalah risiko dalam berniaga. Bukan semua perniagaan akan sentiasa mendapat untung. Jadi apabila penerbit mengeluarkan filem dan filem tersebut tidak mendapat sambutan, mereka haruslah kaji semula skrip, atau mungkin cara promosi tidak betul. Bukan salahkan Finas, penonton atau media," katanya.

Shila Amin disambar api


Shila Amin disambar api
Shila Amin

Shila Amin disambar api


PENYANYI yang popular dengan lagu Bambu Ramba, Norshila Amin, 49 ditimpa kemalangan apabila bahagian kiri tubuhnya disambar api ketika sedang sibuk memasak di dapur, Sabtu lalu.

Menurut Shila Amin, kejadian itu berpunca dari tong gas yang bocor di rumah anak perempuannya, Nurrul Admiena Norrizan.

Anggota kiri badannya termasuk wajah, tangan dan kaki melecur.

"Ketika itu saya sibuk nak masak rendang bersempena dengan majlis rumah terbuka di rumah Admiena dan tidak sedar pula yang tong gas terbocor.

"Tiba-tiba sahaja ketika mahu mencapai barang masakan yang berdekatan dengan tong gas itu, api terus menyambar sehingga membuatkan muka dan badan saya melecur," katanya dipetik dari mStar Online.

Shila juga akui rasa sakit di bahagian bibir dan wajah masih terasa meskipun sudah seminggu kejadian itu berlaku.

"Kalau nak ikutkan memang rasa sakit sangat terutama pada bahagian bibir dan wajah yang semakin tegang gara-gara melecur. Malah kening saya pun dah tidak ada.

"Apapun saya menunggu wajah ini sembuh dahulu sebelum mendapatkan khidmat nasihat daripada rakan saya yang merupakan seorang pakar kecantikan," ujarnya.

Kes Benjy, 5 rakan disebut semula September


Kes Benjy, 5 rakan disebut semula September
Benjy

Kes Benjy, 5 rakan disebut semula September


KUALA LUMPUR - Mahkamah Majistret Ampang hari ini menetapkan 11 September untuk sebutan semula kes pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy dan lima rakannya atas tuduhan memiliki dadah.

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan peguam Farhan Read dan peguam P.G Cyril untuk menarik diri daripada mewakili anak guam mereka.

Terdahulu, Farhan memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau menarik diri daripada mewakili Imran Radzi Ibrahim dan perkara itu telah dimaklumkan kepada anak guamnya.

Cyril juga memberitahu mahkamah beliau menarik diri daripada mewakili anak guamnya, Asmanizam Mohamed Akhir dan Norazila Arzami selepas tidak menerima arahan lanjut untuk mewakili pasangan suami isteri itu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene memaklumkan pihaknya akan meminda pertuduhan yang dihadapi kesemua tertuduh tetapi perkara itu akan dikemukakan pada 11 September ini.

Benjy, 34, bersama lima rakannya, Zain Amir Zainal Khairi, 37, Imran Radzi, 32, Asmanizam, 32, Norazila, 27, dan Afifi Hamidi, 27, didakwa memiliki beg mengandungi 4.7 gram methamphetamine di Oakleaf Park Condo, Blok C, Persiaran Bukit Jaya, Taman Bukit Jaya, Hulu Kelang pada 11.30 pagi 26 Jun lepas.

Bagaimanapun, Zain Amir mengaku bersalah manakala Benjy serta empat yang lain minta dibicarakan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 jika sabit kesalahan. - Bernama

Aliff hibur peminat di Youtube


Aliff hibur peminat di Youtube
Aliff Aziz

Aliff hibur peminat di Youtube


Jika sebelum ini kisah kontroversinya sering menjadi tumpuan utama, kini penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz mahu memberi lebih fokus terhadap kariernya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai perkembangan terbarunya, Aliff kini memberitahu dia sedang sibuk dengan pembikinan album keempat yang dijangka akan dilancar tahun depan.

"Mungkin dalam masa terdekat ini akan ada satu single terbaru dari saya akan keluar dan album penuh akan dilancarkan sekitar tahun depan.

"Selain itu, saya juga ada buat beberapa lagu cover di Youtube. Jadi bagi peminat yang sudah lama tidak mendengar nyanyian terbaru saya bolehlah dengar di situ," jelasnya.

Fizo berlumba di litar?


Fizo berlumba di litar?
Fizo Omar

Fizo berlumba di litar?


Selain sibuk dengan dunia seni dan perniagaannya makanannya, aktor kacak, Fizo Omar kini turut memperluaskan hobi menunggang motosikal berkuasa tingginya di litar Sepang.

Katanya, dia mula berjinak-jinak mempelajari teknik berlumba di litar bersama beberapa pelumba profesional.

"Menunggang motosikal berkuasa tinggi memang hobi saya cuma sekarang saya baru belajar menunggang motosikal di litar Sepang dengan kawan saya yang merupakan memang seorang pelumba motosikal profesional.

"Tapi setakat ini saya hanya lakukannya untuk kepuasan sendiri dan memang tidak ada niat untuk menyertai mana-mana perlumbaan," ujarnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan