Cari Artikel

Friday, August 9, 2013

Johan bakal bertunang?


Malaysia, Berita, Gossip, Gosip, Hiburan, Selebriti, Artis Malaysia, Johan, Bakal, Bertunang
Johan As’ari 

Johan bakal bertunang?


SELAIN khabar angin dia kini sedang menjalinkan hubungan cinta, pelakon Johan As’ari juga dikatakan bakal mengikat tali pertunangan bersama gadis pilihannya.

Ditanya mengenai perkara itu pada empunya badan, bintang Karlos ini menjelaskan bahawa dia kini masih dalam proses mengenali hati budi seseorang.

Menurut Johan, jika jodohnya sudah tertulis bersama gadis itu, dia mahu segera mengikat tali pertunangan terlebih dahulu sebelum ke alam perkahwinan.

“Sebenarnya saya masih lagi ‘single’ dan pada masa yang sama saya sedang mengenali hati budi seseorang. Bagi saya jodoh itu rahsia tuhan dan saya hanya berserah.

“Kalau dia pilihan yang tepat, saya akan buktikan perasaan cinta itu melalui ikatan pertunangan sebelum mendirikan rumah tangga. Itu adalah sasaran saya,” jelasnya.

Tambah Johan lagi, jika semuanya berjalan dengan lancar mungkin dia akan mengikat tali pertunangan bersama gadis pilihannya itu pada hujung tahun ini sebelum berangkat ke Dubai untuk penggambaran drama saluran RTM Disember ini.

“Cerita pasal tunang itu adalah sasaran. Lagi pun usia saya sudah meningkat 26 tahun. Seandainya ada jodoh mungkin saya akan bertunang hujung tahun ini.

“Saya rancang untuk bertunang selama enam bulan sebelum bernikah. Mungkin dalam masa itu kami boleh berkenalan dengan keluarga masing masing,” katanya.

Belajar dari pengalaman


Lebih berhati-hati bicara soal cinta, Johan akui pengalaman lalu banyak mematangkan dirinya kini.

Menurutnya, tanpa pengalaman tidak akan berjaya jadi seorang manusia yang lebih memahami tentang soal perhubungan.

“Bagi saya perkara ini tidak boleh dibuat main-main. Ikatan percintaan ini boleh  diibaratkan  seperti dua hati menjadi satu.

“Bila sudah sampai ke tahap seperti  itu, kita perlu lebih berhati-hati dan bertenang supaya semuanya dalam keadaan yang baik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Johan kini sedang sibuk menjalani penggambaran telemovie ‘Karlos Raya’ yang bakal bersiaran pada sambutan Aidilfitri ini.

Shukri Yahaya tertikam diri sendiri


Malaysia, Berita, Gossip, Gosip, Hiburan, Selebriti, Artis Malaysia, Shukri Yahaya, tertikam, diri, sendiri
Shukri Yahaya tertikam diri sendiri

Shukri Yahaya tertikam diri sendiri


PELAKON utama, drama Menjinak Ombak, Shukri Yahaya ditimpa kemalangan ketika menjalani penggambaran drama itu, semalam.

Shukri tertikam tangan kanannya dan mengakui ia berlaku atas kesilapannya sendiri.

Dipetik dari portal Media Hiburan, Shukri menceritakan serba sedikit kejadian yang berlaku kira-kira jam 5 petang itu.

"Ini bukan salah sesiapa tetapi kesilapan saya sendiri apabila pisau yang saya pegang tertikam tangan sendiri. Sepatutnya tikaman itu dibahagian tepi tetapi ia terkena di bahagian pergelangan tangan kanan saya.

"Saya sendiri terkejut kerana tidak sangka ia tersalah tikam. Mujur Abang Along (Along Kamaluddin) selaku pengarah dengan segera mengambil baju dan mengikatnya tangan saya," katanya.

Shukri terus dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan.

Bagi mengelakkan sebarang jangkitan kuman pada luka tersebut, Shukri akan menjalani pembedahan pada jam 3 pagi ini.

Menurut nya lagi, selepas pembedahan dia diminta berehat selama tiga hari di hospital sebelum menjalani rawatan susulan.

Selain Shukri, pelakon lain yang terlibat di dalam drama ini ialah Talha Harith dan Alex Yanz.

Shila Amzah beraya di Shanghai


Malaysia, Berita, Gossip, Gosip, Hiburan, Selebriti, Artis Malaysia, Shila Amzah, beraya, di, Shanghai
Shila Amzah

Shila Amzah beraya di Shanghai


PENYANYI popular, Shila Amzah bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri kali ini di Shanghai, China.

Shila memaklumkan perkara itu melalui laman sosial Facebook miliknya, semalam.

“Assalamualaikum , sekarang baru ada peluang nak online. Sha (Shila) sekarang di Shanghai.

“Sha akan beraya di Shanghai... Sha sangat rindukan Malaysia,” tulisnya.

Sejak menjuarai Asian Wave tahun lalu, anak gadis ND Lala ini berulang-alik antara Malaysia dan Shanghai bagi menjalani latihan di sana.

Shila juga menjalani ibadah puasa di sana.

Dalam temu bual dengan Sinar Harian Online sebelum ini, Shila akui jadual hariannya sangat padat.

"Dunia saya, rumah, kerja dan gimnasium. Kalau nak berseronok, saya dan kawan-kawan akan ke taman tema," katanya.

Penyanyi Patah Seribu ini juga tidak lari daripada tekanan kerja.

"Kadang-kadang saya tertekan sebab mereka mempunyai harapan yang tinggi terhadap saya. Mereka anggap saya boleh buat apa saja," katanya.

Faizal Tahir jadi Duta Watson


Malaysia, Berita, Gossip, Gosip, Hiburan, Selebriti, Artis Malaysia, Faizal Tahir, jadi, Duta, Watson
Faizal Tahir jadi Duta Watson

Faizal Tahir jadi Duta Watson


PENYANYI dan komposer terkenal, Faizal Tahir baru-baru ini telah dilantik menjadi duta bagi kempen ‘Azam Raya Bersama Watsons’ bersempena dengan kehadiran Aidilfitri tidak lama lagi.

Menurutnya, pelantikannya sebagai duta rangkaian kedai kecantikan dan kesihatan itu telah memberi peluang buat penyanyi ini menghasilkan sebuah lagu raya berdasarkan azam raya yang dimuat naik oleh pelanggan Watsons.

“Saya begitu teruja menjadi sebahagian daripada kempen ini, apatah lagi diberi peluang untuk mencipta sebuah lagu raya buat rakyat Malaysia.

"Setiap azam yang dimuat naik melalui laman Facebook Watson akan diambil kira, di mana semakin banyak azam rakyat Malaysia yang dikongsi, maka lebih banyak inspirasi yang saya akan dapat untuk menghasilkan lagu ini,” ujarnya.

Biskut raya Ella


Malaysia, Berita, Gossip, Gosip, Hiburan, Selebriti, Artis Malaysia, Biskut Raya, Ella
Ella

Biskut raya Ella


RAMAI di kalangan selebriti memilih Ramadan bagi menjalani perniagaan untuk mencari rezeki lebih.

Tidak ketinggalan daripada melakukan perkara yang sama, ratu rock negara, Ella turut mengambil kesempatan yang ada mencuba nasib dalam bidang perniagaan biskut kesihatan.

"Ella mengkaji bahan-bahan digunakan sebelum mengambil keputusan untuk berniaga.

"Alhamdulillah, suami menyokong. Malah dia juga turut menyukai biskut berkenaan,” katanya.

Biskut yang diberi nama Ella Cookies itu tampil dengan empat perisa, iaitu kismis, kelapa, kurma dan badam. Ia menggunakan oat sebagai bahan utama pembuatannya.

Rian D'masiv Teruja rai Aidilfitri


Indonesia, Berita, Gossip, Selebriti, Artis Indonesia, Rian, D'masiv, Teruja, rai, Aidilfitri
Vokalis kumpulan D'masiv, Rian

Rian D'masiv Teruja rai Aidilfitri


KALI pertama menjalani puasa di bulan Ramadan dan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi bersama isteri tercinta serta cahaya mata pertamanya sudah cukup buat vokalis kumpulan D'masiv, Rian tersenyum lebar.

Menurut Rian, dia menganggap kedatangan Ramadan dan Syawal tahun ini dipenuhi dengan pelbagai kebahagiaan buat dirinya.

"Alhamdulillah, saya bahagia menyambut Ramadan dan Syawal bersama isteri dan anak kami bersama. Memang kehidupan saya berbeza dari dahulu.

"Lebih seronok, apabila isteri saya seorang yang pandai masak. Setiap hari dia akan masak untuk saya. Sudah tentu saya tidak sabar menyambut Aidilfitri bersama mereka," katanya.

Pengalaman berharga Ahmad Fedtri & Mat Nasir


Malaysia, Berita, Gossip, Gosip, Hiburan, Selebriti, Artis Malaysia, Pengalaman, berharga, Ahmad Fedtri, dan, Mat Nasir
Ahmad Fedtri & Mat Nasir. - Foto SAFWAN MANSOR

Pengalaman berharga Ahmad Fedtri & Mat Nasir



Malaysia, Berita, Gossip, Gosip, Hiburan, Selebriti, Artis Malaysia, Pengalaman, berharga, Ahmad Fedtri, dan, Mat Nasir
Berbuka bersama keluarga Ahmed kaum Badwi di Deir Alla, Jordan. - Foto SAFWAN MANSOR

JEJAK Rasul bukanlah dokumentari asing di kalangan penonton, lebih-lebih lagi ia sudah memasuki musim ke-19 tahun ini.

Malaysia, Berita, Gossip, Gosip, Hiburan, Selebriti, Artis Malaysia, Pengalaman, berharga, Ahmad Fedtri, dan, Mat Nasir
Krew Jejak Rasul berehat sebentar di dalam Masjidil Aqsa sementara menunggu waktu berbuka. - Foto SAFWAN MANSOR
Bagaimanapun, tahun ini ia telah dirakam secara 'live' bersama dua perantaranya, Ahmad Fedtri dan Mat Nasir Yusof ketika bulan Ramadan dan Aidilfitri tahun lalu.

Mengangkat tema Jejak Rasul 19: Ramadan di Tiga Tanah Suci, Makkah, Madinah dan Baitulmaqdis, ia dibahagikan kepada dua kumpulan yang mana Fedtri ditugaskan ke Makkah dan Madinah, manakala Nasir mengembara ke Arab Saudi, Jordan dan Palestin.

Berkongsi mengenai penglibatan bagi edisi kali ini, akui Fedtri dilamar menjadi hos merupakan pengalaman terhebat yang pernah ditimba sepanjang kariernya.

Katanya, ia merupakan kali pertama dia ditugaskan menjadi hos program tersebut meskipun ia sudah masuk musim yang ke-19.

"Sukar hendak saya gambarkan perasaan ketika itu, memang seronok sebab susah nak dapat pengalaman seperti ini.

"Lagipun, jika hendak dibandingkan krew terlibat, mereka sudah mempunyai pengalaman dan mengikut usia pula, saya adalah yang paling muda," katanya yang bertuah kerana sempat bermalam di Gua Hiraq.

Bercerita pengalamannya di Tanah Suci, walaupun terpaksa berhadapan dengan cuaca panas melebihi 50 darjah Celsius, penggambaran tetap dijalankan seperti biasa.

"Ia benar-benar menguji kami ketika berada di Tanah Suci, namun semuanya berjaya diatasi lebih-lebih lagi peluang ini bukan mudah untuk dimiliki.

"Bagaimanapun, apa yang membuatkan kami lebih bersemangat ialah apabila melihat penduduk Islam di sini berlumba-lumba menjalankan perkara ibadah," katanya sambil menambah, masyarakat di sana lebih selesa menghabiskan masa di sebelah siang dengan berehat dan tidur di rumah.

Kamera dirampas


Dalam pada itu, pihaknya juga mengalami pelbagai masalah lain ketika menjalankan penggambaran di sana.

"Selain masalah komunikasi, kami juga tidak boleh melakukan penggambaran dengan bebas di sana, banyak sekatan dan had daripada pihak mereka.

"Kami perlu patuh pada peraturan walaupun sedar masa yang ada sangat singkat," katanya dan memberitahu mereka dipantau pegawai kerajaan Arab Saudi sepanjang masa.

Lebih merunsingkan, apabila mereka ditahan dan kamera mereka dirampas.

"Di sana masyarakat mereka tidak suka bergambar, bukan seperti di sini. Mereka tidak terbuka seperti kita.

"Bahkan pegawai yang bertugas juga terpaksa bekerja sedangkan waktu siangnya adalah untuk berehat dan tidur," katanya dan mereka tidak boleh menjalankan tugas tanpa pemerhatian pegawai terbabit.

Pun begitu, di sebalik dugaan yang dihadapi, ujar Fedtri, dia tidak dapat melupakan kenangan manis yang tidak pernah diduganya sewaktu berada di sana.

"Sudah menjadi amalan penduduk di sini suka bersedekah dan kami memang terpegun melihat cara mereka itu.

"Jadi saya dan krew terbabit mengambil keputusan untuk mengumpul duit sesama kami dan turut bersedekah.

"Hebatnya, selepas itu, hujan turun secara tiba-tiba, apa lagi krew semua kelam kabut ambil kamera untuk merakam saat berharga itu," akuinya dan gara-gara hujan rahmat itu wujudnya episod tersebut untuk disiarkan kepada penonton.

Terkandas di Jordan


Berbeza dengan Fedtri, tahun ini merupakan musim keempat Nasir terlibat dengan pembikinan Jejak Rasul.

Bagaimanapun, untuk edisi kali ini, ia lebih istimewa kerana dia berpeluang menjadi perantara.

Berbicara mengenai pengalamannya pula, kata Nasir, perjalanannya ke Arab Saudi, Jordan dan Palestin, sangat mencabar.

"Lokasi ini banyak mencatat sejarah penting bagi umat Islam, sebab itulah kita mahu penonton merasai dan melihat sendiri bagaimana penduduk di sini menjalani ibadah puasa yang mulia ini," katanya dan memberitahu kajian terperinci dijalankan sebelum menjejakkan kaki di bumi suci itu.

Tambahnya, dengan ilmu yang ada, dia dan krew sampai jua ke Palestin.

"Oleh kerana kami tiada hubungan diplomatik dengan pihak Jordan, kami terkandas di sana selama dua minggu untuk menunggu visa disiapkan.

"Apabila perjalanan terganggu, jadual kami juga terpaksa diubah. Pun begitu, saya dah jangka ini akan berlaku kerana pernah masuk ke sini sebelum ini," ujarnya sebagai penerbit perlu kreatif apabila berhadapan perkara begini.

Memanfaatkan setiap perjalanan di sana dengan sebaiknya, akui Nasir, setiap detik dirakam untuk dikongsi bersama penonton.

Kejar malam Lailatul Qadar


Katanya, meskipun, pada awalnya, mereka berfikiran penduduk di sini masih tinggal di dalam khemah, tetapi ia adalah sebaliknya.

"Kami mahu rakam suasana tersebut tetapi lain pula yang berlaku. Mereka sudah menetap dalam rumah yang selesa dan lebih moden kini.

"Bila tiada yang tinggal di padang pasir ni, terpaksalah kami ubah strategi baru, lagipun, kalau nak dapatkan yang tinggal di padang pasir, kata mereka, tempatnya sangat jauh," katanya yang tidak mahu mengambil risiko lain.

Meskipun begitu, Nasir berpuas hati apabila masih ada masyarakat Arab yang sanggup bertolak ansur dan membenarkan krew merakam gaya hidup mereka.

"Mereka tidak sama dengan kita. Di sana, perempuan Arab hanya boleh dilihat oleh suami dan keluarga sahaja.

"Tetapi, setelah berbincang, muhasabah dan pujuk mereka, akhirnya mereka membenarkan kami membuat liputan tersebut," jelasnya yang turut diajar resipi kuih Katayef yang merupakan kuih tradisi masyarakat di sana apabila tiba bulan Ramadan dan hari raya.

Sempat menghabiskan 10 hari terakhir Ramadan di Tanah Suci itu juga adalah pengalaman yang cukup berharga bagi Nasir.

"Saya menyaksikan sendiri penduduk mengejar pahala di malam Lailatul Qadar dan ia sangat berbeza dengan masyarakat kita.

"Jika di sini penduduk berpusu-pusu ke pusat beli-belah membeli baju raya tetapi mereka pula mengejar pahala.

“Apabila tiba malam Lailatul Qadar yang jatuh pada malam 27 Ramadan, muftinya akan membuat pengumuman dan ketika itulah penduduk membanjiri Masjid Al-Aqsa," katanya yang merasakan sebulan mereka berada di sana tidak cukup untuk melakukan penggambaran.

Bahkan pada hari terakhir berada di sana, mereka sempat menjalankan penggambaran sebelum menaiki kapal terbang.

"Memang penat, khususnya mental dan fizikal tetapi setelah setahun menunggu, kami rasa sangat berbaloi," katanya dan memberitahu mendapat respons peminat di Twitter dan Facebook yang sangat memberangsangkan.

KKMM arah Finas nilai kandungan filem New Village


Malaysia, Berita, Gossip, Gosip, Hiburan, Selebriti, Artis Malaysia, KKMM, arah, Finas, nilai, kandungan, filem, New Village
Ahmad Shabery Cheek

KKMM arah Finas nilai kandungan filem New Village


KEMAMAN - Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengarahkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menilai kandungan filem 'The New Village' (Kampung Baru) yang bakal ditayang pada Ogos ini.

Treler filem arahan Ong Kew-Lit itu mencetus kontroversi dan mengundang pelbagai reaksi kerana mengangkat perjuangan komunis sebagai hero bagi membebaskan Tanah Melayu.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata langkah itu penting bagi memastikan tiada tayangan filem yang boleh memudarat atau mencetus pelbagai perkara negatif dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Bagi saya, kalau filem itu menggugat, memaparkan fahaman komunis serta perkauman, kita tidak ragu-ragu akan bertindak dan meminta pihak berkuasa untuk mengambil langkah sewajarnya supaya ia tidak ditayangkan," katanya selepas meraikan 120 anak yatim dan miskin dalam Parlimen Kemaman, yang dibelikan baju raya di sebuah pasar raya.

Anggota Parlimen Kemaman itu berkata Finas boleh mengharamkan filem berkenaan jika terbukti menimbulkan semangat perkauman, dan orang ramai diminta agar tidak cepat menghukum 'New Village' hanya berdasarkan treler yang dipapar di YouTube.

Ahmad Shabery berkata jalan cerita filem itu perlu dikaji secara mendalam bagi memastikan ia benar-benar bebas unsur negatif.

"Kalau kita belum tengok lagi dah haramkan, saya bimbang ia akan membantu untuk terus mempromosi filem atau apa-apapun kandungan yang lain kerana ia tidak boleh ditayangkan di panggung wayang... tetapi banyak lagi kaedah lain seperti tayangan secara online.

"Saya bersedia dikritik dan berilah peluang pihak saya untuk tengok dulu, dan Finas akan kaji perkara ini," katanya.

Berdasarkan treler, filem lakonan Lenna Lim, Kevin Soo, Teh Young, Kevin Soo dan Jeff Chin itu memaparkan kisah seorang komunis yang bercinta dengan seorang gadis Cina sehingga berlaku konflik dan menimbulkan persepsi bahawa pihak komunis adalah hero untuk membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman British. - Bernama

Justin Bieber ludah peminat?


Entertainment, News, Gossip, Celebrities, Hollywood, Justin Bieber, ludah, peminat
Justin Bieber ludah peminat?

Justin Bieber ludah peminat?

MELUDAH merata-rata seumpama sudah menjadi amalan biasa penyanyi muda Justin Bieber.

Pernah dituduh meludah seorang DJ di sebuah kelab malam, kini dia sekali lagi melakukan perbuatan yang tidak bermoral itu.

Menurut laporan TMZ, Justin telah meludah dari balkoni sebuah hotel di Toronto pada Khamis lalu.

Tidak jelas siapa sasaran penyanyi itu, namun berkemungkinan besar sejumlah peminatnya yang sedang melihat Justin dari bawah.

Bintang berusia 19 tahun itu juga sempat mengambil video suasana bawah hotel yang dipenuhi peminat-peminatnya. Dan berkemungkinan besar ludahnya mungkin terkena pada salah seorang daripada mereka.

Kelakuan Justin yang suka meludah di khalayak menjadi bualan ramai.

Selepas meludahi seorang DJ, penyanyi Kanada itu turut dikhabarkan meludah salah seorang jirannya yang kemudiannya membuat aduan kepada pihak berkuasa mengenai perilaku tidak sopan Justin di sekitar perumahan jiran.

iskandarX: Sungguh tak sopan dan tak bermoral si justin Bieber nie, ada lagi yang nak minat dia tak?

Erra gesa peserta ratu cantik akur larangan


Malaysia, Berita, Gossip, Gosip, Hiburan, Selebriti, Artis Malaysia, Erra, gesa, peserta, ratu cantik, akur, larangan
Erra Fazira

Erra gesa peserta ratu cantik akur larangan


PENYANYI Erra Fazira menasihatkan gadis beragama Islam di negara ini supaya akur dengan perundangan negara yang melarang mereka daripada menyertai pertandingan ratu cantik.

Erra yang merupakan peserta beragama Islam terakhir menyertai pertandingan ratu cantik tersebut pada 1992 berkata, dia percaya undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan itu bertujuan melindungi maruah wanita Islam.

"Ketika menyertai pertandingan berkenaan, saya juga berdarah muda yang ingin mencuba sesuatu yang baru tanpa berfikir kesannya jangka panjang.

"Tambah pula waktu itu, undang-undang tidak diperketat lagi, jadi saya pun sertainya atas kemahuan sendiri," katanya dipetik Mstar Online.

Empat gadis Islam yang telah dibatalkan penyertaan menyertai pertandingan akhir MMW2013.

"Tetapi apabila pertandingan itu melarang gadis Islam untuk menyertainya, kita terpaksa akur. Siapalah kita untuk melawan undang-undang," katanya.

Tambah Erra, ketika ini terdapat banyak saluran lain yang membolehkan penyertaan gadis beragama Islam menyertai pertandingan seumpama itu dengan garis panduan yang dibenarkan.

Erra diminta mengulas mengenai pembatalan penyertaan empat peserta akhir pertandingan MMW2013 yang beragama Islam pada Selasa lalu.

Empat yang berkenaan ialah Sara Amelia Muhammad Bernard, 20, Wafa Johanna De Korte, 19, Miera Sheikh, 19 dan Kathrina Ridzuan, 20.

Zizan, Linda, Rusdi kongsi cerita


Malaysia, Berita, Gossip, Gosip, Hiburan, Selebriti, Artis Malaysia, Zizan, Linda, Rusdi, kongsi, cerita, Tanda Putera


Zizan, Linda, Rusdi kongsi cerita

Menjelang Syawal, pasti ramai di kalangan umat Islam sedang berpusu-pusu membuat persiapan bagi menyambut hari penuh lebaran ini. Tidak terlepas daripada perkara sama, tiga pelakon filem Tanda Putera iaitu Rusdi Ramli, Zizan Nin dan Linda Hashim masing-masing memiliki persediaan tersendiri dalam bagi sambutan hari raya tahun ini.

Bagi Rusdi hari raya tahun ini bertambah meriah dengan kehadiran cahaya mata ketiganya yang baru berusia 10 bulan. Zizan pula sambutan raya tahun ini disambut dengan sederhana sahaja memandangkan jadual lakonannya agak padat sebelum ketibaan hari raya ini.

Berlainan pula dengan dengan Linda yang pertama kali menyambut Aidilfitri dengan gelaran seorang isteri kepada aktor Beego sejak beberapa bulan lalu. Pelbagai kisah menarik mereka kongsi sempena menyambut ketibaan Ramadan tahun ini. Jom kita ikuti cerita mereka.

Zizan sambut raya di rumah baru


Kali ini masuk tahun ketiga, Zizan menyambut hari raya bersama isteri tercintanya, Fazilah Hani Harun. Walaupun hanya membuat persiapan ala kadar, namun kemeriahan sambutan Aidilfitri tahun ini agak berbeza berbanding tahun lalu kerana mereka bakal menyambutnya di rumah baru.

"Tahun ini mungkin sedikit istimewa kerana saya dan isteri sambut raya di rumah baru kami. Setakat ini kami banyak habiskan masa menghias isi rumah.

"Selain daripada itu, raya tahun ini juga mungkin beri kelainan buat saya apabila filem Tanda Putera bakal ditayangkan pada bulan sama. Bagi saya itu adalah hadiah istimewa daripada saya untuk peminat filem tanah air," katanya.

Lebihkan isteri


Ditanya mengenai persiapan hari raya yang telah disediakan setakat ini, Zizan memberitahu buat masa ini persiapannya lebih kepada isterinya.

"Tahun ini ala kadar sahaja. Saya banyak temankan isteri beli baju dia dulu. Baju saya mungkin kemudian sebab sekarang ini saya sibuk di lokasi drama 'Cikgu Manja' untuk tayangan di RTM.

"Kuih raya pula kami sudah buat tempahan daripada teman-teman artis yang menjual kuih raya. Inilah masanya mahu sokong mereka berniaga. Selain itu, duit raya seperti biasa, saya sudah tukar di bank siap-siap. Cukuplah sekadar untuk bersedekah pada ahli keluarga dan anak-anak tetamu yang datang nanti.

Linda teruja sambut raya


Sudah tentu kemeriahan sambutan hari raya buat Linda tahun ini memberi seribu satu makna buat dirinya. Menurut Linda, sejak beberapa tahun lalu, sambutan hari rayanya boleh dikatakan agak sunyi memandangkan ibunya sudah tiada lagi.

"Alhamdulillah, tahun ini raya saya agak meriah dengan kehadiran suami saya. Sememangnya saya agak bersemangat dan teruja untuk menyambutnya dengan suami.

"Mungkin seminggu sebelum raya saya akan ikut Beego balik kampungnya di Johor sehinggalah raya ketiga. Lepas itu baru balik kampung saya di Ipoh, Perak," katanya.

Menurut Linda, kemeriahan rayanya lebih terasa memandangkan suaminya memiliki keluarga yang agak besar di Johor.

"Saya rasa tiga hari beraya di sana memang tidak cukup sebab keluarga Beego memang ramai di sana.

"Memang seronok sebab tahun lepas saya juga sempat beraya di sana. Ada juga yang sudah saya kenal sebelum ini," ujarnya yang tidak sabar merasa masakan nenek suaminya.

Persiapan awal


Mengenai persiapan pula, Linda memberitahu dia dan suaminya tidak terlalu banyak membuat persediaan menyambut hari raya memandangkan mereka hanya berdua.

"Setakat ini kami biasa-biasa sahaja. Lagi pun kami cuma berdua, kalau ada anak lain lah. Persiapan bagi kami yang baru kahwin ini cuma dari segi pakaian saja, kuih pun kami beli siap.

"Baju raya memang sudah siap awal-awal lagi. Sebelum bernikah lagi baju raya sudah siap. Masa pergi Indonesia cari baju nikah, kami terus pilih tiga pasang baju raya sekali," katanya sambil tertawa.

Rusdi beraya di Kuala Lumpur


Sudah lali dengan jadual yang padat saat-saat genting Aidilfitri menjelma, Rusdi memberitahu sambutan rayanya tahun ini diraikan secara sederhana.

"Sama seperti tahun-tahun lalu, saya dan keluarga akan beraya di Kuala Lumpur sahaja. Kalau sudah beraya di bandar, memang tidak beraya sangatlah sebab di bandar tidak semeriah suasana di kampung.

"Mungkin hari raya pertama saja rasa beraya, lepas itu semuanya macam biasa sahaja. Tambahan pula saudara mara di sini tidak ramai," katanya.

Berkongsi mengenai persiapan pula, Rusdi akui isteri dan anak-anak adalah keutamaan bagi dirinya.

"Untuk sambut raya ini, yang penting adalah persiapan anak-anak dan juga isteri. Saya biasa-biasa sahaja.

"Apa pun raya tahun ini mungkin lebih istimewa sedikit memandangkan tahun ini tahun pertama kami sambut raya bersama anak bongsu saya," katanya.

Dalam perkembangan lain, setelah selesai dengan drama 'Tentang Hati' yang turut dilakonkan oleh pelakon Aaron Aziz dan Fasha Sandha, Rusdi kini sedang menjalani penggambaran telemovie 'Karlos Raya'.

Kenangan kumpul duit raya


Setiap individu pasti memiliki kenangan terindah dalam menyambut bulan mulia Syawal. Menurut Rusdi, perkara yang paling diingati sehingga kini adalah memori beraya ketika zaman kanak-kanaknya.

"Ketika itu saya dan keluarga tinggal di kampung Ulu Klang. Hari raya pertama sahaja saya dan kawan-kawan yang lain dah sedia untuk beraya keliling kampung.

"Kalau ada rumah yang bagi duit raya banyak, rumah itulah jadi sasaran utama kami. Itulah kenangan manis yang saya tidak boleh lupa sampai sekarang," ujarnya sambil tertawa.  

---------

Trivia Filem Tanda Putera

- Filem berlatarkan tahun 70-an mengangkat genre drama, suspens dan aksi.
- Bakal ditayangkan pada 29 Ogos 2013
- Filem arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba
- Barisan pelakon filem ini antaranya adalah Rusdi Ramli, Zizan Nin, Faezah Elai, Linda Hashim, Riezman Khuzaimi, Kavita Sidhu, Kuza dan ramai lagi.
- Mengisahkan persahabatan akrab antara Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak dan timbalannya, Tun Dr Ismail yang terpaksa berahsia dan mengetepikan masalah kesihatan mereka bagi memulihkan keadaan negara ekoran peristiwa hitam 13 Mei 1969.
- Filem ini mendapat kritikan hebat apabila dikatakan bakal ‘memanaskan’ lagi semangat perkauman di negara ini.
- Disebabkan kontroversi itu, tarikh penayangan sebenar 13 September 2012 terpaksa ditunda untuk dikaji semula.

Wan Sharmila pilih VIP?


Malaysia, Berita, Gossip, Gosip, Hiburan, Selebriti, Artis Malaysia, Wan Sharmila, pilih, VIP
Wan Sharmila pilih VIP?

Wan Sharmila pilih VIP?


Empat tahun menjanda, pelakon ini jarang dikaitkan dengan kisah-kisah kontroversi dan cinta. Walaupun pernah menyatakan hasrat untuk merasai kembali pengalaman bergelar isteri orang, namun pelakon genit, Wan Sharmila, ini bijak membawa diri.

Namun, sejak akhir-akhir ini, mungkin pengikut laman mikro, Twitter dan Instagram pelakon filem, Bisikan Syaitan, ini dapat menghidu sesuatu mengenai hubungan cintanya.

Sering memuat naik gambar dan ayat-ayat yang menunjukkan dirinya seolah-olah sedang dilamun cinta, akui Wan, dirinya kini sudah berpunya.

Menurut Wan, dia tidak mahu terlalu terburu-buru dengan hubungan yang baru dibina itu sehingga menyukarkan perjalanan cintanya.

"Ya, memang saya kini sedang dilamun cinta dan sudah berpunya. Saya bahagia dengan kehidupan sekarang dan berharap hubungan ini berjalan lancar," katanya.

Ketika ditanya, apakah buah hatinya itu terdiri daripada golongan VIP, Wan nampaknya lebih selesa tidak mendedahkan lagi identiti sebenar jejaka itu.

"Siapa dia, tidak perlu saya perkatakan untuk ketika ini kerana saya tidak mahu terlalu terbuka dalam soal cinta dan perhubungan.

"Mungkin buat masa ini, masih tidak sesuai untuk memberitahu kesemuanya. Namun saya tidak menolak untuk memperkenalkannya secara umum satu masa nanti. Cukuplah saya katakan yang dia kini berada di London dan bukanlah di kalangan orang seni," katanya.

Sebelum ini, Wan pernah mendirikan rumah tangga bersama penerbit dan pemilik syarikat produksi, Radius One, Fazli Baharom. Namun, hubungan itu berakhir dengan penceraian pada 23 Oktober 2009, setelah tiga tahun bersama.

Raya ala kadar


Bertanya mengenai persiapan menyambut lembaran Syawal, akui Wan, dia lebih selesa bersederhana dan tidak terlalu awal menyediakan kelengkapan.

Menurut Wan, sambutan rayanya tidak terlalu fokus untuk diri sendiri, malah dia lebih mementingkan persiapan untuk ibu tercinta.

"Sambutan raya saya hanya ala kadar, maklumlah hidup seorang. Namun, saya lebih tertumpu kepada kelengkapan rumah mak di kampung.

"Baju raya mak pun saya dah beli dan bila dekat-dekat raya nanti, saya akan tolong mak untuk membeli barang-barang kelengkapan dapur dan sebagainya.

"Mungkin seminggu sebelum raya, saya akan pulang ke kampung halaman, Johor Bahru, dan mungkin seminggu selepas itu, saya akan kembali ke ibu kota untuk bekerja," katanya yang mengakui menu wajib yang perlu ada ketika raya ialah Laksa Johor.

Muka melecur teruk


Mengimbau kenangan berpuasa ketika zaman kanak-kanak, Wan akui ada peristiwa yang tidak dapat dilupakan sehingga kini.

Jelas Wan, peristiwa itu berlaku ketika itu usianya baru mencecah lapan tahun dan niat membantu ibunya berakhir dengan insiden buruk.

"Ada satu hari, mak saya kurang sihat. Jadi, dia suruh saya tolong tumiskan bawang dan cili yang telah dikisar.

"Bila saya nak tuangkan dalam kuali panas, cili itu melekat di dalam mesin pengisar. Jadi, saya goncangkan kuat-kuat sehingga minyak panas dan cili itu terpercik dekat muka.

"Muka saya melecur teruk sehingga berkudis. Sampaikan saya terpaksa menutup muka di sekolah kerana malu. Namun, syukur Alhamdulillah, kesan parut itu hilang," katanya yang mengakui pernah dicium lelaki dewasa ketika pergi beraya.

Abby 'tak takut' bersuami muda


Malaysia, Berita, Gossip, Gosip, Hiburan, Selebriti, Artis Malaysia, Abby Abadi, Tak, takut, bersuami, muda
Abby 'tak takut' bersuami muda

Abby 'tak takut' bersuami muda


“SAYA bukan memilih suami kerana dia lebih muda daripada saya tetapi ini adalah jodoh yang ditentukan oleh ALLAH SWT,” jelas Abby mengenai perkahwinan keduanya yang berlangsung pada 9 Julai lalu.

Menurut Abby, segala-galanya telah ditentukan oleh ALLAH SWT kerana hanya selepas dua minggu dia dan suami, Muhammad Noor Farhan Che Bakar, 24, berkenalan mereka telah sepakat untuk mendirikan rumah tangga.

“Sebelum ini ada lelaki yang sebaya dan juga lelaki yang lebih tua termasuk suami orang menyatakan hasrat untuk memperisterikan saya, tapi saya tolak dengan cara baik.

“Itu adalah pendirian saya yang tidak mahu menjadi isteri kedua atau ketiga sekali pun. Alhamdulillah kerana hubungan saya dan suami dipermudahkan,” katanya.

Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 36, turut berkongsi kebahagiaannya melayari kehidupan berumah tangga setelah lima tahun bergelar ibu tunggal.

“Alhamdulillah kehidupan saya semakin bahagia dan menenangkan setelah hampir sebulan melayari kehidupan bersama Farhan,” ujarnya.

Berkongsi penerimaan tiga anak hasil perkongsian hidup dengan aktor, Norman Hakim iaitu Mohamed Danish Hakim, 10, Marissa Dania Hakim, 8, dan Maria Danisha Hakim, 5, Abby berkata anak-anaknya itu kadangkala berasa cemburu dengan Farhan yang dipanggil Abi.

“Lima tahun saya sendiri dan tiada lelaki yang bersama saya, jadi anak-anak sering bersama saya. Jadi bila Farhan datang ke dalam keluarga kami, mula-mula mereka cemburu juga.

“Tapi lama-kelamaan mereka sudah menerima Farhan, apatah lagi Farhan pandai mengambil hati mereka, biarpun tidak ada pengalaman menjaga anak sebelum ini. Lucunya kini, mereka suruh kami selalu berkasih sayang pula,” katanya yang tidak menolak andai dikurniakan cahaya mata selepas ini.

Akui kecewa


Ditebak dengan perjalanan karier seninya kini, Abby berkata, biarpun tidak pernah membuat pengumuman rasmi, namun dia kini terpaksa berhenti seketika daripada industri seni.

“Maaf cakap, tapi bagi saya industri seni kini tidak mengikut syariat Islam. Jadi lebih baik saya berhenti dan memberi tumpuan terhadap perniagaan dan keluarga,” jelasnya.

Taruhan terbaru Ryan Gosling


Entertainment, News, Gossip, Celebrities, Hollywood, Taruhan, terbaru, Ryan Gosling


Taruhan terbaru Ryan Gosling


Entertainment, News, Gossip, Celebrities, Hollywood, Taruhan, terbaru, Ryan Gosling


BAGI peminat aktor seksi Ryan Gosling, pastinya filem The Place Beyond The Pines dinantikan mereka.

Lebih-lebih lagi filem yang mengangkat genre jenayah ini menuntut Gosling sebagai teraju utamanya.

Berkongsi penglibatannya menerusi filem ini, jelas Gosling, dia tidak sangka diberi kepercayaan oleh penulis skripnya, Marc Platt untuk menerbitkan filem itu.

"Bukan sekadar pelakon tetapi dia mahu saya bersama menghasilkan filem ini. Bahkan dia juga meminta saya memilih sendiri pengarahnya," katanya.

Bagaimanapun sebelum menerima tawaran tersebut, dia terlebih dahulu melihat sejauh mana kehebatan skrip dan karakter yang dicipta untuk filem ini.

"Filem ini ditulis oleh seorang pelakon lagak ngeri. Jadi saya yakin dengan filem ini dan kami sepakat mencari pengarah yang hebat," katanya yang bekerjasama dengan pengarah Derek Cianfrance untuk kali kedua selepas filem Blue Valentine.

Filem sentuhan Derek Cianfrance ini, berkisar kehidupan seorang penunggang motosikal lagak negeri yang ingin merompak bank. Selain Gosling, ia turut dibintangi Bradley Cooper, Rose Byrne, Eva Mendes dan Dane DeHaan.

Diangkat dari kisah benar


Entertainment, News, Gossip, Celebrities, Hollywood, Diangkat, dari, kisah benar, The Conjuring


Diangkat dari kisah benar


Entertainment, News, Gossip, Celebrities, Hollywood, Diangkat, dari, kisah benar, The Conjuring


FILEM yang diadaptasi dari kisah benar, barangkali bukan fenomena baru dalam hiburan layar perak.

Terbaru, filem The Conjuring yang berasaskan kisah benar keluarga Perron yang mendakwa mengalami kes rasukan hantu pada era 1970-an.

Dengan usahasama New Line Cinema, filem ini diinspirasikan daripada fail kes pasangan ahli dermatologi iaitu Ed dan Lorraine Warren.

The Conjuring dibintangi oleh calon Anugerah Academy iaitu Vera Farmiga dan Patrick Wilson sebagai Warrens dan Ron Livingston serta Lili Taylor sebagai Roger dan Carolyn Perron, iaitu tuan rumah.

Bersesuaian dengan genre sebagai sebuah filem seram dan suspens, seawal pembukaan lagi, penonton sudah disajikan dengan mood seram, biarpun hanya bercerita mengenai keluarga ini sahaja.

Ia seterusnya membawa penonton melihat mereka berpindah ke sebuah rumah yang sebenarnya menyimpan sebuah kisah ngeri yang bakal mengubah kehidupan mereka keseluruhannya.

Biarpun dilihat seakan-akan cerita Panaromal Activity pada mulanya, namun tatkala cerita semakin menghampiri kemuncaknya, penonton mula dikejutkan dengan kehadiran entiti yang menakutkan yang bisa membuatkan bulu roma meremang.

Apatah lagi, misteri demi misteri yang berlaku di dalam rumah tersebut seakan tidak dapat dirungkaikan dan serangan demi serangan mula berlaku.

Maka daripada situ, timbullah segala persoalan mengapa mereka menjadi sasaran serangan dan apakah yang sebenarnya berlaku di rumah tersebut.

Lakonan meyakinkan


Lebih menarik, kejadian seram ini bukan sahaja dialami oleh keluarga yang menetap di rumah itu sahaja, tetapi juga bagi pasangan penyiasat paranormal yang turut melalui episod menyeramkan sepanjang kerjaya mereka.

Namun, setelah penyiasatan demi penyiasatan dilakukan, mereka mula menemui kunci kepada segala persoalan yang berlegar-legar di fikiran.

Secara keseluruhan, filem ini memang menarik untuk ditonton, apatah lagi kehadiran Mackenzie Foy, banyak membuatkan penonton rasa tertarik dengan renungan matanya.

Begitu juga dengan pelakon-pelakon lain yang menjayakan watak mereka dengan begitu baik.

Misteri rumah lama


Filem The Conjuring mengisahkan sebuah kisah benar yang berlaku dan sangat menakutkan. Ia menceritakan tentang bagaimana penyiasat paranormal terkenal di seluruh dunia iaitu Ed dan Lorraine Warren telah dipanggil untuk membantu keluarga yang diganggu hantu di sebuah rumah ladang terpencil.

Terpaksa berdepan dengan sebuah entiti jahat berkuasa, Warrens mendapati diri mereka terperangkap dalam kes yang paling menakutkan dalam hidup mereka.

Apa sebenarnya berlaku di rumah tersebut? Apakah rahsia tersembunyi?

The Wolverine kembali


Entertainment, News, Gossip, Celebrities, Hollywood, The Wolverine. kembali


The Wolverine kembali


Entertainment, News, Gossip, Celebrities, Hollywood, The Wolverine. kembali


BAGI peminat setia buku komik Marvel, watak Wolverine atau Logan barangkali tidak asing lagi dalam siri X-Men.

Entertainment, News, Gossip, Celebrities, Hollywood, The Wolverine. kembali


Setelah berjaya menarik perhatian peminat menerusi X-Men Origins: Wolverine pada 2009, kini Hugh Jackman kembali mengubati kerinduan peminat setianya, menerusi filem The Wolverine.

Filem arahan James Mangold kali ini  berdasarkan episod dalam buku komik di mana kisah The Wolverine atau Logan (Jackman) bertempur di Jepun.

“Saya cuba untuk mengikut garis panduan antara apa yang saya benar-benar suka tentang siri asal Claremont-Miller dan apa yang telah ditetapkan dalam filem dan buku-buku komik X-Men.

"Saya tidak hanya menyambung mana-mana hasil karya orang lain yang sebelum ini. Saya lebih melakukan apa yang saya ilhamkan, dalam apa jua yang saya lakukan,” katanya.

Oleh itu, bagi peminat setia komik ini, anda pastinya kecewa kerana ia tidak mengikut 100 peratus acuan dari komik asal, sebaliknya filem ini berdasarkan apa yang diilhamkan oleh Mangold selaku pengarah.

Ia berbeza dengan filem X-Men Origins: Wolverine dan The Wolverine bukanlah kesinambungan filem sebelum itu.

Kali ini, ia mengisahkan kehidupan Logan setelah kematian Jean Grey, hidup Logan semakin tidak tenang dan sentiasa mengenangkan kejadian lalu di mana dia terpaksa membunuh wanita yang dia cintai untuk menyelamatkan dunia dalam filem X-Men: The Last Stand.

Namun, setelah beberapa tahun kemudian, seorang wanita misteri, Yukio muncul dan mengajak Logan untuk ke Jepun atas permintaan ketuanya, Shingen Yashida.

Shingen Yashida adalah seorang tentera yang pernah diselamatkan Logan pada zaman dahulu. Oleh kerana insiden itu, Yashida berhajat untuk membalas jasa Logan sebelum dia meninggal dengan menjadikan Wolverine manusia biasa semula.

Bagaimanapun, Logan tetap menolak hajat Yashida kerana mencurigai niat Yashida. Pertempuran berlaku apabila Logan mendapati dirinya tidak lagi abadi dan kini dia perlu bertempur dengan pahlawan-pahlawan Jepun, dan
yang terakhir Samurai Silver yang dikatakan menggunakan pedang samurai yang disalut dengan besi adamantium.

Kepuasan Jackman


Menurut Jackman, dia sebenarnya sangat gembira kerana watak superhero kali ini adalah filemnya sendiri.

“Jika sebelum ini Wolverine hanya muncul dalam filem X-Men, tetapi kali ini, filem ini menceritakan kisahnya sahaja. Jadi, tumpuan penonton juga diberikan sepenuhnya kepada dia dan cabaran menjadi Wolverine kali ini juga
adalah lebih besar.

“Saya yakin pasti penonton tidak sabar hendak melihat Wolverine beraksi sendiri,” katanya.

Sebagai watak utama dalam filem ini, Jackman telah memastikan tubuhnya nampak lebih tegap dan gagah daripada sebelum ini dan ia sekali gus membuatkan penonton berasa kagum dengan tubuhnya itu.

Malah kali ini, tidak hanya melihatkan Jackman dalam misi pertarungan semata-mata, ia juga memperlihatkan Jackman perlu bermain dengan emosi apabila Logan digambarkan sebagai seorang lelaki yang terpaksa melalui kehidupan dengan kekecewaan dan kekesalan atas kematian orang yang dicintainya iaitu Jean.

Bagaimanapun, segala kekecewaan itu mula terubat dengan kehadiran Mariko dan Yukio yang banyak membantunya, seterusnya memperlihatkan Logan mula jatuh hati kepada Mariko.

Lebih konflik


Jika di dalam komik menceritakan bagaimana Logan ke Jepun untuk mempelajari skil mengenai samurai, namun dalam filem, Logan dipaksa untuk ke Jepun demi menemui teman lama.

Ia sekali gus memperlihatkan bagaimana Logan perlu berhadapan dengan seorang teman lama yang disangka sudah mati.

Tidak hanya menjadi buruan teman lama, Logan yang berdepan dengan konflik diri sendiri terpaksa menjaga cucu teman baiknya itu, yang sebenarnya menjadi perangkap untuk dirinya sendiri.

Secara keseluruhan, banyak babak-babak menarik di dalam filem ini, bagaimanapun perjalanan cerita yang sedikit perlahan kadangkala membantutkan mood penonton.

Namun, segala babak pertarungan yang berlangsung di dalam filem ini begitu menarik sekali untuk ditonton dan bagi mereka yang baru pertama kali mengikuti Wolverine, ia adalah sebuah filem yang agak menghiburkan.

Kejutan akhir


Perkara paling menarik yang perlu diberi perhatian adalah kemunculan dua individu penting dalam siri X-Men pada penghujung jalan cerita.

Ia sekali gus meningkatkan adrenalin peminat untuk menantikan tayangan filem terbaru, X-Men: Days of Future Past. Apatah lagi, telah tersebar khabar bahawa X-Men akan menayangkan sebuah filem reboot buat peminat setianya.

Jadi, kepada peminat setia X-Men dan Wolverine, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan filem yang paling dinantikan pada tahun ini, di pawagam berdekatan anda.

Ryan Reynold kesayangan ramai


Entertainment, News, Gossip, Celebrities, Hollywood, Ryan Reynold, kesayangan, ramai



Ryan Reynold kesayangan ramai


KERJAYA aktor kacak ini bermula pada 1990 ketika dia membintangi drama bersiri Kanada, Hillside atau Fifteen. Selepas itu dia mula menjadi pilihan pengarah. Antara siri popular lakonannya termasuklah Sabrina The Teenage Witch yang menggandingkannya bersama aktres genit, Melissa Joan Hart.

Apabila popularitinya semakin meningkat, pelakon kelahiran Kanada ini muncul menerusi drama bersiri Two Guys, A Girl And A Pizza Place.

Menariknya, peranannya sebagai penuntut perubatan iaitu, Berg berjaya meletakkan dia antara pelakon pujaan ramai di Hollywood ketika itu.

Tidak terhenti beberapa drama, empunya nama Ryan Rodney Reynolds atau nama layarnya Ryan Reynolds ini terus komited menjadi pelakon drama.

Meskipun namanya sudah disebut-sebut bakal bergelar bintang filem, namun dia tetap merendah diri. Antara drama lain yang diterajuinya termasuk The Odyssey as Macro, The In-Laws dan The Outer Limits.

Malah Reynolds juga antara bintang yang meningkatkan ranking drama popular The X-Files serta Scrubs. Seiring kerjayanya sebagai pelakon drama, Reynolds juga tidak menghampakan pengarah atau menolak tawaran filem yang diberikan kepadanya.

Akui suami aktres cantik Blake Lively ini, bukan mudah baginya mengimbangi antara berlakon drama dan filem.

"Di awal kemunculan sebagai pelakon drama, saya tidak sangka mampu pergi sejauh ini. Jadi, apabila ditawarkan berlakon filem, saya tetap tidak menolak  tawaran drama dan cuba beri terbaik," kata pelakon Ted ini.

Tuah The Proposal


Setelah 20 tahun berada dalam industri, Reynolds muncul dalam pelbagai genre filem yang pastinya tidak dilupakan peminat seni.

Rata-rata filem lakonannya punya kekuatan tersendiri seperti filem Blade: Trinity (Hannibal King), filem aksi Smokin’ Aces (ejen FBI, Richard Messner) dan filem seram The Amityville Horror (George Lutz).

Pun begitu, peranannya sebagai Andrew Paxton menerusi filem The Proposol tetap menawan hati peminat.

Peranannya sebagai pekerja yang terpaksa menjadi teman lelaki palsu bosnya sendiri lakonan Sandra Bullock berjaya meletakkan dia menerima pelbagai pencalonan anugerah di Hollywood.

Lebih membanggakan dia turut dinobat aktor paling disukai penonton di negara itu. Meskipun karakternya tampak mudah, tetapi ternyata watak Paxton itu meninggalkan kesan mendalam terhadap karier  Reynolds.

"Ia filem mengangkat genre komedi dan romantis, bagi saya hendak jadi lelaki sebegini sukar berbanding menjadi antagonis," katanya yang turut terkenal superhero Green Lantern.

Sedikit mengenai watak Green Lantern, jelas Reynolds, dia bangga kerana watak itu menjadi trademark kepada kariernya.

"Memang hebat dapat menjadi superhero pujaan ramai, tetapi cabarannya besar kerana bukan mudah untuk merealisasikannya," katanya.

Mati hidup semula


Jika tahun lalu dia muncul menerusi filem bersama seekor patung beruang yang pandai bercakap, iaitu Ted, tahun ini peminat dikejutkan dengan kemunculannya dalam filem aksi RIPD.

Memegang peranan sebagai Nick Walker, filem super natural ini memerlukan Reynolds menjadi detektif yang terbunuh dan hidup semula menjadi rakan seperjuangan Jeff Bridges (Roy Pulsipher) yang juga pegawai RIPD veteran.

Berkongsi pembabitannya dalam filem ini, akui Reynolds, dia gembira filem itu ditayangkan.

"Tiga filem saya sebelum ini adalah filem komedi dan dua darinya adalah animasi. Jadi, kehadiran filem ini mengubat kerinduan penonton yang mahu lihat saya beraksi," katanya.

Tambahnya, meskipun sinonim dengan watak sebegini, namun menjadi Walker amat berbeza.

"Menjadi detektif yang mati dan hidup semula tidak pernah dibayangkan, pun begitu, ia seronok kerana filem ini turut menyelitkan adegan komedi," katanya.

Sedikit mengenai RIPD, filem sentuhan Robert Schwentke ini diadaptasi dari komik Rest In Peace Department hasil tulisan Peter M Lenkov. Ia berkisar tentang Nick Walker, detektif yang baru terbunuh dan hidup semula dalam dunia baru.

Ning geram dengan suami


Malaysia, Berita, Gossip, Gosip, Hiburan, Selebriti, Artis Malaysia, Ning, geram, dengan, suami
Keluarga bahagia, Ning bersama suami dan anaknya.

Ning geram dengan suami


“SEKARANG saya penyanyi separuh masa.” Demikian reaksi penyanyi bersuara soprano, Ning Baizura tentang status terbarunya yang sudah hampir enam bulan bergelar ibu.

Ketika ditemui Sinar Harian Online baru-baru ini, anak lelaki Ning, Ryan Sky Dalton sudah bijak beraksi di depan kamera.

Ryan lahir pada hari ulang tahun perkahwinan Ning dan suaminya, Omar Sharif, 31 Januari lalu.

“Sekarang saya memang dah jadi ibu sepenuh masa dan penyanyi separuh masa. Sebab anak memang nombor satu dan keutamaan saya memang Rayyan,” katanya ketika ditemui pada sesi fotografi sempena hari raya di Restoran Warisan Dataran Merdeka.

Akui tidak meletakkan kepercayaan merawat Ryan di tangan pengasuh, Ning memilih ibunya sendiri untuk menjaga Ryan.

“Ibu saya yang menjaga Ryan. Memang saya tak percaya pada pengasuh buat masa sekarang. Sebelum ini, kami tak pernah ambil pembantu rumah, cuma kerana ada anak ini, baru pertama kali saya ambil.

“Pembantu rumah memang mengemas rumah sahaja kerja dia. Kalau tolong pegang Rayyan pun jika ibu saya nak berhenti untuk berbuka puasa, tetapi hanya sekejap sahaja.

"Setiap kali dia pegang, memang kami ada di sekeliling,” katanya.

Ning juga tidak membenarkan pembantu rumahnya mendukung Ryan sebelum ini.

“Memang saya tak lepaskan Ryan dengan pembantu rumah. Mungkin sebab anak pertama, kena protektif sedikitlah kan. Lagi satu sebab banyak sangatlah cerita ‘seram’ tentang pembantu rumah, saya tak beranilah.

“Saya bagi pembantu angkat Ryan selepas Rayyan berusia empat bulan ke atas. Sebelum itu, saya tak bagi dia angkat. Sebagai ibu, saya cuma tak nak apa-apa terjadilah. Nanti dia kena bertanggungjawab pula,” katanya.

Berkongsi aktiviti Ryan, Ning akui mengajar anaknya bersenam dan berenang.

“Setiap Sabtu dan Selasa, saya bawa Ryan bersenam di Bangsar. Hari Ahad pula, Rayyan akan belajar berenang dengan bayi-bayi lain, anak kawan-kawan saya.

“Pada usia Rayyan tiga bulan saja, suami saya sudah ajar berenang. Saya geram jugalah sebab takut,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ning bakal mengadakan konsert Pelangi Untukmu pada September ini dan Januari depan.

Penyanyi Selagi Ada Cinta ini juga akui tidak kisah jika hamil kali kedua dalam masa terdekat.

“Saya memang rancang tak nak tunggu lama-lama untuk anak kedua. Kalau masa konsert kedua, saya mengandung, buat sajalah konsert dengan kandungan itu sekali,” katanya.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan