Cari Artikel

Monday, January 14, 2013

Koleksi mewah sultan


Koleksi, mewah, sultan, EMPAYAR, Uthmaniyah, Turki, Istana Topkapi

EMPAYAR Uthmaniyah di Turki yang berkuasa pada tahun 1300 hingga 1922 telah memainkan peranan penting dalam perkembangan agama Islam. Kerajaan tersebut dipimpin oleh seramai 36 sultan.

Dalam sejarah pemerintahan empayar tersebut Istana Topkapi di Istanbul turut menjadi bukti kecemerlangan terutama dalam bidang seni bina.

Istana yang terletak di titik pertemuan Selat Bosphorus, Tanjung Tanduk Emas (Golden Horn) dan Laut Marmara ini mempunyai taman-taman indah yang menghubungkan antara satu bangunan dan bangunan lainnya. Kompleks Istana Topkapi terletak di belakang bangunan Hagia Sophia.

Topkapi dalam bahasa Turki bermaksud Pintu Meriam, pernah didiami 24 sultan Turki Uthmaniyah. Kini, bangunan bersejarah itu telah berubah fungsi iaitu dijadikan muzium atas arahan presiden pertama Turki, Mustafa Kemal Ataturk pada tahun 1924.

Istana Topkapi merupakan kediaman rasmi kesultanan Uthmaniyah selama lebih 400 tahun (1465 hingga 1856). Ketika itu, pelbagai urusan kerajaan turut dilakukan di istana berkenaan termasuk majlis-majlis perayaan. Dibangunkan pada tahun 1459 atas perintah Sultan Mehmed II dan siap pada tahun 1478 iaitu 19 tahun kemudian.

Kompleks Istana Topkapi ini mempunyai empat lapangan utama serta banyak bangunan-bangunan kecil. Didirikan di kawasan seluas 700,000 meter persegi dan dikelilingi tembok sepanjang lima kilometer.

Bab-I Humayu merupakan salah satu pintu masuk ke istana bersebut dan ia dibina menghadap Hagia Sophia. Di pintu masuk ini terdapat kaligrafi hasil tulisan Ali Yahya al Sufi.

Pada zaman pemerintahan empayar tersebut, hanya bahagian laman di pintu masuk tersebut dibenarkan orang ramai memasukinya. Laman itu menjadi lokasi bagi acara-acara berkaitan ketenteraan. Terdapat juga taman air pancut di bahagian ini.

PENGUNJUNG memasuki Istana Topkapi yang menyimpan pelbagai artifak berharga.

Selepas memasuki pintu tengah, terdapat laman yang dipanggil Babusselam. Di kiri kanan pintu tersebut terdapat dua menara. Pintu ini menjadi pintu masuk pelawat-pelawat pada zaman dahulu.

Artifak muzium

Menjejak kaki ke istana itu, pengunjung dapat menyaksikan pelbagai artifak termasuk peninggalan sejarah Islam termasuk barang-barang peribadi milik Nabi Muhammad SAW.

Para pengunjung seakan-akan dibawa ke zaman Rasulullah dan para sahabat. Pelbagai peninggalan itu ditempatkan di dalam suatu ruang khusus yang terpisah dari Istana Topkapi.

Antara barang-barang Rasullulah termasuk pedang hitam (Pedang Nabawi), mantel, gigi, tasbih kayu, bendera, cambuk, segenggam janggut, sejadah, tongkat, busur panah, sabuk dan lain-lain. Terdapat juga pedang-pedang milik sahabat Baginda antaranya pedang Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman al-Affan dan Ali Abi Talib.

Peninggalan penting adalah manuskrip al-Quran yang pertama. Sebelum al-Quran disatukan menjadi kitab, manuskrip pertama al-Quran dituliskan di atas lembaran kulit binatang. Salah satu yang tersimpan di Istana Topkapi menyuratkan Surah al-Qadr.
ANTARA artifak peninggalan sejarah Islam yang tidak ternilai harganya ini turut dipamerkan di Istana Topkapi.


Terdapat juga koleksi barangan kemas atau barang-barang bersadur atau diperbuat daripada emas yang merupakan milik sultan-sultan berkenaan. Antaranya ialah basin, paip air, kipas, set pinggan mangkuk dan pemegang cawan. Artifak berkenaan juga ada yang bertatahkan berlian, delima, zamrud, mutiara, jed dan batu kristal.

Muzium tersebut juga memiliki 2,000 koleksi barangan perak yang dihasilkan pada kurun ke-16 dan ke-19. Barang-barang perak ini merupakan koleksi sultan-sultan yang dihadiahkan diplomat Eropah.

Bahagian porselin dan kaca pula mempamerkan pelbagai koleksi dari Eropah. Antara artifak hasil kerja tangan itu ialah kaca kurun ke-17 yang dihasilkan menggunakan teknik Bohemia. Terdapat juga bahagian yang memuatkan kira-kira 2,000 unit porselin dan kaca hasil kerja tangan tempatan.

Bakal pindah ke Sabah




DEBARAN bakal pengantin semakin dirasai oleh aktres dan penyanyi genit, Liyana Jasmay. Ketika ditemui pada sesi fotografi di studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini, wajah Liyana dilihat semakin berseri-seri manakala topik perkahwinan tidak lekang dari bibirnya.

Liyana, 25, bakal bernikah dengan Fathuddin Mazlan, 29, pada 2 Februari ini di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur dan majlis resepsi sebelah perempuan akan berlangsung pada sebelah malam hari yang sama di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Majlis resepsi sebelah lelaki pula akan berlangsung di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur pada 9 Februari.

Terus terang kata Liyana, perasaannya kini bercampur baur antara teruja, gementar dan bahagia.

“Memang saya teruja, gembira dan tidak sabar untuk menanti majlis perkahwinan saya. Kalau boleh biarlah cepat-cepat perkahwinan berlangsung. Ini kerana selagi belum tiba majlis perkahwinan, selagi itu bermacam-macam perkara saya fikirkan tentang persiapan majlis.

“Alhamdulillah, persiapan hampir siap sepenuhnya. Tertekan itu perkara biasa untuk semua bakal pengantin tetapi saya bertuah kerana dua orang kakak saya yang telah berkahwin membantu melancarkan persiapan majlis perkahwinan saya,” katanya yang telah bertunang pada 28 Mac tahun lalu.

Disoal kenapa Fathuddin menjadi lelaki pilihannya untuk dijadikan suami, dia lantas tersenyum simpul sambil memberitahu pemuda itu merupakan lelaki yang tepat untuk dirinya.

“Dia seorang yang penyabar, fleksibel dan memahami diri saya. Saya pula jenis orang yang tidak sabar, jadi apabila bersamanya saya rasa tenang.

“Sebenarnya, dia tahu saya seorang anak manja, semuanya ibu saya sediakan dan kalau di rumah saya mempunyai pembantu rumah.
LIYANA menaruh harapan perkahwinannya nanti akan kekal seumur hidupnya.


“Dia tidak kisah dan sebab itu saya bertuah dia menjadi bakal suami saya,” luahnya.

Apabila ditanya persediaannya untuk bergelar seorang isteri, Liyana terdiam seketika.

Sambil tersenyum, tuturnya: “Perkahwinan bukan untuk sehari sahaja tetapi kalau boleh untuk seumur hidup. Apabila saya berkahwin dan bertukar status, bermulalah kehidupan saya pada fasa yang lain.

“Ya, saya akui selama ini keluarga sentiasa berada di belakang saya terutamanya ibu. Perubahan akan berlaku secara automatik apabila sudah berkahwin nanti kerana waktu itu saya sudah ada tanggungjawab lain.

“Selepas ini saya kena belajar buat semua sendiri dan saya tidak sabar untuk belajar hidup berdikari. Semasa belajar di New York, saya banyak membeli buku masakan kerana ingin belajar cara memasak juadah yang digemari tunang saya terutama masakan Itali,” ucap Liyana penuh makna.

Selepas berkahwin kelak, Liyana memberitahu dia akan berpindah ke Kota Kinabalu, Sabah, mengikut bakal suaminya yang bekerja di sana. Meninggalkan keluarga sudah tentu suatu perkara yang berat tetapi tidak baginya.

“Saya tidak sedih tinggalkan keluarga selepas berkahwin walaupun selama ini saya memang tinggal dengan keluarga. Bukannya saya tidak berjumpa mereka langsung selepas itu. Sudah tentu saya akan berulang alik di antara Sabah dan Kuala Lumpur,” katanya.

Usia yang muda tidak menghalang Liyana untuk memiliki anak dengan kadar segera selepas berkahwin. Jelasnya, tunangnya itu amat sukakan kanak-kanak, begitu juga dengannya yang telah memiliki lima orang anak buah.

“Kalau ikutkan saya tidak kisah untuk mendapat anak segera kerana ia merupakan rezeki Allah. Berapa ramai anak pun saya tidak kisah.

“Jika ada rezeki saya terima, jika ramai anak nanti apabila mereka dewasa baru rasa meriah, sama seperti keluarga saya sekarang ini,” balasnya.

Enggan ditaja

Bercakap tentang majlis perkahwinan selebriti yang biasanya mendapat tajaan mencecah ribuan sehingga jutaan ringgit, berbeza pula dengan Liyana.

Majlis perkahwinannya yang menelan kos yang agak besar itu dibiayai sepenuhnya oleh Liyana dan keluarganya sendiri tanpa sebarang tajaan.

Bukan tidak ada pihak yang ingin memberikan tajaan, tetapi Liyana memilih untuk melakukan semua persiapan sendiri supaya majlis perkahwinannya lebih bermakna.

“Ramai yang datang untuk memberikan tajaan pelamin, dekorasi, fotografi dan sebagainya tetapi saya tolak dengan baik kerana ingin melakukan semuanya sendiri.

“Saya mahu sebuah majlis perkahwinan yang ringkas dan lebih dekat dengan jiwa semua yang hadir. Apabila saya buat pilihan sendiri, saya rasa puas tanpa perlu memikirkan hati atau keuntungan pihak lain,” katanya penuh jujur.

Menyambung cerita tentang majlis perkahwinannya, perkara yang paling diutamakan Liyana sudah tentu gaun pengantinnya.

“Perkara lain pun penting juga tetapi bagi saya, paling penting adalah gaun pengantin. Walaupun saya sibuk belajar di New York selama enam bulan, saya sentiasa mengambil tahu perkembangan terkini gaun pengantin saya yang dibuat oleh pereka fesyen, Jovian Mandagie.

“Pelamin semuanya ringkas sahaja. Kecuali gaun pengantin saya (ketawa). Sudah lama saya idamkan gaun rekaan Vera Wang tetapi ia sangat mahal, jadi saya minta Jovian membuat gaun mengikut kehendak saya. Apa yang saya boleh katakan gaun yang dibuat Jovian itu merupakan pakaian pengantin impian saya,” ujarnya.

Ke New York bersama Fathuddin

Menyentuh tentang kerjaya lakonan dan nyanyiannya, walaupun telah bergelar isteri kelak, Liyana tetap meneruskan kerjaya seninya seperti biasa.

Tiada halangan daripada pihak bakal suami, bahkan Liyana kini semakin sibuk dengan syarikat produksinya, Mermaid Studio.

“Ketika keluarga tunang saya datang merisik, ayah saya siap pesan awal-awal kepada Fathuddin bahawa saya tidak boleh berhenti berlakon kerana itu merupakan minat saya.

“Dia juga tidak menghalang, malah beberapa hari selepas berkahwin saya akan terbang ke New York untuk menjalani penggambaran telefilem khas untuk siaran Astro.

“Saya akan berada di sana selama 15 hari dan akan bawa Fathuddin sekali. Jadi, sambil bekerja kami pergi berbulan madu ekspres (ketawa),” jawabnya.

Selain itu, Liyana yang bakal muncul dengan filem Papadom 2, Tokan dan Isyarat Cinta pada tahun ini juga akan muncul dengan sebuah single terbaharu berjudul, Jujur selepas pada tahun lepas popular di corong radio dengan lagu Cinta Bersatu.

“Berlakon tetap berlakon cuma buat masa ini jadual saya sangat padat. Selepas kahwin saya akan beri fokus kepada single Jujur sebelum muncul dengan sebuah album penuh yang akan memuatkan lima buah lagu keseluruhannya,” katanya.

Demi kelangsungan kerjayanya, Liyana yang baru menamatkan kursus jangka pendek selama enam bulan dalam bidang lakonan dan pengarahan filem di Akademi Filem New York, memberitahu mindanya kini lebih terbuka selepas menuntut ilmu di sana.

“Banyak perkara baharu yang saya pelajari kerana di sana saya berjumpa dengan ramai orang dari seluruh dunia. Mereka semua mempunyai pemahaman seni yang tersendiri tetapi uniknya, masalah yang berlaku dalam industri seni Malaysia turut berlaku di Hollywood.

“Apa yang mereka lakukan, berhenti merungut sebaliknya lakukan sahaja kerja kita. Alhamdulillah, dengan ilmu yang saya peroleh saya akan gunakan sebaik mungkin untuk menghasilkan karya yang boleh dinikmati semua orang,” katanya yang akan mengarah filem pendek buat pertama kalinya pada tahun ini.

Lohan dituduh mencuri lagi


RANTAI peninggalan mendiang Taylor pula dikatakan dicuri oleh Lohan.

AKTRES Lindsay Lohan sememangnya boleh dikategorikan sebagai artis yang bermasalah. Baru-baru ini aktres tersebut dituduh mencuri lagi – kali ini bukan calang-calang barangan yang dikatakan telah dicurinya tetapi merupakan rantai milik mendiang bintang legenda Elizabeth Taylor.

Seperti yang dilaporkan Daily Mail, Lohan dikatakan mencuri rantai tersebut daripada seorang jururawat yang telah lama bekerja dengan mendiang.

Memandangkan jururawat itu sudah lama menjaga Taylor, akhirnya mendiang telah menghadiahkan rantai kesayangannya itu. Sebagai hadiah daripada seorang aktres tersohor, jururawat tersebut menganggapnya sebagai hadiah yang sangat berharga.

“Elizabeth Taylor telah menghadiahkan salah satu rantai kepada jururawat yang sudah lama berkhidmat dengannya. Tidak dinafikan rantai itu agak mahal dan sangat bererti buat mendiang,” jelas satu sumber kepada Contactmusic.

Kejadian itu dikatakan berlaku masa Lohan berkunjung ke rumah jururawat berkenaan baru-baru ini dan sehingga sekarang bukti kehilangan lebih menjurus kepada aktres itu.

“Sewaktu melihat rantai berkenaan Lohan seperti sangat kagum dengan kecantikannya. Tidak lama kemudian, rantai itu didapati hilang iaitu pada hari yang sama Lohan berkunjung ke rumah jururawat itu,” ujarnya.

Saya tidak disingkirkan – Kenchana Devi



SETELAH setahun menghiburkan para pendengar Suria FM menerusi segmen Ceria Pagi Di Suria pada pukul 5 hingga 10 pagi, jodoh pelakon Kenchana Devi dengan stesen radio tersebut berakhir pada 31 Disember lalu.

Bagaimanapun, baru-baru ini tersebar cerita yang mengatakan pelakon berkenaan telah disingkirkan bersama seorang lagi penyampai iaitu Tyzo atau Tuah Zoqarnain.

Berkesempatan menemui Kenchana selepas berakhirnya acara Anugerah Juara Lagu ke-27 di Stadium Putra Bukit Jalil pada Ahad lalu, pelakon itu menafikan dirinya disingkirkan stesen radio berkenaan.

Sebaliknya, Kenchana menjelaskan kontraknya dengan Suria FM sudah berakhir dan dia sendiri yang membuat keputusan untuk tidak menyambung tugas sebagai penyampai di situ.

Kosmo!: Benarkah cerita yang mengatakan penamatan kontrak Kenchana dengan Suria FM diberitahu pada hari terakhir anda bertugas?

KENCHANA: Sebenarnya saya agak terkejut apabila cerita ini dikeluarkan dalam media. Untuk pengetahuan semua, kontrak saya memang tamat pada 31 Disember lalu dan saya sendiri yang ambil keputusan tidak menyambungnya.

Secara jujurnya, saya memang sudah lama bercadang untuk berhenti iaitu sejak dua bulan lalu.

Perkara ini sudah saya bincangkan bersama pihak pengurusan stesen dan mereka menerima keputusan saya ini.

Bagaimanakah cerita tentang penyingkiran anda ini boleh timbul?

Saya sendiri tidak pasti bagaimana perkara ini timbul memandangkan kontrak saya dengan Suria FM pun cuma setahun dan ia kini sudah berakhir setelah dibincangkan lebih awal lagi.

Lagipun tidak ada mana-mana pihak yang menghubungi saya untuk mengetahui perkara sebenar. Kalau ada yang menghubungi saya untuk mendapatkan kenyataan, sudah tentu perkara ini tidak timbul.

Apakah yang menyebabkan Kenchana mengambil keputusan tidak menyambung kontrak dengan Suria FM?

Buat masa ini saya mahu memberikan sepenuh tumpuan kepada syarikat produksi saya iaitu Kanchana Shakti Production Sdn. Bhd. yang sudah tujuh tahun ditubuhkan.

Kini, syarikat saya itu semakin banyak menerbitkan drama dan telefilem dan sudah tiba masanya saya memberikan tumpuan sepenuhnya, selain meneruskan kerjaya sebagai pelakon.

Adakah Kenchana tidak rindu setelah tidak lagi menjadi penyampai radio?

Sudah tentu saya rindu terutamanya para pendengar yang banyak memberikan maklum balas yang positif. Tidak dinafikan ramai yang terkejut apabila saya mengundur diri dan tidak lagi menjadi penyampai radio.

Apakah pengalaman yang Kenchana dapat sepanjang setahun bersama Suria FM?

Boleh dikatakan banyak benda yang saya pelajari serta dapat meluaskan lagi pengetahuan tentang pelbagai perkara yang berlaku. Bertugas sebagai penyampai radio, saya perlu tahu situasi terkini yang berlaku dan memerlukan saya membuat kajian sebelum ke udara.

Selain itu, saya juga dapat berkomunikasi terus dengan pendengar dan paling menarik, dapat mengajar mereka bahasa Tamil.

Kalau ada peluang lagi, adakah Kenchana tidak teringin untuk menjadi penyampai radio semula?

Keinginan untuk menjadi penyampai radio itu memang ada, malah bos saya di Suria FM iaitu Adiwati Zainuddin telah melayan saya dengan baik dan mengalu-alukan sekiranya saya berhasrat untuk kembali semula.

Cabaran Keroncong Untuk Ana Erma Fatimah


ELEMEN muzik sarat diselitkan dalam drama Keroncong Untuk Ana yang turut menampilkan lakonan Johan (dua dari kiri) dan Qi (kanan).

DI sebalik perkembangan pelbagai genre muzik terkini yang menjadi ikutan golongan muda, seni muzik asli seperti keroncong seolah-olah dipinggirkan generasi sekarang.

Itulah antara senario yang cuba dipaparkan dalam sebuah telefilem terbaharu berjudul Keroncong Untuk Ana yang diarahkan oleh pengarah terkenal, Erma Fatimah.

Ia mengisahkan tentang kehidupan Pak Hamdi, seorang pemain alat muzik mandolin dalam sebuah kumpulan keroncong dengan anaknya, Rashdan yang dilihat lebih berminat menjadi vokalis dan pemain gitar kumpulan indie, Spam yang diasaskan oleh Amirul.

Bagaimanapun, Amirul selaku ketua kumpulan meletakkan syarat agar setiap ahli supaya memiliki alat muzik sendiri. Rashdan berusaha membeli sebuah gitar elektrik, manakala mandolin kepunyaan Pak Hamdi pula telah hilang.

Dalam majlis prebiu telefilem Keroncong Untuk Ana yang diadakan di Astro Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini, Erma yang juga selaku penerbit dan penulis skrip menyatakan intipati utama telefilem berkenaan lebih kepada hubungan antara seorang bapa dan anak.

“Ramai yang tahu Keroncong Untuk Ana merupakan sebuah lagu ciptaan Datuk M. Nasir. Saya anggap ia satu cabaran menghasilkan telefilem ini, tetapi saya membuat keputusan untuk memaparkan isu yang berbeza.

“Tidak dinafikan akan ada penonton yang anggap telefilem ini berdasarkan kepada nasib muzik keroncong sekarang, tetapi ia lebih tertumpu kepada jiwa seorang anak yang langsung tidak meminati muzik tersebut,” ujarnya yang mengakui sangat meminati M. Nasir.

Berkenaan dengan keseluruhan jalan ceritanya pula, Erma berkata, akan ada segelintir penonton yang akan mempertikaikannya. Namun begitu, apa yang cuba dipaparkan berdasarkan kepada interpretasinya sebagai pengarah.

Tegas Erma, apa yang ingin disampaikan kepada penonton menerusi Keroncong Untuk Ana, seseorang individu itu tidak boleh dipaksa untuk menyukai sesuatu.

“Tentu ramai yang akan menyangka Rashdan akhirnya akan mengikut jejak langkah ayahnya menjadi peminat muzik keroncong, sebaliknya ia langsung tidak berakhir seperti yang disangka.

“Kalau saya membuat pengakhiran cerita yang sedemikian, saya seolah-olah menipu penonton. Bagaimanapun, saya tetap menekankan generasi sekarang agar tidak melupakan warisan yang semakin ditelan zaman,” jelasnya.

Telefilem yang akan disiarkan di saluran Astro Prima 105 pada 14 Januari ini pukul 10 malam membariskan ramai pelakon popular seperti Datuk Rahim Razali (Pak Hamdi), Qi Razali (Rashdan), Lydiawati (Rohana), Tiz Zaqyah (Rohayu) dan Johan Asa'ari (Amirul).

Mengenai penampilan para pelakon dalam telefilem berkenaan, Erma menyatakan dia sangat berpuas hati terutamanya Rahim Razali yang dilihat sangat berusaha keras menjiwai watak Pak Hamdi.

“Dalam telefilem ini beliau telah membawakan watak yang agak berbeza dengan lakonannya sebelum ini. Memang watak yang dibawakannya itu agak berat, tetapi dia sudah memberikan yang terbaik,” ujarnya.

Pada masa yang sama Erma juga mendedahkan bahawa watak Rohayu yang dipegang oleh Tiz pula sebenarnya pernah ditawarkan kepada bekas kekasih Qi iaitu Yuna.

“Pada mulanya Yuna kelihatan berminat untuk berlakon, namun dia meminta supaya diberikan sedikit masa sebelum membuat keputusan. Akhirnya, dia menolak kerana merasakan masih belum bersedia lagi ketika itu,” dedahnya yang hampir-hampir berjaya mendapatkan Yuna.

Bidan terjun

Salah seorang pelakon utama telefilem Keroncong Untuk Ana, Lydiawati yang turut hadir pada majlis sama memberitahu dia sebenarnya merupakan bidang terjun untuk melakonkan watak Rohana.

Pada asalnya, watak tersebut sepatutnya dibawakan oleh Fatimah Abu Bakar, namun pada saat akhir dia terpaksa menarik diri setelah dimasukkan ke hospital.

“Saya mendapat panggilan daripada Erma Fatimah untuk berlakon dalam telefilem ini sehari sebelum berlangsungnya penggambaran. Pada mulanya saya agak tertekan kerana tidak dapat membuat persediaan sepenuhnya.

“Skrip pun saya cuma dapat masa hari pertama penggambaran dan saya akui tidak mampu memberikan yang terbaik. Bagaimanapun, saya anggap ia merupakan satu cabaran buat dirinya sebagai seorang pelakon,” ujarnya.

Selain menyifatkan telefilem berkenaan sebuah naskhah yang menarik, Lydiawati juga merasakan banyak perkara yang dipelajarinya sepanjang menjalani penggambaran pada akhir tahun 2011 yang lalu.

“Dalam telefilem ini terdapat babak yang memerlukan saya menyanyi dan memang agak sukar membawakannya. Pada masa itu, barulah saya sedar bahawa bukan mudah buat seseorang pelakon untuk menjadi penyanyi,” ujarnya.

10 anggota wanita Malcoy 8 ke Lebanon esok





14/01/2013 1:23pm

KUALA LUMPUR - Sepuluh anggota wanita Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan berlepas esok sebagai kumpulan kedua Malaysian Company 8 (Malcoy 8) yang akan berkhidmat selama enam bulan di Lubnan dalam misi pengaman antarabangsa.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata kumpulan kedua itu akan berkhidmat di bawah Panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi menggantikan kumpulan pertama anggota wanita yang bakal menamatkan misi pada 21 Jan ini.

"Kumpulan itu terdiri daripada satu pegawai dan sembilan anggota lain-lain pangkat dengan pecahan iaitu lapan anggota wanita Tentera Darat Malaysia (TDM), satu anggota wanita daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dan satu anggota wanita daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)," katanya kepada pemberita pada Majlis Penghantaran Kumpulan Wanita Kedua Malcoy 8, di sini hari ini. - BERNAMA

AVON sasar pertumbuhan jualan dua angka





14/01/2013 12:36pm

SIBU — Avon Malaysia sekali lagi menyasarkan pertumbuhan jualan keseluruhan dua angka tahun ini selepas mencatatkan peningkatan jualan RM20 juta pada tahun lepas yang merupakan tahun yang mencabar.

Pengarah Urusannya, Carolyn Nur Amira Lee berkata, syarikat itu akan melancarkan beberapa produk baharu dari beberapa kategori pada tahun ini, dengan mengambil kesempatan daripada lajakan positif yang dicapai pada tahun lepas.

"Ini termasuk produk penjagaan kulit, yang akan dilancar semula secara besar-besaran. Terdapat juga produk penjagaan peralatan dapur dan penyimpanan makanan dari produk kediaman Avon,” katanya sekaian menambah, berkata terdapat juga 10 jenis produk pakaian yang beliau percayai akan mendapat sambutan golongan wanita.

Beliau berkata, Avon Malaysia mempunyai kira-kira 200 butik di seluruh negara dengan 42 pengurus zon yang akan menasihati dan memberi panduan para pengedar.

Sebelum itu, Carolyn merasmikan majlis Avon Car Achievers di sini di mana beliau menyerahkan kunci kepada dua pemimpin jualan tempatan — Ngu Soon Huong, seorang suri rumah dan seorang ahli perniagaan, Yek Hock King — kerana prestasi cemerlangkan masing-masing.

Mereka menerima RM10,000 setiap seorang dari syarikat itu. Pendahuluan bagi kereta berkenaan dan subsidi bulanan RM1,000 sehingga selama tujuh tahun bagi membantu bayaran bulanan pinjaman sewa beli kereta berkenaan.

Carolyn berkata, syarikat itu akan mengikut perubahan kemahuan pengguna dan kekal relevan secara kekal kompetitif melalui mesyuarat dan program pertemuan bagi wakil syarikat itu.

Tahun lepas, Carolyn berkata Avon Malaysia mengetepikan RM7 juta sebagai insentif dan bonus bagi wakilnya di mana lebih 400 orang telah mendapat manfaat. — BERNAMA

Maybank Investment terbit 8 waran panggilan





14/01/2013 12:33pm

KUALA LUMPUR — Maybank Investment Bank Bhd. akan menerbitkan lapan waran panggilan berstruktur pelunasan tunai gaya Eropah baharu di atas saham biasa Affin Holdings Bhd., Alliance Financial Group Bhd., Bumi Armada Bhd., DRB-HICOM Bhd., JCY International Bhd., Multi-Purpose Holdings Bhd., Ta Ann Holdings Bhd. dan Telekom Malaysia Bhd.
Waran itu akan disenaraikan pada 15 Januari, dengan saiz terbitan 100 juta setiap satu, kata bank pelaburan itu hari ini.
Waran Alliance, Bumi Armada, DRB-Hicom, Multi-Purpose Holdings dan Telekom mempunyai nisbah empat bagi setiap satu saham dan harga waran berbanding harga saham masing-masing 7.15 kali, 6.47 kali, 4.38 kali, 5.83 kali dan 9.93 kali.
Waran Affin Holdings dan Ta Ann mempunyai nisbah eksersais tiga bagi setiap satu saham sedia ada dan harga waran berbanding harga saham masing-masing 7.60 kali dan 7.78 kali, manakala waran JCY mempunyai nisbah eksersais dua bagi setiap saham dan nisbah waran berbanding harga saham 2.12 kali.
Kesemua waran panggilan itu mempunyai masa sembilan bulan sebelum tamat tempoh. — BERNAMA

Finas anjur lima latihan perfileman di Sarawak





14/01/2013 12:31pm

KUCHING — Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) akan mengadakan lima program latihan perfileman di sini sepanjang tahun ini.

Lima program itu ialah Bengkel Penerbitan Video pada 11 hingga 15 Mac dan 2 hingga 6 September; Bengkel Pengarahan (24-28 Jun), Bengkel Seni Lakon (21-25 Okt) dan Bengkel Penerbitan Kamera Terbilang (2-6 Dis).

Ketua Finas Bahagian Wilayah Sarawak, Mohd. Subri Abdul Ghani berkata, bengkel yang dikendalikan tenaga pengajar bertauliah Finas itu dianjur untuk memantapkan lagi kemahiran aspek teknikal dalam pengeluaran sesebuah filem.

Penyertaan program itu terbuka kepada semua yang berminat, katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata maklumat lanjut mengenai program itu boleh diperoleh dengan menghubungi talian 082-255 118 atau 082-259 576. — BERNAMA

Mahkamah S. Alam terima panggilan bom palsu


Mahkamah S. Alam terima panggilan bom palsu


14/01/2013 12:29pm

SHAH ALAM — Prosiding di Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini terganggu kira-kira sejam hari ini gara-gara panggilan bom palsu.

Ia merupakan panggilan bom palsu kedua berlaku di kompleks berkenaan dalam tempoh dua bulan, selepas kejadian pertama dilaporkan pada November lepas.

Lebih 400 petugas mahkamah termasuk orang awam diarah mengosongkan kompleks itu dan berhimpun di perkarangan letak kereta sementara menunggu pasukan unit pemusnah bom dan unit anjing pengesan memeriksa seluruh bangunan mahkamah.

Mereka bagaimanapun tidak menemui bom atau sebarang unsur bahan letupan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan, Mazlan Othman berkata, polis menerima maklumat mengenai panggilan bom itu kira-kira pukul 8.40 pagi selepas pihak mahkamah memaklumkan menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa terdapat bom di kawasan tempat letak kenderaan di bahagian tingkat bawah dan kafeteria.

“Hasil siasatan kami mendapati ia adalah panggilan palsu. Kami telah benarkan operasi mahkamah diteruskan tetapi orang ramai diminta berjaga-jaga jika ternampak atau terjumpa objek mencurigakan sila maklumkan kepada kami"

katanya.

Mazlan berkata, unit pasukan pemusnah bom akan ditempatkan di kawasan bangunan mahkamah sehingga tengah hari sebagai langkah berjaga-jaga. — BERNAMA

Bot pancung karam, 41 PATI diselamatkan


Bot pancung karam, 41 PATI diselamatkan, Jenayah, PATI, Bot, Karam, Teluk Ramunia, Pengerang, Kota Tinggi, Johor Bharu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, APMM, Polis Marin


14/01/2013 12:25pm

JOHOR BAHRU — 41 rakyat asing, dipercayai pendatang tanpa izin (PATI) diselamatkan, manakala lapan lagi masih hilang apabila bot pancung yang mereka naiki karam di perairan Teluk Ramunia, Pengerang dekat Kota Tinggi, awal hari ini.

Mereka yang diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan polis Marin itu terdiri dari 35 lelaki, empat wanita dan dua kanak-kanak.

Kesemua mereka dibawa ke Jeti Tanjung Pengelih dan jeti nelayan Sungai Rengit, Pengerang.

Jurucakap APMM berkata, dalam kejadian pada pukul 5.20 pagi itu, bot yang dilapor dinaiki 49 orang itu karam setelah dipukul ribut.

Operasi mencari dan menyelamat lapan lagi penumpang yang dilapor hilang masih berjalan. — BERNAMA

Lelaki hilang 10 hari ditemui semula





14/01/2013 3:03am

BELURAN — Setelah hilang 10 hari ketika mencari lokan di Sungai Mandagu di Bukit Besi dekat sini, seorang lelaki ditemui dalam keadaan lesu pada Khamis lepas.

Ketua Polis Beluran DSP Sivanathan Velautham berkata lelaki berkenaan dikenali sebagai Julkasim Kairun, 32, yang hilang sejak 1 Januari lepas, dijumpai pekerja di sebuah ladang kelapa sawit.

Julkasim masih menerima rawatan di Hospital Beluran dan dilaporkan dalam keadaan stabil, katanya ketika dihubungi hari ini.

Ketika ditemui di Hospital Beluran, Julkasim berada dalam keadaan stabil dan hanya mengalami luka-luka ringan di kaki akibat terkena ranting kayu dan duri dalam hutan.

Menceritakan pengalaman sesat selama 10 hari, dia berkata terpaksa minum air sungai dan makan lokan mentah yang diperoleh dari sungai untuk terus hidup.

Katanya pada 1 Januari lepas, dia keluar bersama abang dan adik ipar mencari lokan di sungai itu sebelum terpisah daripada mereka.

"Saya dengar ada bisikan menyuruh saya pulang tetapi saya tidak mengendahkan bisikan tersebut dan meneruskan perjalanan. Tidak lama kemudian, keadaan menjadi gelap dan saya dapati saya tinggal sendirian.

"Keesokan harinya, saya tidak tahu berada di mana, saya berjalan dan terus berjalan mencari jalan keluar namun gagal. Saya tidak makan sehingga hari kelima di dalam hutan dan hanya minum air sungai. Selepas lima hari, saya tidak mampu lagi menahan lapar lalu terpaksa makan lokan mentah,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya ketika sesat di dalam hutan dia nampak orang ramai dari jarak dekat sedang mencarinya lalu cuba memanggil mereka tetapi mereka tidak melihatnya.

"Saya meneruskan perjalanan dengan menyusuri tebing sungai sehinggalah saya sampai di sebuah ladang kelapa sawit. Di sana, saya menemui pekerja ladang dan pengurus ladang kemudian menghubungi pihak polis untuk melaporkan penemuan saya,” katanya.

Isterinya, Normadiah Sharif Yassin, 23, yang sedang sarat mengandung tujuh bulan anak pertama berkata nalurinya kuat mengatakan bahawa suaminya masih selamat.

Katanya ketika dia menerima khabar buruk daripada abangnya bahawa suaminya hilang, dia seakan hilang punca, namun dia tidak berputus asa dan berdoa sehinggalah suaminya itu ditemui.

— BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan