Cari Artikel

Thursday, January 10, 2013

4 penjenayah tak sempat jual traktor curi



4 penjenayah tak sempat jual traktor curi


10/01/2013 3:56pm

KUALA LUMPUR — Empat penjenayah berputih mata selepas polis menggagalkan cubaan mereka untuk menjual tiga traktor pembajak (Kubota) bernilai RM210,000 yang dilarikan mereka, di Taiping, Perak, lima hari lepas.

Traktor pembajak yang sepatutnya sampai kepada pembeli di Ipoh, Perak dari pembekal di Puchong, Selangor pada 29 Disember lepas dilarikan dua pekerja syarikat penghantaran sebelum disembunyikan di sebuah stor di Taman Simpang Bersatu, Taiping.

Ketua Polis Serdang, ACP Abd Razak Elias berkata, pihak pengurusan pembekal menyedari kehilangan traktor itu namun hanya membuat laporan polis lima hari selepas mendapat aduan daripada pembeli dan setelah gagal menghubungi suspek yang menghantar traktor tersebut.

"Selepas menerima laporan, pihak polis menubuhkan Team Lejang untuk menyiasat kes tersebut sebelum mendapat maklumat traktor itu disembunyikan di sebuah stor di Taiping,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, polis turut menahan dua penjaga stor serta dua pekerja syarikat penghantaran masing-masing di stor itu dan di Tanjung Malim pada hari yang sama traktor ditemui pada kira-kira 3 pagi.— BERNAMA

Angkasa peruntuk RM50j bina 50 pusat hemodialisis



alt


10/01/2013 3:48pm

TEMERLOH — Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) memperuntuk sebanyak RM50 juta bagi membina 50 buah pusat hemodialisis di seluruh negara bagi tempoh lima tahun akan datang.

Timbalan Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, pembinaan pusat hemodalisis tersebut akan dijalankan dengan kerjasama koperasi setempat bagi membantu pesakit buah pinggang mendapat kemudahan itu dengan harga perkhidmatan yang lebih berpatutan.

"Kos bagi setiap pusat itu ialah sebanyak RM1 juta. Setakat ini Angkasa sendiri sudah membina dua buah pusat hemodalisis di Temerloh dan di Bayan Baru, Pulau Pinang," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Hemodialisis Angkasa Temerloh di sini hari ini.

Abdul Fattah berkata, Pusat Hemodalisis Angkasa Temerloh mula beroperasi 10 Dis tahun lepas dan di Bayan Baru sedang dalam peringkat akhir pembinaan dan dijangka beroperasi tidak lama lagi.— BERNAMA

Edar dadah di kawasan menternak ayam



Edar dadah di kawasan menternak ayam


10/01/2013 3:31pm

JOHOR BAHRU — Kegiatan dua lelaki yang menjalankan aktiviti pengedaran dadah di kawasan ternakan ayam di Lima Kedai dekat Gelang Patah dengan turut menyamar sebagai anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) terbongkar apabila mereka ditahan polis dua hari lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, kedua-dua mereka yang ketika itu menaiki sebuah kenderaan Pajero ditahan di kawasan Bandar Baru Uda selepas anggota polis mengejar mereka dari kawasan menternak ayam tersebut.

"Terdahulu anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Nusajaya terserempak dengan mereka yang berumur 34 dan 36 tahun itu di kawasan penternakan ayam berkenaan sebelum kedua-duanya memecut kenderaan mereka bagi melarikan diri," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Beliau berkata, polis yang memeriksa Pajero itu menemui sepasang gari, sehelai vest Rela, alat walkie-talkie, dua telefon bimbit serta serangkai anak kunci.

Mohd. Mokhtar berkata, berdasarkan soal siasat terhadap mereka, polis kemudiannya kembali semula ke kawasan penternakan ayam itu di mana pemeriksaan lanjut menemui dua pucuk pistol tiruan dan dua gram dadah disyaki syabu.— BERNAMA

Thaipusam: Lebih 1,000 anggota polis bertugas





10/01/2013 3:15pm

KUALA LUMPUR — Polis akan menempatkan lebih 1,000 anggota bagi menjaga keselamatan orang ramai sempena sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves, selama empat hari mulai 24 Januari ini.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata, selain menempatkan anggota di situ, orang ramai sendiri boleh mengambil beberapa langkah bagi menjamin keselamatan mereka.

Sebagai contoh, katanya, ibu bapa dinasihatkan agar menyimpan nombor telefon anggota keluarga dalam saku anak kecil mereka kerana itu akan memudahkan keluarga dihubungi sekiranya anak mereka hilang dalam kesesakan orang ramai.

"Pengunjung juga diingatkan tidak meninggalkan barang bernilai seperti komputer riba dan telefon bimbit dalam kenderaan mereka yang diletak di tepi jalan," katanya di sini hari ini.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau kumpulan yang melakukan kegiatan yang tidak senonoh seperti meminum arak, memiliki senjata tajam dan mengganggu ketenteraman penganut lain,” kata beliau.— BERNAMA

121,000 belia daftar untuk rebat telefon pintar





10/01/2013 3:13pm

KUALA LUMPUR — Seramai 121,000 orang belia yang berumur dari 21 hingga 30 tahun telah mendaftar setakat malam tadi untuk mendapatkan rebat RM200 Pakej Komunikasi Belia (PKB) bagi pembelian telefon pintar.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohamed Sharil Tarmizi berkata, secara puratanya sebanyak 25,000 permohonan diproses dan diluluskan setiap hari sejak rebat itu dilancarkan seminggu yang lalu.

"Kita sangat gembira menyaksikan perkembangan positif daripada para belia di negara ini yang memberi sambutan baik terhadap pakej rebat yang dilancarkan kerajaan ini.

"Bagi memastikan kelancaran proses pendaftaran, pihak SKMM juga telah mengemas kini laman sesawang PKB iaitu komunikasibelia.skmm.gov.my dan nbi.skmm.gov.my,"katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pendaftaran untuk mendapatkan skim berkenaan adalah berdasarkan konsep ‘siapa cepat dia dapat’, iaitu tawaran tersebut akan ditutup setelah 1.5 juta belia menggunakan rebat itu.— BERNAMA

Peraturan daftar peranti perubatan mula Julai



Peraturan daftar peranti perubatan mula Julai


10/01/2013 3:01pm

PUTRAJAYA - Berkuatkuasa 1 Julai semua pengeluar peranti perubatan diwajibkan mendaftar produk-produk mereka dengan sebuah badan khas yang dilantik sebagai pihak berkuasa Peranti Perubatan, bagi menjaga kualiti produk dalam negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, ia adalah antara peraturan yang diperkenalkan di bawah Akta Peranti Perubatan 2012, yang diwartakan tahun lepas.

Beliau berkata, selain menguruskan soal pendaftaran, badan itu juga akan bertindak sebagai ejen pemantau bagi memastikan kualiti peranti-peranti perubatan dalam negara terpelihara, sekaligus membina keyakinan pelabur di sini kerana tidak timbul lagi isu hak cipta dengan paten peranti itu pula dilindungi.

Menurutnya, kementerian juga sedang berusaha meningkatkan daya saing syarikat-syarikat peranti perubatan dalam negara, contohnya dari segi penyediaan insentif kewangan, pengecualian duti import, dan juga penyediaan makmal ujian yang lebih canggih.

"Kita juga bantu dari segi pembangunan modal insan syarikat terbabit, meningkatkan kesedaran kalangan mereka mengenai kepentingan mutu, di samping mengukuhkan lagi kedudukan mereka," katanya dalam satu persidangan media selepas melancarkan produk sarung tangan perlindungan radiasi berjenama 'Sheildtm' di bangunan Perdana Putra di sini.-BERNAMA

Watikah pelantikan kepada anggota MAIWP, MAIM





10/01/2013 2:53pm

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini mengurniakan watikah pelantikan kepada 22 anggota Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Istana Negara di sini.

Mengetuai penerima ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom selaku Pengerusi MAIWP diikuti Timbalan Pengerusi MAIWP, Datuk Othman Mustapha.

Pelantikan itu sehingga 2015 mengikut Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993.

Sementara itu, Tuanku Abdul Halim turut mengurniakan watikah pelantikan kepada 16 anggota Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Mendahului penerima Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam merangkap Pengerusi MAIM.

Pelantikan itu sehingga 2014. -- BERNAMA

Curi dan samun: Tiga individu diburu





10/01/2013 2:29pm

SEREMBAN -- Polis Negeri Sembilan sedang mengesan dua lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kes mencuri dan menyamun.

Mereka ialah Then Wee Loong, 28, beralamat terakhir di No. 35, Jalan Bangi, Rumah Murah PKNS, Semenyih, Selangor, R. Balakrishnan, 39, beralamt No. 4H, Susur 3, Jalan Tun Abdul Razak, Johor Baharu serta K. Punithaa, 23, beralamat di No. 20, Jalan TTS 6/1, Taman Tasik, Semenyih, Selangor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Hamdan Majid berkata, orang ramai yang mengetahui di mana ketiga-tiga individu ini berada diminta menghubungi pihak polis.

"Mereka dipercayai rakan kepada dua lelaki yang ditahan pada 22 Disember lepas berhubung kejadian pecah masuk sebuah rumah di Tuanku Jaafar Golf Resort," katanya kepada pemberita di sini hari ini. -BERNAMA

Dua tahanan yang lolos ditembak mati





10/01/2013 2:21pm

BUKIT MERTAJAM -- Polis menembak mati dua daripada tujuh penjenayah yang diburu setelah meloloskan diri daripada tahanan ketika dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke Mahkamah Butterworth Isnin lepas.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar yang mengetuai pasukan khas memburu tahanan terbabit berkata, kedua-dua penjenayah itu ditemui menaiki sebuah kereta jenis Proton Perdana di Kampung Pelet di sini dan cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis.

"Polis kemudian melepaskan tembakan pada tayar kereta itu yang menyebabkan pemandunya hilang kawalan sebelum kereta itu terhumban ke dalam sungai dan kemudian berlaku tembak menembak," katanya.

Polis masih belum dapat mengesahkan identiti penjenayah yang ditembak mati itu.

Katanya, bertindak atas maklumat awam, polis juga menyerbu kawasan hutan di Kampung Pelet di situ dan ternampak kelibat beberapa lagi penjenayah terbabit tetapi mereka sempat melarikan diri.-BERNAMA

Asteroid lebih besar dari jangkaan





10/01/2013 11:33am

PARIS - Asteroid yang dipercayai menimbulkan amaran kecil untuk berlanggar dengan bumi abad ini adalah 20 peratus lebih besar daripada jangkaan awal banyak pihak.

Agensi Angkasa Eropah (ESA) dalam satu kenyataan berkata, teleskop Herschel telah mengimbas sebutir batu angkasa yang digelar 99942 Apophis minggu lalu ketika ia sedang menghala menuju ke bumi.

Bacaan diameter sebelum ini mengandaikan asteroid itu mempunyai diameter 270 meter adalah tidak benar kerana pemerhatian terbaru Herschel mendapati diameter batu angkasa itu adalah 325 meter. - AFP
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan