Cari Artikel

Monday, January 7, 2013

Fitnah: Felda saman Presiden Anak



Fitnah: Felda saman Presiden Anak


07/01/2013 2:41pm

KUALA LUMPUR — Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) hari ini memfailkan saman fitnah terhadap Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan lima lagi berhubung kenyataan penjualan minyak sawit mentah ke Israel.

Felda memfailkan writ saman itu menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Felda (plaintif) menamakan Mazlan dan Mustafa sebagai defendan pertama dan kedua manakala Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman, Pengarang Harakah, Taufek Yahya, penulis artikel, Mohd. Arif Atan, pencetak Harakah Angkatan Edaran Ent. Sdn. Bhd. serta Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution Ismail, masing-masing sebagai defendan ketiga sehingga kelima.

Menerusi pernyataan tuntutan, Felda mendakwa bahawa Mazlan telah memuat naik kata-kata fitnah di laman sosial facebook miliknya pada 19 November tahun lepas dan empat hari selepas itu (23 November 2012), Mazlan mengeluarkan kata-kata fitnah dalam satu perhimpunan yang dilakukan di hadapan pejabat Felda.

Dakwanya, kenyataan fitnah yang dikeluarkan Mazlan telah diterbitkan semula oleh defendan kedua hingga keenam menerusi beberapa artikel di akhbar Harakah pada 26 sehingga 29 November tahun lepas.

Felda mendakwa kenyataan fitnah itu telah menjejaskan reputasi Felda dan mendakwa kesemua defendan sengaja berbuat demikian untuk menghancurkan kepercayaan dan keyakinan rakyat demi meneruskan agenda tersendiri dan kepentingan peribadi.

Felda menuntut gantirugi am, khas, teruk, teladan, faedah dan kos ke atas semua defendan.

Felda juga menuntut satu arahan injunksi untuk menahan Mazlan dan ejen-ejennya berbicara atau menerbitkan kata-kata fitnah tersebut di Internet atau media cetak.

Selain itu Felda turut menuntut supaya Mazlan menerbitkan permohonan maaf secara bertulis di akhbar dan majalah. — BERNAMA

Mohamad Salleh mohon gugur tuduhan pecah amanah





07/01/2013 2:35pm

KUALA LUMPUR — Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFC), Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail yang menghadapi dua tuduhan pecah amanah berjumlah RM49.7 juta hari ini memfailkan permohonan untuk menggugurkan pertuduhan tersebut.

Permohonan itu difailkan melalui peguamnya, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, S.M Komathy Suppiah di dalam kamar.

Mahkamah menetapkan 8 Februari ini untuk sebutan kes.

Ketika ditemui pemberita, Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Mahmud memaklumkan, pihak pembelaan telah memfailkan permohonan untuk menggugurkan dua pertuduhan pecah amanah yang dihadapi Mohamad Salleh.

Awang Armadajaya memberitahu, pihaknya diberi tempoh tiga minggu untuk mengemukakan afidavit jawapan berhubung permohonan tersebut (pengguguran pertuduhan).

Kes itu dijadual dibicarakan pada 21 Januari ini, ditangguhkan sehingga kes permohonan tersebut didengar. — BERNAMA

Sistem permohonan rebat telefon pintar SKMM lancar





07/01/2013 2:24pm

KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberi jaminan sistem permohonan dalam talian pendaftaran rebat RM200 telefon pintar untuk golongan belia berjalan tanpa masalah.

Penasihat Strategik, Jabatan Komunikasi Korporat SKMM, Sheikh Raffie Abd Rahman berkata, laman web itu boleh dilayari pada tahap kelajuan memuaskan setiap masa sejak Jumaat lalu.

"Malah, hari ini kelajuan laman web lebih bagus (dari sebelum ini)... Sistem kita berjaya menampung semua permohonan online yang diterima,” katanya.

Sheikh Raffie juga menegaskan laman web itu tidak mungkin mengalami masalah kerana bagi tempoh malam semalam sehingga pagi ini, terdapat 12,000 permohonan baharu berjaya didaftarkan.

Sejak dibuka pada 1 Januari lepas, sebanyak 49,000 pendaftaran diluluskan SKMM setakat pukul 11.30 pagi ini.

Pada masa yang sama beliau menasihatkan pemohon agar teliti ketika menggunakan sistem itu yang mungkin menjadi faktor kepada kesukaran seperti didakwa sesetengah pihak. — BERNAMA

Pengurus ladang maut, anak parah dalam kemalangan





07/01/2013 2:21pm

KUANTAN — Akibat tayar belakang kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya meletup, seorang pengurus ladang maut manakala dua anaknya parah selepas terlibat dalam nahas jalan raya dekat Maran, semalam.

Abdul Basid Mohamed Yunus, 44, dari Permatang Badak di sini meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh pada pukul 10.30 malam tadi akibat nahas yang berlaku di Kilometer 189 Lebuhraya Pantai Timur, Jalan Kuantan-Maran, petang semalam.

Dua anak mangsa yang cedera parah ialah Nurul Ain Shahirah, 11, dan adiknya, Muhammad Annuar Farhan, 8, kini dirawat di hospital yang sama.

Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim, dalam kejadian pada pukul 3.20 petang itu mangsa dan enam anaknya dalam perjalanan dari arah Kuantan menuju ke Maran.

"Tiba di tempat kejadian, dipercayai tayar belakang sebelah kanan kenderaan itu tiba-tiba meletup menyebabkan pemandu hilang kawalan lalu merempuh besi penghadang di tengah jalan sebelum terbalik,” katanya.

Abdul Basid yang mengalami kecederaan parah di kepala kemudian dikejarkan ke hospital untuk rawatan namun disahkan meninggal dunia tujuh jam kemudian.

"Dua anak mangsa yang cedera parah itu masih dirawat di hospital yang sama manakala empat anggota keluarga yang lain tidak cedera,” katanya. — BERNAMA

SPRM tahan kontraktor terbabit kes rebat NGO



SPRM tahan kontraktor terbabit kes rebat NGO


07/01/2013 2:17pm

ALOR SETAR — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan seorang kontraktor dipercayai terbabit dengan kes pemotongan 25 sehingga 30 peratus daripada jumlah bantuan yang disalur kepada badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Mohamad Yusoff Akope berkata, SPRM menjalankan siasatan mengenai kes itu setelah dilaporkan media pada Februari tahun lalu.

Laporan media itu menyebut, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Pengangkutan negeri, Tan Chow Kang telah mengarahkan wakilnya untuk membuat potongan itu sebagai balasan kepada sumbangan yang telah diberi.

Mohamad Yusoff berkata, berdasarkan siasatan, Chow Kang didapati tiada kaitan dengan kes berkenaan sebaliknya ia melibatkan seorang kontraktor berusia 46 tahun itu.

Mohamad Yusoff berkata, kontraktor berkenaan sepatutnya membekal peralatan kepada NGO namun bekalan itu tidak dibuat walaupun bayaran telah dikeluarkan.

"Lebih kurang 30 saksi dipanggil sepanjang siasatan dan ada enam tuntutan terhadap kontraktor itu dan pihak SPRM telah mendapat persetujuan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk menuduh dia di mahkamah,” katanya.

Mohamad Yusoff berkata, enam tuntutan itu melibatkan Persatuan Teo Chew Jalan Sekerat berjumlah RM5,000, Penganut Dewa Fu De Ci (RM3,000), Bomba Sukarela Semeling (RM5,000), Bomba Sukarela Sungai Petani (RM5,000), Penduduk Batu 2 Sungai Petani (RM3,000) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Min Terk (RM7,000). — BERNAMA

Mayat pemuda hanyut menyeberangi sungai ditemui





07/01/2013 1:37pm

DUNGUN — Seorang lelaki yang dihanyut arus deras ketika menyeberangi sungai bersama abangnya di Kampung Kuala Jengal, di sini kelmarin, ditemui lemas hari ini.

Mayat Che Ku Amiruddin Che Ku Abu Bakar, 22, ditemui terapung kira-kira pukul 9.30 pagi tadi tidak jauh dari tempat mangsa dilapor hilang.

Mayat mangsa ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat yang disertai pasukan polis, bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta penduduk kampung yang menyambung operasi mencari kira-kira pukul 8 pagi tadi.

Che Ku Amiruddin dilapor hilang ketika berenang menyeberangi sungai itu bersama abangnya Che Ku Amar, 30, kira-kira pukul 6.30 petang Sabtu lepas.

Kedua-dua beradik itu dikatakan berbuat demikian untuk meninjau jentera pengorek tanah milik ayah mereka yang ditinggalkan di seberang sungai.

Abangnya yang sempat berpaut pada pokok buluh hanyut diselamatkan seorang pemancing menaiki sebuah bot yang kebetulan lalu di kawasan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Supt Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat mangsa. — BERNAMA

Tindakan tegas ke atas peniaga haram



Tindakan tegas ke atas peniaga haram


07/01/2013 1:31pm

BUTTERWORTH — Sekumpulan peniaga di Medan Selera Taman Tun Dr. Awang di sini menggesa Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bertindak segera terhadap peniaga tidak berlesen di kawasan itu.

Wakil peniaga di medan selera itu, Hussain Kachi Mydin, 63, mendakwa, lebih 20 peniaga haram berniaga di sekitar medan selera tersebut yang turut menjejaskan pendapatan mereka.

"Mereka berniaga di sekitar kawasan medan selera ini sejak setahun lepas dan kebanyakan peniaga adalah warga asing.

“Kami (peniaga medan selera) telah buat lebih 10 aduan kepada MPSP namun sampai kini tiada tindakan,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, kehadiran peniaga tidak berlesen itu turut menyebabkan 23 peniaga sah di medan selera itu mengalami kemerosotan pendapatan sehingga 50 peratus sehari.

"Kalau dahulu kami boleh mendapat sehingga RM200 sehari tetapi sejak peniaga haram ini berniaga, nak dapat RM100 sehari pun susah,” katanya.

Hussain yang berniaga nasi lemak di medan selera itu sejak 12 tahun lepas berkata, keadaan itu juga tidak adil kepada peniaga sah yang perlu membayar sewa bulanan sebanyak RM120 sedangkan peniaga tidak berlesen menikmati kemudahan tanpa sebarang caj. — BERNAMA

3 daerah di Pahang dijangka banjir akibat Sonamu





07/01/2013 12:56pm

KUANTAN — Tiga daerah di Pahang iaitu Kuantan, Pekan dan Rompin berkemungkinan dilanda banjir semasa kejadian ribut tropika Sonamu yang diramal membadai negeri-negeri Pantai Timur bermula hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata sehubungan itu 66 pusat pemindahan akan dibuka di Kuantan, 84 di Pekan dan 31 di Rompin.

Selain itu, semua pegawai daerah telah diarah menguar-uarkan ancaman ribut tersebut kepada penghulu serta jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung masing-masing dan melakukan persiapan yang perlu, katanya kepada pemberita, di sini malam tadi.

Muhammad Safian yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Pahang berkata, negeri itu juga mendapat bantuan daripada pasukan tentera darat yang berpangkalan di Johor yang akan digerakkan membantu mangsa apabila keadaan memerlukan.

Mereka yang kini ditempatkan di Kem 4 Briged, Kuantan akan menjadi pasukan pertama menghulur bantuan di kawasan terjejas ribut, katanya yang ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang.

Menurut beliau, sebanyak tiga helikopter milik Tentera Udara Diraja Malaysia juga berada dalam keadaan bersedia untuk digerakkan bagi menghantar bantuan kepada mangsa termasuk melakukan penerbangan ihsan.

Bagi penduduk di pulau-pulau pula, Tentera Laut Diraja Malaysia memberi jaminan akan menghantar bantuan kepada yang terjejas, katanya.

Beliau turut menasihatkan pekerja pembalakan, perlombongan dan nelayan agar tidak ke kawasan berisiko sepanjang ribut melanda.

Jabatan Meteorologi Malaysia dilapor meramalkan ribut Sonamu melanda negeri-negeri di Pantai Timur mulai hari ini dan bagi negeri Pahang ribut itu dijangka membadai dari 9 hingga 10 haribulan ini dengan kelajuan angin mencecah sehingga 40 kilometer sejam. — BERNAMA

HSB perlu 200 unit darah sehari untuk kes kecemasan





07/01/2013 12:53pm

KUALA LUMPUR — Sebanyak 200 unit darah jenis A, AB, B dan O diperlukan dalam sehari bagi menampung keperluan pesakit terutama yang melibatkan kes-kes kecemasan.

Pakar Hematologi Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Dr. Hafizah Hashim berkata, hospital berkenaan yang kini mengalami masalah kekurangan darah memerlukan bekalan yang banyak bagi merawat pesakit talasemia, leukimia, obstetrik dan mangsa kemalangan.

"Darah yang kita ambil dari badan penderma hanya boleh disimpan dalam tempoh 35 hingga 42 hari sahaja dan ia tidak mencukupi untuk menampung keperluan pesakit yang banyak,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Justeru beliau memohon orang ramai untuk hadir ke lokasi derma darah yang dijadualkan bagi membantu golongan yang memerlukan.

Antara tempat yang terlibat ialah Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani, Hospital Kulim, Hospital Jitra, Hospital Kuala Nerang, Hospital Sik, Hospital Yan, Hospital Baling dan Hospital Langkawi.

Operasi derma darah dijalankan setiap Ahad hingga Rabu dari pukul 8 pagi hingga 5 petang dan pada Khamis dari 8 pagi hingga 3.30 petang. — BERNAMA

Nicol pertahan kejuaraan Siri Akhir Dunia 2013





07/01/2013 12:51pm

KUALA LUMPUR — Juara dunia tujuh kali, Datuk Nicol Ann David berjaya mempertahankan kejuaraan skuasy Siri Akhir Dunia 2013 selepas edisi sulung tahun lepas apabila mengalahkan Laura Massaro pada final di London, hari ini.

Dalam perlawanan akhir di The Queens Club, Nicol mengalahkan pemain tuan rumah itu 3-0 dalam masa 37 minit.

Nicol memulakan saingan dengan cemerlang dengan mengawal perlawanan sebelum mencatatkan kemenangan 11-3, 11-2 sebelum menerima tentangan pada set ketiga.

Bagaimanapun, Nicol, yang berstatus pemain nombor satu dunia, berjaya mengatasi Massaro 11-9 pada set penentuan.

"Seperti diramal, ini merupakan perlawanan yang baik. Saya terpaksa memulakan langkah dengan lebih gigih kerana Massaro mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri,” kata pemain berusia 29 tahun itu.

Semasa ditemu bual oleh stesen televisyen, SkySports, Nicol berkata, impian beliau adalah untuk melihat sukan itu dapat disenaraikan dalam temasya Sukan Olimpik. — BERNAMA

Polis tembak mati 13 penjenayah di Filipina




07/01/2013 3:05am

MANILA - Pihak berkuasa Filipina menembak mati sekurang-kurangnya 13 anggota sebuah kumpulan penjenayah dalam satu kejadian berbalas tembakan di tenggara Manila, semalam.

Kejadian itu berlaku apabila dua kenderaan yang dinaiki kesemua suspek cuba merempuh pondok kawalan polis berhampiran bandar Atimonan, wilayah Quezon.

Seorang pegawai polis turut cedera dalam kejadian itu, selain 10 senjata api termasuk raifal M16 dirampas.

Pengarah Polis Quezon, Suprintendan Val De Leon berkata, kesemua suspek tersebut terlibat dalam beberapa kes jenayah termasuk rompakan dan pengedaran dadah. - dpa/AFP


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan